lightning-solid
Berita :
Litar Cukup Rasa, Kasma Daniel Harap Cuaca Tambah Rencah Perlumbaan
Litar Cukup Rasa, Kasma Daniel Harap Cuaca Tambah Rencah Perlumbaan
Mohd Irsyadi Abu Bakar
01 Aug 25
129

KUALA NERUS, 1 Ogos - Pelumba Petronas Sprinta Yanaha Maju Motor, Kasma Daniel Kasmayudin, 25, menyifatkan Litar Permotoran Terengganu 'cukup rasa' bagi pelumba kapcai sepertinya.

"Bagi saya litar ini cukup rasa kerana ada teknikal, ada 'high speed corner' dan 'corner' patah.

"Trek ini cukup sempurna untuk perlumbaan motosikal kapcai yang mana aspek keselamatannya dan jalannya juga cukup baik," katanya yang ditemui selepas sesi kelayakan dalam saingan Kejuaraan Cub Prix Malaysia di Litar Permotoran Terengganu, hari ini.

Pada sesi kelayakan terakhir tadi, Kasma Daniel berjaya mencatatkan masa terpantas kategori CP150 dengan catatan 49.098, sekaligus melayakkannya bersaing dalam Superpole, pagi esok.

Anak kelahiran Johor itu turut berharap cuaca pada perlumbaan esok 'menyebelahinya' dalam usaha beliau menunjukkan prestasi terbaik pada pusingan kelima ini.

"Pagi tadi agak panas terik, litar agak sukar juga. Kalau cuaca berterusan (kurang panas) begini, mungkin esok lebih ramai pelumba dapat menunjukkan sesuatu (dalam perlumbaan).

"Kalau cuaca seperti panas pagi, Alhamdulillah. Saya mengharapkan cuaca okey esok, tetapi kalau hujan layan sajalah," ujarnya.

Terengganu menjadi tuan rumah pusingan kelima Kejuaraan Cub Prix Malaysia yang berlangsung sehingga esok. 

Buat masa ini, pelumba kelahiran Terengganu, Ahmad Afif Amran dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING, mendahului kedudukan keseluruhan kategori CP150, kelas tertinggi dalam arena Cub Prix apabila merangkul empat kemenangan dan satu kedudukan kedua, menjadikan dirinya pendahulu carta kejuaraan.

 

 


Tag :

Artikel Berkaitan