KUALA NERUS, 14 Ogos – Kerajaan Negeri Terengganu menegaskan komitmen untuk melindungi rakyat, khususnya golongan belia, daripada terjebak dalam gejala songsang seperti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), penyalahgunaan dadah serta penggunaan rokok elektronik (vape) berlandaskan panduan Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata usaha pencegahan akan digiatkan bagi meningkatkan kesedaran terhadap masalah sosial yang semakin membarah dalam masyarakat.
“Ini adalah tanggungjawab agama, dan Terengganu meletakkan Islam sebagai agenda tertinggi. Kita melihat penyelesaian kepada masalah ini tidak lain dan tidak bukan adalah melalui agama.
Dalam konteks kerajaan, fokus kita bukan sekadar membincangkan masalah, tetapi mencari penyelesaiannya melalui undang-undang Islam. Kita telah mempunyai Enakmen Jenayah Syariah (EJS) walaupun belum dapat dilaksanakan sepenuhnya, namun kita laksanakan setakat yang mampu.
Selain itu, kita turut mengambil langkah-langkah kesedaran melalui program seperti hari ini, yang melibatkan ceramah dan penerangan kepada seluruh rakyat, khususnya golongan muda termasuk pelajar sekolah dan universiti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan Program Cakna Sosial Terengganu: Cegah Sebelum Parah di Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Khalil memaklumkan bahawa program tersebut merupakan kali pertama dianjurkan oleh kerajaan negeri sebagai usaha merancakkan penerangan mengenai bahaya gejala LGBT, penyalahgunaan dadah dan vape.
“Insya-Allah, program ini akan diperluas ke daerah-daerah lain mengikut pembahagian zon – tengah, utara dan selatan.
“Fokus utama adalah kepada remaja dan belia, khususnya pelajar sekolah menengah serta mahasiswa dan mahasiswi di institusi pengajian tinggi berhampiran,” ujarnya.