KUALA TERENGGANU, 11 September - Litar Permotoran Terengganu bakal ‘berpesta’ pada 17 hingga 18 Oktober ini apabila ribuan peminat Proton Wira dari seluruh negara berhimpun sempena WiraDay 6.0, sebuah acara ikonik yang menggabungkan dunia automotif, kekeluargaan dan pengisian rohani.
Edisi keenam penganjuran kali ini menjanjikan kepelbagaian aktiviti yang mampu memikat semua peringkat usia daripada Gathering Wira, Autoshow Kereta Wira, pertunjukan drift, sukaneka keluarga hinggalah ke cabutan bertuah mega yang menawarkan hadiah utama sebuah Mitsubishi Lancer Evolution 6.5 TME.
Lebih menarik, acara ini tidak hanya sarat dengan hiburan dan adrenalin semata-mata, sebaliknya turut memberi ruang untuk pengisian jiwa melalui tazkirah khas bersama pendakwah tersohor, Ustaz Azhar Idrus.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim, menyifatkan WiraDay 6.0 sebagai bukti kemampuan anak muda menganjurkan program besar yang berupaya menjadi tarikan pelancongan negeri.
“Dari parkir hotel pada 2017, kini WiraDay konsisten membesar di Litar Permotoran Terengganu sejak 2019. Inilah bukti kreativiti dan semangat anak muda dalam menjadikan sukan permotoran sebagai identiti baharu pelancongan negeri,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh pasukan urusetia serta menyeru rakyat dari seluruh negara hadir memeriahkan acara.
“Tahniah kepada pasukan urus setia yang tidak pernah kenal penat lelah. Selamat datang ke Terengganu buat semua ‘wira-wira’ dari seluruh pelusuk tanah air,” tambahnya.
WiraDay 6.0 dijangka menjadi edisi paling meriah setakat ini dengan perancangan rapi dan sokongan padu pelbagai pihak.
