lightning-solid
Berita :

Artikel "Pelancongan" Terkini

Jaminan Pemulihan Santuari Kelah, Pelancong Tidak perlu Bimbang
Jaminan Pemulihan Santuari Kelah, Pelancong Tidak perlu Bimbang
KUALA TERENGGANU, 25 Ogos - Kerajaan negeri memberi jaminan bahawa usaha pemuliharaan ikan kelah di Tasik Kenyir akan dipergiatkan, sekali gus memastikan Santuari Kelah terus kekal sebagai tarikan pelancongan di Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, pelancong tidak perlu bimbang kerana Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) berpengalaman luas dalam menguruskan habitat ikan tersebut. "Pelancong jangan risau kerana KETENGAH ini pengalaman dia sudah lama macam mana nak bela ikan kelah ni.  "Saya ingat dah lebih daripada 30 tahun ataupun dekat-dekat dengan 30 tahun. Daripada ada beberapa ekor, KETENGAH boleh wujudkan sehingga ribuan ekor," katanya. Menurut beliau, KETENGAH telah mengambil langkah segera dengan membuang platform di kawasan santuari tersebut dan mengehadkan aktiviti pelancong bagi memulihkan populasi kelah. "KETENGAH telah mengambil perjalanan dan menghentikan lawatan ke santuari dan mula belaan baru dan hari ini baru kita nampak selepas tiga minggu ikan kelah menghampiri lubuk asal. "Jadi sekarang ni kalau kita lihat KETENGAH terus mengambil inisiatif buang platform dan tak benarkan pelancong duduk dekat sini. Maka kita dapat lihat hari ni ada ratusan ekor. Razali berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media selepas menjalankan satu tinjauan di kawasan santuari kelah, hari ini. Beliau turut menegaskan, antara perubahan yang bakal dilaksanakan termasuk larangan aktiviti mandi bersama kelah yang sebelum ini menjadi tarikan utama. "Apa yang saya difahamkan oleh pihak KETENGAH, ikan kelah ini sangat manja sebenarnya.Tapi dulu oleh kerana ikan ini terlampau banyak dia (pelancong) boleh terjun, boleh mandi (dalam santuari).  "Tapi bila ada sahaja tangan-tangan ghaib dan SOP (tatacara pengendalian piawai) yang sangat longgar maka, untuk yang kehadapan saya cadangkan kepada KETENGAH supaya ketatkan lagi SOP.  "Tidak boleh mandi lagi, hanya boleh hulur kaki dan pegang sahaja (ikan kelah) di atas platform. Dan insya-Allah tahun depan kita akan buat SOP baru," ujarrnya.
26 Aug 25
310
Air Terjun Misteri Di Kijal Bakal Jadi Tarikan Baharu Terengganu
Air Terjun Misteri Di Kijal Bakal Jadi Tarikan Baharu Terengganu
KEMAMAN, 20 Ogos – Air Terjun Janda Mandi di Kijal yang terkenal dengan keunikannya kerana aliran air terus jatuh ke laut bakal dijadikan tarikan pelancongan baharu di Terengganu. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, usaha itu akan dibangunkan melalui konsep Community Based Tourism (CBT) dengan penglibatan masyarakat setempat. “Air Terjun Janda Mandi ini cukup unik dan hanya ada satu di negara kita. Insya-Allah, kita akan majukan tempat ini bersama penduduk supaya keindahan alamnya terus terpelihara. “Air Terjun Janda Mandi setinggi 80 hingga 90 meter itu terletak di Bukit Kijal, berhampiran Pantai Teluk Kalong. Lokasinya boleh dicapai melalui dua cara, sama ada berjalan kaki merentasi trek bukit atau menaiki bot,” jelasnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Lawatan Kerja ke Kawasan Air Terjun Janda Mandi, Bukit Kijal semalam. Razali berkata, walaupun laluan sudah ditambah baik, pengunjung tetap disarankan mendapatkan khidmat penunjuk arah daripada penduduk kampung memandangkan trek agak licin dan berbahaya sekiranya bersendirian. “Selain keindahan alam semula jadi, air terjun ini turut menyimpan kisah misteri turun-temurun. Menurut cerita orang kampung, nama 'Janda Mandi' berasal daripada kisah seorang wanita, isteri kepada nakhoda yang meninggal dunia ketika belayar. “Wanita itu dikatakan turun mandi di air terjun berkenaan sebelum ghaib secara misteri. Sehingga kini, kisah tersebut kekal menjadi bualan penduduk, malah ada nelayan tempatan mendakwa pernah terlihat kelibat seorang wanita mandi di kawasan itu,” katanya. Beliau berkata, gabungan keindahan semula jadi dan kisah unik itu mampu menjadikan Janda Mandi sebagai produk pelancongan ikonik baharu di negeri ini. “Pelancongan bukan hanya tentang pemandangan, tetapi juga cerita di sebaliknya. Dengan penglibatan penduduk kampung, saya yakin Janda Mandi akan menjadi tarikan istimewa di Kijal,” ujarnya.  
