lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Didik Dahulu, Hukum Kemudian – Dr. Khalil
Didik Dahulu, Hukum Kemudian – Dr. Khalil
KUALA TERENGGANU, 29 September – Kerajaan Terengganu menegaskan pendekatan pelaksanaan Syariah di negeri ini memberi keutamaan kepada pendidikan dan kefahaman masyarakat, berbanding terus melaksanakan hukuman. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, meskipun peruntukan undang-undang telah wujud termasuk kesalahan meninggalkan solat fardu di bawah Seksyen 18, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001, fokus utama kerajaan adalah mendidik masyarakat agar memahami tuntutan agama. “Dalam pelaksanaan Syariah ada dua perkara iaitu pertama melaksanakan hukuman, kedua memberi pendidikan. Kita letakkan pendidikan sebagai keutamaan kerana kadangkala orang meninggalkan ibadat bukan kerana enggan, tetapi kerana tidak tahu atau kurang kefahaman. “Peraturan memang ada, namun ia tidak semestinya dilaksanakan terus. Kita bergerak seiring dengan usaha pendidikan melalui pelbagai inisiatif, termasuk kempen kesedaran, peringatan, 'banner' dan kemudahan yang disediakan,” jelasnya. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Pelancaran Hospital Mesra Ibadah di KMI Centre, Kuala Terengganu, hari ini. Menurut beliau, usaha itu selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan institusi kesihatan bukan sahaja sebagai pusat rawatan. "Tetapi juga medan pendidikan ibadah dan penghayatan Syariah dalam kehidupan seharian. "Banyak kemudahan yang disediakan kepada pesakit untuk menunaikan solat walaupun dalam keadaan uzur, termasuk panduan wuduk, tayamum, solat duduk atau berdiri serta menjaga kebersihan diri," tambah beliau.
29 Sep 25
118
Kuala Nerus Naib Juara SUTERA 2025
Kuala Nerus Naib Juara SUTERA 2025
KUALA TERENGGANU, 29 September 2025 – Temasya Sukan Terengganu (SUTERA) 2025 melabuhkan tirainya dengan penuh gilang-gemilang apabila Kontinjen Kuala Nerus berjaya muncul sebagai Naib Johan Keseluruhan. Kontinjen berkenaan menutup kempen dengan pencapaian membanggakan, meraih 20 pingat emas, 29 pingat perak dan 22 pingat gangsa. Ketua Kontinjen Kuala Nerus, Zaharuddin Zahid berkata, kejayaan tersebut merupakan hasil usaha gigih para atlet, jurulatih, pegawai serta seluruh pasukan sokongan yang memberikan komitmen sepenuhnya sepanjang kejohanan berlangsung. Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Majlis Sukan Daerah Kuala Nerus, khususnya Pegawai Daerah, Ahmad Azizi Zulkifli, pihak Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), para jurulatih serta semua pihak yang sentiasa memberikan sokongan tidak berbelah bahagi. “Syabas dan tahniah kepada semua atlet, jurulatih dan pegawai yang telah menunjukkan semangat juang tinggi serta pengorbanan besar demi mengangkat nama Kuala Nerus. “Insya-Allah, pengalaman yang diperoleh kali ini akan menjadi pemangkin untuk kejayaan lebih gemilang pada edisi akan datang,” ujarnya.
