Artikel "Semasa" Terkini
"Langkah Kecil, Harapan Besar" - Dr. Sam
KUALA TERENGGANU, 27 Julai - Walaupun berdepan pelbagai keterbatasan, kerajaan negeri terus mencari ruang untuk membantu rakyat yang sedang berusaha memperbaiki kehidupan, dengan memperkenalkan Skim Pinjaman Pembiayaan Motosikal tanpa faedah.
Menyifatkan inisiatif ini sebagai 'langkah kecil, harapan besar', Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bantuan bernilai RM844,000 ini mungkin kecil dari segi angka, namun cukup besar maknanya buat mereka yang bergantung kepada motosikal untuk menjana pendapatan.
"Skim Pinjaman Pembiayaan Motosikal tanpa faedah ini mungkin kelihatan kecil pada angka, tetapi cukup besar maknanya buat mereka yang bergantung kepada motosikal untuk mencari rezeki, tak kira sebagai penghantar makanan, kurier, penjaja kecil, dan pekerja sektor e-dagang.
"Sebanyak RM844,000 telah diperuntukkan bagi membantu 160 orang di seluruh negeri. Lima orang di setiap DUN akan dikenal pasti, bukan kerana keistimewaan mereka, tetapi kerana kesungguhan mereka untuk bangkit dan berdikari.
"Bagi kerajaan negeri, motosikal ini bukan sekadar kenderaan. Ia adalah alat usaha. Ia melambangkan harapan. Ia membawa makna bahawa walau kecil sumbangan kami, kami tetap mahu berdiri di sisi rakyat yang tidak pernah putus asa.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan melalui akaun Facebook rasminya, di sini, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri tetap akan berusaha menyalurkan apa yang termampu dengan penuh tanggungjawab.
Dalam pada itu, Samsuri turut mengucapkan penghargaan kepada rakyat Terengganu yang terus memberikan kepercayaan dan ruang kepada pihak kerajaan negeri.
"Insya-Allah, kami akan terus berusaha menambah baik apa yang termampu, selagi diberi amanah," ujarnya.
Terdahulu, kerajaan Terengganu melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) telah memperuntukkan RM844,000 bagi Skim Pinjaman Pembiayaan Motosikal tanpa faedah untuk membantu golongan berpendapatan rendah memiliki motosikal bagi tujuan perniagaan dan pekerjaan.
Perkara itu telah diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dato' Ariffin Deraman pada 20 Julai yang lalu.
27 Jul 25
246
Kerajaan Negeri Pertimbang Tindakan Undang-Undang Terhadap Aiman
KUALA TERENGGANU, 24 Julai - Kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang fitnah dan tuduhan tidak berasas yang mencemarkan integriti pentadbiran negeri, khususnya berkaitan proses kelulusan permit hiburan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pihaknya sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap pemilik akaun media sosial yang dikenali sebagai Rezeki Aiman Enterprise.
"Kerajaan Negeri Terengganu mengambil maklum berhubung penyebaran satu rakaman video di media sosial khususnya TikTok oleh Pemilik Akaun Rezeki Aiman Enterprise yang mendakwa kononnya terdapat penyelewengan dalam kelulusan permit hiburan, termasuk dakwaan sogokan kepada pihak tertentu.
"Pemilik akaun tersebut kemudiannya membuat rakaman video lain untuk memohon maaf dan mengakui kenyataannya adalah tidak benar dan menarik balik kenyataan dalam rakaman video yang terdahulu.
"(Namun,) Kerajaan Negeri juga sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Pemilik Akaun Rezeki Aiman Enterprise.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media melalui akaun Facebook rasminya, sebentar tadi.
Dakwaan seperti itu bukan sahaja boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan, malah mencetuskan kekeliruan dan menjejaskan imej pentadbiran kerajaan negeri.
Justeru, Wan Sukairi menegaskan bahawa mana-mana pihak yang memiliki bukti sahih mengenai penyelewengan perlu menyalurkan maklumat tersebut secara rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bukan menyebarkannya di media sosial.
"Sekiranya terdapat pihak yang memiliki bukti sahih, mereka disarankan untuk menyalurkan maklumat tersebut secara rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan siasatan telus dan menyeluruh dijalankan," tambahnya.