20 Aug 25
4514
114 Acara Budaya Semarakkan Temasya Tranung Kita 2025
114 Acara Budaya Semarakkan Temasya Tranung Kita 2025
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos – Sebanyak 114 acara berteraskan tradisi dan budaya telah berlangsung sepanjang penganjuran ‘Temasya Tranung Kita’ (TEGAK) 2025 yang diadakan di Pulau Warisan, Kuala Terengganu semalam. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, penganjuran acara-acara tersebut memeriahkan lagi sektor pelancongan sekali gus memberi manfaat kepada ekonomi rakyat setempat. “Antara acara yang memeriahkan TEGAK 2025 termasuk persembahan gamelan, pertunjukan wau, sukan rakyat, pameran kraf tangan, demonstrasi masakan tradisional serta pelbagai lagi. “Kita mahu TEGAK menjadi platform untuk mengangkat seni, budaya dan warisan Terengganu ke peringkat lebih tinggi, selain memperkenalkan negeri ini sebagai destinasi pelancongan budaya yang menarik,” jelasnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media program TEGAK 2025 bertempat di Pulau Warisan, Kuala Terengganu di sini semalam. Program tersebut turut disokong oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dalam usaha memartabatkan seni dan warisan negeri. Razali berkata, penganjuran itu bukan sahaja menghiburkan pengunjung, malah menjadi platform penyatuan masyarakat pelbagai generasi melalui seni dan budaya. “Kita mahu rakyat Terengganu terus berbangga dengan warisan yang kita ada dan bersama-sama memelihara kelestariannya untuk generasi akan datang. “Insya-Allah, pada tahun depan program ini akan diperluas di peringkat daerah supaya dapat melibatkan lebih ramai masyarakat seperti tahun lepas ia berlangsung di Kuala Berang, manakala tahun ini di Kuala Terengganu,” ujarnya.                        
