Artikel "Pelancongan" Terkini
Jelajah Silang Budaya SG4 Perkukuh Kerjasama Pelancongan Empat Negeri
KUALA TERENGGANU, 22 Julai – Program Jelajah Silang Budaya Beautiful Terengganu SG4 2025 berjaya memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang pelancongan antara negeri-negeri di bawah gagasan SG4 iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, jelajah di tiga negeri SG4 itu turut disusuli dengan program silang budaya yang mengetengahkan persembahan seni dan budaya masing-masing.
Katanya, jelajah itu bukan sahaja memberi peluang untuk mempromosikan pelancongan Terengganu, malah turut mengeratkan hubungan dua hala antara kerajaan negeri.
“Program ini dimulakan di Kelantan menerusi kunjungan hormat Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang, Dato’ Mohd Nassuruddin Daud serta penganjuran program silang budaya di Dewan Gelanggang Seni, Kota Bharu.
“Silang budaya itu menyaksikan persembahan kebudayaan seperti tarian dan nyanyian daripada negeri Terengganu dan Kelantan sekali gus menampilkan keunikan kedua-dua negeri tersebut,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media di Perkarangan Menara Alor Setar, Kedah baru-baru ini.
Program Silang Budaya Beautiful Terengganu SG4 ini turut dihadiri Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar serta Tengku Seri Temenggong Raja Terengganu serta barisan kepimpinan kerajaan negeri dan barisan konvoi.
Razali berkata melalui siri jelajah ini, pihaknya dapat berkongsi pengalaman, idea serta perancangan strategik bersama negeri-negeri dalam SG4 dalam usaha memperkasa industri pelancongan serantau secara kolektif.
“Jelajah diteruskan ke Kedah dan Perlis, di mana delegasi Terengganu mengadakan pertemuan bersama Exco Pelancongan Kedah, Dato’ Salleh Saidin di Menara Alor Setar, dan Exco Pelancongan Perlis, Abu Bakar Hamzah di Dewan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis.
"Dalam pada itu, jelajah ini turut diperluaskan ke peringkat antarabangsa menerusi lawatan rasmi ke Narathiwat, Thailand," ujarnya.
Di sana, delegasi Terengganu telah mengadakan pertemuan dengan Datuk Bandar Narathiwat, Mr Ruslan Arong dan Timbalan Gabenor Narathiwat, Mr Kritsananan Kamrai.
21 Jul 25
127
Terengganu, Narathiwat Buka Era Baharu Kerjasama Pelancongan
NARATHIWAT, 16 Julai - Kerajaan Negeri Terengganu menerusi Jabatan Pelancongan Negeri telah memulakan satu lembaran baharu dalam hubungan serantau apabila menjayakan Program Jelajah Silang Budaya Beautiful Terengganu 2025 SG4 di Narathiwat, Thailand.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris berkata kunjungan rasmi ini disambut meriah oleh pimpinan dan komuniti Narathiwat yang diketuai oleh Timbalan Gabenor Narathiwat, Mr Kritsananan Kamrai, Datuk Bandar Narathiwat, Mr Ruslan Arong, serta beberapa pimpinan lain.
Katanya, ia sekali gus membuka ruang kerjasama yang lebih menyeluruh dalam bidang pelancongan dan kebudayaan.
“Jelajah ini menjadi medan terbaik untuk memperkukuhkan hubungan dua hala, bukan sahaja dalam konteks promosi destinasi, tetapi juga dalam membangunkan pelancongan berasaskan komuniti dan warisan budaya serumpun.
“Terengganu dan Narathiwat berkongsi banyak persamaan dari aspek warisan, bahasa, makanan dan budaya. Ini asas kukuh untuk kita bangunkan pelancongan secara bersama,” katanya kepada pemberita selepas majlis di Restoran Akhoor By Nasir di Narathiwat baru-baru ini.
