KUALA TERENGGANU, 1 Oktober – Bukit Tok Ris FC (BTR FC) terus membuktikan keunggulan mereka apabila mengekalkan kejuaraan dengan menewaskan Seberang Bukit Tumbuh FC 2-1 dalam Kejohanan Bola Sepak Piala YB ADUN Bukit Tunggal 2025 (11 sebelah) yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Isnin lalu.
Seberang Bukit Tumbuh terlebih dahulu membuka jaringan melalui Helmi Alias pada minit ke-25, namun semangat juang BTR FC tidak pernah luntur.
Meskipun beraksi dengan 10 pemain, mereka bangkit pada babak kedua menerusi dua jaringan Hafizul Syazwan pada minit ke-67 dan 80 untuk memastikan kemenangan dramatik.
Dengan keputusan itu, BTR FC muncul juara buat kali kedua berturut-turut selepas turut menjulang trofi pada edisi 2024.
Kejayaan berganda ini sekaligus mengukuhkan reputasi mereka sebagai pasukan pilihan di Bukit Tunggal.
Sebagai juara, BTR FC membawa pulang wang tunai RM2,500, medal dan piala pusingan, manakala Seberang Bukit Tumbuh selaku naib juara menerima RM1,000 beserta medal.
Tempat ketiga pula dikongsi bersama Gong Pak Damat FC dan PAKR Bukit Tunggal FC.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Zaharudin Zahid, berkata kejohanan ini bukan sahaja medan persaingan sukan, tetapi juga platform menyatukan anak muda dalam suasana harmoni.
“Tahniah kepada semua pasukan yang telah memberikan aksi terbaik. Sukan seperti ini adalah wadah penyatuan anak muda, mengalihkan tumpuan mereka ke arah aktiviti berfaedah dan penuh semangat kesukanan,” katanya.
Turut hadir meraikan kejayaan pasukan dan penyokong ialah Ketua Pemuda PAS Kuala Nerus, Ustaz Mohd Ridhuan Abdul Karim, yang menyatakan penghargaan terhadap penganjuran kejohanan yang memberi impak positif kepada komuniti setempat.