lightning-solid
Berita :
Ahli Parlimen Besut Gesa Pelantikan Jawatankuasa Dilakukan Secara Bebas
Ahli Parlimen Besut Gesa Pelantikan Jawatankuasa Dilakukan Secara Bebas
Mohd Hafiz Azrin Abdul Razak
23 Jul 25
111

KUALA LUMPUR ,23 Julai - Perbahasan di Dewan Rakyat semalam sedikit tegang apabila Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh, membangkitkan isu berkaitan kuasa mutlak Menteri dalam pelantikan jawatankuasa di bawah Rang Undang-Undang (RUU) Perlindungan Pemberi Maklumat (Pindaan) 2025.

Ketika membahaskan RUU itu di peringkat Jawatankuasa, beliau mempersoalkan mengapa kuasa pelantikan hanya terletak pada menteri dan bukannya melalui mekanisme yang lebih telus dan bebas.

“Saya tengok kalau Menteri yang diberi kuasa, timbul persoalan sebenarnya – adakah ia boleh menimbulkan konflik kepentingan? Kalau Menteri itu sendiri terlibat dalam kes, siapa yang akan memantau? Tak ada peruntukan yang menghalang campur tangan Menteri,” katanya ketika berucap pada sesi perbahasan di Sidang Parlimen, semalam.

Mengulas lebih lanjut, beliau mencadangkan agar pelantikan jawatankuasa tersebut dilakukan oleh badan bebas seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau menerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

Bagaimanapun, perbahasan beliau telah mencetuskan bantahan daripada beberapa Ahli Parlimen kerajaan yang membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36(2) dan 36(12), kononnya beliau menyentuh perkara yang sedang dalam pertimbangan mahkamah dan mengelirukan Dewan.

Justeru beliau menegaskan bahawa tidak perlu menyebut mana-mana fakta kes atau mencampuri prosiding mahkamah, sebaliknya hanya mengutarakan prinsip integriti dan keperluan reformasi dalam sistem pelantikan.

“Saya bukan cerita fakta kes. Saya hanya sentuh tentang keperluan mekanisme yang telus untuk elak pengaruh politik. Ini soal struktur, bukan soal mahkamah,” katanya mempertahankan hujahnya.

Sehubungan itu beliau turut menegaskan bahawa kredibiliti sesebuah jawatankuasa siasatan amat bergantung kepada ketelusan proses pelantikannya.

“Kalau pelantikan datang daripada Menteri, pasti akan wujud persepsi campur tangan politik. Maka lebih baik kita letakkan di bawah panel bebas atau Jawatankuasa Pilihan Parlimen,” katanya.

Sidang Dewan kembali tenang selepas Speaker membuat keputusan supaya mana-mana kenyataan yang menyentuh kes mahkamah ditarik balik dan perbahasan diteruskan


Artikel Berkaitan