Razali berkata, pelancongan pada masa kini perlu memberi tumpuan kepada pengalaman budaya, interaksi komuniti, dan pertukaran nilai lokal, dan bukan hanya kepada destinasi semata-mata.
“Sebelum ini, delegasi Narathiwat telah turut serta dalam Pelancaran Musim Mencandat Sotong Terengganu 2025 dan kini kami menjemput mereka Karnival Pantai Terengganu yang dijadual berlangsung Ogos nanti.
“Sebagai balasan, Kerajaan Negeri Terengganu akan menyertai acara pelancongan dan kebudayaan di Narathiwat sepanjang tahun ini sebagai tanda sokongan dan komitmen terhadap diplomasi pelancongan serantau.
“Insya-Allah, era baharu ini akan menyaksikan lebih banyak peluang untuk usahawan tempatan, penggiat seni dan masyarakat kedua-dua wilayah meraih manfaat langsung daripada pembangunan sektor ini,” ujarnya.
Untuk rekod, Program Jelajah Silang Budaya Beautiful Terengganu SG4 2025 sebelum ini telah berlangsung di Kelantan, Perlis dan Kedah, dan kini melakar sejarah apabila melebarkan sayap ke luar negara bermula dengan Narathiwat, Thailand.
16 Jul 25
1075
Candat Sotong Mampu Angkat Wajah Malaysia
KUALA TERENGGANU, 12 Julai - Aktiviti mencandat sotong memiliki potensi besar untuk mengangkat imej negeri dan negara di persada antarabangsa.
Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia), Datin Rafidah Idris berkata, pihaknya mendapat maklum balas dari media luar yang menyatakan bahawa aktiviti berkenaan dapat menarik minat pengunjung negara yang gemarkan makanan eksotik laut seperti Korea Selatan dan Jepun.
"Merupakan salah satu program ikonik sektor pelancongan marin dan komuniti tempatan Terengganu, ia dirancang menjadi acara tahunan kalendar pelancongan negara pada masa akan datang.
"Objektifnya, kita mahu angkat candat sotong sebagai produk pelancongan maritim bertaraf antarabangsa.
"Ia dapat dijayakan dengan menawarkan pengalaman pelancongan menarik khususnya di Terengganu dan membangunkan pakej pelancongan baharu bertemakan laut dan budaya," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Karnival Candat Sotong X Program Madani Rakyat di Payang Walk, semalam.
Sebahagian peserta mencandat sotong sempena Karnival Candat Sotong X Program Madani Rakyat.
Tambahnya, acara yang menjadi pengisian utama Program Madani Rakyat itu buat julung kali dianjurkan Kementerian Pelancongan,Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Tourism Malaysia bagi mempromosikan aktiviti tradisi yang cukup sinonim dalam komuniti maritim pantai timur, sekaligus merancakkan lagi musim mencandat sotong 2025 yang dilancarkan pada Mei lalu.
Majlis berkenaan dirasmikan oleh Setiausaha Bahagian Dasar Pelancongan dan Hubungan Antarabangsa MOTAC, Young Ee Chin yang diiringi Timbalan Setiausaha Kerajaan Terengganu (Pembangunan), Dato' Rosli Latif dan Datuk Bandaraya Kuala Terengganu, Dato' Jusman Ibrahim.
Rafidah memaklumkan, Karnival Candat Sotong bakal diadakan pada sekali lebih besar tahun hadapan dengan jangkaan kehadiran lebih ramai pengunjung dalam dan luar negara.
"Dari segi promosi kita akan besarkan lagi.
"Sebagai badan promosi, kami memberikan idea bagaimana infrastruktur yang boleh dibangunkan dalam usaha menerima lebih ramai pengunjung.
"Penduduk tempatan sendiri turut teruja dengan penganjuran ini. Saya rasa ramai rakyat Malaysia yang belum merasai kesempatan ini, dan saya mengalu-alukan kedatangan mereka tahun hadapan," katanya.
