KUALA NERUS, 3 Ogos - Pelumba Petronas Sprinta Yanaha Maju Motor, Kasma Daniel Kasmayudin, 25 tidak menyangka mampu memenangi perlumbaan kategori CP150, kelas tertinggi dalam Kejuaraan Cub Prix Malaysia di Terengganu.
Kasma menang dengan catatan masa 22.41.557 meninggalkan pelumba kelahiran Terengganu, Ahmad Afif Amran di tempat kedua dan Danial Syahmi Ahmad Shahril di kedudukan ketiga.
Jelasnya, saingan sengit dari Afif yang lebih serasi di halaman sendiri memberikan cabaran getir kepadanya.
"Alhamdulillah, saya tidak jangka boleh menang, sasaran saya cuma podium kali ini disebabkan Afif agak cemerlang di kampung halamannya.
"Saya cuma kekalkan tunggangan dan konsisten 'lap time', Alhamdulillah akhirnya saya sampai juga pada Afif dan dia ada sedikit kesilapan membolehkan saya memintas pada dua pusingan terakhir," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Piala kejuaraan yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim di Litar Permotoran Terengganu, semalam.

Perlumbaan kategori CP150 kali ini dihiasi kemalangan pada pusingan keempat menyaksikan bendera merah diangkat dan perlumbaan dihentikan buat sementara.
Menurut Kasma, insiden berkenaan hamoir menjejaskan tumpuannya.
"Sebelum 'red flag', saya rasa motosikal saya mampu memberi saingan, tetapi selepas itu saya agak kecewa sebab saya takut perlumbaan kedua (sambungan) tidak menjadi.
"Alhamdulillah, saya berjaya menang di sini, kampung halaman isteri saya," ujarnya.
Kedudukan terkini menyaksikan Kasma berada di kedudukan kedua keseluruhan selepas lima pusingan dengan 72 mata. Manakala, Afif masih mendahului dengan 115 mata secara keseluruhan.