Artikel "Utama" Terkini
Penjawat Awam Terengganu Digalak Buat Potongan Zakat Bulanan
Penjawat awam di negeri ini digalak membuat bayaran zakat secara berjadual kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) melalui gaji yang diterima.
28 Sep 25
34
MBKT Sita Palang Haram di Pulau Warisan
KUALA TERENGGANU, 28 September - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) telah mengambil tindakan terhadap pemasangan palang parkir yang didirikan tanpa kebenaran pihak majlis di kawasan Pulau Warisan dalam operasi yang dijalankan malam tadi.
Jurucakap MBKT memaklumkan, perbuatan tersebut adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 46(1)(a), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).
"Sehubungan itu, pihak majlis memohon pemilik untuk mengalih atau merobohkan besi (palang) tersebut dengan segera," ujarnya dalam satu hantaran di laman facebook rasmi MBKT, hari ini.
Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa merujuk sumber rasmi MBKT bagi mengelakkan kekeliruan dan penyebaran maklumat tidak tepat.
Terdahulu, isu pemasangan palang automatik di Pulau Warisan tular baru-baru ini ekoran didapati dipasang tanpa sebarang permohonan dan kelulusan rasmi daripada pihak berkuasa tempatan.
Bertindak atas aduan orang ramai, MBKT mengeluarkan notis kesalahan serta mengarahkan supaya peralatan tersebut dialihkan segera.
28 Sep 25
2511
Terengganu Sambut Baik Jadikan Sabtu Terakhir September Hari Cuci Malaysia
KUALA TERENGGANU, 27 September - Kerajaan Terengganu menyambut baik pengisytiharan hari Sabtu sebagai Hari Cuci Malaysia yang bertujuan meningkatkan kesedaran rakyat terhadap kebersihan dengan melaksanakan aktivti gotong royong bersepadu yang diadakan serentak seluruh negara.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, program tersebut yang dianjurkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah dilaksanakan melalui kerjasama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.
Katanya, Hari Cuci Malaysia yang telah dilaksanakan sempena 'World Cleanup Day 2025' telah memasuki tahun kedua pelaksanaannya di seluruh negara.
"Program ini bukan sekadar aktiviti mengutip sampah, tetapi ia adalah manifestasi semangat kesukarelawanan rakyat untuk bersama-sama memelihara kebersihan dan keindahan persekitaran.
"Ia selaras dengan usaha kerajaan negeri yang sentiasa menekankan pentingnya nilai kebersihan, tanggungjawab sosial dan kesedaran sivik dalam kehidupan seharian.
"Kita percaya bandar yang bersih dan indah bukan hanya mencerminkan imej negeri, tetapi turut memberi keselesaan kepada masyarakat serta menarik kehadiran pelancong," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Hari Cuci Malaysia 2025, Peringkat Negeri Terengganu, di Dataran Batu Buruk, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Wan Sukairi turut menyeru agar semua pihak sama ada agensi kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Badan Bukan Kerajaan (NGO), pihak swasta mahupun orang awam terus berganding bahu menjayakan program inisiatif kebersihan.
"Kerana kebersihan ini bukan hanya tanggungjawab kerajaan atau PBT sahaja, tetapi ia merupakan amanah yang perlu dipikul oleh setiap lapisan masyarakat.
"Budaya menjaga kebersihan perlu diamalkan setiap hari dengan memastikan buang sampah di tempatnya, kurangkan penggunaan plastik sekali guna, menyokong kitar semula, sehinggalah menyertai program kesukarelawanan seperti yang kita jayakan pada pagi ini," ujarnya.
27 Sep 25
714
Nur Fara Syuhada Permata Baru Olahraga Terengganu
KUALA NERUS, 26 September - Nur Fara Syuhada Mat Razali, 15, menampilkan aksi cemerlang dengan menjuarai acara 3000 meter larian berhalangan wanita pada Sukan Terengganu (SUTERA) edisi ketiga di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, semalam.