12 Jul 25
134
14.5 Juta Pelawat Domestik Serbu Terengganu
KUALA TERENGGANU, 11 Julai – Terengganu mencatatkan kehadiran seramai 14.5 juta pelawat domestik sepanjang tahun 2024, sekali gus melepasi sasaran awal kerajaan negeri sebanyak 13.2 juta pelawat.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, daripada jumlah itu, 4.9 juta adalah pelancong yang memilih Terengganu sebagai destinasi utama, mengatasi sasaran awal sebanyak 4.5 juta orang.
“Alhamdulillah, kita menyasarkan seramai 13.2 juta pelawat domestik termasuk 4.5 juta pelancong bagi tahun 2024. Namun angka sebenar jauh melepasi jangkaan dengan pencapaian 14.5 juta pelawat termasuk 4.9 juta pelancong,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman kelmarin.
Menurut beliau, pencapaian itu membuktikan keberkesanan strategi yang dilaksanakan oleh negeri Terengganu.
“Kita berjaya capai apa yang kita sasarkan. Ini hasil usaha bersepadu semua pihak termasuk,” ujarnya.
11 Jul 25
2236
Tengku Muhammad Ismail 'Labuh' Tirai Kejohanan Kuda Lasak
SETIU, 6 Julai - DYTM Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah sempena hari terakhir Kejohanan Kuda Lasak Yang di-Pertuan Muda Terengganu 2025, hari ini.
Kejohanan yang berlangsung di Terengganu International Endurance Park(TIEP) itu mempertandingkan dua kategori pemula iaitu Contor Endurance National (CEN) sejauh 40KM dan 80KM serta dua kategori bertaraf mak iaitu Contor Endurance International (CEI) bertaraf satu bintang (CEI2*100KM CIM) dan CEIYJ (Young Junior) 100KM serta taraf dua bintang (CEI2*120KM CIM).
Selain atlet kuda lasak tempatan, perlumbaan selama empat hari itu turut disertai jaguh kuda lasak dari Thailand dan Singapura.
Bagi kategori utama CEI 120KM, Mohd Norsyafriman Azlan dari Royal Kelantan Endurance (RKE) muncul juara dengan catatan masa 6:40:50.
Beliau membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM10,000, pakej pembakaan kuda Arab bernilai RM3,000 dan pakej kelas bersama Jurulatih Johari yang bernilai RM450 selain pingat dan piala.
Sementara itu, bagi kategori 'junior', atlet dari Singapura, Ilham Nada Muhammad Herman dinobatkan sebagai juara dengan catatan masa 9:19:20.
Beliau menerima hadiah piala, wang tunai RM1,400 dan pakej kelas bersama jurulatih Johari.
Dalam majlis tersebut, DYTM Yang di-Pertuan Muda Terengganu diiringi Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut berkenan menyampaikan hadiah kepada kesemua pemenang setiap kategori.
Tengku Muhammad Ismail berangkat pulang dari majlis pada jam 10.00 pagi.
06 Jul 25
746
Masjid, Surau Santuni Bikers Ke TIBW25
KUALA TERENGGANU, 5 Julai - Kerajaan negeri, melalui agensi-agensi yang menguruskan masjid dan surau, komited menyediakan kemudahan kawasan rehat di premis ibadah berkenaan sebagai usaha menyantuni para pengunjung yang akan hadir ke Terengganu International Bike Week 2025 (TIBW25).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, inisiatif tersebut merupakan simbolik sokongan dari negeri Terengganu kepada para penunggang motosikal ('bikers') yang sanggup meredah perjalanan jauh demi hadir memeriahkan Terengganu International Bike Week 2025 (TIBW25).
"Saya telah difahamkan ramai kelab-kelab yang berada di utara dan juga di selatan, seperti Kedah dan Penang akan datang secara berkumpulan. Dan ada yang berhasrat untuk 'ride' pada malam hari.
"Tetapi homestay di negeri Terengganu sekarang ini kebanyakannya sudah penuh. Jadi saya telah pun berpakat dengan agensi-agensi masjid dan surau negeri Terengganu dalam hal ini.
