KUALA NERUS, 1 Ogos - Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) buat julung kalinya mengadakan PERKESO Challenge bersama Motowazi dengan menawarkan hadiah berupa helmet, barangan motosikal dan goodies kepada para pengunjung Kejuaraan Cub Prix Malaysia di Gong Badak, hari ini.
Jurulatih Keselamatan Perjalanan PERKESO, Mohd Radzi Ramli memaklumkan, sesi cabaran itu menjdi salah satu aktiviti kepada pengunjung yang berminat untuk melakukan cabaran 'time attack' dan melengkapkan sesi tunggangan motosikal di bawah tiga minit bagi merebut hadiah terbaik.
"Kami adakan sesi pagi dan petang sepanjang dua hari kejohanan, bagi pengunjung yang datang untuk kita kongsi ilmu menunggang motosikal dengan berhemah.
"PERKESO berkerjasama dengan lagenda pelumba motosikal negara, Wazi Abdul Hamid yang mempunyai banyak pengalaman dalam sukan permotoran.
"Kita tahu pelumba sepertinya memiliki kelebihan teknik, membuat keputusan dalam masa pantas dan pemerhatian yang baik.
"Kita bukan hendak ajar berlumba, tetapi ingin kongsikan kemahiran seperti ketepatan mata, posisi badan dan teknik yang dimiliki para pelumba untuk tujuan keselamatan penunggang motosikal," katanya ketika ditemui di lokasi program di kawasan parkir kereta Litar Permotoran Terengganu, hari ini.
Tambahnya, pengunjung boleh menyertai program tersebut secara percuma.
Dalam pada itu, Wazi yang merupakan pengasas Motowazi menyifatkan, program berkenaan merupakan usaha yang baik dilakukan pihak PERKESO.
"Inilah kecantikan sukan bermotor, orang melihat cuma aksi di dalam litar tetapi kita sebenarnya terikat dengan semua elemen keselamatan.
"Pasukan motowazi hari ini, semuanya bekas pelumba dan berpengalaman menjadi juara, jadi di sini kami ingin membuktikan kepada masyarakat bahawa aspek keselamatan menjadi titik tolak kejayaan dalam sukan ini.
"Objektif kita hendak perkenalkan pemanduan berhemah. Kita buat satu cabaran untuk mereka dapat menilai sendiri tahap kemampuan menunggang motosikal mereka," ujarnya.