Artikel "Sukan" Terkini
LTdL 2025: Prestasi TSG Membanggakan
KUALA NERUS, 6 Oktober – Penampilan Terengganu Cycling Team (TSG) dalam PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 membuktikan keupayaan pasukan itu terus berada pada tahap membanggakan meskipun berdepan pasukan elit dunia.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim, berkata kejayaan pelumba TSG, Muhammad Nur Aiman Rosli, menamatkan Peringkat Ketujuh Melaka–Medini di tempat kedua menjadi detik manis selepas lima tahun pasukan itu tidak menaiki podium dalam kejohanan berprestij tersebut.
"Dalam tempoh beberapa hari perlumbaan, TSG berjaya beberapa kali menaiki podium, dan yang terakhir di Stage 7 apabila Aiman menamatkan saingan di tempat kedua.
"Ini satu pencapaian yang cukup manis kerana sudah lima tahun kita tidak mencapai kejayaan seperti itu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian One-Off kepada Calon Peperiksaan Awam Negeri Terengganu Tahun 2025 peringkat Kuala Nerus, di sini, hari ini.
Menurutnya, walaupun TSG tidak meraih kejuaraan keseluruhan, kemampuan pasukan menyaingi kelab profesional antarabangsa membuktikan kekuatan dan daya saing tinggi pelumba tempatan.
"Dengan persaingan hebat bersama kelab-kelab elit dunia, prestasi ini sudah cukup membanggakan dan menunjukkan TSG kekal sebagai antara pasukan terbaik rantau ini," ujarnya.
06 Oct 25
2001
Pelumba Basikal Antarabangsa Puji Keindahan Terengganu
Peringkat keempat Le Tour De Langkawi (LTdL) 2025 dari Kuala Terengganu ke Kemaman bukan sahaja menyajikan saingan sengit , malah turut meninggalkan kenangan indah buat pelumba pasukan Polti VisitMalta, Manuel Penalver yang menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua.
06 Oct 25
47
MaluCelli Terus Kuasai LTdL Menang di Terengganu
Pelumba XDS Astana, Matteo Malucelli mengekalkan kedudukan selaku pendahulu keseluruhan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 selepas muncul juara peringkat keempat dalam kayuhan di Kemaman.
05 Oct 25
19
Terengganu FC Benam Kelantan TRW 4-1 Di Laman Sendiri
KUALA NERUS, 3 Oktober - Terengganu FC (TFC) mempamerkan aksi bertenaga di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin apabila menundukkan Kelantan The Real Warriors FC (TRW) 4-1 dalam saingan Liga Super, sekali gus mengukuhkan kedudukan di kelompok teratas liga.
Skuad bimbingan Badrul Afzan Razali tidak menunggu lama untuk menguasai permainan apabila jaringan pembukaan hadir menerusi Diego Landis yang tenang menyudahkan peluang di depan gawang lawan.
Gol tersebut menjadi penyuntik semangat buat pasukan tuan rumah yang terus menggandakan asakan.
Hasilnya, Nurillo Tukhtasinov menambah gol kedua sebelum Yann Mabella melengkapkan babak pertama dengan jaringan ketiga buat TFC.
Namun, kemaraan tiga mata tuan rumah tidak mematahkan semangat Kelantan TRW, apabila mereka bangkit sebaik sahaja babak kedua bermula.
Usaha mereka berhasil apabila Saravanan Thirumurugan merapatkan kedudukan. Walau bagaimanapun, segala usaha untuk menambah jaringan termasuk dua sepakan penalti gagal membuahkan hasil.
TFC kemudian kembali menambah derita pelawat apabila Mabella sekali lagi meledak, kali ini untuk gol keempat tuan rumah, memastikan kemenangan bergaya 4-1 berpihak kepada skuad Penyu.
Jurulatih TFC, Badrul Afzan nyata berpuas hati dengan semangat juang dan prestasi anak buahnya pada malam ini.