11 Aug 25
74
Terengganu Pacu Bukit Bubus ke Pentas Antarabangsa
Terengganu Pacu Bukit Bubus ke Pentas Antarabangsa
BESUT, 9 Ogos – Kerajaan Terengganu memperkukuh agenda pelancongan sukan udara dengan memacu Bukit Bubus di Tembila sebagai hab bertaraf antarabangsa menerusi penganjuran Terengganu International Air Festival (TIAF), yang disasar mencapai kemuncak pada Tahun Melawat Terengganu 2027. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, penganjuran tahun ini merekodkan penyertaan sembilan negara melibatkan 66 peserta, sekali gus melonjakkan status TIAF daripada acara nasional kepada antarabangsa. "Bila sudah melebihi lima negara, kita boleh angkat program ini sebagai antarabangsa. "Tahun hadapan Bukit Bubus akan jadi tuan rumah kepada Liga Negara-Negara Asia dan World Cup Paragliding," katanya pada sidang media selepas merasmikan TIAF 2025 di Besut Paragliding Park, Bukit Bubus, di sini semalam. Turut bersama, Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh, ADUN Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin. Menurutnya, sokongan terhadap TIAF selari dengan komitmen negeri memposisikan Terengganu sebagai destinasi sukan ekstrem dan berprestij di rantau ini. "Ini melambangkan negeri Terengganu menyokong sukan-sukan yang ekstrem dan juga berprestij. "Sukan ini juga adalah 'signature event' negeri Terengganu di bawah Jabatan Pelancongan Negeri," jelasnya. Bagi memperkukuh daya saing penganjuran, kerajaan negeri memperuntukkan RM20,000 untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pengindahan kawasan Bukit Bubus, selain berusaha mendapatkan tambahan RM50,000 bagi menaik taraf infrastruktur termasuk cadangan memperkenalkan aktiviti rock climbing pada Air Festival 2026. "Kita mahu adakan sukan rock climbing untuk menambahkan lagi acara pada Air Festival 2026. "Kita akan mengangkat lagi supaya menjadi lebih besar menjelang 2027," tambah beliau. Razali turut menggesa Majlis Daerah Besut memastikan fasiliti dan imej kawasan sentiasa berada pada tahap terbaik. "Saya minta YDP Besut menceriakan lagi tempat ini, beberapa gerai usang itu perlu dibaik pulih. "Kebersihan juga adalah satu produk pelancongan negeri Terengganu," tegasnya. Beliau optimis penganjuran berskala antarabangsa itu akan memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat, terutama peniaga kecil dan pengusaha tempatan. "Dengan program seperti ini, ia akan memberi manfaat kepada sosioekonomi setempat. "Bila festival ini diangkat ke peringkat antarabangsa, makin ramai lagi yang akan dapat manfaat," katanya.
09 Aug 25
945
Pasar Payang Jadi Pentas Budaya Terengganu
Pasar Payang Jadi Pentas Budaya Terengganu
KUALA TERENGGANU, 4 Ogos – Pasar Payang bukan lagi sekadar pusat jual beli, sebaliknya bakal menjadi pentas hidup yang mempamerkan kekayaan budaya dan identiti Terengganu kepada pelancong dari seluruh pelusuk dunia. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, elemen seni dan warisan akan diterapkan secara menyeluruh di sekitar kawasan Pasar Payang bagi mengangkat budaya tempatan ke tahap yang lebih tinggi. "Kita akan mewujudkan persembahan 100 peratus kebudayaan setempat, lagu-lagu Terengganu, budaya Terengganu, makanan tradisional Terengganu. "Makanan Terengganu ini ada lebih 70 jenis, dan semuanya sedap jika nak dibandingkan dengan tempat lain," katanya ketika sidang media, dalam sesi walkabout di Pasar Payang sempena agihan Jalur Gemilang menjelang sambutan Hari Kemerdekaan ke-48, di sini semalam. Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Datuk Jusman Ibrahim, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Hilman Hajijan. Menurut beliau, usaha ini selari dengan portfolio beliau dalam pelancongan dan kebudayaan yang menuntut penerapan nilai tempatan sebagai daya tarikan utama pelawat. "Itulah tujuan saya datang ke sini selaku Portfolio Pelancongan dan Kebudayaan, untuk menerapkan nilai-nilai budaya. "Maksudnya ada stage persembahan, ada nyanyian lagu tradisi Terengganu," jelasnya. Beliau percaya pendekatan ini bukan sahaja mampu menyemarakkan suasana di sekitar Pasar Payang, malah turut memberi peluang ekonomi kepada para penggiat seni dan pengusaha makanan tradisional. "Saya yakin ia akan menambahkan lagi keceriaan dan memberi pendapatan yang lebih kepada pengusaha. "Kita mahu pelancong bukan sekadar membeli, tetapi merasai sendiri pengalaman budaya Terengganu," tambahnya. Pendekatan ini akan dilaksanakan seiring dengan pelan perluasan operasi pasar hingga ke waktu malam, menjadikan Pasar Payang bukan hanya hidup di siang hari, tetapi turut bernyawa di malam hari dengan denting gamelan dan aroma juadah warisan.  