Tindakan tegas itu penting sebagai mesej jelas bahawa kerajaan negeri tidak akan sesekali berdiam diri terhadap mana-mana cubaan mencemarkan imej dan integriti pentadbiran awam.
24 Jul 25
259
INSTEP Rai 73, Perkukuh Tenaga Mahir Tempatan
KUALA NERUS, 27 Julai - Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP) meraikan kejayaan 73 graduan program Technical Energy Enrichment Programme (TEP) Plus- Upstream ambilan Januari 2024, di Dewan Sri Gelam, INSTEP di sini.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif INSTEP, Ts. Azhar Ahmad berkata, TEP Plus mencerminkan komitmen berterusan INSTEP dan PETRONAS dalam memperkukuh bakat teknikal tempatan serta membina ekosistem tenaga yang mampan.
"Dengan sokongan rakan strategik seperti Aset Semenanjung Malaysia (PMA), Aset Sarawak (SKA) dan Aset Sabah (SBA), kami terus melabur dalam modal insan sebagai pemacu pertumbuhan industri masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, program TEP Plus merupakan inisiatif tajaan pra-pekerjaan yang direka untuk merapatkan jurang kemahiran antara pemegang diploma dan keperluan sebenar industri.
"Sepanjang program, peserta mengikuti latihan menyeluruh yang merangkumi pembelajaran campuran (blended learning), temuduga berasaskan kompetensi, lawatan ke loji serta bengkel teknikal bertaraf industri.
"Antara bidang yang ditawarkan pada ambilan kali ini ialah Pengeluaran, Instrumentasi, Elektrikal dan Mekanikal, selari dengan keperluan sektor tenaga masa kini," ujarnya.
Menurut Azhar, program selama 18 bulan itu ditaja oleh PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB) yang melibatkan seramai 73 peserta iaitu dari PMA (43 orang), SKA (20 orang) dan (10 orang).
"Para graduan turut menjalani latihan praktikal prasarana latihan di INSTEP, termasuk Loji Latihan Huluan dan Hiliran (Upstream Downstream Training Plant - UDTP), selain sesi pembelajaran dalam kelas dan bengkel," katanya.
Dalam pada itu katanya, bagi memperkukuh daya saing, peserta turut memperoleh sijil kompetensi yang diiktiraf industri seperti Authorized Entrant and Standby Person (AESP), Basic Offshore Safety Induction and Emergency Training (BOSIET) dan OPITO: Basic Hydrogen Sulfide (H2S) Training.
"Pelatih dalam bidang Elektrikal dan Instrumen pula menerima pensijilan IECEX (International Electrotechnical Commission System for Certification to Standards Relating to Equipment for Use in Explosive Atmospheres) yang melengkapkan mereka dengan kemahiran bekerja di persekitaran berisiko tinggi," ujarnya.
Tambah beliau, selain latihan teknikal, TEP Plus turut memberi penekanan kepada pembangunan holistik dan pembinaan karakter.
"Iaitu dengan penyertaan peserta dalam pelbagai aktiviti luar bilik darjah seperti kejohanan sukan, persembahan bakat, program pengurusan impak sosial termasuk aktiviti pembersihan pantai bersama komuniti setempat, serta program kerohanian dan motivasi seperti kelas al-Quran bagi pelatih beragama Islam," ujarnya.
Katanya, TEP Plus mencerminkan komitmen berterusan INSTEP dalam membangunkan bakat teknikal yang berdaya saing, selaras dengan aspirasi untuk menyokong pertumbuhan mampan dan ketahanan industri tenaga negara.
24 Jul 25
85
Usaha Terengganu Perkasa Islam Dapat Perhatian Tokoh Akademik Amerika
KUALA TERENGGANU, 23 Julai – Komitmen Kerajaan Terengganu dalam memperkukuh dasar serta pelaksanaan Islam di negeri ini menarik perhatian seorang tokoh akademik dari Amerika Syarikat.
Pengerusi Pembangunan Insan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata beliau menerima kunjungan hormat Profesor Timothy P. Daniels dari Universiti Hofstra, Amerika Syarikat, pagi tadi sebaik selesai Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN).
