lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

6,000 Rakyat Terengganu Sertai Hari Cuci Malaysia
6,000 Rakyat Terengganu Sertai Hari Cuci Malaysia
KUALA TERENGGANU, 28 September – Seramai 6,000 peserta membanjiri Pantai Batu Buruk sempena Hari Cuci Malaysia 2025 bersempena World Cleanup Day 2025 peringkat negeri Terengganu yang berlangsung semalam. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, program anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu diadakan secara serentak di seluruh negara dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk agensi negeri dan pihak berkuasa tempatan, institusi pendidikan, syarikat pembersihan, sektor perumahan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat umum. “Tujuannya adalah untuk melaksanakan aktiviti gotong royong bersepadu yang merangkumi pembersihan kawasan sekitar, menutup tapak sampah haram, serta menggerakkan kempen kitar semula. “Pada masa yang sama, ia mendidik orang ramai supaya lebih peka terhadap pengurangan penggunaan plastik sekali guna,” jelasnya. Beliau menegaskan, usaha itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan aspek kebersihan, kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan komuniti terus terjamin. Menariknya, program kali ini turut disertai pihak swasta seperti RD Paper dan Sally Global yang membuka booth e-waste dan booth belian minyak masak terpakai di kawasan tapak perasmian. Sambutan orang ramai amat menggalakkan, menunjukkan kesedaran semakin meningkat terhadap kitar semula bahan terbuang. Untuk rekod, setiap 1 kilogram minyak masak terpakai dibeli dengan harga RM2.50 bagi menggalakkan orang ramai menyumbang bahan terpakai tersebut untuk dijana semula menjadi tenaga boleh diperbaharui seperti biodiesel.    
28 Sep 25
635
MBKT Sita Palang Haram di Pulau Warisan
MBKT Sita Palang Haram di Pulau Warisan
KUALA TERENGGANU, 28 September - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) telah mengambil tindakan terhadap pemasangan palang parkir yang didirikan tanpa kebenaran pihak majlis di kawasan Pulau Warisan dalam operasi yang dijalankan malam tadi. Jurucakap MBKT memaklumkan, perbuatan tersebut adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 46(1)(a), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133). "Sehubungan itu, pihak majlis memohon pemilik untuk mengalih atau merobohkan besi (palang) tersebut dengan segera," ujarnya dalam satu hantaran di laman facebook rasmi MBKT, hari ini. Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa merujuk sumber rasmi MBKT bagi mengelakkan kekeliruan dan penyebaran maklumat tidak tepat. Terdahulu, isu pemasangan palang automatik di Pulau Warisan tular baru-baru ini ekoran didapati dipasang tanpa sebarang permohonan dan kelulusan rasmi daripada pihak berkuasa tempatan.  Bertindak atas aduan orang ramai, MBKT mengeluarkan notis kesalahan serta mengarahkan supaya peralatan tersebut dialihkan segera.
28 Sep 25
2513
Sultan Mizan Berkenan Lancar CEFORE, Lembaran Baharu Tenaga Boleh Diperbaharui
Sultan Mizan Berkenan Lancar CEFORE, Lembaran Baharu Tenaga Boleh Diperbaharui