"Supaya mereka menyantuni setiap bikers yang singgah untuk solat dan juga beristirahat di masjid dan surau negeri Terengganu," katanya dalam satu kenyataan.
Perkara ini juga menunjukkan bahawa sokongan terhadap penganjuran program bukan hanya datang daripada rakyat biasa, malah turut disambut baik oleh pelbagai unit dakwah di negeri Terengganu.
"Sokongan ini bukan sahaja daripada orang ramai, tetapi juga daripada unit-unit dakwah negeri. Ini mencerminkan bahawa Terengganu memang terkenal dengan adab dan santunnya, dan kita sentiasa terbuka menerima sesiapa sahaja yang datang ke negeri ini.
Datuk Razali berkata demikian kepada pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) dalam satu sesi sidang media selepas Majlis Perasmian TIBW25, bertempat di Dataran Syahbandar, di sini, semalam.
Turut hadir, Pengasas East Coast Motorcycle Club (ECMC), Tengku Sri Temenggung Raja Terengganu, Dato' Sri Tengku Baharuddin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Ahli Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed serta Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Hilman Hajijan.
Beliau turut menegaskan kepada para pengunjung untuk mengutamakan rehat yang secukupnya sebelum memulakan perjalanan pergi dan pulang, bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini sepanjang berada di jalan raya.
05 Jul 25
185
5 Negara Bakal Turut Serta TIBW25
KUALA TERENGANU, 3 Julai - Lima negara telah dikenalpasti untuk menyertai Terengganu International Bike Week 2025 (TIBW25), program anjuran daripada kerjasama antara Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu mewakili kerajaan negeri bersama East Cost Motorcycle Club (ECMC).
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, kehadiran pengunjung dari lima negara termasuk Malaysia itu akan menjadi antara penyumbang untuk mencapai sasaran 150,000 pengunjung.
Razali (kanan tengah) bersama Pengasas East Coast Motorcycle Club (ECMC), Tengku Sri Temenggung Raja Terengganu.
"Saya difahamkan ada 'bikers' daripada Thailand, ada bikers daripada Indonesia, Singapura dan juga Brunei yang akan datang.
"Jadi saya yakin dan percaya sasaran kita untuk menerima kunjungan 'bikers' dan juga pelancong yang akan melihat pertunjukkan daripada 'International Bike Week' selama lima hari ini akan mencapai sasaran kita," katanya.
Terdahulu, beliau memaklumkan selain persembahan pentas, acara lain seperti aksi lagak ngeri, perlumbaan perlahan, pameran kenderaan, persembahan Brass Band serta jualan usahawan tempatan, TIBW25 akan menyaksikan kehadiran lebih 40 kelab permotoran dari dalam dan luar negara.
Tambahnya, kehadiran pelancong dari dalam serta luar negara bukan sahaja akan tertumpu kepada TIBW25, namun ia membuka peluang pendedahan kepada pengunjung luar untuk melawat destinasi terpilih yang merupakan produk pelancongan di Terengganu.
Turut hadir, Ahli Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed serta Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Hilman Hajijan.
Mengulas lanjut, Pengasas East Coast Motorcycle Club (ECMC), Tengku Sri Temenggung Raja Terengganu, Dato' Sri Tengku Baharuddin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah berkata, kebanyakan penunggang motosikal yang akan hadir ke TIBW25 terdiri daripada peserta berkumpulan serta individu.
"Ketika kami menjalankan promosi TIBW25 sebelum ini, kami sempat bertemu dengan ketua-ketua dan presiden kumpulan 'bikers', termasuk mereka yang mewakili peserta individu yang turut akan hadir ke acara ini.
"Setakat ini, data yang diperoleh menunjukkan kehadiran sekitar 100 buah motosikal dari Thailand dan 80 dari Singapura, manakala peserta dari Indonesia dan selainnya masih dalam proses pengesahan memandangkan sebahagian besar terdiri daripada individu dan kumpulan kecil," jelasnya.
