lightning-solid
Berita :
Runtuhan Jalan Batu Rakit Tanggungjawab Kontraktor – JKR
Runtuhan Jalan Batu Rakit Tanggungjawab Kontraktor – JKR
Husaif Mamat
26 Sep 25
4083

KUALA TERENGGANU, 26 September – Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu menegaskan kerja membaik pulih runtuhan tebing di Jalan Mengabang Telipot, Kampung Tanjung, Batu Rakit pada Rabu lalu adalah sepenuhnya tanggungjawab kontraktor yang melaksanakan projek tersebut, tanpa melibatkan sebarang kos tambahan daripada kerajaan negeri.

Pengarah JKR Negeri, Ir. Dr. Hasli Ibrahim berkata, projek sepanjang kira-kira 100 meter termasuk binaan penghadang ombak itu masih dalam pembinaan dan kontraktor dilantik telah diarahkan melaksanakan kerja pemulihan dengan segera.

“Projek pembinaan jalan dan penghadang ombak di laluan sepanjang 280 meter yang runtuh disebabkan fenomena Monsun Timur Laut (MTL) sepatutnya siap pada November ini.

“Sepatutnya laluan itu tidak dibuka kepada orang awam kerana tapak projek masih berstatus kawasan larangan, tetapi kita guna budi bicara atas permintaan penduduk tempatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut beliau, projek pembinaan jalan terutama kerja memasang penghadang ombak sudah siap sepenuhnya, namun kerja penambakan pantai masih dilaksanakan.

“Penghadang ombak dan jalan itu runtuh dibadai ombak ketika kontraktor masih melakukan kerja penambakan pantai.

“Berdasarkan kontrak, kerja termasuk penambakan pantai sepatutnya siap sepenuhnya November ini dan bukannya bulan depan seperti didakwa,” jelasnya.

Hasli menambah, kontraktor telah memulakan kerja baik pulih sejak semalam dan laluan berkenaan ditutup sementara bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Semalam, Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar turun padang meninjau runtuhan projek baik pulih seorang diri tanpa protokol rasmi.

Tindakan mengejut itu difahamkan bertujuan memastikan beliau mendapat gambaran sebenar keadaan di lokasi terbabit.


Tag :

Artikel Berkaitan