lightning-solid
Berita :

Artikel "Agama" Terkini

Terengganu Pacu Pembangunan Ikut Teladan Rasulullah
Terengganu Pacu Pembangunan Ikut Teladan Rasulullah
MARANG, 22 September – Kerajaan Negeri Terengganu menegaskan komitmen untuk memastikan pembangunan negeri terus berkembang secara menyeluruh dengan menjadikan pentadbiran Rasulullah SAW sebagai contoh teladan dalam memajukan negeri. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, langkah itu selari dengan kedudukan Terengganu yang kini menjadi sebutan ramai sebagai negeri paling bahagia di Malaysia. Justeru katanya, masyarakat diseru agar menghidupkan roh perjuangan Rasulullah dalam mendaulatkan Islam, menyuburkan rasa cinta serta mengangkat syiar Baginda di bumi bertuah ini. “Kerajaan negeri bersama seluruh rakyat sebagai pewaris negeri ini mesti terus bertekad berusaha dan berikhtiar bagi memastikan semua sektor termasuk ekonomi, pendidikan, pelancongan, dakwah dan pemerkasaan syariah terus berkembang secara berkesan. “Matlamat ini adalah untuk mencapai slogan pentadbiran kerajaan, Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera,” ujarnya ketika merasmikan Program Malam Kasih dan Mahabbah Rasulullah SAW ‘Marang Berselawat’ Peringkat Daerah Marang, di Dataran Pejabat Daerah Marang, semalam. Dalam ucapannya, Ariffin turut menekankan bahawa ramai yang mencemburui kelebihan Terengganu, khususnya kerana negeri ini melahirkan ramai alim ulama serta ilmuan Islam. “Namun, persoalan utama ialah sejauh mana kita benar-benar mengambil manfaat daripada nikmat yang terhidang ini. Hal ini perlu difikirkan bersama dan menjadi medan muhasabah,” jelasnya lagi. Majlis yang diadakan bersempena sambutan Maulidur Rasul itu turut diserikan dengan ceramah khas oleh penceramah bebas, Ustaz Syed Mohd Norhisyam Tuan Padang, serta persembahan selawat dan qasidah.  
22 Sep 25
224
SG4 Inspirasi Strategik Asia Tenggara Bela Palestin
SG4 Inspirasi Strategik Asia Tenggara Bela Palestin
JITRA, 14 September – Model SG4 gabungan negeri Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis boleh dijadikan inspirasi strategik untuk direalisasikan dalam konteks Asia Tenggara bagi membela Palestin. Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerjasama SG4 membuktikan bagaimana empat negeri ini mampu bergabung menggerakkan kekuatan bersama meskipun berhadapan keterbatasan kuasa pusat. Katanya, inisiatif yang berteraskan pembangunan Islam, pengukuhan pendidikan, ekonomi halal serta solidariti ummah ini boleh dijadikan rujukan penting bagi kerjasama lintas negara di rantau Asia Tenggara. “Jika negeri-negeri dalam Malaysia mampu membentuk satu kerangka solidariti dinamik, rantau ini juga boleh membina Blok Solidariti ASEAN untuk Palestin yang lebih tersusun,” jelasnya ketika menyampaikan Ucaptama Muslim Ummah International Forum di BDB Darul Aman Golf Resort, di sini, kelmarin.  Menurutnya, SG4 menjadikan aspek pendidikan dan pembangunan modal insan sebagai tonggak utama. Universiti serta sekolah-sekolah di negeri berkenaan telah mengintegrasikan isu Palestin dalam program kesedaran, kajian akademik, dan aktiviti pelajar. “Model ini boleh diperluaskan ke peringkat ASEAN dengan menggalakkan universiti Islam di Indonesia, Malaysia, Brunei, Thailand Selatan dan Filipina Selatan membentuk Konsortium Akademik ASEAN-Palestin. Ia boleh berfungsi sebagai pusat penyelidikan, wacana ilmiah, serta penerbitan naratif alternatif bagi menangkis propaganda Zionis,” ujarnya. Beliau menambah, SG4 turut menekankan pembangunan ekonomi berdaya tahan melalui industri halal, koperasi, serta agihan zakat. “Strategi ini boleh dijadikan asas untuk menggerakkan Tabung Waqaf ASEAN-Palestin, di mana dana kolektif daripada zakat, wakaf dan sumbangan masyarakat disalurkan bagi membiayai bantuan kemanusiaan serta menyokong agenda BDS di rantau ini. Pendekatan ekonomi Islam sebagai wahana solidariti ini juga sejalan dengan kajian Antonio,” katanya. Dalam bidang media dan diplomasi rakyat pula, jelasnya, SG4 sering menekankan kepentingan naratif Islam dan tempatan bagi menentang hegemoni wacana Barat. “Pendekatan ini boleh diperluas ke tahap serantau menerusi penubuhan ASEAN Media Collective For Palestine. Media Islam, portal berita dan badan penyiaran di rantau ini boleh diselaraskan untuk menghasilkan liputan konsisten mengenai Palestin, sekali gus mencabar dominasi media pro-Zionis,” ujarnya.