“Alhamdulillah, saya gembira dapat bertukar pandangan dengan beliau. Tidak disangka, beliau juga fasih berbahasa Melayu.
“Beliau banyak bertanyakan mengenai usaha kerajaan negeri dalam pelaksanaan Islam di Terengganu, khususnya dari aspek ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. Muhammad Khalil berkata pertemuan itu dimanfaatkan untuk menerangkan pendekatan kerajaan negeri dalam melaksanakan dasar Islam, terutamanya dari sudut ekonomi, demi memastikan kesejahteraan rakyat.
“Saya kongsikan bagaimana kerajaan negeri menekankan pembangunan insan melalui penghayatan nilai Islam, selain memperkukuh ekonomi melalui perniagaan patuh syariah dan pembangunan modal insan dalam industri,” ujarnya.
23 Jul 25
79
Ahli Parlimen Besut Gesa Pelantikan Jawatankuasa Dilakukan Secara Bebas
KUALA LUMPUR ,23 Julai - Perbahasan di Dewan Rakyat semalam sedikit tegang apabila Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh, membangkitkan isu berkaitan kuasa mutlak Menteri dalam pelantikan jawatankuasa di bawah Rang Undang-Undang (RUU) Perlindungan Pemberi Maklumat (Pindaan) 2025.
Ketika membahaskan RUU itu di peringkat Jawatankuasa, beliau mempersoalkan mengapa kuasa pelantikan hanya terletak pada menteri dan bukannya melalui mekanisme yang lebih telus dan bebas.
“Saya tengok kalau Menteri yang diberi kuasa, timbul persoalan sebenarnya – adakah ia boleh menimbulkan konflik kepentingan? Kalau Menteri itu sendiri terlibat dalam kes, siapa yang akan memantau? Tak ada peruntukan yang menghalang campur tangan Menteri,” katanya ketika berucap pada sesi perbahasan di Sidang Parlimen, semalam.
Mengulas lebih lanjut, beliau mencadangkan agar pelantikan jawatankuasa tersebut dilakukan oleh badan bebas seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau menerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.
Bagaimanapun, perbahasan beliau telah mencetuskan bantahan daripada beberapa Ahli Parlimen kerajaan yang membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36(2) dan 36(12), kononnya beliau menyentuh perkara yang sedang dalam pertimbangan mahkamah dan mengelirukan Dewan.
Justeru beliau menegaskan bahawa tidak perlu menyebut mana-mana fakta kes atau mencampuri prosiding mahkamah, sebaliknya hanya mengutarakan prinsip integriti dan keperluan reformasi dalam sistem pelantikan.
“Saya bukan cerita fakta kes. Saya hanya sentuh tentang keperluan mekanisme yang telus untuk elak pengaruh politik. Ini soal struktur, bukan soal mahkamah,” katanya mempertahankan hujahnya.
Sehubungan itu beliau turut menegaskan bahawa kredibiliti sesebuah jawatankuasa siasatan amat bergantung kepada ketelusan proses pelantikannya.
“Kalau pelantikan datang daripada Menteri, pasti akan wujud persepsi campur tangan politik. Maka lebih baik kita letakkan di bawah panel bebas atau Jawatankuasa Pilihan Parlimen,” katanya.
Sidang Dewan kembali tenang selepas Speaker membuat keputusan supaya mana-mana kenyataan yang menyentuh kes mahkamah ditarik balik dan perbahasan diteruskan
23 Jul 25
117
Taman Tema Air Sekayu Kembali Beroperasi 24 Julai
KUALA TERENGGANU, 22 Julai - Selepas melalui tempoh pemulihan yang panjang, Taman Tema Air di Taman Pertanian Negeri Sekayu bakal dibuka semula kepada orang ramai pada 24 Julai 2025.
Perkara ini disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim dalam satu kenyataan yang telah dikeluarkan melalui laman sosial media rasminya, semalam.
Beliau mengajak orang ramai untuk kembali mengunjungi taman tersebut, khususnya taman tema air yang menggunakan air bukit semula jadi yang jernih dan sejuk, menjadikannya lokasi santai bersama keluarga.
