KUALA NERUS, 13 Ogos - Lebih 72 pasukan telah mengesahkan penyertaan dalam UniSZA International Youth Cup 2025 yang membuka tirai pertandingan, 13 hingga 17 September ini.
Berlangsung di Stadium Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kampus Gong Badak, kejohanan anjuran Akademi Bola Sepak UniSZA Soccer Kids itu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM 30,000.00 yang mempertaruhkan empat kategori iaitu Bawah 14 tahun, Bawah 12 tahun, Bawah 10 tahun dan Bawah 8 tahun.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Professor Madya Dato' Ts. Dr. Mohd Hafiz Yusoff Che Abdullah menjelaskan, penyertaan pasukan peringkat usia di bawah 14 tahun sehingga lapan tahun ke bawah turut melibatkan pasukan luar negara termasuk dari Indonesia dan Singapura.
"UniSZA melalui Akademi Bola Sepak UniSZA Soccer Kids mengambil inisiatif selaku penganjur di atas semangat tanggung jawab sosial untuk mengangkat martabat akademi-akademi bola tempatan ke pentas yang lebih tinggi sekaligus memberi cabaran baharu untuk bakat-bakat muda secara lebih kompetitif.
"Situasi ini secara tidak langsung memberi hala tuju jelas buat setiap pelatih mahupun akademi itu sendiri untuk memberi galakan dan keyakinan kepada generasi baru mahupun ibu bapa dan penjaga itu turut sama terlibat di dalam ekosistem pembangunan sukan yang mampu membina karektor mahupun sahsiah anak-anak mereka.

"Kekuatan UniSZA selaku tuan rumah adalah kemudahan di pusat sukan universiti ini diiktiraf oleh badan-badan induk sukan dunia sekaligus menjadi tambah nilai yang terbaik untuk penganjuran sulung ini," katanya melalui kenyataan yang dikeluarkan, semalam.
Tambahnya, penganjuran kejohanan bola sepak berstatus antarabangsa ini merupakan yang pertama kali seumpamanya melihat IPT sebagai tuan rumah di negeri-negeri pantai timur ini.
"penganjuran kejohanan bola sepak antarabangsa ini nanti dilihat mampu menjadi pentas terbaik buat setiap pelatih-pelatih dari akademi kami dan juga lain-lain akademi mahupun bakat-bakat muda tempatan untuk meraih penanda aras baharu buat mereka," ujarnya.