KUALA TERENGGANU, 16 Oktober – Program Maulid Akbar Terengganu Berselawat UntukMu al-Aqsa diangkat sebagai acara tahunan negeri dalam usaha memperkukuh dakwah, menyemarakkan kecintaan terhadap Rasulullah SAW dan memperteguh solidariti umat Islam terhadap perjuangan membebaskan bumi al-Aqsa.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, keputusan menjadikan program itu acara tahunan mencerminkan komitmen kerajaan negeri memperkukuh syiar Islam serta keprihatinan terhadap nasib saudara seagama di Palestin.
"Kerajaan Terengganu mengumumkan bahawa Program Maulid Akbar Terengganu Berselawat UntukMu al-Aqsa akan dijadikan acara tahunan negeri sebagai satu usaha memperkukuh dakwah, menyemarakkan kecintaan kepada Rasulullah SAW dan memperteguh solidariti terhadap perjuangan umat Islam di Palestin.
"Program ini membuktikan bahawa rakyat Terengganu teguh mencintai Rasulullah SAW dan prihatin terhadap isu ummah global. Inilah kekuatan sebenar umat apabila kita bersatu dalam zikrullah dan perjuangan menegakkan Islam," katanya dalam satu kenyataan rasmi semalam.

Beliau menjelaskan, ribuan umat Islam hadir membanjiri Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah semalam bagi bersama-sama berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
"Program yang berlangsung di stadium menyaksikan lautan manusia membanjiri ruang bagi bersama-sama berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
"Kehadiran rakyat daripada segenap lapisan pemimpin negeri, ulama, pelajar, belia serta masyarakat umum mencerminkan satu kesatuan hati yang luar biasa," jelasnya.
Muhammad Khalil turut menegaskan bahawa tema ‘UntukMu al-Aqsa’ menjadi simbol cinta dan tanggungjawab umat Islam terhadap kiblat pertama umat dan tanah suci yang kini terus dizalimi.
"Tema ini dipilih sebagai simbol cinta dan tanggungjawab terhadap Masjid al-Aqsa, tanah perjuangan para anbiya’ yang sedang menghadapi penindasan berterusan.
"Terengganu mahu menjadi antara negeri terkehadapan dalam dunia Islam yang menghubungkan kecintaan kepada Rasulullah SAW dengan tanggungjawab mempertahankan bumi perjuangan itu," tambahnya.
Dalam masa sama, beliau menyeru agar umat Islam tidak hanya berdiam diri menyaksikan penderitaan di Palestin, sebaliknya menjadikan selawat dan doa sebagai senjata menyatukan hati.
"Kita tidak boleh hanya menyaksikan dari jauh. Dengan selawat dan doa, kita menyatukan jiwa dan menyemarakkan kesedaran masyarakat.
"Perjuangan membebaskan al-Aqsa adalah perjuangan seluruh umat Islam, dan ia mesti ditanam dalam hati anak muda kita," jelas beliau.
Menurut beliau, dengan pelaksanaan tahunan selepas ini, program tersebut akan menjadi acara rasmi dalam kalendar dakwah negeri yang menggabungkan semangat kerohanian dan solidariti antarabangsa.
"Dengan pelaksanaan tahunan selepas ini, program ini akan menjadi acara rasmi yang menggabungkan dimensi kerohanian, kebersamaan rakyat dan solidariti antarabangsa.
"Hasrat Terengganu ialah untuk kekal sebagai Negeri Anjung Ilmu dan benteng Islam di rantau ini," ujarnya.