04 Aug 25
633
Pasar Payang Bakal Beroperasi Hingga 12 Malam
Pasar Payang Bakal Beroperasi Hingga 12 Malam
KUALA TERENGGANU, 3 Ogos – Langkah menjadikan Pasar Payang sebagai lokasi pelancongan malam dijangka membuka lembaran baharu dalam usaha memperkasa ekonomi tempatan dan menyemarakkan nilai budaya negeri Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, kerajaan negeri bercadang memanjangkan waktu operasi Pasar Payang sehingga jam 12 malam sebagai usaha memenuhi permintaan pelancong dan rakyat. "Kita minta dan mencadangkan supaya buat jualan sehingga jam 12 malam, selama ini setakat jam 6 petang sahaja. "Disebabkan ada permintaan yang luar biasa, kita bakal buka dalam masa seminggu dua lagi setelah jabatan pelancongan menyediakan pencahayaan," katanya. Beliau berkata demikian ketika sidang media, dalam sesi walkabout di Pasar Payang sempena agihan Jalur Gemilang menjelang sambutan Hari Kemerdekaan ke-48, yang turut dihadiri bersama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Datuk Jusman Ibrahim, di sini hari ini. Menurut beliau, inisiatif ini bakal dimulakan secara berperingkat pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad dengan kerjasama padu antara MBKT dan para peniaga. "Apabila kita tanya kepada para peniaga, mereka boleh bersedia. "Pihak kerajaan memang menyokong penuh untuk beri pendapatan lebih kepada pekedai dan akan dibimbing sisi oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu," jelasnya lagi. Razali berkata, pelaksanaan waktu malam ini akan melibatkan kedua-dua Pasar Payang 1 dan Pasar Payang 2, demi memastikan limpahan manfaat dirasai secara menyeluruh oleh para peniaga. "Kita akan cadang kepada kedua pasar, Pasar Payang 1 dan Pasar Payang 2. "Saya sendiri dapat lihat, memang begitu ceria sekali para peniaga, dan ramai yang sudah berniaga hingga 30-40 tahun serta diwarisi anak cucu," ujarnya.    
03 Aug 25
1588
Litar Cukup Rasa, Kasma Daniel Harap Cuaca Tambah Rencah Perlumbaan
Litar Cukup Rasa, Kasma Daniel Harap Cuaca Tambah Rencah Perlumbaan
KUALA NERUS, 1 Ogos - Pelumba Petronas Sprinta Yanaha Maju Motor, Kasma Daniel Kasmayudin, 25, menyifatkan Litar Permotoran Terengganu 'cukup rasa' bagi pelumba kapcai sepertinya. "Bagi saya litar ini cukup rasa kerana ada teknikal, ada 'high speed corner' dan 'corner' patah. "Trek ini cukup sempurna untuk perlumbaan motosikal kapcai yang mana aspek keselamatannya dan jalannya juga cukup baik," katanya yang ditemui selepas sesi kelayakan dalam saingan Kejuaraan Cub Prix Malaysia di Litar Permotoran Terengganu, hari ini. Pada sesi kelayakan terakhir tadi, Kasma Daniel berjaya mencatatkan masa terpantas kategori CP150 dengan catatan 49.098, sekaligus melayakkannya bersaing dalam Superpole, pagi esok. Anak kelahiran Johor itu turut berharap cuaca pada perlumbaan esok 'menyebelahinya' dalam usaha beliau menunjukkan prestasi terbaik pada pusingan kelima ini. "Pagi tadi agak panas terik, litar agak sukar juga. Kalau cuaca berterusan (kurang panas) begini, mungkin esok lebih ramai pelumba dapat menunjukkan sesuatu (dalam perlumbaan). "Kalau cuaca seperti panas pagi, Alhamdulillah. Saya mengharapkan cuaca okey esok, tetapi kalau hujan layan sajalah," ujarnya. Terengganu menjadi tuan rumah pusingan kelima Kejuaraan Cub Prix Malaysia yang berlangsung sehingga esok.  Buat masa ini, pelumba kelahiran Terengganu, Ahmad Afif Amran dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING, mendahului kedudukan keseluruhan kategori CP150, kelas tertinggi dalam arena Cub Prix apabila merangkul empat kemenangan dan satu kedudukan kedua, menjadikan dirinya pendahulu carta kejuaraan.    