03 Jul 25
185
500 Motosikal Penuhi Dataran Shahbandar Sempena Perasmian TIBW25
KUALA TERENGGANU, 2 Julai - Sekitar 500 lebih unit motosikal pelbagai jenis sentimeter padu (cc) memenuhi taman komuniti, Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu sempena Majlis Perasmian Terengganu International Bike Week 2025 (TIBW25).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris mengucapkan syabas kepada semua pengunjung yang telah berjaya hadir dalam memeriahkan suasana majlis walaupun dalam keadaan cuaca yang tidak memihak.
"Walaupun keadaan cuaca di penghujung ucapan yang begitu agak kurang baik (kerana hujan), secara dasarnya pencapaian kita untuk menterjemahkan sambutan 'bikers' dari negeri Terengganu pada malam ini melebihi 500 buah motorsikal.
"Dan saya amat berbangga, insya-Allah dengan kehadiran 'bikers' tempatan ini menandakan satu sokongan yang padu kepada Terengganu International Bike Week 2025 pada malam ini.
"Jadi saya yakin dan percaya sasaran kita untuk menerima kunjungan 'bikers' dan juga pelancong yang akan melihat pertunjukan daripada 'International Bike Week' selama lima hari ini akan mencapai sasaran kita seramai 150,000 orang.
Beliau berkata demikian kepada pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) dalam satu sesi sidang media, sebentar tadi.
Turut hadir, Pengasas East Coast Motorcycle Club (ECMC), Tengku Sri Temenggung Raja Terengganu, Dato' Sri Tengku Baharuddin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah serta Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Hilman Hajijan.
Mengulas lebih lanjut, Datuk Razali optimis terhadap anggaran kehadiran pengunjung pada tahun ini dapat dicapai walaupun angka tersebut menunjukkan lonjakan 15 kali ganda berbanding kehadiran pengunjung pada tahun sebelumnya.
"Saya jangka, insya-Allah ia akan mencapai sasaran tersebut. Berpandukan kepada kerja keras daripada founder ECMC.
"Jadi bagi pihak kerajaan negeri, kita sangat memberi sokongan padu kepada penganjuran yang sangat berprestij seperti ini.
"Kalau kita nak bandingkan di negara kita, saya jangka Tengganu International Bike Week lah yang agak besar dan secara tidak langsung ia dapat memberi impak positif kepada rakyat negeri Terengganu," jelasnya.
Menurut beliau, selain dari mengunjungi dan menikmati acara-acara yang bakal dipersembahkan TIBW25, penduduk setempat juga berpeluang untuk meningkatkan ekonomi mereka pada masa yang sama.
"Kehadiran para pengunjung ke negeri Terengganu bukan setakat untuk melihat ataupun menghadirkan diri dalam Terengganu International Bike Week, tapi dalam masa yang sama, perniaga-perniaga negeri Tengganu dapat berniaga.
"Dan destinasi yang terpilih di negeri Terengganu akan dikunjungi oleh rakan-rakan 'bikers' daripada luar negeri dan juga luar negera.
"Ini menunjukkan bahawasanya negeri Tengganu adalah negeri wajib singgah kepada 'bikers' dari seluruh negara," ujarnya.
Dengan tema 'Maghi Awal, Balik Lambat', program TIBW25 dijadualkan untuk berlangsung selama lima hari bermula 2 Jun 2025 sehingga 6 Jun 20205, di Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu.
Acara tahunan tersebut juga bakal dimeriahkan dengan persembahan artis terkenal tanah air serta slot istimewa Sembang Santai bersama ikon dakwah tersohor, Ustaz Azhar Idrus bersama Zizan Razak.
Menariknya dalam penganjuran kali ini ialah hadiah utama bagi dua cabutan bertuah berupa satu unit Perodua Axia serta satu unit motorsikal berkuasa tinggi, Ducatti Panigale 959 V2.
