lightning-solid
Berita :
Tangani Vape Peranan Bersama
Tangani Vape Peranan Bersama
Noraini Jusoh
06 Aug 25
35

Oleh: Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 6 Ogos – Kerajaan Terengganu mengambil langkah drastik dan bertanggungjawab dengan menguatkuasakan pengharaman penjualan vape sepenuhnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Muhammad Fauzi berkata, statistik semasa menunjukkan trend membimbangkan apabila ketagihan vape dalam kalangan remaja dan kanak-kanak semakin meningkat dengan ketara.

"Lebih memburukkan keadaan, ada laporan menyatakan bahawa kanak-kanak seawal usia darjah satu telah mula terjebak dengan penggunaan vape, terpengaruh dengan rekaan bekas yang menarik dan perisa-perisa yang menggoda.

“Berdasarkan data, ketagihan merokok menunjukkan penurunan, namun ketagihan terhadap vape meningkat berkali ganda. Ini satu perkembangan yang amat membimbangkan,” ujarnya.

Beliau menjelaskan demikian ketika menjadi ahli panel dalam forum Bicara Santai Karnival Indahnya Hidup Bersyariat yang diadakan Dewan Arena Merdeka di sini  baru -baru ini.

Menurutnya, vape bukan sahaja mudah diakses, tetapi kandungannya yang menggunakan cecair nikotin boleh dimanipulasi untuk dicampurkan dengan pelbagai bahan terlarang termasuk dadah berbahaya. 

“Tidak seperti rokok yang memerlukan tembakau dan mengeluarkan bau, vape lebih sukar dikesan. Penggunaannya boleh menyembunyikan pelbagai bentuk bahan kimia yang merosakkan,” jelas beliau.

Lebih mengejutkan, kerajaan turut menerima maklumat tentang kewujudan perisa vape berasaskan ‘mushroom’ yang mengandungi bahan psikoaktif dan berpotensi tinggi merosakkan otak. “Jika diambil secara berlebihan, ia boleh menyebabkan kerosakan saraf otak dan gangguan mental. Ramai anak muda menjadi ‘gila’ akibat perisa ini,” tambahnya.

Oleh itu, pengharaman ini adalah satu bentuk kasih sayang dan tanggungjawab kerajaan terhadap generasi muda supaya mereka tidak terus terjerumus dalam kancah kerosakan. 

“Kita mahu anak-anak kita menjadi generasi yang soleh dan solehah, bukan menjadi mangsa kepada vape yang merosakkan,” ujarnya.

Katanya, pemilik dan pengusaha premis vape dinasihatkan agar tidak mementingkan keuntungan semata-mata, hingga sanggup melihat generasi muda rosak hanya kerana sifat tamak. 

“Semua pihak diminta memberi kerjasama penuh dalam usaha membanteras penggunaan vape ini secara menyeluruh.

“Jangan sampai kerana ingin mengaut untung, kita mengorbankan masa depan anak bangsa.”

Katanya, kerajaan komited untuk mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar larangan ini.
 


Artikel Berkaitan