Artikel "Pelancongan" Terkini
Karnival Pantai Diserbu Lebih 130,000 Pengunjung, Hujan Bukan Penghalang
KUALA NERUS, 15 September - Meskipun keadaan cuaca yang kurang mengizinkan, kehadiran pengunjung ke Karnival Pantai 2025 di Teluk Ketapang berjaya menarik lebih 130,000 pengunjung selama empat hari ia berlangsung.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, keunikan yang ada pada Karnival Pantai menjadi faktor utama pengunjung untuk hadir meskipun terdapat halangan cuaca.
“Saya dimaklumkan bahawa sepanjang empat hari penganjuran, walaupun dilanda hujan lebat, jumlah pengunjung yang hadir ke Karnival Pantai 2025 ini melebihi 130,000 orang. Dua malam hujan, mereka tetap datang, tetap bersama-sama memeriahkan suasana.
“Pelbagai permainan tradisional yang disediakan mendapat sambutan hangat. Lastik, tarik upih, dan macam-macam lagi, semuanya dicuba oleh pengunjung. Respon yang saya terima daripada sahabat-sahabat dari luar negeri sangat positif.
“Inilah keunikan kita. Negeri lain mungkin ada acara mereka tersendiri, tetapi acara seperti ini hanya ada di negeri kita. Ia menonjolkan identiti, warisan, dan kekuatan budaya masyarakat kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Karnival Pantai 2025, semalam.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri akan berusaha untuk 'menjual' lebih banyak acara berkonsepkan warisan budaya yang unik di Terengganu dalam anjuran akan datang.
"Saya dah turun ke semua daerah. Macam-macam budaya ada. Kalau Kuala Berang dialek percakapan tu dua tiga jenis dah. Marang pun sama. Marang tu kawasan Kedai Buluh dialek percakapan dia lain.
"Ini semua kita nak kena beritahu kepada generasi penerus supaya dia faham bahawasanya daerah-daerah di Terengganu ni macam-macam apa ada. Makanan beratus makanan. Pakaian songket, batik, lukisan, kebudayaan.
"Silap gayung tu memang popular dah, yang lain banyak lagi, tarian-tarian lama yang kita boleh olah mengikut apa kehendak kerajaan sekarang ini. Kita boleh tunjuk ke seluruh negara," jelasnya.
Tambahnya lagi, kehadiran pengunjung yang ramai ke karnival tersebut turut menjadi pemangkin kepada peningkatan ekonomi rakyat negeri yang mencuri peluang untuk berniaga sepanjang ia berlangsung.
"Dengan kehadiran 130,000 itu, apa yang kita dapat? Sekurang-kurangnya peniaga-peniaga secara langsung dapat limpahan ekonomi. Oleh kerana malam ini malam terakhir, kita pergi tadi (di ruangan penjaja) barang-barang makanan habis dah.
"Tidak cukup. Keropok tidak cukup. Satar tidak cukup. 'Otak-otak' tidak cukup. Semua makanan tradisional belaka.
"Yang inilah saya rasa sangat teruja dan insya-Allah untuk tahun depan kita fokus lagi supaya Karnival Pantai 2026 lebih hebat lagi dengan peralatan, dengan acara, dengan makanan, dengan persembahan semua tradisional," ujarnya.
15 Sep 25
122
Perarakan Bot dan Sukaneka Eratkan Silaturahim Sesama Komuniti
DUNGUN, 14 September – Program Perarakan Bot dan Sukaneka Sempena Bulan Kemerdekaan anjuran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pulau Serai berlangsung penuh meriah dengan penyertaan ramai di Kampung Rajawali.
Pengerusi JPKK Pulau Serai, Abdul Halim Abd Rahman, dalam ucapan perasmian menzahirkan kegembiraan atas sambutan penduduk yang begitu menggalakkan.
“Alhamdulillah, program hari ini berjalan dengan meriah. Tahniah kepada semua lapisan komuniti Pulau Serai yang turun bersama-sama menjayakan sambutan ini. Insya-Allah pada masa akan datang kita akan anjurkan program yang lebih besar dan lebih meriah lagi,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan kerja yang bertungkus-lumus menjayakan acara tersebut.