Orang ramai boleh mengikuti info terkini TIBW25 melalui saluran rasmi media sosial Beautiful Terengganu Malaysia dan Terengganu Bike Week.
02 Jul 25
41
Kayak Fishing Antarabangsa Terengganu Tarik Minat Thailand, Singapura, Brunei dan Laos
KEMAMAN, 29 Jun – Penganjuran Kayak Fishing International Terengganu Challenge 2025 (KFIT2025) di Pantai Teluk Kalong, Kijal berjaya menarik penyertaan peserta dari luar negara termasuk Thailand, Singapura, Brunei dan Laos.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata kejohanan tersebut bukan sekadar aktiviti memancing, tetapi satu fenomena yang menggabungkan elemen sukan lasak, rekreasi dan pelancongan.
“Terengganu bukan sahaja terkenal dengan keindahan alam semula jadi, tetapi turut kaya dengan warisan budaya yang unik.
“Kejohanan seperti ini menjadi platform terbaik untuk memperkenalkan negeri kita kepada dunia,” katanya ketika berucap pada program berkenaan semalam.
Razali berkata, penganjuran itu membuktikan bahawa potensi besar Terengganu sebagai hab pelancongan sukan air bertaraf antarabangsa.
“Ia selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk merancakkan sektor pelancongan melalui penganjuran program berimpak tinggi.
“Saya merakamkan penghargaan kepada GL Kayak Fishing Club selaku penganjur bersama sokongan Pejabat Daerah Kemaman, Tourism Malaysia, serta agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam menjayakan program ini,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan negeri menyokong penuh penganjuran program sebegini kerana ia menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat khususnya kepada peniaga, pengusaha homestay, dan industri pelancongan.
“Saya menjemput para peserta dan pengunjung untuk menikmati pelbagai produk pelancongan dan sajian tradisional negeri seperti Lemang Kijal, nasi dagang, Ikan Celup Tepung (ICT) serta keropok lekor cicoh colek (KLCC).
“Insya-Allah, kejohanan ini menjadi antara acara utama pelancongan sukan negeri dan dijangka terus berkembang sebagai acara tahunan bertaraf antarabangsa,” ujarnya.
Untuk makluman, program tersebut turut diserikan dengan aktiviti sampingan seperti Geng Lipak FMC 3.0, Food Fest dan sesi perkongsian ilmu, menjadikannya bukan sahaja medan pertandingan tetapi juga sebagai platform membina jaringan dan mempromosikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan pilihan.
29 Jun 25
781
Terengganu Sedia Terima Kapal 'Cruise' Mewah
KUALA TERENGGANU, 27 Jun – Buat pertama kali dalam sejarah, Terengganu bakal membuka pintu kepada ribuan pelancong bertaraf jutawan menerusi industri pelayaran mewah yang dijangka berlabuh di pesisirnya seawal tahun hadapan.
Dengan infrastruktur pelabuhan yang telah dinaik taraf dan kekayaan destinasi yang masih belum diteroka dunia, negeri ini bersedia melangkah ke pentas pelancongan antarabangsa, bukan sekadar sebagai tempat singgah, tetapi sebagai nadi baharu ekonomi laut dan mercu baharu pelabuhan pelancongan Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, usaha membawa industri pelayaran ke Terengganu telah dimulakan sejak empat tahun lalu, iaitu sebelum pandemik Covid-19, namun tertangguh kerana isu teknikal seperti pendalaman dasar laut, masalah benteng ombak (breakwater), serta struktur drawbridge yang menghalang kapal besar.
"Cruise akan ke Terengganu awal tahun depan. Perancangan ini telah dirintis sejak dua tahun sebelum pandemik.