KUALA TERENGGANU, 27 September – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus melakar sejarah apabila melancarkan Centre for Offshore Renewable Energy (CEFORE), pusat penyelidikan berimpak tinggi dalam bidang tenaga boleh diperbaharui yang dijangka memberi manfaat besar kepada rakyat dan komuniti setempat. CEFORE lahir hasil kerjasama strategik antara UMT dan PETRONAS, gabungan kepakaran akademik dan industri yang diyakini mampu memacu peralihan tenaga negara ke arah lebih lestari. Majlis perasmian yang berlangsung pada hari ini disempurnakan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang turut menzahirkan penghargaan terhadap usaha UMT bersama PETRONAS memperkukuh agenda tenaga hijau negara. Turut hadir, Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.  Naib Canselor UMT, Prof Ir. Ts. Dr Mohd Zamri Ibrahim berkata, Terengganu mempunyai kelebihan dari sudut geografi dan sumber semula jadi, khususnya aliran angin yang berterusan. “CEFORE bukan sekadar pusat penyelidikan, tetapi platform Industry on Campus yang menghubungkan pelajar, penyelidik dan rakan industri untuk menghasilkan penyelesaian praktikal kepada cabaran tenaga negara,” katanya. Menurut beliau, CEFORE akan memberi fokus kepada tenaga baharu seperti angin, ombak, arus pasang surut, solar terapung, hidrogen hijau serta teknologi penyimpanan tenaga. “Pusat ini juga berperanan sebagai fasiliti Proof of Operation untuk menguji keberkesanan sistem dalam keadaan operasi sebenar dari segi prestasi, keselamatan dan kebolehpercayaan,” jelasnya. Sementara itu, Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Mohd Bakke Salleh berkata, inisiatif itu membuktikan komitmen PETRONAS menyokong aspirasi negara mempercepatkan peralihan tenaga. “Dengan kepakaran penyelidikan UMT, CEFORE mampu menjadi pemangkin pembangunan tenaga boleh diperbaharui sekali gus mengangkat kedudukan Malaysia dalam transformasi tenaga hijau di rantau ini. “Lebih penting, ia bukan sahaja menyumbang kepada matlamat neutral karbon negara, malah membawa manfaat nyata kepada komuniti tempatan,” katanya. Dalam masa sama, UMT turut mengumumkan program baharu iaitu Ijazah Sarjana Muda Teknologi Tenaga Boleh Diperbaharui dengan pengambilan pertama seramai 40 pelajar bermula Oktober ini. Kewujudan CEFORE bukan sahaja memperkukuh penyelidikan, malah dijangka memberi kesan sosioekonomi positif kepada penduduk sekitar termasuk nelayan melalui pemindahan ilmu, pembangunan modal insan serta peluang edu-pelancongan. UMT optimis CEFORE akan menjadi pemangkin kepada sasaran negara mencapai neutral karbon menjelang 2050 serta mengangkat Terengganu sebagai hab kecemerlangan tenaga lestari serantau.
27 Sep 25
186
Kuala Terengganu Rampas Kembali Juara Sukan Terengganu
Kuala Terengganu Rampas Kembali Juara Sukan Terengganu
KUALA NERUS, 27 September - Kontinjen Kuala Terengganu merampas tahta kejuaraan Sukan Terengganu (SUTERA) 2025 apabila mengumpul 37 pingat emas, 21 pingat perak dan 13 gangsa dengan keseluruhan 71 pingat, dalam temasya yang berakhir hari ini. Kemenangan itu menyaksikan Kuala Terengganu kembali mencipta 'perseteruan' dengan Kuala Nerus setelah kali terakhir muncul juara SUTERA edisi pertama pada tahun 2019. Kuala Terengganu membawa pulang piala kejuaraan dan hadiah wang tunai RM75,000. Juara edisi lalu, Kuala Nerus pula sekadar berada di tempat kedua walaupun berjaya mengutip jumlah pingat yang sama (71 pingat) menerusi 20 emas, 29 perak dan 22 gangsa. Kontinjen berkenaan membawa pulang piala dan hadiah wang tunai berjumlah RM50,000. Dalam majlis penutup SUTERA yang dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Nara Setia itu, tempat ketiga keseluruhan dinobatkan kepada kontinjen daerah Kemaman yang menerima hadiah piala dan wang tunai RM25,000.  
