lightning-solid
Berita :
300 Sertai Memanah Piala ADUN Sura
300 Sertai Memanah Piala ADUN Sura
Naim Fadhilah Kamaruddin
16 Aug 25
44

DUNGUN. 17 Ogos - Lebih 300 peserta dari seluruh Terengganu menyertai Kejohanan Memanah Piala ADUN Sura Terbuka Terengganu, yang memasuki edisi kali kedua penganjurannya di padang Kampung Padang Jambu.

Pelbagai kategori dipertandingkan termasuk Tradisional Cilik Lelaki dan Perempuan, Tradisional Remaja, Recurve bawah 12 tahun, Recurve bawah 17 tahun, Tradisional Dewasa Lelaki dan Perempuan, serta Barebow Dewasa Lelaki dan Perempuan.

Lebih menarik, penganjur turut menyediakan hadiah khas bagi busana terbaik, menjadikan kejohanan kali ini lebih meriah berbanding tahun lalu yang hanya menampilkan dua kategori sahaja.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin berkata, penganjuran sukan sunnah itu berjaya mengumpulkan pelbagai lapisan masyarakat daripada peringkat cilik hinggalah dewasa.

“Alhamdulillah, tahun lalu kita hanya mula dengan dua kategori sebagai percubaan. Tahun ini, sambutan sangat menggalakkan dengan penyertaan mencecah lebih 300 orang. Ini bukti masyarakat kita semakin minat dengan aktiviti memanah.

“Kita mahu jadikan memanah ini bukan sahaja sebagai sukan sunnah, tetapi juga medan yang menyatukan masyarakat. Paling membanggakan apabila melihat kanak-kanak kecil pun sudah berani memegang busur dan cuba melepaskan panah,” katanya ketika ditemui sewaktu kejohanan berlangsung di sini, semalam.

Menurutnya, kejohanan ini bukan sekadar medan mencari pemenang, sebaliknya menjadi ruang didikan awal buat anak-anak kecil yang mula berani mengangkat busur sebagai langkah pertama mereka dalam arena sukan.


 

 


Tag :

Artikel Berkaitan