Meskipun tidak berjaya memperbaharui rekod peribadi (PB), Syuhada tetap melakar emas buat kontinjen Kuala Nerus dengan catatan masa 12:58.2s, mengatasi pesaing terdekat, Nur Ain Safiyyah Mohd Suhaimi dari Marang (15:10.00s) dan Nur Liyana Batrisya Khairol Azwan dari Kuala Terengganu (16:22.9s).
"Saya sangat puas hati dengan pencapaian hari ini walaupun tidak dapat buat PB (rekod peribadi terbaik). Tiada saingan kuat jadi agak relaks, cuma dari segi masa tak dapat lebih baik daripada sebelum ini," katanya ketika ditemui selepas perlumbaan.
Nur Fara Syuhada
Anak jati Kuala Nerus itu, sebelum ini pernah mencuri tumpuan di pentas antarabangsa apabila meraih emas dalam acara 3000 meter larian berhalangan pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2025 (Malaysia Open), baru-baru ini.
Menurut pelari cilik itu, trek larian Stadium Tuanku Syed Putra, Perlis, menjadi saksi larian berhalangan 3000 meter pertamanya dimana dia turut berjaya mencatat PB membanggakan dengan rekod 12:41.34s.
Walaupun tewas dalam acara 2000 meter larian berhalangan di MSSM akibat masalah kesihatan (gastrik), Syuhada mengakui dirinya lebih serasi untuk beraksi dalam jarak jauh kerana faktor ketahanan.
"Kalau saya pilih, saya pilih lagi jauh, 3000 meter. Saya memang berlatih pun untuk acara jarak jauh sebab 'endurance' lebih kuat," jelasnya yang kini sudah mempunyai empat tahun pengalaman dalam olahraga.
Jurulatihnya yang berasal dari negeri Sembilan, Ahmad Luth Hamizan, 33, turut berpuas hati dengan prestasi anak didiknya meskipun kejohanan kali ini berlangsung dalam tempoh luar musim.
Jurulatih kepada Syuhada, Ahmad Luth
"Setakat ini saya tengok walaupun sekarang off season tapi sebenarnya membuatkan kejohanan tu menjadi lebih seronok. Kalau kita tengok, Terengganu ni untuk 'middle' dan 'long distance' bagi saya pesaing dia ramai. Pesaing ramai daripada sekolah sukan Bukit Jalil, daripada sekolah sukan Gambang dan juga sekolah sukan Malaysia Terengganu lah.
"Jadi kalau kita tengok, walaupun dia orang bersaing di peringkat negeri sekalipun dia masih rancak sebabnya ramai atlet daripada Terengganu. Jadi bila kita bertanding di sini walaupun atlet ini 'off season', lepas habis MSSM dia masih menunjukkan prestasi," katanya.
Tambahnya, keputusan yang diperolehi oleh Syuhada semalam masih berada di tahap yang memuaskan dan mencapai ekspektasi walaupun mempunyai perbezaan masa hampir sebanyak lapan saat berbanding rekod peribadinya sebelum ini.
Guru sukan itu turut mengungguli pingat emas dalam acara sama kategori lelaki di bawah kontijen Kuala Terengganu dengan rekod 10:21.4s, meninggalkan Kuala Nerus (10:35.4s) pada kedudukan perak dan Besut (10.49.7s) yang akur dengan gangsa.
Ahmad Luth yang kini berkhidmat di Sekolah Sukan Malaysia Terengganu percaya Syuhada berpotensi menjadi bintang masa depan Terengganu, khususnya dalam acara jarak jauh.
Dengan usia yang masih muda serta disiplin latihan berterusan, Syuhada dilihat mampu menjadi permata baharu olahraga Terengganu yang bakal menggalas cabaran negeri di pentas kebangsaan dan antarabangsa pada masa hadapan, sekali gus membuktikan SUTERA sebagai medan pembinaan bakat baru.