29 Sep 25
24
2,766 Rumah SPNB Siap Dibina
2,766 Rumah SPNB Siap Dibina
KEMAMAN, 29 September - Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM504 juta bagi pembinaan 5,450 buah Rumah Mesra Rakyat (RMR) menerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di seluruh negara, tahun ini.  Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, setakat Ogos lalu, sebanyak 2,766 unit rumah telah siap dibina, 1,310 unit sedang dalam pembinaan manakala 1,374 unit lagi sedang dalam proses untuk diserahkan kepada kontraktor.  "Sejak SPNB diletakkan dibawah seliaan KPKT pada 2018, usaha penyelarasan inisiatif perumahan rakyat menjadi lebih bersepadu dan berkesan dan sehingga kini, sebanyak 73,167 unit RMR telah siap dibina di seluruh negara.  "RMR yang dilengkapi tiga bilik ini bernilai RM75,000 yang mana kita memberikan subsidi RM20,000 untuk setiap rumah yang dibina dan pemilik hanya perlu membayar kira-kira RM300 sebulan dalam tempoh 16 tahun," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mesra Rakyat kepada 11 pemilik dan Sijil Penghargaan kepada sembilan kontraktor di Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Kampung Baru di Kemasik, di sini, semalam. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terengganu, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah. Menurut Aiman Athirah, program RMR merupakan komitmen kerajaan dalam menyediakan perumahan kepada rakyat yang berpendapatan RM5,000, dengan syarat pemilik memiliki tanah.  Katanya, sehingga Julai, SPNB mererima sebanyak 182,208 permohonan untuk program RMR.  "Daripada jumlah itu, 117,000 adalah permohonan yang telah lengkap dan 73,354 telah diluluskan selepas memenuhi syarat ditetapkan.  "Sebanyak 65,000 permohonan lagi dalam proses pendaftaran serta semakan sebelum disenaraikan untuk kelulusan," katanya.  Sementara itu, Wan Sukairi berkata, Kerajaan Negeri Terengganu akan terus memainkan peranan dengan penuh komitmen dan berkesan dalam menjalin kerjasama erat bersama SPNB bagi memastikan kesejahteraan rakyat melalui peluang memiliki rumah sendiri. “Terima kasih buat SPNB yang sentiasa memberi komitmen dalam meyediakan rumah berkualiti dan mampu milik buat rakyat di Terengganu. “Sehingga 31 Ogos lalu, SPNB telah menyiapkan 10,254 unit RMR di negeri ini dan secara keseluruhan 72,167 unit di seluruh negara,” ujarnya. Beliau mengharapkan, dengan adanya rumah ini, para penerima dapat menikmati kehidupan lebih selesa, sejahtera dan terus membina masa depan yang lebih baik bersama keluarga.  
29 Sep 25
152
182 Unit Rumah Realisasi Harapan Penduduk Rantau Abang
182 Unit Rumah Realisasi Harapan Penduduk Rantau Abang
DINGUN, 29 September –Sebanyak 182 unit Rumah Mampu Milik (RMM) yang sedang dibina di Balai Besar, Dungun bakal memberi manfaat besar kepada rakyat khususnya penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang. Projek berkenaan melibatkan 128 unit RMM Jenis A dengan harga bermula RM90,000 dan 54 unit RMM Jenis B dengan harga bermula sekitar RM185,000. Selain kediaman, kawasan perumahan itu juga akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti taman permainan serta kedai setingkat demi keselesaan dan kesejahteraan para penduduk. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkilfli ketika berucap pada majlis pecah tanah projek itu berkata, pembinaan RMM bukan sahaja menyediakan tempat berteduh, bahkan mampu mencorak masa depan yang lebih stabil dan sejahtera kepada rakyat yang bakal menerima manfaatnya. “Rumah Mampu Milik ini bukan sekadar projek fizikal, tetapi ia membawa harapan, memberi keyakinan dalam membina masa depan yang lebih baik untuk rakyat. "Inilah bukti kesungguhan kita dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan,” katanya. Projek itu telah bermula pada 12 Januari 2025 dan dijangka siap pada 10 Mei 2028. Mohd Fadhli turut menzahirkan doa dan harapan agar pembangunan tersebut berjalan lancar serta memberi impak besar kepada kesejahteraan rakyat di DUN Rantau Abang.
