KUALA LUMPUR, 16 Oktober – Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh menegur kelemahan dan percanggahan dalam Belanjawan 2026 yang disifatkannya sebagai tidak konsisten dan gagal menzahirkan komitmen sebenar kerajaan terhadap rakyat dan dasar negara.
Dalam perbahasan di Dewan Rakyat, beliau menumpukan kepada beberapa isu utama termasuk kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi undang-undang, perubahan dasar PTPTN, kekeliruan peranan GLC dan GLIC dalam belanjawan negara, ketidakseimbangan pembangunan wilayah serta isu penjualan arak dalam kapal terbang.
Beliau menyambut baik hasrat kerajaan untuk menterjemah undang-undang pra-1967 daripada Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu, namun menegaskan langkah itu tidak cukup berani dan belum menggambarkan kesungguhan sebenar dalam memartabatkan bahasa kebangsaan.
Menurutnya, selepas 68 tahun merdeka dan 58 tahun Akta Bahasa Kebangsaan 1967 diluluskan, masih banyak undang-undang negara yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai naskhah rasmi.
Beliau menegur kerajaan kerana hanya memfokuskan kepada undang-undang pra-1967 sedangkan akta-akta yang digubal selepas 1967 juga masih dalam Bahasa Inggeris, termasuk ketika pindaan Kanun Kesiksaan dibentangkan baru-baru ini.
"Keadaan ini menunjukkan masih ada urusan rasmi kerajaan yang lebih mengutamakan bahasa Inggeris berbanding bahasa kebangsaan, sedangkan Akta Bahasa Kebangsaan sudah lama berkuat kuasa.
"Saya mencadangkan agar kerajaan menetapkan sasaran nasional menjelang tahun 2030 untuk menyiapkan semua terjemahan undang-undang serta menjadikan versi Bahasa Melayu sebagai naskhah autoritatif mengatasi versi Bahasa Inggeris, selaras dengan subseksyen 7(1) Akta Bahasa Kebangsaan," katanya.
Dalam isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Che Mohamad Zulkifly menyifatkan langkah kerajaan untuk menghadkan pengecualian bayaran balik kepada pelajar cemerlang daripada keluarga miskin dan menengah sebagai dasar yang tidak adil dan tidak konsisten.
Menurutnya, sebelum ini semua graduan kelas pertama diberi pengecualian bayaran balik tanpa mengira latar belakang keluarga, namun dasar baharu kerajaan menafikan pengiktirafan kepada pelajar cemerlang yang bukan daripada keluarga miskin.
Beliau turut mengingatkan janji Perdana Menteri sebelum ini yang pernah menyatakan hasil Petronas boleh digunakan bagi menampung hutang PTPTN.
"Petronas tahun lepas merekodkan keuntungan RM55 bilion, manakala hutang PTPTN hanya RM6 bilion, tetapi janji tersebut tidak pernah ditunaikan.
"Sebaliknya, kerajaan kini mahu menyekat rakyat keluar negara sekiranya gagal membayar balik pinjaman.
“Tindakan kerajaan ini menunjukkan perubahan nada dan dasar yang ketara, menimbulkan persoalan terhadap kejujuran dalam pelaksanaan janji kepada rakyat. Islam memberi amaran keras kepada orang yang berjanji tetapi mungkir dan mengkhianati amanah,” tegas beliau.
Che Mohamad Zulkifly turut menegur tindakan kerajaan memasukkan angka dan aktiviti syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dalam Belanjawan 2026.
Jelasnya, belanjawan sepatutnya membincangkan dasar fiskal kerajaan, bukan akaun syarikat.
"Tindakan ini bukan sahaja mengelirukan, tetapi bercanggah dengan amalan tadbir urus kewangan yang baik," katanya.