“Tahniah juga kepada pasukan yang bekerja keras menyusun demi kelancaran program. Ini kali pertama kita adakan acara semeriah ini bersama komuniti. Terima kasih kepada semua warga Pulau Serai yang sudi duduk berprogram bersama,” ujarnya.
Program ini bukan sahaja menyemarakkan semangat kemerdekaan, bahkan berjaya mengeratkan hubungan silaturahim sesama komuniti dalam suasana kekeluargaan yang harmoni.
Acara bermula dengan perarakan bot yang dihiasi kibaran Jalur Gemilang di perairan sekitar Pulau Serai, sebelum diteruskan dengan pelbagai pertandingan sukaneka melibatkan golongan muslimah, veteran, anak muda serta kanak-kanak.
13 Sep 25
41
WiraDay 6.0: Himpunan Terbesar Peminat Proton Wira di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 11 September - Litar Permotoran Terengganu bakal ‘berpesta’ pada 17 hingga 18 Oktober ini apabila ribuan peminat Proton Wira dari seluruh negara berhimpun sempena WiraDay 6.0, sebuah acara ikonik yang menggabungkan dunia automotif, kekeluargaan dan pengisian rohani.
Edisi keenam penganjuran kali ini menjanjikan kepelbagaian aktiviti yang mampu memikat semua peringkat usia daripada Gathering Wira, Autoshow Kereta Wira, pertunjukan drift, sukaneka keluarga hinggalah ke cabutan bertuah mega yang menawarkan hadiah utama sebuah Mitsubishi Lancer Evolution 6.5 TME.
Lebih menarik, acara ini tidak hanya sarat dengan hiburan dan adrenalin semata-mata, sebaliknya turut memberi ruang untuk pengisian jiwa melalui tazkirah khas bersama pendakwah tersohor, Ustaz Azhar Idrus.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim, menyifatkan WiraDay 6.0 sebagai bukti kemampuan anak muda menganjurkan program besar yang berupaya menjadi tarikan pelancongan negeri.
“Dari parkir hotel pada 2017, kini WiraDay konsisten membesar di Litar Permotoran Terengganu sejak 2019. Inilah bukti kreativiti dan semangat anak muda dalam menjadikan sukan permotoran sebagai identiti baharu pelancongan negeri,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh pasukan urusetia serta menyeru rakyat dari seluruh negara hadir memeriahkan acara.
“Tahniah kepada pasukan urus setia yang tidak pernah kenal penat lelah. Selamat datang ke Terengganu buat semua ‘wira-wira’ dari seluruh pelusuk tanah air,” tambahnya.
WiraDay 6.0 dijangka menjadi edisi paling meriah setakat ini dengan perancangan rapi dan sokongan padu pelbagai pihak.
11 Sep 25
5640
Semangat Permainan Tradisional Mampu Jalin Perpaduan
KUALA TERENGGANU, 9 September - Usaha menghidupkan kembali permainan-permainan tradisional dalam komuniti dilihat mampu menjana perpaduan lebih erat di kalangan ahli masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, sukan dan permainan rakyat bukan sekadar monumen atau paparan di muzium semata-mata, sebaliknya konsep permainan yang dimainkan secara beramai-ramai oleh pelbagai golongan itu perlu diturunkan ke lapangan dan dihidupkan supaya asas yang dibina dalam masyarakat ada kekuatan tersendiri.
"Terima kasih kepada pihak Muzium Negeri Terengganu (MNT) atas inisiatif untuk menghidupkan permainan tradisional supaya sampai kepada masyarakat.
"Dalam komuniti antara perkara sangat penting juga kalau kita boleh kembalikan konsep gotong-royong. Ini kerana ia akan merapatkan hubungan dalam kejiranan. Jiran-jiran mari membantu, mereka bukan sekadar buat kerja tetapi juga bersembang, bercerita, bermain bergurau dan dari situ timbul kolaborasi dalam masyarakat.