29 Sep 25
274
UMT Tawar Tiga Program Baharu Bagi Sesi Akademik 2025 2026
UMT Tawar Tiga Program Baharu Bagi Sesi Akademik 2025 2026
KUALA TERENGGANU, 29 September – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menawarkan tiga program baharu mulai sesi akademik 2025/2026. Naib Canselor UMT, Profesor Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata, tiga program baharu tersebut ialah Sarjana Muda Teknologi Tenaga Boleh Diperbaharui dengan Kepujian, Sarjana Muda Teknologi Elektrik (Tenaga dan Kuasa) dengan Kepujian serta Sarjana Muda Sains Gunaan (Teknologi Maritim) dengan Kepujian (Dual Degree). “Penawaran program baharu ini selaras dengan keperluan semasa negara dan dijangka dapat melahirkan lebih ramai tenaga pakar dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, teknologi elektrik dan maritim pada masa hadapan,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini. Dalam pada itu, beliau memaklumkan, UMT menerima seramai 2,105 pelajar baharu bagi kemasukan sesi akademik 2025/2026, melibatkan 36 program pengajian di bawah tujuh fakulti.  “Daripada jumlah tersebut, seramai 15 orang merupakan pelajar antarabangsa yang datang dari pelbagai negara termasuk Maldives, India, Indonesia, Bangladesh, Sudan, Tanzania, Timor-Leste dan Kenya bagi mengikuti pengajian peringkat Sarjana Muda,” ujarnya. Katanya, proses pendaftaran yang bermula seawal jam 8 pagi semalam berjalan lancar seperti yang dirancang.  “UMT sentiasa bersedia menyambut kehadiran pelajar baharu dengan menyediakan kemudahan penginapan yang mencukupi, selain keperluan asas lain termasuk bilik pengajaran dan pembelajaran, makmal moden serta kafe yang selesa bagi memastikan kebajikan pelajar terjamin sepanjang tempoh pengajian. “Bagi membantu pelajar menyesuaikan diri dengan kehidupan kampus, Minggu Jalinan Mesra (MJM) akan dilaksanakan mulai 28 September hingga 4 Oktober ini,” ujarnya. Tambah beliau, selain kampus induk di Kuala Nerus, UMT turut mempunyai kampus kedua di Bukit Kor, Marang yang akan memulakan kuliah pada 5 Oktober ini.  “Kampus tersebut menempatkan seramai 332 pelajar bagi mengikuti tiga program pengajian di bawah Fakulti Sains Makanan dan Agroteknologi melibatkan 28 kursus pengajian.  “Segala kemudahan kuliah dan makmal pengajaran di kampus tersebut juga telah disediakan sepenuhnya untuk kegunaan pelajar baharu,” ujarnya.  
29 Sep 25
85
Sumbangan Dermasiswa Al-Ikhlas Bernilai RM1.8 Juta Ringan Beban Pelajar UMT
Sumbangan Dermasiswa Al-Ikhlas Bernilai RM1.8 Juta Ringan Beban Pelajar UMT
KUALA TERENGGANU, 28 September – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini menyalurkan sumbangan Zakat Dermasiswa Al-Ikhlas berjumlah RM1.8 juta bagi membantu meringankan beban kewangan pelajarnya. Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim menyempurnakan penyerahan sumbangan itu pada Majlis Penyampaian Zakat Dermasiswa Al-Ikhlas di Dewan Sultan Mizan, UMT dengan disaksikan wakil agensi penyumbang utama zakat. Sumbangan berkenaan merangkumi tiga kategori iaitu Bantuan Awal Pengajian bernilai RM500 kepada 1,000 pelajar baharu, bantuan komputer riba kepada 40 pelajar asnaf serta Biasiswa Al-Idrisi UMT bernilai RM18,000 kepada seorang penerima. Antara penerima bantuan komputer riba ialah Muhammad Hafizi Mohd Arifin, 18, pelajar Diploma Perikanan dari Jerantut, Pahang yang sebelum ini terpaksa meminjam komputer riba rakan kerana kekangan kewangan. Sementara itu, Nur ‘Azhiimah Mohd Ali, 28, dari Kota Bharu, Kelantan diumumkan sebagai penerima tunggal Biasiswa Al-Idrisi UMT selepas memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.44 dalam program Sarjana Muda Sains Akuakultur Dengan Kepujian. Majlis itu turut dihadiri wakil Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Bank Islam, CIMB Islamic, RHB Islamic dan Bank Muamalat sebagai rakan strategik penyumbang zakat. Dalam ucapannya, Mohd Zamri merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang zakat dan menegaskan usaha tersebut bukan sahaja meringankan beban pelajar, malah menjadi pemangkin kepada kecemerlangan akademik mereka.