15 Sep 25
63
SG4 Sepakat Jadi Hab Solidariti Palestin di Asia Tenggara
SG4 Sepakat Jadi Hab Solidariti Palestin di Asia Tenggara
JITRA, 14 September – Empat negeri dalam blok SG4 iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis bersepakat memperkukuh kedudukan sebagai ‘hab solidariti’ Asia Tenggara melalui penganjuran pelbagai program kemanusiaan termasuk kempen kesedaran, kutipan derma serta mobilisasi sukarelawan bagi membela nasib rakyat Palestin. Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi serta Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah, Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, usaha tersebut telah diterjemahkan melalui pelbagai inisiatif yang bersifat menyeluruh dan berterusan. “Kerajaan Negeri Kedah bersama rakan-rakan dalam SG4 turut meneroka bidang pendidikan dan pembangunan modal insan bagi membantu rakyat Palestin secara berstruktur, termasuk tawaran biasiswa, pertukaran akademik, latihan kemahiran dan peluang ekonomi. “Inisiatif ini bertujuan memastikan bantuan yang kita salurkan bukan hanya reaktif semata-mata, tetapi membina daya tahan jangka panjang rakyat Palestin serta memperkukuh suara dan gerakan ummah di rantau ini,” ujarnya ketika berucap merasmikan Muslim Ummah International Forum (MUNIF 2025) di BDB Darul Aman Golf Resort, di sini, hari ini. Program tersebut dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi. Dalam pada itu, Dr. Haim Hilman menyatakan keyakinan bahawa model kerjasama SG4 mampu diperluas dan dijadikan contoh bukan sahaja kepada negeri-negeri lain di Malaysia, malah juga kepada negara jiran di Asia Tenggara. “Melalui kerjasama serantau, kita dapat menggabungkan sumber dan kepakaran bagi melaksanakan program bantuan kemanusiaan, memperkukuh diplomasi rakyat ke rakyat, serta meningkatkan tekanan moral terhadap pihak-pihak yang terus menzalimi Palestin,” tegasnya.  
14 Sep 25
79
Delegasi Antarabangsa Meriahkan Muslim Ummah International Forum di Kedah
Delegasi Antarabangsa Meriahkan Muslim Ummah International Forum di Kedah
JITRA, 14 September – Muslim Ummah International Forum (MUNIF 2025) yang berlangsung di BDB Darul Aman Golf Resort, Kedah, hari ini mencipta sejarah tersendiri apabila menerima kehadiran delegasi dari Palestin, Turkiye, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, Indonesia, Thailand, Filipina dan Brunei. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu merangkap Pengerusi Jawatankuasa MUNIF 2025, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, menyifatkan penyertaan negara-negara tersebut sebagai detik bermakna dalam usaha memperkukuh persaudaraan Islam dan solidariti ummah merentasi sempadan. “Bagi pihak Jawatankuasa Penganjur, saya mengucapkan selamat datang kepada semua tetamu kehormat, para peserta serta rakan-rakan media. “Kehadiran anda semua memberikan suntikan semangat dan keyakinan bahawa usaha memperteguh suara dan gerakan umat Islam bukan sekadar retorik, tetapi boleh diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan strategi nyata,” katanya ketika berucap di forum tersebut. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Kedah selaku tuan rumah, serta sokongan erat anggota SG4 iaitu Kerajaan Negeri Terengganu, Kelantan dan Perlis yang bersama menjayakan penganjuran forum ini. “Terima kasih juga kepada penganjur bersama serta para penaja daripada institusi dalam dan luar negara, pertubuhan bukan kerajaan (NGO dan NGI), syarikat korporat, tokoh masyarakat dan para dermawan yang telah memberikan sumbangan, komitmen dan bantuan signifikan sehingga forum bersejarah ini dapat direalisasikan,” tambahnya. Forum antarabangsa ini menjadi platform penting dalam memperkukuh jaringan kerjasama, memperkasakan wacana Islam global, selain mengangkat semangat kebersamaan umat Islam dalam menghadapi cabaran semasa dunia.