"24 Julai 2025, Taman Tema Air di Taman Pertanian Sekayu akan mula dibuka kepada pengunjung. Pakat bawa anak-anak mari main air sambil bersantai.
"Banyak aktiviti menarik ditawarkan di sini antaranya taman tema air, ladang buah-buahan, tapak perkhemahan, asrama penginapan untuk program kem atau kursus, ladang lebah kelulut, kandang ternakan, aktiviti air dan banyak lagi.
"Menariknya kerana taman tema air di sini bersumber terus dari air bukit yang mengalir jernih dan sejuk," katanya.
Menurutnya, taman tersebut yang sebelum ini menjadi antara destinasi agropelancongan popular di negeri ini terjejas teruk akibat banjir besar 2022, serangan gajah liar serta fenomena kepala air.
Terdahulu, Dr. Azman pernah menjelaskan bahawa kerja pemulihan pusat rekreasi tersebut tidak dijalankan secara menyeluruh, sebaliknya dilakukan secara bertahap melalui penglibatan pelbagai jabatan dan komuniti tempatan.
"Sejak setahun lepas, Kerajaan Negeri telah memperuntukan kira-kira RM2 juta bagi kerja-kerja pemulihan secara berperingkat.
"Jabatan-Jabatan Kerajaan di Hulu Terengganu seperti Pejabat Daerah, JKR, Majlis Daerah, Jabatan Perhutanan dan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong membantu Jabatan Pertanian.
"Untuk menjadi jabatan angkat bagi sama-sama menyumbang untuk mengembalikan kecerian Taman Pertanian Sekayu seterusnya menggamit semula kehadiran pengunjung," tambahnya.
Mengulas mengenai kadar bayaran, beliau yang juga merupakan ADUN Jabi menjelaskan ia masih dalam peringkat pertimbangan namun dijamin tidak akan membebankan pengunjung.
22 Jul 25
3600
Jadikan Keharmonian Sebagai Mekanisme Strategi Perniagaan - Ariffin
KUALA TERENGGANU, 22 Julai - Setiap syarikat digalak mengambil tindakan dengan menjadikan keharmonian sebagai mekanisme utama strategi perniagaan.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, apabila memfokus perkara tersebut, impak positif bukan sahaja dari segi kewangan malah dapat meningkatkan nilai kemanusiaan dalam pekerjaan.
Katanya, Kerajaan Negeri akan sentiasa menyokong inisiatif syarikat yang mengutamakan keharmonian dan kesejahteraan pekerja.
“Keharmonian perusahaan bukan sahaja menyumbang kepada kestabilan sosial dan ekonomi, malah menjadi asas kepada pelaksanaan undang-undang perburuhan yang efektif dan lestari.
“Oleh itu, kita harus terus memperkukuh dialog sosial, memperbaharui undang-undang yang lapuk, serta membina kepercayaan antara majikan dan pekerja demi menjamin masa depan perburuhan yang adil, progresif dan seimbang,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kolokium Keharmonian Perusahaan Negeri Terengganu Tahun 2025 : Pemantapan Hubungan Antara Pekerja, Majikan Dan Kesatuan Di Tempat Pekerjaan di Hotel Raia, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, penganjuran kolokium berkenaan turut bertujuan mengekalkan keharmonian perusahaan di negara ini melalui pemantapan pengetahuan tentang undang-undang perburuhan negara.
“Ia memberi pendedahan dan pengetahuan berkenaan kepentingan Industrial Harmony Index (IHI) dan juga pindaan Akta Perhubungan Perusahan 1967 kepada majikan, pekerja dan kesatuan sekerja dalam sektor swasta,” ujarnya.
Ariffin berkata, kolokium tersebut merupakan salah satu usaha Jabatan Perhubungan Perusahaan untuk mempertingkatkan keharmonian dalam pekerjaan bagi konteks pematuhan undang-undang dan peraturan perburuhan demi memastikan persekitaran kerja yang lebih kondusif, harmoni dan produktif.
“Program seperti ini amat bertepatan dan harus diperkasa dari semasa ke semasa.
