MARANG, 22 September – Kerajaan Negeri Terengganu menegaskan komitmen untuk memastikan pembangunan negeri terus berkembang secara menyeluruh dengan menjadikan pentadbiran Rasulullah SAW sebagai contoh teladan dalam memajukan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, langkah itu selari dengan kedudukan Terengganu yang kini menjadi sebutan ramai sebagai negeri paling bahagia di Malaysia.
Justeru katanya, masyarakat diseru agar menghidupkan roh perjuangan Rasulullah dalam mendaulatkan Islam, menyuburkan rasa cinta serta mengangkat syiar Baginda di bumi bertuah ini.
“Kerajaan negeri bersama seluruh rakyat sebagai pewaris negeri ini mesti terus bertekad berusaha dan berikhtiar bagi memastikan semua sektor termasuk ekonomi, pendidikan, pelancongan, dakwah dan pemerkasaan syariah terus berkembang secara berkesan.
“Matlamat ini adalah untuk mencapai slogan pentadbiran kerajaan, Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera,” ujarnya ketika merasmikan Program Malam Kasih dan Mahabbah Rasulullah SAW ‘Marang Berselawat’ Peringkat Daerah Marang, di Dataran Pejabat Daerah Marang, semalam.

Dalam ucapannya, Ariffin turut menekankan bahawa ramai yang mencemburui kelebihan Terengganu, khususnya kerana negeri ini melahirkan ramai alim ulama serta ilmuan Islam.
“Namun, persoalan utama ialah sejauh mana kita benar-benar mengambil manfaat daripada nikmat yang terhidang ini. Hal ini perlu difikirkan bersama dan menjadi medan muhasabah,” jelasnya lagi.
Majlis yang diadakan bersempena sambutan Maulidur Rasul itu turut diserikan dengan ceramah khas oleh penceramah bebas, Ustaz Syed Mohd Norhisyam Tuan Padang, serta persembahan selawat dan qasidah.