14 Sep 25
362
MUNIF Himpun Pemimpin Gerakan Islam, Cendekiawan Perkukuh Sinergi Bina Rangkaian Strategik
MUNIF Himpun Pemimpin Gerakan Islam, Cendekiawan Perkukuh Sinergi Bina Rangkaian Strategik
JITRA, 14 September - Muslim Ummah International Forum (MUNIF 2025) menjadi platform menghimpunkan pemimpin gerakan Islam, NGO dan Cendekiawan bagi memperkukuh sinergi serta membina rangkaian kerjasama strategik di Rantau Asia Tenggara dan dunia Islam. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ia juga menjadi platform bagi membincangkan agenda tindakan segera dan praktikal bagi menyelamatkan rakyat Gaza dan membebaskan Masjid Al-Aqsa serta bumi Palestin daripada terus dijajah. "Tujuan Munif ini juga diadakan adalah untuk menjana idea serta cadangan berimpak tinggi yang boleh dilaksanakan bersama melalui saluran kemanusiaan, pendidikan, pembangunan modal insan, ekonomi dan diplomasi rakyat ke rakyat. "Melalui firmah Allah adalah menjadi kewajipan  kepada umat Islam untuk bersama dalam isu Palestin,"ujarnya ketika berucap di MUNIF yang diadakan di BDB Darulaman Golf Resort, di sini, hari ini. Mengulas lebih lanjut, katanya adalah menjadikan harapan agar forum yang diadakan itu akan menjadi pentas penting untuk berkongsi pandangan, pengalaman dan kepakaran. "Seterusnya melahirkan resolusi dan pelan tindakan yang lebih tersusun demi kebaikan ummah dan Islam tercinta,"ujarnya.
14 Sep 25
18
Terengganu Rancakkan Pelbagai Program Sempena Sambutan Maulidur Rasul
Terengganu Rancakkan Pelbagai Program Sempena Sambutan Maulidur Rasul
KUALA TERENGGANU, 5 September – Kerajaan Terengganu merancang pelbagai inisiatif sempena Sambutan Maulidur Rasul bagi menyemarakkan lagi rasa cinta umat Islam terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kepelbagaian program yang bakal dilaksanakan itu bukan sahaja bertujuan memperkasa minda dan intelek, malah berperanan menyemai kesejahteraan jiwa dalam kalangan masyarakat negeri ini. “Kita akan teruskan pendekatan dakwah melalui penyampaian ilmu dan tarbiah, di samping melaksanakan kaedah yang lebih menyeluruh serta berkesan,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1447 Hijrah peringkat negeri di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Terdahulu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat ke majlis tersebut bagi menyempurnakan perasmian sambutan. Keberangkatan baginda berdua turut diiringi Menteri Besar bersama barisan kepimpinan kerajaan negeri. Turut berangkat, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail serta Tengku Puteri Utama Raja, Tengku Sri Setia Mahkota Raja dan Tengku Puteri Daulath Raja.  