27 Sep 25
611
Karnival Berakit 5.0 Hidupkan Warisan Sungai & Semangat Patriotisme
Karnival Berakit 5.0 Hidupkan Warisan Sungai & Semangat Patriotisme
HULU TERENGGANU, 27 September – Hampir 250 peserta dari empat mukim menyemarakkan Karnival Berakit 5.0 yang berlangsung di Dataran Sheikh Abdul Qahar, Kampung Dusun, bermula 25 hingga 27 September hari ini. Acara penuh warna-warni itu menampilkan ekspedisi rakit sejauh 12 kilometer dari Kampung Dusun ke Kampung Buluh yang mengambil masa hampir dua jam, selain pelbagai aktiviti berteraskan budaya dan warisan masyarakat Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato'  Ariffin Deraman berkata, program yang mula dimasukkan dalam kalendar sejak 2019 itu bukan sahaja menjadi tarikan pelancongan, malah menghidupkan kembali nostalgia rakit serta menyelami pengorbanan generasi terdahulu mempertahankan tanah air. “Selain menghargai keindahan sungai, karnival ini juga mengeratkan hubungan masyarakat. Semangat gotong-royong dan kebersamaan inilah yang ingin kita warisi. "Sungai bukan sahaja dilihat sebagai sumber ekonomi tambahan masyarakat, malah kini menjadi simbol kebersamaan serta warisan yang wajar dipelihara untuk generasi akan datang,” katanya ketika merasmikan program Karnival tersebut di sini hari ini. Turut hadir, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato' Rosol Wahida dan ADUN Telemong, Zawawi Ismail. Program tiga hari tersebut merupakan cetusan idea Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong turut mendapat kerjasama dari pelbagai pihak termasuk Pejabat Daerah, Polis, Bomba dan agensi-agensi berkaitan. Antara pengisian lain ialah sukan tradisional, demonstrasi masakan, pertunjukan ayam jangok serta persembahan kebudayaan yang menambah seri karnival rakyat itu.  
27 Sep 25
552
Aksi Sengit AlFateh - Haziq Jadi Penutup Sempurna Pingpong SUTERA
Aksi Sengit AlFateh - Haziq Jadi Penutup Sempurna Pingpong SUTERA
KUALA NERUS, 27 September - Acara perseorangan lelaki Pingpong akhir menyaksikan wakil Besut, Muhammad AlFateh Ahmad Fuad menang tipis ke atas wakil Kuala Nerus, Muhammad Haziq Syazwan Mohamad Sabri dengan skor 4-3, untuk meraih pingat emas dalam Sukan Terengganu (SUTERA) 2025. Dalam aksi sengit yang berlangsung di Ar-Riyadah Residence, Haziq terlebih dahulu mendahului pada set pertama, sebelum AlFateh melakukan kebangkitan memenangi set kedua dan ketiga untuk kedudukan 1-2. Haziq kembali bangkit menyamakan kedudukan 2-2 pada set seterusnya, sebelum kedua-dua pemain saling meraih kemenangan bagi set kelima dan keenam. Memasuki set penentuan, AlFateh memusnahkan harapan Haziq apabila menang 11-2 mata, untuk muncul sebagai juara dengan skor 4-3. Kemenangan itu turut menyaksikan tiada dominasi pasukan berlaku di lapangan acara Pingpong yang berakhir, hari ini. Menawarkan lima kategori pertandingan, acara perseorangan lelaki dimenangi Besut dan wanita diraih pemain Setiu. Manakala, beregu wanita menjadi milik pasukan Marang, Kuala Nerus merebut gelaran jaguh beregu lelaki dan beregu campuran digondol pasukan Kemaman.          
27 Sep 25
171
Terengganu Sambut Baik Jadikan Sabtu Terakhir September Hari Cuci Malaysia
Terengganu Sambut Baik Jadikan Sabtu Terakhir September Hari Cuci Malaysia
KUALA TERENGGANU, 27 September - Kerajaan Terengganu menyambut baik pengisytiharan hari Sabtu sebagai Hari Cuci Malaysia yang bertujuan meningkatkan kesedaran rakyat terhadap kebersihan dengan melaksanakan aktivti gotong royong bersepadu yang diadakan serentak seluruh negara. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata,  program tersebut yang dianjurkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah dilaksanakan melalui kerjasama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu. Katanya, Hari Cuci Malaysia yang telah dilaksanakan sempena 'World Cleanup Day 2025' telah memasuki tahun kedua pelaksanaannya di seluruh negara. "Program ini bukan sekadar aktiviti mengutip sampah, tetapi ia adalah manifestasi semangat kesukarelawanan rakyat untuk bersama-sama memelihara kebersihan dan keindahan persekitaran. "Ia selaras dengan usaha kerajaan negeri yang sentiasa menekankan pentingnya nilai kebersihan, tanggungjawab sosial dan kesedaran sivik dalam kehidupan seharian. "Kita percaya bandar yang bersih dan indah bukan hanya mencerminkan imej negeri, tetapi turut memberi keselesaan kepada masyarakat serta menarik kehadiran pelancong," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Hari Cuci Malaysia 2025, Peringkat Negeri Terengganu, di Dataran Batu Buruk, di sini, hari ini. Dalam pada itu, Wan Sukairi turut menyeru agar semua pihak sama ada agensi kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Badan Bukan Kerajaan (NGO), pihak swasta mahupun orang awam terus berganding bahu menjayakan program inisiatif kebersihan. "Kerana kebersihan ini bukan hanya tanggungjawab kerajaan atau PBT sahaja, tetapi ia merupakan amanah yang perlu dipikul oleh setiap lapisan masyarakat. "Budaya menjaga kebersihan perlu diamalkan setiap hari dengan memastikan buang sampah di tempatnya, kurangkan penggunaan plastik sekali guna, menyokong kitar semula, sehinggalah menyertai program kesukarelawanan seperti yang kita jayakan pada pagi ini," ujarnya.  