01 Aug 25
129
Terengganu Bangun Kolam Air Panas Kedua
Terengganu Bangun Kolam Air Panas Kedua
KUALA TERENGGANU, 31 Julai - Kerajaan negeri bakal membangunkan kolam air panas kedua dikenali sebagai Cek Mek Hot Spring selepas penemuannya di Ladang Cenderung Putera North, Ban Hol, Cerul, Kemaman awal tahun lalu. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, selepas La Hot Spring di Besut, lokasi itu akan dibangunkan sebagai tarikan baharu pelancongan negeri. "Insya-Allah, kawasan ini boleh dibangunkan sebagai destinasi eko-pelancongan utama di Terengganu. Keindahan alam semula jadinya turut memberi pengalaman yang menenangkan kepada para pengunjung. "Sumber air panas semula jadi di sini sangat sesuai dijadikan lokasi santai dan rawatan kesihatan alternatif. Selain menarik minat pelancong, kawasan ini juga berpotensi membantu menjana ekonomi penduduk setempat," ujarnya. Beliau berkata demikan kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Renjer Sedunia 2025 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini. Menurut Razali, lokasi tersebut terletak kira-kira 20 kilometer dari kawasan hutan iaitu di ladang kelapa sawit dan hanya boleh diakses menggunakan kenderaan pacuan empat roda. "Kami telah meninjau sendiri keunikan dan potensi kawasan tersebut yang difahamkan menempatkan lebih 10 mata air aktif dan suhu air panasnya hampir sama dengan La Hot Spring," ujarnya. Jelas beliau lagi, kerajaan negeri kini sedang meneliti pihak-pihak berkepentingan termasuk pemegang taruh yang terlibat dalam kawasan tersebut sebelum sebarang pembangunan dimulakan. "Malah taklimat awal telah diberikan kepada Pejabat Daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai langkah awal pembangunan," ujarnya.
31 Jul 25
2729
Tour Gateh D' Tranung 2025 Kembali Jelajah Seluruh Terengganu
Tour Gateh D' Tranung 2025 Kembali Jelajah Seluruh Terengganu
KUALA TERENGGANU, 28 Julai - Tour Gateh D' Tranung (TGDT) 2025 akan kembali menampilkan perlumbaan di kesemua lapan daerah di seluruh negeri Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, berbanding lima daerah pada tahun lalu, penganjuran kali ini melibatkan lapan daerah membabitkan jarak keseluruhan sepanjang  910.5 kilometer. "Kejohanan kita akan bermula pada 26 Oktober sehingga 3 November bermula di Kuala Nerus dan Jambatan Angkat Kuala Terengganu sebagai lokasi peringkat terakhir. "Penyertaan negara luar buat masa ini amat menggalakkan di mana kita telah menerima banyak pasukan-pasukan baru, melebihi jumlah yang kita tetapkan," katanya. Tambahnya, setakat ini sebanyak 12 pasukan iaitu pasukan Kebangsaan Thailand, Indonesia, Filipina dan Hong Kong, Grant Thornton Cycling Team (Thailand), Jakarta Pro Cycling Team (Indonesia), Asc Monster Indonesia, Standard Insurance Philippines Continental, Velofit  Australia, Global Cycling Team (Belanda), Specialized Mavericks Singapore, Asia Cycling Team (Jepun), Ride Revolution Coaching (United Kingdom) dan CCN Factory Racing Hong Kong. Beliau berkata demikian ketika sidang media TGDT 2025 di Wisama Darul Iman, hari ini. Hadir sama dalam pertemuan itu adalah Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya dan Setiausaha Persatuan Lumba Basikan Terengganu (PLBT), Ahmad Sabri Mustafa. Menurut Hishamuddin, antara faktor utama yang 'memikat' minat pelumba luar negara adalah keindahan negeri Terengganu sendiri, selain rakyatnya yang ramah dan kebanyakan pengguna jalan raya di sini memahami keperluan acara berbasikal. "Ini semua memberikan keselesaan untuk pelumba beraksi di Terengganu walaupun penganjuran ini tidak meletakkan mata dalam ranking pasukan. "Peningkatan peringkat perlumbaan juga diputuskan setelah kita mengambil maklum balas daripada peserta sebelum ini," katanya. Dalam pada itu, Ahmad Shahrizal memaklumkan, penglibatan pasukan tempatan terpaksa dibuat melalui pemilihan berikutan peraturan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) yang menetapkan penyertaan maksimum 25 pasukan sahaja bagi setiap kejohanan.    