05 Sep 25
125
Sultan Mizan Titah Hidupkan Semula Amalan Berzanji, Marhaban
Sultan Mizan Titah Hidupkan Semula Amalan Berzanji, Marhaban
KUALA TERENGGANU, 5 September – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah agar amalan bacaan rawi, marhaban dan berzanji kembali dihidupkan secara meluas di masjid, surau, institusi pendidikan serta majlis-majlis komuniti di seluruh negeri. Baginda bertitah, amalan berkenaan bukan sahaja sebahagian daripada warisan budaya Melayu Islam di Terengganu, malah telah diamalkan sejak sekian lama. “Mengikut catatan sejarah, pada zaman Kesultanan moyangnda Beta, Al-Marhum Sultan Zainal Abidin III, majlis berzikir termasuk bacaan rawi, marhaban dan berzanji telah menjadi amalan yang subur dalam kalangan rakyat, khususnya apabila tibanya bulan Rabiulawal. “Bacaan ini bukan hanya tradisi warisan Melayu Islam, tetapi juga medium dakwah, pendidikan rohani dan penghayatan sirah Rasulullah SAW yang mampu menghubungkan hati umat dengan sejarah serta kecintaan kepada Baginda,” titah baginda. Sultan Mizan bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Terengganu 1447 Hijrah di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Terdahulu, keberangkatan tiba baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah. Turut berangkat, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhamad Ismail, Tengku Puteri Utama Raja, Tengku Sri Setia Mahkota Raja dan Tengku Puteri Daulath Raja. Dalam titah yang sama, baginda turut mengajak rakyat menghayati tema sambutan tahun ini iaitu 'Membangun Ummah Madani'. “Tema ini amat signifikan kerana ia menekankan kepentingan membina masyarakat yang bukan sahaja maju dan berilmu, tetapi juga berakhlak mulia serta berkasih sayang sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.  “Justeru, Beta menyeru seluruh rakyat agar menjiwai dan mengamalkan nilai-nilai murni yang dibawa Baginda dalam kehidupan seharian – sama ada dalam keluarga, di tempat kerja mahupun di tengah masyarakat. “Dengan semangat inilah kita mampu membina sebuah masyarakat harmoni, bersepadu dan sejahtera berpaksikan ajaran Islam yang sebenar,” titah baginda.  
05 Sep 25
159
Penjara Dua Tahun Menanti Kaki Ponteng Solat Jumaat
Penjara Dua Tahun Menanti Kaki Ponteng Solat Jumaat
KUALA TERENGGANU, 18 Ogos – Lelaki Muslim di Terengganu yang culas menunaikan solat Jumaat tanpa alasan munasabah berdepan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM3,000, atau kedua-duanya sekali. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata tindakan itu selaras dengan pindaan Enakmen Jenayah Syariah (Takzir) 2016, yang berkuat kuasa selepas digubal beberapa tahun lalu. Menurutnya, sebelum pindaan dibuat, hanya mereka yang tidak hadir solat Jumaat tiga kali berturut-turut akan dikenakan tindakan. “Namun kini, kegagalan hadir walaupun sekali sahaja tanpa alasan munasabah sudah boleh diambil tindakan. “Peringatan ini penting kerana solat Jumaat bukan sekadar syiar, tetapi lambang kekuatan umat. Hukuman hanya akan dilaksanakan sebagai jalan terakhir sekiranya individu tetap culas selepas diberi peringatan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. Bagi memastikan kewajipan itu tidak diabaikan, kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan memasang kain rentang peringatan di perkarangan masjid setiap daerah. Usaha itu jelas beliau bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai undang-undang yang sedang berkuat kuasa. Dalam masa sama katanya, tindakan penguatkuasaan boleh dilakukan hasil laporan orang awam, rondaan mahupun operasi bersepadu JHEAT bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Dr. Muhammad Khalil turut menyeru masyarakat melihat pelaksanaan undang-undang ini sebagai langkah mendidik dan menjaga martabat Islam, khususnya bagi membentuk kefahaman generasi muda. Beliau menjelaskan, seksyen berkaitan sebenarnya telah wujud sejak Enakmen Jenayah Syariah 2001, sebelum diperkemaskan melalui pindaan pada tahun 2016.