"Pertama sekali syukur alhamdulillah, tiga mata berharga di tempat kita. Pemain-pemain melaksanakan apa yang dirancang, khususnya pada babak pertama. Kredit kepada mereka semua," katanya.
"Pertama sekali syukur alhamdulillah, tiga mata pertama yang berharga di tempat kita. Jadi, semangat juang pemain-pemain malam ni kalau kita tengok pada babak pertama dan babak kedua dari bermula wisel, kita mengasak apa yang kita rancang.
"Kita dapat 3-0 di babak pertama, jadi alhamdulillah, kredit kepada pemain-pemain," katanya kepada pemberita selepas perlawanan.
Beliau turut menegaskan fokus pasukan adalah memastikan momentum kemenangan dikekalkan menjelang aksi Piala FA menentang Kuching City minggu depan.
Dengan kemenangan ini, TFC kekal di tangga ketiga liga dengan kutipan 13 mata, sementara Kelantan TRW kekal di pertengahan carta dengan lapan mata.
03 Oct 25
54
BTR FC Kekalkan Kejuaraan, Rangkul Piala YB ADUN Bukit Tunggal
KUALA TERENGGANU, 1 Oktober – Bukit Tok Ris FC (BTR FC) terus membuktikan keunggulan mereka apabila mengekalkan kejuaraan dengan menewaskan Seberang Bukit Tumbuh FC 2-1 dalam Kejohanan Bola Sepak Piala YB ADUN Bukit Tunggal 2025 (11 sebelah) yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Isnin lalu.
Seberang Bukit Tumbuh terlebih dahulu membuka jaringan melalui Helmi Alias pada minit ke-25, namun semangat juang BTR FC tidak pernah luntur.
Meskipun beraksi dengan 10 pemain, mereka bangkit pada babak kedua menerusi dua jaringan Hafizul Syazwan pada minit ke-67 dan 80 untuk memastikan kemenangan dramatik.
Dengan keputusan itu, BTR FC muncul juara buat kali kedua berturut-turut selepas turut menjulang trofi pada edisi 2024.
Kejayaan berganda ini sekaligus mengukuhkan reputasi mereka sebagai pasukan pilihan di Bukit Tunggal.
Sebagai juara, BTR FC membawa pulang wang tunai RM2,500, medal dan piala pusingan, manakala Seberang Bukit Tumbuh selaku naib juara menerima RM1,000 beserta medal.
Tempat ketiga pula dikongsi bersama Gong Pak Damat FC dan PAKR Bukit Tunggal FC.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Zaharudin Zahid, berkata kejohanan ini bukan sahaja medan persaingan sukan, tetapi juga platform menyatukan anak muda dalam suasana harmoni.
“Tahniah kepada semua pasukan yang telah memberikan aksi terbaik. Sukan seperti ini adalah wadah penyatuan anak muda, mengalihkan tumpuan mereka ke arah aktiviti berfaedah dan penuh semangat kesukanan,” katanya.
Turut hadir meraikan kejayaan pasukan dan penyokong ialah Ketua Pemuda PAS Kuala Nerus, Ustaz Mohd Ridhuan Abdul Karim, yang menyatakan penghargaan terhadap penganjuran kejohanan yang memberi impak positif kepada komuniti setempat.
01 Oct 25
154
LTdL : Aiman Hampir Buat Kejutan
KEMAMAN, 1 Oktober - Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Nur Aiman Rosli hampir membuat kejutan apabila mendahului sebahagian besar Perlumbaan pada saingan peringkat empat Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025.
Nur Aiman walaupun terpaksa akur menamatkan perlumbaan di tempat ke-110 daripada 118 pelumba apabila ditewaskan kelompok utama yang pada awalanya mendahului sehingga tiga kilometer terakhir.
Aiman untuk edisi pada kali ini telah dinobatkan sebagai peserta paling menyerlah hasil aksi penuh berani yang dipamerkan sejauh 141.5 Kilometer (KM) dari Kuala Terengganu ke Kemaman, hari ini.
Katanya, kejayaan menguasai sebahagian besar perlumbaan pada hari ini merupakan strategi yang diatur dari awal untuk melepaskannya dalam kelompok 'breakaway'.
