KUALA LUMPUR, 11 September – Eastern Pacific Marine Services Sdn. Bhd. (EPMSSB), anak syarikat EPIC Berhad, memeterai Perjanjian Perkhidmatan Induk (MSA) bersama Velesto Energy Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya, Velesto Drilling Sdn. Bhd., bagi menyediakan perkhidmatan sokongan marin strategik di Pelabuhan Kemaman, sekali gus mengukuhkan kedudukan pelabuhan itu sebagai pusat tenaga utama negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Haji Muhtar Suhaili, menegaskan bahawa perjanjian ini adalah tanda keyakinan industri terhadap kemampuan syarikat tempatan dalam membina keunggulan pelabuhan.
"Kerjasama yang terjalin mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan syarikat serta komitmen dalam memenuhi keperluan industri melalui penyediaan perkhidmatan marin dan pelabuhan yang cekap dan dipercayai.
"MSA ini bukan sahaja menetapkan rangka kerja yang jelas untuk kerjasama dalam sokongan operasi luar pesisir, tetapi turut memperkukuh kedudukan Pelabuhan Kemaman sebagai hab utama sektor minyak dan gas," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pemeteraian dan Pertukaran Perjanjian Perkhidmatan Induk antara EPMSSB dan Velesto Drilling Sdn Bhd, bersempena Pameran Oil and Gas Asia (OGA) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Turut bersama, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan EPIC Berhad, Wan Azilah Wan Abdullah, Naib Presiden, Operasi Velesto, Norzaidi Mohd Zahidin, Pengurus Besar Pengurusan Pelabuhan dan Perkhidmatan Marin, EPIC Berhad, Kapten Mohd Kamarul Mamat.
Beliau turut menegaskan bahawa kolaborasi ini akan memberi impak positif terhadap daya saing dan keupayaan negara dalam sektor tenaga yang semakin mencabar.
"Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan pihak Velesto dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang sejajar dengan penanda aras serta piawaian industri.
"Dengan termeterainya MSA ini serta kontrak-kontrak lain yang sedang berjalan, EPMSSB berada di landasan yang tepat untuk terus memperkasa peranan syarikat dalam merancakkan industri minyak, gas dan maritim, di samping menyokong pertumbuhan mampan sektor tenaga serantau," jelasnya.