“Saya percaya Jabatan Perhubungan Perusahaan sebagai agensi utama yang mengurus tadbir hubungan majikan dan pekerja, memainkan peranan penting dalam mendidik dan menyelesaikan sebarang perselisihan agar tidak menjejaskan kelangsungan sektor ekonomi dan perindustrian di negeri ini,” ujarnya.
Tegas beliau, kerajaan negeri komited dalam menyokong segala usaha yang memelihara kebajikan pekerja, sambil memastikan hak dan kepentingan majikan turut dijaga.
“Pendekatan yang seimbang ini akan terus menjadi teras dasar kerajaan negeri dalam merangka polisi berkaitan pembangunan modal insan dan tenaga kerja mahir.
“Saya menyeru agar semua pihak iaitu pekerja, majikan, kesatuan sekerja dan agensi kerajaan dapat terus berganding bahu bagi membentuk suasana kerja yang positif, bebas dari diskriminasi serta selamat dari sebarang bentuk eksploitasi atau penindasan,” ujarnya.
22 Jul 25
60
Terengganu International Esport Showdown 2025 Platform Promosi Sukan Digital
Oleh: Muhammad Zulkifli Sulaiman
KUALA TERENGGANU, 22 Julai – Kejohanan Terengganu International Esport Showdown 2025 menjadi platform dalam mempromosi budaya dan diplomasi sukan digital kepada semua peserta, khususnya pemain luar negara.
Presiden Persatuan Esport Malaysia Terengganu (ESMT), Ahmad Shahrul Nizam Ab Ghani berkata, dengan mengetengahkan nilai 'Terengganu Hospitality' , acara ini diharap bakal mengisi kalendar pelancongan negeri.
“Insha Allah, saya berharap kejohanan bertaraf antarabangsa ini akan dimasukkan ke dalam kalendar rasmi e-sukan antarabangsa,” katanya.
Kejohanan berprestij ini merupakan edisi pertama kejohanan e-sukan antarabangsa yang dianjurkan di luar Kuala Lumpur dan Kuala Terengganu dipilih sebagai lokasi penganjurannya.
Seramai 504 peserta dari seluruh negara termasuk sembilan negara luar merangkumi Indonesia, Laos, Thailand, Brunei, Myanmar, Jepun, India dan Nigeria telah mengambil bahagian menjadikannya antara acara e-sukan terbesar di Malaysia setakat ini.
Tiga permainan dipertandingkan merangkumi E-football, Mobile Legends Bang Bang (MLLB) dan PUBG Mobile.
Sementara itu, pemain e-sukan muda berbakat, Ahmad Muhaimin Abd Razak, 20, dari Selangor atau lebih mesra di sapa Minbappe mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai juara Terengganu International Esport Showdown 2025, sekaligus membawa pulang hadiah utama bernilai RM10,000.
Minbappe mempamerkan kehebatan luar biasa sepanjang kejohanan, menewaskan beberapa pemain profesional antarabangsa sebelum muncul juara mutlak.
Kejayaan Ahmad Muhaimin menjadi bukti bahawa Malaysia mempunyai bakat muda yang mampu bersaing di pentas dunia menjadi satu petanda positif untuk masa depan e-sukan negara.
22 Jul 25
323
Jelajah Silang Budaya SG4 Perkukuh Kerjasama Pelancongan Empat Negeri
KUALA TERENGGANU, 22 Julai – Program Jelajah Silang Budaya Beautiful Terengganu SG4 2025 berjaya memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang pelancongan antara negeri-negeri di bawah gagasan SG4 iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, jelajah di tiga negeri SG4 itu turut disusuli dengan program silang budaya yang mengetengahkan persembahan seni dan budaya masing-masing.
Katanya, jelajah itu bukan sahaja memberi peluang untuk mempromosikan pelancongan Terengganu, malah turut mengeratkan hubungan dua hala antara kerajaan negeri.
“Program ini dimulakan di Kelantan menerusi kunjungan hormat Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang, Dato’ Mohd Nassuruddin Daud serta penganjuran program silang budaya di Dewan Gelanggang Seni, Kota Bharu.
“Silang budaya itu menyaksikan persembahan kebudayaan seperti tarian dan nyanyian daripada negeri Terengganu dan Kelantan sekali gus menampilkan keunikan kedua-dua negeri tersebut,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media di Perkarangan Menara Alor Setar, Kedah baru-baru ini.