"Dari sudut perpaduan, ada suatu yang disebut mediator iaitu penghubung antara ahli komuniti supaya masyarakat kembali berhubungan. Mereka tidak berbalah cuma tidak berhubung dan hidup dengan cara mereka sendiri. Jadi apabila tidak berhubung, kemungkinan pergeseran boleh berlaku.
"Usaha yang dilakukan pihak muzium ini merupakan sebahagian inisiatif supaya konsep permainan tradisional sampai bukan sekadar yang kita hendak tunjuk dan mengekalkan tradisi, sebaliknya bertujuan mengembalikan kesan kewujudannya yang ternyata memberikan impak sangat besar kepada kesatuan dalam komuniti.
"Itulah asasnya, jika di peringkat komuniti lagi tidak bersatu, bagaimana kita ingin membina perpaduan di peringkat negara?," katanya melontarkan persoalan, ketika ditemui selepas menyempurnakan program Muzium Bersama Masyarakat di Kampung Budaya Terengganu, semalam.
Hadir sama dalam program berkenaan ialah Pengarah MNT, Mohd Iskandar Muhammad Aziz dan Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan dan Khidmat Pengurusan), Raja Faisal Raja Haron.
Program sehari itu menampilkan pelbagai demonstrasi dan aktiviti sukan tradisional seperti Kaki Hantu, pembuatan Serunai Daun Nyior dan Gasing Tradisional Terengganu, selain penyediaan makanan tradisional seperti Laksa Terengganu, kuih Akok Terengganu, Opok-opok dan Loklik.
09 Sep 25
91
Kerajaan Negeri Komited Mengekalkan Keharmonian Pulau Perhentian Sebagai Destinasi Percutian
KUALA TERENGGANU, 5 September - Kerajaan negeri menegaskan komitmen untuk mengekalkan keharmonian Pulau Perhentian sebagai destinasi pelancongan keluarga dan eko-pelancongan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, keharmonian akan dijaga khususnya melalui pemantauan aktiviti berkaitan penjualan arak.
Datuk Razal (kiri) dan Hilman (kanan)
Menurutnya, Terengganu tidak merestui penjualan minuman beralkohol di destinasi peranginan tersebut dan hasil pemeriksaan terhadap 80 pengusaha mendapati semua resort di pulau itu tidak mempunyai lesen penjualan arak.
"Perbuatan mereka itu berada dalam keadaan yang tidak direstui oleh kerajaan negeri. Jika ada penguatkuasaan, mereka akan dikenakan tindakan.
"Saya ingin pastikan pengusaha Melayu menjaga adat orang Islam dan dinasihatkan supaya menjaga adat Timur. Bagi yang bukan Islam, diharap bersopan dan tidak minum di tepi pantai secara terbuka.
Beliau dilaporkan berkata demikian oleh Sinar Harian dalam satu kenyataan selepas merasmikan Program 'Dive Against Debris' (DAD): Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Pembersihan Pantai di Pulau Perhentian, kelmarin.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh, ADUN Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin serta Pengarah Jabatan Pelancongan negeri, Hilman Hajijan.
Tegasnya lagi, meskipun kehadiran pelancong di Pulau Perhentian didominasi oleh pelancong luar ia tidak menjadi justifikasi kepada pelancong dan pengusaha untuk menjadikannya sebagai destinasi untuk mabuk.
Tambahnya, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan sewajarnya kepada mereka yang melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
05 Sep 25
30
4x4 Ingin Terus 'Menari' Di Terengganu
KUALA NERUS, 1 September - Presiden Kelab Sukan Pacuan Empat Roda Ummah (UT 4x4 Team), Muhammad Muzzammil Mokhetar komited bahawa kejohanan kenderaan pacuan empat roda Terengganu Merdeka Challenge akan terus diadakan pada edisi akan datang.
Jelasnya, hasrat untuk terus mempamerkan aksi sukan lasak itu juga telah disuarakan dan mendapat pertimbangan kerajaan negeri untuk dijayakan.