29 Sep 25
86
Program R&R: Rehat dan Rawat @Masjid UMT Sambut Mesra Pelajar Baharu
Program R&R: Rehat dan Rawat @Masjid UMT Sambut Mesra Pelajar Baharu
KUALA NERUS, 29 September– Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menganjurkan Program R&R: Rehat dan Rawat @Masjid UMT sempena pendaftaran pelajar baharu sesi akademik 2025/2026. Inisiatif itu menjadi ruang menyantuni pelajar dan keluarga yang hadir dari seluruh negara dengan menyediakan pelbagai kemudahan seperti sarapan pagi, makan tengah hari, minuman ringan, ruang rehat, ruang solat serta tandas yang selesa. Suasana mesra jelas kelihatan apabila ramai ibu bapa singgah berehat dan menjamu selera selepas menempuh perjalanan jauh, malah rata-rata melahirkan rasa syukur atas layanan yang diberikan. Ketua PISM, Dr Kasyfullah Abdul Kadir berkata, penganjuran program ini bertujuan menyambut kedatangan warga baharu UMT serta meringankan beban keluarga dengan menyediakan kemudahan asas. “Masjid bukan sekadar tempat beribadah, tetapi juga pusat kebajikan dan ukhuwah. Kami mahu pelajar dan ibu bapa merasai bahawa mereka diraikan dengan penuh kasih sayang,” katanya. Selain itu, PISM turut terlibat dalam Minggu Jalinan Mesra (MJM) pelajar baharu yang bermula sejak 28 September lalu dengan menyediakan ruang makan minum, ruang solat, serta Slot Bersama PISM yang dijadualkan berlangsung pada 2 Oktober ini. PISM turut merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang yang menjayakan program berkenaan dan berharap inisiatif itu dapat diteruskan pada masa hadapan.    
29 Sep 25
82
Pernah Harumkan Nama Negara, Asmawi Kini Perlukan Bantuan Rakyat
Pernah Harumkan Nama Negara, Asmawi Kini Perlukan Bantuan Rakyat
KEMAMAN, 29 September – Tabung Bantuan Rawatan bagi bekas pemain hoki remaja kebangsaan dan Sukma Terengganu, Mohamad Asmawi Zaidi, telah dilancarkan semalam bagi membantu membiayai kos rawatan dan perubatannya. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris berkata, tabung itu diwujudkan hasil perbincangan antara keluarga Asmawi bersama Persatuan Hoki Terengganu selepas beliau disahkan menghidap masalah kesihatan yang memerlukan kos rawatan tinggi. “Keadaan kesihatan Asmawi kini memerlukan perhatian segera. Usaha ini adalah tanda kebersamaan kita untuk membantu meringankan beban beliau dan keluarga,  "Asmawi pernah mengharumkan nama negeri dan negara suatu ketika dahulu melalui sukan hoki, khususnya ketika mewakili Terengganu di pentas Sukma dan pasukan remaja kebangsaan.  "Sumbangan dan kejayaan beliau dalam arena sukan wajar dikenang dengan membantu meringankan beban rawatan yang ditanggungnya," jelasnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Tabung Rawatan Asmawi bertempat di Pejabat DUN Kijal, Paya Lasir Bandar Baru Kijal semalam. Majlis tersebut dihadiri kakaknya, Nur Haslida Zaidi serta Presiden Persatuan Hoki Terengganu, Cikgu Mohd Fikri Harun. Menurut Nur Haslida, kos rawatan adiknya mencecah kira-kira RM1,300 sebulan termasuk keperluan ubatan dan barangan penjagaan harian. Katanya, sokongan orang ramai amat diharapkan bagi memastikan kelangsungan rawatan dapat diteruskan. "Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun BSN | 1111141000273158 (Mohamad Asmawi Bin Zaidi) atau menghubungi 019-920 6959 (Nur Haslida Zaidi, kakak Asmawi) bagi sebarang pertanyaan. "Semoga inisiatif ini dapat meringankan beban keluarga serta menjadi asbab kepada kesembuhan Asmawi, yang pernah mengharumkan nama Terengganu dan negara dalam arena hoki suatu ketika dahulu," ujarnya.  
