lightning-solid
Berita :
Program Hulu Besut Bersih Dilancar Serentak
Program Hulu Besut Bersih Dilancar Serentak
Norekwan Mamat
12 Aug 25
104

Hulu Besut, 12 Ogos – Majlis Pelancaran Program Hulu Besut Bersih telah berlangsung dengan jayanya dan dilancarkan serentak di 36 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) membabitkan seluruh DUN Hulu Besut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin berkata, majlis ini bukan sekadar himpunan biasa, tetapi menjadi titik tolak kepada satu gerakan yang membawa harapan baharu untuk Hulu Besut.

"Program ini adalah permulaan, dan ia tidak akan terhenti di sini. Selepas ini, akan diadakan pelbagai aktiviti susulan seperti gotong-royong kampung, kempen kesedaran, pertandingan keceriaan, dan lain-lain usaha bagi menjadikan kebersihan sebagai budaya hidup masyarakat Hulu Besut," katanya.

Tambah beliau, program ini tidak seharusnya menjadi kempen bermusim yang dilupakan selepas sebulan, sebaliknya perlu dijadikan cara hidup sepanjang masa.

"Apabila kita bercakap tentang kebersihan, jangan sempitkan pemahaman hanya kepada 'bebas sampah'. Kebersihan yang dimaksudkan adalah menyeluruh merangkumi kebersihan fizikal, rohani, jiwa, tutur kata, pemikiran, dan hati. Jika semua aspek ini kita pelihara, Hulu Besut bukan sahaja bersih di mata manusia, malah mulia di sisi Allah SWT," ujarnya.

Majlis ini telah disempurnakan perasmiannya oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terengganu, YB Dato’ Haji Wan Sukairi Wan Abdullah di Dataran Kampung Keruak, pada kemarin.

Husaimi turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Daerah Besut sebagai rakan utama Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Hulu Besut dalam menjayakan program ini.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua jabatan, agensi, pertubuhan, NGO, sukarelawan, dan seluruh JPKK DUN Hulu Besut yang telah memberi komitmen dalam menjayakan inisiatif ini.

 


Artikel Berkaitan