26 Sep 25
2408
SUTERA 2025: Kontijen Kuala Terengganu Bolot Emas Terbanyak Acara Balapan
KUALA NERUS, 25 September - Kontinjen Kuala Terengganu muncul unggul di hari kedua kejohanan Sukan Terengganu (SUTERA) edisi ketiga apabila mendominasi acara balapan dengan meraih enam pingat emas, lima perak dan satu gangsa.
Acara berlangsung di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, yang menjadi gelanggang utama bagi pertandingan olahraga SUTERA kali ini.
Antara emas yang diraih adalah menerusi acara 100 meter wanita, 400 meter lelaki dan wanita, 800 meter wanita, 1500 meter wanita serta 3000 meter lari berhalangan lelaki.
Saingan sengit turut diwarnai oleh kontinjen Kuala Nerus yang mengutip lima emas, tiga perak dan tiga gangsa hasil kejayaan dalam acara seperti 100 meter lelaki, 800 meter lelaki, 1500 meter lelaki, 3000 meter lari berhalangan wanita dan lompat kijang lelaki.
Bagi kategori balapan, daerah lain yang turut mencuri tumpuan termasuk Setiu dengan emas dalam acara 4x400 meter wanita, serta Dungun dan Marang yang berjaya membawa pulang beberapa pingat perak dan gangsa.
Sementara itu, dalam acara padang, Kuala Nerus menambah koleksi pingat dengan kejayaan di lempar cakera lelaki (emas), selain pingat dalam lompat kijang dan lontar peluru lelaki.
Setiu pula cemerlang apabila membawa pulang emas dalam lompat kijang lelaki dan merejam lembing wanita, manakala Kemaman mendominasi acara lontar peluru lelaki.
Hulu Terengganu tidak pulang tangan kosong selepas menjuarai lompat jauh dan lompat kijang wanita, disusuli Marang yang mencatat kemenangan dalam lompat tinggi wanita.
Dengan baki beberapa acara olahraga dan sukan lain yang masih berlangsung, kedudukan pungutan pingat dijangka akan terus berubah dan menjanjikan saingan sengit antara kontinjen daerah.
25 Sep 25
714
38 Ribu Benih Ikan Dilepaskan Di Sungai Setiu
SETIU, 25 September – Sebanyak 38,000 benih ikan dilepaskan ke Sungai Setiu dalam usaha memulihara dan meningkatkan sumber perikanan nelayan setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim berkata, program yang dijalankan secara tahunan dan setiap daerah menerima sejumlah benih ikan bagi tujuan memperkayakan sumber.
"Jangan ada aktiviti tuba, bom dan karen ikan yang semua ini menyebabkan kerosakan kepada sumber dan ekosistem.
"Sumber yang ada ini penting kepada generasi dan sebolehnya biarlah anak cucu kita merasai hasilnya nanti," beliau berkata demikian ketika ucapan perasmian Program Pelepasan Benih Ikan, Penyerahan Bantuan Peralatan Nelayan Darat dan Insentif Input Akuakultur di Pengkalan Nyatoh, Kampung Beris Tok Ku.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri, Mohd Yusop Majid, Pengarah Pertanian Negeri Terengganu, Dr. Sukati Sakka, Timbalan Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Hasniah Othman dan Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu, Ahmad Ridzwan Abd Rahman.
Terdahulu sebanyak 38,000 anak benih ikan dilepaskan termasuklah spesis ikan baung 6,000, ikan lampam sungai 2,000 dan udang galah 30,000 ekor.
Program ini dilihat mampu memberi impak positif kepada kelestarian ekosistem sungai selain membantu meningkatkan pendapatan komuniti nelayan sungai.
Pada majlis sama, turut diadakan penyerahan bantuan peralatan menangkap ikan kepada 31 penerima, yang melibatkan 16 nelayan dari daerah Besut dan 15 nelayan dari daerah Setiu dan penyerahan insentif input akuakultur.
25 Sep 25
75
Kuala Nerus Rangkul Emas Sepak Takraw SUTERA III
KUALA NERUS, 25 September – Kuala Nerus membuktikan ketajaman aksi apabila menundukkan Dungun dalam perlawanan dramatik, sekali gus muncul juara acara sepak takraw berpasukan lelaki sempena Temasya Sukan Terengganu Kali Ke-3 (SUTERA III) yang berlangsung di Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) hari ini.