"Ini merupakan kali kelima penganjuran Terengganu Merdeka Challange dengan kerjasama TERJAH 4x4 dan dalam sejarahnya menerima penyertaan terbesar dari seluruh semenanjung Malaysia, melibatkan lebih 350 peserta.
"Kita nampak melalui beberapa tahun penganjuran, telah ada penajaan masuk dari pelbagai pihak kerajaan dan swasta seperti Kementerian Belia dan Sukan, Turbo 96, Apal Tyre dan TRI 4x4 Equipment.
"Ini menunjukkan satu perkembangan positif disamping sokongan kuat kerajaan negeri dalam bentuk infrastruktur, jentera-jentera dan kebenaran tanah yang banyak membantu kelancaran program kami," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah Terengganu Merdeka Challenge 2025 yang berlangsung di Bandar Baru Kuala Nerus, malam tadi.
Majlis berkenaan disempurnakan dengan kehadiran Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Asmadi Mohamad dan Timbalan Yang Dipertua DUN Terengganu merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat
Muzzammil menjelaskan, Terengganu dianugerahkan satu bentuk muka bumi yang sangat baik yang boleh dikomersialkan sebagai litar kejohanan sukan lasak tersebut.
"Saya berharap kerajaan akan terus membantu untuk mengetengahkan program ini yang bukan sahaja sukan, tetapi boleh menjadi tarikan pelancongan. Lebih menarik, semalam kita telah didatangi dua penggiat sukan ini dari Indonesia yang mencuba trek di sini, namun mereka tidak bertanding.
"Sekalipun sukan ini boleh dikatakan agak mahal dari aspek penyelenggaraannya, tetapi melalui perkembangan teknologi digital sekarang terdapat banyak syarikat luar yang hadir memberikan tajaan dalam bentuk perkhidmatan dan barangan yang membantu meningkatkan prestasi kenderaan peserta dalam perlumbaan.
"Keberadaan peserta dibantu syarikat-syarikat yang ingin mengetengahkan jenama mereka, jadi penganjuran ini sedikit sebanyak menjadi pentas masing-masing mempamerkan keunggulan produk mereka," tambahnya.
Terengganu Merdeka Challenge 2025 mempertandingkan dua kategori iaitu Short Wheel Base (SWB) dan Long Wheel Base (LWB) dengan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM13,300 serta barangan kenderaan pacuan empat roda.
01 Sep 25
617
Rubber Tipper Juara Terengganu Merdeka Challenge 2025
KUALA NERUS, 1 September - Pasukan Rubber Tipper daripada Merapoh, Pahang dinobatkan sebagai pemenang keseluruhan Terengganu 4x4 Merdeka Challenge 2025 yang berakhir, malam tadi.
Wakil pasukan, Muhammad Haikal Che Mat, 46, berpuas hati dengan kemenangan itu dan menyifatkan cabaran yang disajikan dalam kejohanan itu cukup rencah dan warna.
"Kami datang dengan empat pemandu ditambah persediaan rapi tiga buah kereta Daihatsu Feroza sebagai jentera perlumbaan. Alhamdulillah, kali ini berjalan lancar.
"Bagi kita, trek di sini menyeluruh kerana ia menampilakan cabaran 'rally', cabaran dalam air dan macam-macam cabaran berbeza bagi setiap peringkat. Kita puas hati sebab kita dapat uji kebolehan dan kelebihan di mana kekurangan yang perlu di baiki dan itu menjadikan trek ini terbaik," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah di Bandar Baru Kuala Nerus, semalam.
Tambahnya, pasukanya terdiri dari orang kampung yang bekerja di ladang dan memanfaatkan kerjaya tersebut sebagai medan latihan untuk bersaing dalam sukan lasak ini.
"Kebanyakan kami bekerja ambil kayu getah dari ladang untuk dihantar ke kilang. Jadi, sedikit sebanyak kemahiran itu diasah dari pekerjaan kami.