29 Sep 25
14787
Amanah Urus Wang Rakyat
Amanah Urus Wang Rakyat
KUALA TERENGGANU, 28 September – Setiap sen wang rakyat adalah amanah yang mesti dipertanggungjawabkan, sama ada jumlahnya kecil atau melibatkan ratusan juta ringgit. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim menegaskan, tidak wajar isu berkaitan pembaziran atau salah guna dana awam dipandang ringan kerana setiap perbelanjaan mesti memastikan manfaatnya sampai kepada rakyat. "Setiap sen duit rakyat adalah amanah. Tak kira samada RM10 ribu, lima juta, RM40 juta, RM100 juta atau 1 bilion semuanya adalah tanggungjawab yang bakal dipersoalkan. "Tak ada istilah, alaaaa... sikit saja! Itu pun nak bising! "Apa yang penting ialah, setiap sen yang dibelanjakan perlu dipastikan manfaatnya wajib sampai kepada rakyat. Kalau berlaku apa-apa kecacatan, ia mesti diperbaiki segera dan dibuat tindakan pembetulan," jelasnya dalam laman sosialnya hari ini. Justeru itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak berwajib kerana insiden runtuhan tembok penghadang di Batu Rakit telah diambil tindakan segera tanpa kos tambahan daripada wang rakyat. Namun begitu, Azman mempersoalkan beberapa projek mega zaman kerajaan dahulu gagal diselesaikan meskipun melibatkan kerugian wang rakyat dengan jumlah yang sangat besar.  "Rakyat Terengganu akan terus bertanya ke mana kesudahannya penyelesaian projek Taman Ilmu di Tembila, Kompleks Bebas Cukai Tasik Kenyir dan Pulau Bayas, bas amphibia dan beberapa projek besar lagi yang menjadi gajah putih.  "Runtuhan Stadium Sultan Mizan juga diperbaiki dengan kos dari Kerajaan Negeri melibatkan jumlah ratusan juta, bukan dengan biaya dari kontraktor yang membina Stadium," tegasnya. Dalam masa yang sama, beliau turut mengingatkan agar pemimpin berhati-hati dalam berpolitik dan tidak terlalu ghairah menuding jari kepada pihak lawan kerana rakyat sudah penat dengan perbalahan politik yang tiada kesudahan. “Nasihat saya, berpada-padalah dalam bermain politik. Mari kita pakat-pakat memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.  "Satu jari menunding kepada lawan, empat jari menunding kepada diri sendiri. Orang tua pesan, kalau berbalah biar berpada-pada. Mana tahu suatu hari kita akan berbaik dan boleh duduk bersama sebagai rakan sekerja,” ujarnya.
28 Sep 25
52
6,000 Rakyat Terengganu Sertai Hari Cuci Malaysia
6,000 Rakyat Terengganu Sertai Hari Cuci Malaysia
KUALA TERENGGANU, 28 September – Seramai 6,000 peserta membanjiri Pantai Batu Buruk sempena Hari Cuci Malaysia 2025 bersempena World Cleanup Day 2025 peringkat negeri Terengganu yang berlangsung semalam. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, program anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu diadakan secara serentak di seluruh negara dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk agensi negeri dan pihak berkuasa tempatan, institusi pendidikan, syarikat pembersihan, sektor perumahan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat umum. “Tujuannya adalah untuk melaksanakan aktiviti gotong royong bersepadu yang merangkumi pembersihan kawasan sekitar, menutup tapak sampah haram, serta menggerakkan kempen kitar semula. “Pada masa yang sama, ia mendidik orang ramai supaya lebih peka terhadap pengurangan penggunaan plastik sekali guna,” jelasnya. Beliau menegaskan, usaha itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan aspek kebersihan, kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan komuniti terus terjamin. Menariknya, program kali ini turut disertai pihak swasta seperti RD Paper dan Sally Global yang membuka booth e-waste dan booth belian minyak masak terpakai di kawasan tapak perasmian. Sambutan orang ramai amat menggalakkan, menunjukkan kesedaran semakin meningkat terhadap kitar semula bahan terbuang. Untuk rekod, setiap 1 kilogram minyak masak terpakai dibeli dengan harga RM2.50 bagi menggalakkan orang ramai menyumbang bahan terpakai tersebut untuk dijana semula menjadi tenaga boleh diperbaharui seperti biodiesel.    
28 Sep 25
638