Program Silang Budaya Beautiful Terengganu SG4 ini turut dihadiri Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar serta Tengku Seri Temenggong Raja Terengganu serta barisan kepimpinan kerajaan negeri dan barisan konvoi.
Razali berkata melalui siri jelajah ini, pihaknya dapat berkongsi pengalaman, idea serta perancangan strategik bersama negeri-negeri dalam SG4 dalam usaha memperkasa industri pelancongan serantau secara kolektif.
“Jelajah diteruskan ke Kedah dan Perlis, di mana delegasi Terengganu mengadakan pertemuan bersama Exco Pelancongan Kedah, Dato’ Salleh Saidin di Menara Alor Setar, dan Exco Pelancongan Perlis, Abu Bakar Hamzah di Dewan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis.
"Dalam pada itu, jelajah ini turut diperluaskan ke peringkat antarabangsa menerusi lawatan rasmi ke Narathiwat, Thailand," ujarnya.
Di sana, delegasi Terengganu telah mengadakan pertemuan dengan Datuk Bandar Narathiwat, Mr Ruslan Arong dan Timbalan Gabenor Narathiwat, Mr Kritsananan Kamrai.
21 Jul 25
133
Empat Loji Rawatan Air SATU Terima Penarafan Bintang Oleh CGSO
KUALA TERENGGANU, 20 Julai - Komitmen Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU) dalam memastikan keselamatan fizikal fasiliti air dan persekitaran kerja yang selamat mendapat pengiktirafan apabila empat buah Loji Rawatan Air (LRA) kendaliannya dianugerahkan penarafan bintang oleh Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO).
Antara yang menerima pengiktirafan tertinggi ialah LRA Bukit Bunga di Besut yang berjaya memperoleh penarafan lima bintang, manakala LRA Sungai Tong (Setiu), LRA Kepong dan LRA Losong (Kuala Terengganu) masing-masing dianugerahkan empat bintang.
Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Ts. Abdul Karim Endut berkata, pencapaian itu merupakan hasil daripada pelaksanaan berterusan prosedur keselamatan ketat serta pematuhan kepada standard keselamatan yang digariskan oleh CGSO.
"SATU telah berjaya meraih pengiktirafan lima bintang dalam audit Jabatan Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia buat pertama kalinya sejak penubuhan SATU pada 1999.
"Pencapaian bersejarah ini mencerminkan komitmen seluruh warga kerja SATU dalam memastikan tadbir urus keselamatan maklumat, infrastruktur dan operasi yang terbaik bagi menjamin kelangsungan bekalan air bersih kepada rakyat Terengganu.
"Ia juga membantu mengurangkan potensi ancaman keselamatan dalaman dan luaran selain memberi dorongan untuk penambahbaikan berterusan dalam aspek operasi dan HSSE," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Minggu Keselamatan, Kesihatan, Sekuriti dan Alam Sekitar (HSSE Week) SATU 2025 yang berlangsung di Permai Hotel, baru-baru ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) negeri, Ir. Noorazman Soud; Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, PPjB Nor Mahathir Muhamad; wakil CGSO negeri, Nazrul Hisyam Sidik serta rakan operator air dari negeri lain seperti Ranhill SAJ dan PAIP.
Tambah Abdul Karim, melalui penarafan bintang tersebut tahap keyakinan pelanggan terhadap servis SATU dari segi profesionalisme dan keselamatan operasi loji SATU dijangka akan meningkat.
"Pencapaian ini juga mencerminkan Keselamatan infrastruktur kritikal nasional (critical national infrastructure) terjamin. SATU mempunyai enam Loji Rawatan Air berstatus 'Sasaran Penting' sekaligus menunjukkan bahawa SATU mampu membekalkan bekalan air yang berkualiti dan terjamin," katanya lagi.
Beliau juga berkata, WEEK 2025 dengan tema 'Safe Steps, Green Future' merupakan program tahunan SATU bagi menunjukkan komitmen anak syarikat kerajaan negeri itu dalam penjagaan aspek keselamatan, kesihatan, dan alam sekitar.
20 Jul 25
171