"Tetapi walaupun sudah biasa beraksi, ada cabaran yang bukan kelebihan kami seperti laluan dalam air berikutan jentera pihak lawan memiliki kelebihan dari kami. Bergantung kepada kemahiran dan kekuatan 'joki' (pemandu) sahajalah," katanya lagi.
Dalam kejohanan edisi kelima itu, Rubber Tipper membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 dan hadiah tajaan berupa barangan jentera perlumbaan.
Terengganu Merdeka Challenge 2025 menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah wang tunai RM13,300 dan sejumlah besar hadiah barangan jentera kenderaan pacuan empat roda.
01 Sep 25
562
91 Kenderaan Air Meriahkan Perarakan Bot Merdeka Terengganu
KUALA TERENGGANU, 31 Ogos – Sungai Terengganu hari ini kembali bergema dengan lautan semangat patriotik apabila Pertandingan Perarakan Bot Merdeka Terengganu 2025 berlangsung penuh warna-warni sempena sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri.
Program yang dianjurkan oleh Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dengan kerjasama Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT) itu membawa tema 'Malaysia MADANI Rakyat Disantuni', sekali gus menyemarakkan suasana perayaan dengan gabungan elemen seni, budaya serta kecintaan kepada negara.
Sebanyak 91 buah kenderaan air dengan penyertaan 484 peserta mengambil bahagian dalam perarakan kali ini, meliputi bot agensi kerajaan, bot nelayan, bot pelancong serta jet ski.
Perarakan bermula serentak dari empat jeti utama iaitu Pulau Kekabu di Marang, Pengkalan Pok Awang di Kuala Terengganu, Jeti Kampung Batin di Kuala Nerus dan Pengkalan Tanjung Gelam di Setiu sebelum menuju ke Basin Muara Sungai Terengganu berhampiran bangunan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang menjadi lokasi pelepasan rasmi.
Kemeriahan acara tersebut turut menarik lebih 10,000 pengunjung yang membanjiri tebing Sungai Terengganu untuk menyaksikan keunikan perarakan bot berhias itu.
Sorakan rakyat yang menyaksikan dari tebing sungai menambahkan lagi aura patriotik, seakan menyatu-padukan semangat cinta negara dalam suasana penuh harmoni.
Bagi menambahkan daya tarikan pertandingan, pihak penganjur turut menyediakan hadiah wang tunai kepada pemenang dalam setiap kategori yang dipertandingkan, dengan Johan menerima RM500, Naib Johan RM300 dan tempat Ketiga RM200.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris.
Beliau dalam ucapannya menegaskan bahawa penganjuran itu bukan sahaja meniupkan semangat patriotisme, malah menjadi simbol kepada perpaduan rakyat pelbagai latar belakang yang bersama-sama menjayakan acara berkenaan.
“Acara ini melambangkan kesatuan rakyat Malaysia. Walau berbeza latar dan peranan, kita tetap bersatu di bawah panji Jalur Gemilang,” katanya.
Pertandingan Perarakan Bot Merdeka kali ini bukan sahaja berjaya memperlihatkan kreativiti peserta, malah turut mengangkat identiti negeri sebagai destinasi pelancongan berasaskan warisan sungai serta budaya, seterusnya memperkukuh semangat kecintaan rakyat kepada tanah air.
31 Aug 25
763
Terengganu Ketengah Pelancongan Mesra Muslim ke Pentas Dunia
SHAH ALAM, 28 Ogos – Terengganu melangkah ke pentas dunia dengan mengetengahkan potensi pelancongan mesra Muslim melalui penyertaan dalam World Islamic Tourism & Trade Expo (WITEX) 2025 di Sunway Resort Hotel, Selangor.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, penglibatan tersebut membuktikan usaha berterusan kerajaan negeri untuk memperkenalkan pelancongan berasaskan halal, budaya dan warisan kepada dunia luar.
“Pavilion Terengganu bukan sekadar tempat pameran, malah ia menjadi ruang untuk memperkenalkan produk negeri termasuk pakej umrah, makanan halal, fesyen sederhana dan juga teknologi pelancongan Islam.