Kemenangan bermula di pusingan pertama apabila Regu A Kuala Nerus tampil garang dengan rentak bertenaga, menewaskan Dungun 15-10 dan 15-9 dalam straight set yang memukau penonton.
Namun, di pusingan kedua, regu B Dungun cuba bangkit penuh bersemangat dengan kemenangan 15-7 pada set pertama, tetapi kebangkitan itu segera dipadamkan apabila Kuala Nerus Regu B kembali gah pada set kedua dengan kemenangan 15-10.
Pertarungan penentuan menyaksikan regu Kuala Nerus B yang diterajui tekong Izham Putra M. Shaharin bersama gandingan Danish Irfan Azwan dan Adi Fikri M. Nasharuddin tampil penuh keyakinan, sebelum menutup kemaraan Dungun dengan kemenangan 15-10, sekali gus menghadiahkan pingat emas kepada pasukan mereka.
Majlis penyampaian hadiah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim, acara turut disaksikan ADUN Bukit Tunggal, Sr. Zaharuddin Zahid, Pengarah MSNT, Ahmad Shahrizal Yahaya dan Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSNT), Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.
25 Sep 25
231
Penjawat Awam Terengganu Digalak Buat Potongan Zakat Bulanan
KUALA TERENGGANU, 25 September – Penjawat awam di negeri ini digalak membuat bayaran zakat secara berjadual kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) melalui gaji yang diterima.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Nara Setia berkata, beliau difahamkan kadar agihan zakat kini telah melebihi 100 peratus daripada jumlah kutipan, justeru sumbangan kakitangan awam mampu membantu mengurangkan kadar kemiskinan di Negeri Terengganu.
”Mudah-mudahan ia dihitung Allah S.W.T sebagai amal yang baik demi meraih keredaanNya,” ujarnya.
Beliau berkata demikan ketika berucap menyempurnakan Majlis Perhimpunan Bulanan Dan Penyampaian Anugerah Pekerja Cemerlang (APC) Bulanan Warga Kerja Wisma Darul Iman (WDI) di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.
Pada majlis tersebut, seramai 42 orang penerima APC Bulanan WDI yang terdiri daripada pelbagai jabatan, bahagian dan unit dalam Wisma Darul Iman menerima insentif kecemerlangan sebanyak RM500 berserta sijil penghargaan.
Dalam pada itu, beliau turut menyarankan agar penjawat awam mempertimbangkan untuk membuat potongan gaji bulanan kepada Tabung Darul Iman.
“Ia sebagai satu lagi inisiatif kebajikan membantu golongan yang memerlukan, khususnya dalam kalangan rakyat Terengganu.
“Sumbangan berterusan ini bukan sahaja menyemai semangat solidariti, malah memberi impak besar kepada pembangunan sosial dan kesejahteraan masyarakat,” ujarnya.
Menurut beliau, Tabung Darul Iman membiayai pelbagai jenis bantuan antaranya dalam kategori bantuan perubatan dan juga bencana alam.
“Kedua-dua potongan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat namun layak mendapat pengecualian cukai selaras dengan garis panduan yang ditetapkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” jelasnya.
25 Sep 25
116
SUTERA : Kuala Terengganu, Kemaman Raih Emas Pertama
Kontinjen Kuala Terengganu dan Kemaman menguasai acara berbasikal kriterium pada temasya Sukan Terengganu (SUTERA 2025) apabila masing-masing berjaya membawa pulang pingat emas menerusi kategori wanita dan lelaki di Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah Shah,kuala Nerus.
25 Sep 25
40
SUTERA Medan Pembinaan Bakat Sukan Terengganu
Penganjuran Sukan Terengganu (SUTERA) merupakan langkah kerajaan negeri bagi mewujudkan keseimbangan disiplin sukan di setiap daerah dalam Terengganu.
25 Sep 25
31