"Saya berjaya kutip dua mata penuh di zon pecutan, memenangi zon pendakian di Kijal dan akhirnya dapat gelaran pelumba paling menyerlah, jadi bagi saya tugasan saya hari ini sudah selesai," katanya, ketika ditemui pihak media, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut, Nur Aiman berkata dia juga berusaha keras untuk melepasi zon pendakian terakhir di Kijal.
"Malangnya hajat nak menang belum kesampaian, tapi saya puas hati dapat memcuba," ujarnya.
Dalam pada itu, katanya dia tidak berputus asa tetap mengintai peluang untuk cabaran yang masih berbaki empat peringkat lagi dan menyasarkan untuk kembali mencabar di peringkat ketujuh dari Melaka ke Medini.
"Itu laluan laju (pecutan) dari awal, memang sesuai dengan cara saya. Insya-Allah jika ada peluang saya akan cuba lagi.
"Mengenai cabaran Bukit Fraser itu merupakan medan untuk pendaki, kalau saya boleh terlepas dalam 'breakaway', saya cuba. Kalau tidak, kita serah kepada pakar pendakian TSG," ujarnya lagi.
01 Oct 25
105
Pelumba Basikal Antarabangsa Puji Keindahan Terengganu
KEMAMAN, 1 Oktober - Peringkat keempat Le Tour De Langkawi (LTdL) 2025 dari Kuala Terengganu ke Kemaman bukan sahaja menyajikan saingan sengit , malah turut meninggalkan kenangan indah buat pelumba pasukan Polti VisitMalta, Manuel Penalver yang menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua.
Beliau menyifatkan laluan dalam persaingan tersebut sejauh 141.5 kilometer membuatkannya terpesona dan menyifatkan Terengganu merupakan laluan yang tercantik dalam pengalamannya menyertai acara berbasikal di peringkat dunia.
"Sangat cantik sepanjang laluan pantai, dapat dinikmati keindahannya dalam cuaca yang baik.
"Lebih menyeronokkan penonton bersorak untuk kami sepanjang perlumbaan dan ia benar-benar merupakan sebuah tempat yang menarik,"ujarnya ketika ditemui pihak media, di sini.
Katanya, seluruh dunia akan dapat menyaksikan keindahan Terengganu sekiranya melihat pemandangan dari atas melalui sisi pandang dron.
"Ia akan dapat dilihat lebih indan dan cantik.
"Selepas ini kami tidak berbasikal, dan akan ambil kesempatan untuk menikmati pemandangan yang cantik ini sebelum menghadapi perlumbaan seterusnya,"katanya.
01 Oct 25
3248
Hulu Terengganu Juara Baharu Bola Sepak SUTERA 2025
Pasukan Hulu Terengganu muncul pemenang pingat emas acara bola sepak Sukan Terengganu (SUTERA) 2025 apabila menewaskan Kuala Nerus 1-0.
28 Sep 25
32
Kuala Terengganu Kuasai Gelanggang Silat SUTERA 2025 dengan Kutipan Emas Terbanyak
KUALA TERENGGANU, 27 September - Kontinjen Kuala Terengganu mengukuhkan reputasi sebagai kuasa besar dalam arena silat apabila muncul juara keseluruhan dengan kutipan pingat emas terbanyak dalam acara silat tanding pada Sukan Terengganu (SUTERA) 2025.
Daripada lebih 10 kelas yang dipertandingkan, kontijen Kuala Terengganu berjaya mengungguli beberapa kategori utama termasuk Kelas A (Putra), Kelas C (Putra), Kelas F (Putra), Kelas Bebas (Putra), Kelas B (Putri) serta Kelas Bebas (Putri), menjadikan daerah itu mendahului senarai pungutan pingat emas.
Antara penyumbang utama kejayaan Kuala Terengganu ialah Muhammad Faris Aiman Husin (Kelas A Putra), Muhammad Najmi Ruslan Mohammad Rozaki (Kelas C Putra), Muhammad Daim Fakhri Mohd Asri (Kelas F Putra) serta Muhammad Adam Syukri Omar (Kelas Bebas Putra).