“Ia juga peluang untuk usahawan Terengganu berjumpa dengan rakan industri luar negara bagi membuka kerjasama baharu,” katanya kepada pemberita selepas program WITEX 2025 bertempat di Sunway Resort Hotel, Selangor baru-baru ini.
Razali berkata program tersebut berlangsung selama tiga hari dengan penyertaan lebih 20 negara termasuk Indonesia, Brunei, Thailand, Mesir, Maldives, Sepanyol, China, Afrika Selatan dan Zambia.
“Pavilion Terengganu menampilkan Taman Tamadun Islam (TTI), pengusaha umrah, usahawan tempatan serta Jabatan Pelancongan Negeri.
“Selain itu, Sultan Mizan International Photography Awards (SMIPA 2025) turut dipamerkan sekali gus menjadi wadah awal untuk mempromosikan Visit Terengganu Year 2027,” ujarnya.
Beliau berkata, kehadiran delegasi antarabangsa dijangka membuka lebih banyak peluang jaringan strategik sekaligus mengukuhkan kedudukan Terengganu sebagai destinasi pelancongan Islam bertaraf dunia.
28 Aug 25
508
Punca Kehilangan Ikan Kelah Terungkai
KUALA TERENGGANU, 26 Ogos - Misteri kehilangan ikan kelah di Santuari Kelah, Tasik Kenyir sejak beberapa minggu lalu bukanlah disebabkan oleh kehadiran haiwan pemangsa sebaliknya ia dipercayai berpunca daripada aktiviti manusia.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, penemuan pukat di kawasan berkenaan menjadi petunjuk jelas bahawa ikan tersebut ditangkap secara haram untuk dibawa keluar.
"Dalam tinjauan tadi saya terserempak dengan pukat, dan memang sah ia berukuran empat inci.
"Pukat itu tidak ada di tempat lain, hanya di kawasan (santuari) ini. Pada pemikiran saya, ia digunakan untuk menangkap ikan kelah untuk dibawa keluar," katanya kepada pemberita selepas meninjau Santuari Kelah, semalam.
Menurut beliau, anggaran sebanyak 50 sehingga 60 peratus populasi ikan kelah telah merosot di kawasan itu - menjadi indikator bahawa aktiviti penangkapan dilakukan secara agresif.
"Sekarang kita boleh nampak pasir dekat bawah, maknanya ikan itu ada selapis sahaja.
"Yang tinggal sekarang kebanyakannya ikan muda dan kecil. Ikan induk besar hanya ada beberapa ekor sahaja.
"Malah kita dapat lihat ada kesan luka pada kepala beberapa induk besar akibat tebaran jala. Ini menunjukkan ia ditangkap secara ganas. Jadi ini yang boleh (menyebabkan ikan) hilang," jelasnya.
Dalam pada itu, Razali turut menegaskan kehadiran memerang yang didakwa menjadi punca utama adalah tidak relevan kerana faktor tersebut tidak begitu signifikan.
"Memerang itu, baru-baru ini sahaja yang ada memerang. Tapi memerang tu dia binatang.
"Dia tidak akan menjadi habitat tetap yang mengganggu begitu lama. Pada saya, memerang hanyalah serpihan sahaja. Yang saya syak betul-betul adalah aktiviti manusia," ujarnya.
Mengulas lebih lanjut, pihaknya juga akan berbincang bersama Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dan pemegang taruh Tasik Kenyir untuk mengambil tindakan selanjutnya.
"Sebab kita nampak ada satu laluan sahaja. Kalau ada satu laluan sahaja untuk mengeluarkan ikan kelah daripada santuari dan kita juga ada beberapa sekatan.
"Kalau sekatan tu ketat, saya tak jangka ikan kelah ni dapat dikeluarkan. Sebab masa dulu pernah tertangkap seorang yang bawa ikan kelah letak dalam beg, tertangkap.
"Tapi saya tidak mahu tuduh pada siapa-siapa. Tapi saya akan berbincang dan kalau perlu kita laporkan kepada polis untuk buat siasatan," tambahnya.
26 Aug 25
655