28 Jul 25
837
Taman Tema Air Sekayu Dibuka Hari Ini
Taman Tema Air Sekayu Dibuka Hari Ini
HULU TERENGGANU, 24 Julai - Taman Tema Air yang telah ditutup kira-kira hampir tiga tahun, kini dibuka semula bermula hari ini. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato' Dr Azman Ibrahim berkata, taman tema air yang terletak di Taman Pertanian Sekayu (TPS) Negeri Terengganu itu memiliki keunikan tersendiri yang mana air kolamnya daripada sumber semula jadi yang sentiasa mengalir. "TPS ini merupakan destinasi agropelancongan tersohor di negeri Terengganu, malah dalam negara. "Tetapi, selepas banjir besar pada 2022, bencana kepala air dan beberapa musibah lagi, keadaan bertukar suram. "Jadi, lebih tepat sekiranya hari ini diisytiharkan sebagai pembukaan semula Taman Teman Air di sini," katanya. Tambahnya, buat masa ini tiada bayaran dikenakan untuk masuk ke TPS, cuma dikenakan terhadap sewaan tapak khemah sedia ada dan sebagainya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pembukaan taman tema tersebut, hari ini. Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah Pengarah Pertanian Negeri, Dr Sukati Sakka, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail dan Yang Di-Pertua Majlis Daerah Hulu Terengganu, Mohd Fadli Ngah. Menurut Dr Azman, sejak tahun 2022 sehingga tahun lalu secara berkala peruntukan dapat disalurkan sebanyak RM2 juta secara berperingkat. "Cuma, dengan bajet yang terhad kita terpaksa fokus kepada usaha yang memberikan impak besar kepada rakyat kita. "Saya sangat berterima kasih kepada pimpinan masyarakat di sini serta jabatan yang ada di Hulu Terengganu yang telah menyusun dan membahagikan kawasan dalam TPS sebagai kawasan angkat untuk diselenggara dan dijaga. "Kita hidupkan semula peringkat demi peringkat, bermula dengan taman tema air kita. "Proses pemulihan ini akan dibangunkan secara berperingkat dengan kemudahan-kemudahan lain," katanya. Sebagai rekod, peruntuk sebanyak RM2 juta yang dilaburkan kerajaan negeri digunakan untuk membina beberapa komponen dalam TPS. RM1 juta yang diberikan pada akhir tahun 2022 digunakan bagi pembinaan asrama dan dewan serta baik pulih taman tema air. Sejumlah RM1 juta lagi yang diperuntukkan tahun ini digunakan untuk pembinaan tapak perkhemahan utama yang boleh menempatkan seramai 600 peserta (RM230 ribu). Sebanyak RM500 ribu digunakan bagi membaik pulih tebing sungai dan tapak perkhemahan keluarga (individu). Manakala, RM120 ribu untuk pembinaan tapak dan kemudahan motorhome atau karavan dan pembinaan nurseri dan kafe (RM120 ribu).
24 Jul 25
4759