"Ia dibincang dalam mesyuarat EXCO kerajaan negeri dan mendapat sokongan, cuma tertangguh akibat cabaran fizikal dan teknikal yang kini sudah ditangani," katanya pada sidang media selepas program Cruise Familiarization Tour di Permai Hotel, semalam.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MMC Ports, Dato' Azman Shah Mohd Yusuf, Ketua Pegawai Eksekutif Duyong Cruise Holidays Sdn Bhd, Kapten Mohd Tarmizi Mejam.
Tambah beliau, Terengganu kini memiliki tiga jeti yang telah dinaik taraf, Jeti EPIC di muara Kuala Terengganu dengan kos naik taraf lebih RM30 juta, Jeti Duyong Marina dan Jeti Taman Tamadun Islam (TTI), yang bersedia menyambut pelancong dari seluruh dunia.
"Walaupun Jeti EPIC lazimnya untuk industri minyak dan gas, mereka bersedia menyokong pelancongan. Duyong Marina kita letakkan sebagai jeti utama.
"Kita telah buat kajian kedalaman, arus, keselamatan, dan yakin tiga jeti ini mampu terima hingga tiga kapal besar serentak," jelas beliau.
Ariffin berkata, Cruise Fam Tour adalah langkah penting memperkenalkan Kuala Terengganu kepada penggiat industri pelayaran antarabangsa, dengan sasaran awal kepada kapal bersaiz kecil dan sederhana yang mampu membawa ribuan orang pelancong dan kru.
"Saya percaya kehadiran pelancong akan beri impak langsung kepada usahawan kita, dari Pasar Payang, TTI, Muzium Negeri, Setiu Wetland, hingga ke pulau-pulau kita yang menawan.
"Ramai pelancong Cruise adalah jutawan yang biasa melancong ke seluruh dunia. Bila mereka jumpa destinasi baharu, mereka akan datang lagi," katanya lagi.
Menurutnya, walaupun mewakili Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Datuk Razali Idris yang masih dalam perjalanan pulang dari Makkah, beliau turut memberikan komitmen penuh sebagai EXCO yang menjaga portfolio keusahawanan.
"Ini bukan pelancongan biasa, tapi pelaburan masa depan. Kita buka laluan untuk cruise ‘high-end’ selepas kapal sederhana mula berlabuh.
"Kita mahu Kuala Terengganu jadi perintis, kalau berjaya, negeri-negeri lain boleh ikut," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MMC Ports, Dato’ Azman Shah Mohd Yusuf menjelaskan tumpuan kini ialah kepada kapal kategori explorer, premium dan luxury yang mengutamakan pengalaman baharu dan sanggup membayar lebih untuk destinasi eksklusif.
"Di Kuala Terengganu sahaja, kita boleh tawarkan tujuh jenis ekspedisi, dari warisan, alam semula jadi, kulinari, aktiviti lasak hingga ke budaya pesisir.
"Cruise bukan lagi untuk golongan pencen. Sekarang ramai pelancong muda dan keluarga besar yang melancong bersama, impaknya berlapis," katanya.
Menurut beliau, Malaysia kini sedang merangka rangkaian pelabuhan strategik agar negara dapat muncul sebagai Homeport, pusat permulaan pelayaran pelancong antarabangsa.
"Kita sedang bina rangkaian pelabuhan Malaysia supaya negara ini jadi Homeport, pelancong mendarat, menginap di hotel, naik cruise dan pulang ke negara asal melalui lapangan terbang.
"Destinasi yang hanya memberi lawatan 8 jam mesti susun aktiviti padat dan memikat supaya pelancong mahu kembali. Tapi kalau cruise mewah, mereka akan bermalam, itu lebih tinggi nilai ekonominya," tambahnya.
Beliau turut berkongsi pengalaman menyertai Persidangan Cruise Global di Miami, April lalu.
"Sebelum sempat saya tandatangan apa-apa, sudah ramai bertanya tentang Kuala Terengganu.
"Bila kita sebut tentang tarikan baharu, mereka terus tertarik. Memang ada pasaran, kalau kita berjaya di sini, pantai timur akan hidup," ujarnya.
26 Jun 25
5487