KUALA NERUS, 1 September - Pasukan Rubber Tipper daripada Merapoh, Pahang dinobatkan sebagai pemenang keseluruhan Terengganu 4x4 Merdeka Challenge 2025 yang berakhir, malam tadi.
Wakil pasukan, Muhammad Haikal Che Mat, 46, berpuas hati dengan kemenangan itu dan menyifatkan cabaran yang disajikan dalam kejohanan itu cukup rencah dan warna.
"Kami datang dengan empat pemandu ditambah persediaan rapi tiga buah kereta Daihatsu Feroza sebagai jentera perlumbaan. Alhamdulillah, kali ini berjalan lancar.
"Bagi kita, trek di sini menyeluruh kerana ia menampilakan cabaran 'rally', cabaran dalam air dan macam-macam cabaran berbeza bagi setiap peringkat. Kita puas hati sebab kita dapat uji kebolehan dan kelebihan di mana kekurangan yang perlu di baiki dan itu menjadikan trek ini terbaik," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah di Bandar Baru Kuala Nerus, semalam.

Tambahnya, pasukanya terdiri dari orang kampung yang bekerja di ladang dan memanfaatkan kerjaya tersebut sebagai medan latihan untuk bersaing dalam sukan lasak ini.
"Kebanyakan kami bekerja ambil kayu getah dari ladang untuk dihantar ke kilang. Jadi, sedikit sebanyak kemahiran itu diasah dari pekerjaan kami.
"Tetapi walaupun sudah biasa beraksi, ada cabaran yang bukan kelebihan kami seperti laluan dalam air berikutan jentera pihak lawan memiliki kelebihan dari kami. Bergantung kepada kemahiran dan kekuatan 'joki' (pemandu) sahajalah," katanya lagi.
Dalam kejohanan edisi kelima itu, Rubber Tipper membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 dan hadiah tajaan berupa barangan jentera perlumbaan.
Terengganu Merdeka Challenge 2025 menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah wang tunai RM13,300 dan sejumlah besar hadiah barangan jentera kenderaan pacuan empat roda.