Turut menyumbang emas dalam kategori wanita ialah Nurul Ain Husna Razali (Kelas B Putri) dan Farah Fariena Mohd Zaih (Kelas Bebas Putri).
Pencapaian ini membolehkan Kuala Terengganu meninggalkan cabaran Kemaman, Dungun serta Kuala Nerus yang turut mengutip pingat emas
Secara keseluruhan, Kuala Terengganu muncul juara dengan kutipan enam pingat emas, diikuti Kemaman di tempat kedua dengan empat emas.
Dungun dan Kuala Nerus pula masing-masing menamatkan saingan dengan dua emas, manakala Setiu dan Marang sekadar meraih satu emas.
Selain kelas rasmi, terdapat beberapa kelas tambahan yang tidak dipertandingkan dalam temasya SUTERA 2025 tetapi tetap dianjurkan bagi memberi peluang penyertaan lebih luas.
Bagi acara tambahan, kemenangan dicatatkan oleh Muhd Zakwan Zamri dari Kuala Terengganu dalam Kelas I Putra, manakala Kelas J Putra dimenangi Muhammad Hisyam Syahabudin Abdul Rahman dari Kemaman.
Sementara itu, Muhammad Syawal Muhaimin Shishammudin, juga dari Kemaman, muncul juara dalam Kelas Bebas Putra.
Dalam kategori wanita pula, emas acara tambahan menjadi milik Wan Nur Fatimah Isyrafina Wan Ahmad Amli dari Kuala Terengganu bagi Kelas D Putri, manakala Siti Norbatrisyia Putri Mohd Hizam dari Kemaman menjuarai Kelas F Putri.
Acara tambahan ini diadakan sebagai nilai tambah dan tidak diambil kira dalam pengiraan kutipan pingat keseluruhan.
27 Sep 25
252
Kemaman, Hulu Terengganu Juara Bola Tampar SUTERA 2025
KUALA NERUS, 26 September - Pasukan Kemaman (Lelaki) dan Hulu Terengganu (Wanita) masing-masing muncul juara acara bola tampar Sukan Terengganu (SUTERA) 2025 selepas menundukkan lawan pada perlawanan akhir yang berlangsung di UniSZA, hari ini.
Dalam kategori lelaki, Kemaman melakar kemenangan dramatik 3–2 ke atas Setiu pada perlawanan akhir sebelah petang. Pasukan itu bermula garang dengan menguasai dua set awal, sebelum Setiu bangkit menyamakan kedudukan.
Namun, Kemaman berjaya menoktahkan kemaraan Setiu sekali gus memastikan kemenangan menjadi milik mereka selepas memuktamadkan set penentuan lantas dinobatkan sebagai juara.
Terdahulu pada aksi separuh akhir sebelah pagi, Kemaman menewaskan Dungun 3–0, manakala Setiu menundukkan Besut dengan keputusan 3–0.
Bagi kategori wanita, Hulu Terengganu membuktikan keampuhan apabila menewaskan Dungun 3–0 dalam aksi akhir, sekali gus membawa pulang gelaran juara.
Hulu Terengganu mara ke pentas akhir selepas menewaskan Besut 3–0 pada separuh akhir, manakala Dungun menyingkirkan Kemaman 3–2.
Sementara itu, Besut meraih gangsa dalam acara wanita selepas menundukkan Kemaman pada penentuan tempat ketiga dan keempat.
Acara bola tampar SUTERA 2025 yang berlangsung pada hari keempat temasya ini menyaksikan pertarungan penuh semangat daripada atlet daerah, kini tiba di penghujungnya.
Anjuran dwi tahunan kali ketiga itu, SUTERA 2025 yang mempertandingkan 13 acara dijadualkan berlangsung selama lima hari bermula selasa lalu bakal melabuhkan tirai penutup pada 27 September 2025 ini.
26 Sep 25
34