DUNGUN, 14 September – Program Perarakan Bot dan Sukaneka Sempena Bulan Kemerdekaan anjuran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pulau Serai berlangsung penuh meriah dengan penyertaan ramai di Kampung Rajawali.
Pengerusi JPKK Pulau Serai, Abdul Halim Abd Rahman, dalam ucapan perasmian menzahirkan kegembiraan atas sambutan penduduk yang begitu menggalakkan.
“Alhamdulillah, program hari ini berjalan dengan meriah. Tahniah kepada semua lapisan komuniti Pulau Serai yang turun bersama-sama menjayakan sambutan ini. Insya-Allah pada masa akan datang kita akan anjurkan program yang lebih besar dan lebih meriah lagi,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan kerja yang bertungkus-lumus menjayakan acara tersebut.
“Tahniah juga kepada pasukan yang bekerja keras menyusun demi kelancaran program. Ini kali pertama kita adakan acara semeriah ini bersama komuniti. Terima kasih kepada semua warga Pulau Serai yang sudi duduk berprogram bersama,” ujarnya.
Program ini bukan sahaja menyemarakkan semangat kemerdekaan, bahkan berjaya mengeratkan hubungan silaturahim sesama komuniti dalam suasana kekeluargaan yang harmoni.
Acara bermula dengan perarakan bot yang dihiasi kibaran Jalur Gemilang di perairan sekitar Pulau Serai, sebelum diteruskan dengan pelbagai pertandingan sukaneka melibatkan golongan muslimah, veteran, anak muda serta kanak-kanak.