18 Aug 25
650
Azam, Mariam Dinobat Johan Tilawah Kuala Nerus
Azam, Mariam Dinobat Johan Tilawah Kuala Nerus
KUALA NERUS, 16 Ogos – Muhammad Azam Md Noor dinobatkan sebagai johan Majlis Tilawah al-Quran peringkat Daerah Kuala Nerus yang berlangsung di Masjid Gong Kijang, Bukit Tunggal, semalam. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, penganjuran tilawah ini bukan sekadar pertandingan, sebaliknya perlu menjadi pemangkin kepada pengajian al-Quran secara berterusan dalam masyarakat. “Tilawah bukan hanya pentas pertandingan, tetapi jalan untuk memelihara keindahan kalam Allah di dalam hati dan kehidupan seharian umat Islam. “Usaha memperbetulkan bacaan Surah al-Fatihah juga perlu diperkasakan kerana ia bacaan utama dalam solat,” katanya. Sebanyak enam peserta mengambil bahagian pada tilawah tersebut, terdiri daripada empat qari dan dua qariah. Para hadirin turut diperdengarkan dengan bacaan ayat suci al-Quran oleh barisan peserta terbaik daerah. Bagi kategori qari, naib johan dimenangi Muhammad Hamizan Hamzah, tempat ketiga disandang Muhammad Afif Yahaya, manakala Abdullah Haris Zakaria menerima saguhati. Sementara itu, kategori qariah menyaksikan Nik Siti Mariam Nik Abdul Shukor dinobatkan sebagai johan dan naib johan diraih Rahmah Ibrahim. Peserta yang berjaya akan mewakili Kuala Nerus ke Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Terengganu yang dijadualkan berlangsung di Setiu pada 28 hingga 30 Oktober 2025. Pejabat Agama Daerah Kuala Nerus selaku urusetia bersama Masjid Gong Kijang sebagai tuan rumah turut menerima penghargaan atas komitmen dalam menjayakan majlis berkenaan. Dalam ucapannya, Hishamuddin turut menyeru agar semangat penghayatan al-Quran terus disuburkan di setiap lapisan masyarakat. “Walaupun kita sudah dewasa mahupun tua, jangan berhenti mempelajari ilmu tajwid dan berusaha menghayati al-Quran. Kuasailah al-Quran, nescaya kita dapat menyingkap rahsia di sebaliknya,” ujarnya. Majlis turut dihadiri Zaharudin Zahid, ADUN Bukit Tunggal, Mohd Shafizi Ismail, ADUN Batu Rakit, serta Ahmad Azizi Zulkifli, Pegawai Daerah Kuala Nerus.  
16 Aug 25
137
Selamatkan Generasi Muda Daripada Terjebak LGBT, Dadah, Vape
Selamatkan Generasi Muda Daripada Terjebak LGBT, Dadah, Vape
KUALA NERUS, 14 Ogos – Kerajaan Negeri Terengganu menegaskan komitmen untuk melindungi rakyat, khususnya golongan belia, daripada terjebak dalam gejala songsang seperti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), penyalahgunaan dadah serta penggunaan rokok elektronik (vape) berlandaskan panduan Islam. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata usaha pencegahan akan digiatkan bagi meningkatkan kesedaran terhadap masalah sosial yang semakin membarah dalam masyarakat. “Ini adalah tanggungjawab agama, dan Terengganu meletakkan Islam sebagai agenda tertinggi. Kita melihat penyelesaian kepada masalah ini tidak lain dan tidak bukan adalah melalui agama. Dalam konteks kerajaan, fokus kita bukan sekadar membincangkan masalah, tetapi mencari penyelesaiannya melalui undang-undang Islam. Kita telah mempunyai Enakmen Jenayah Syariah (EJS) walaupun belum dapat dilaksanakan sepenuhnya, namun kita laksanakan setakat yang mampu. Selain itu, kita turut mengambil langkah-langkah kesedaran melalui program seperti hari ini, yang melibatkan ceramah dan penerangan kepada seluruh rakyat, khususnya golongan muda termasuk pelajar sekolah dan universiti,” katanya. Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan Program Cakna Sosial Terengganu: Cegah Sebelum Parah di Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini. Mengulas lanjut, Muhammad Khalil memaklumkan bahawa program tersebut merupakan kali pertama dianjurkan oleh kerajaan negeri sebagai usaha merancakkan penerangan mengenai bahaya gejala LGBT, penyalahgunaan dadah dan vape. “Insya-Allah, program ini akan diperluas ke daerah-daerah lain mengikut pembahagian zon – tengah, utara dan selatan. “Fokus utama adalah kepada remaja dan belia, khususnya pelajar sekolah menengah serta mahasiswa dan mahasiswi di institusi pengajian tinggi berhampiran,” ujarnya.
14 Aug 25
88