27 Sep 25
715
Pemenang Pertandingan Video Kreatif Perarakan Bot Merdeka 2025 Terima Penghargaan
Pemenang Pertandingan Video Kreatif Perarakan Bot Merdeka 2025 Terima Penghargaan
KUALA TERENGGANU, 26 September – Seramai tujuh orang peserta telah menerima penghargaan dalam satu Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Video Kreatif sempena Perarakan Bot Merdeka 2025 Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, baru-baru ini. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua peserta yang menyertai pertandingan tersebut. "Tahniah kepada semua pemenang dan peserta Pertandingan Video Kreatif sempena Perarakan Bot Merdeka 2025 Peringkat Negeri Terengganu yang telah menunjukkan kreativiti masing-masing. "Insya-Allah, program ini akan diteruskan setiap tahun sebagai platform untuk mencungkil bakat rakyat Terengganu serta menyemarakkan semangat cintakan tanah air," katanya dalam satu hantaran Facebooknya. Menurut beliau, penganjuran pertandingan itu telah diusahakan bersama Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI). Hadir sama, Pengarah UPDI, Mohd Harun Esa serta Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Hilman Ajijan dalam menyempurnakan majlis tersebut. Pertandingan yang bertemakan "Semarak Merdeka, Jiwa Patriotik" itu terbuka kepada rakyat Terengganu berumur 18 tahun ke atas, dengan syarat penyertaan hanya satu video bagi setiap peserta berdurasi 1 hingga 3 minit, menggunakan format ditetapkan dan resolusi minimum 1080p. Hadiah yang ditawarkan termasuk wang tunai RM500 untuk pemenang pertama, RM300 bagi tempat kedua, RM200 bagi tempat ketiga serta saguhati RM100 untuk empat pemenang.
26 Sep 25
55
Hulu Terengganu Juara Baharu Bola Sepak SUTERA 2025
Hulu Terengganu Juara Baharu Bola Sepak SUTERA 2025
KUALA NERUS, 26 September - Pasukan Hulu Terengganu muncul pemenang pingat emas acara bola sepak Sukan Terengganu (SUTERA) 2025 apabila menewaskan Kuala Nerus 1-0, sebentar tadi. Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, kedua-dua pasukan memulakan perlawanan dengan pantas untuk mencari gol pendahuluan. Bagaimanapun, pada minit ke-25, Hulu Terengganu berjaya memecah kebuntuan menerusi Mohd Firas Tarmizi yang menyempurnakan sepakan penalti. Keputusan kekal sehingga tamat separuh masa pertama. Bersambung babak kedua, Kuala Nerus cuba menyamakan kedudukan dengan menguasai kawasan lawan. Namun, beberapa percubaan yang dilakukan gagal diterjemahkan kepada jaringan. Pada minit ke-63, Kuala Nerus hampir menyamakan kedudukan berpunca dari sepakan sudut, bagaimanapun tandukan penyerang Kuala Nerus ditampan pertahanan Hulu Terengganu tepat di garisan gawang. Memasuki minit ke-70, Hulu Terengganu hampir memusnahkan harapan lawan, tetapi peluang satu lawan satu berdepan penjaga gol disia-siakan rembatan penyerang Hulu Terengganu yang tersasar ke sisi gawang. Kuala Nerus cuba bangkit pada minit ke-77, sekali lagi bermula dengan sepakan sudut, sayangnya kali ini tandukan penyerangnya melambung melepasi palang gol. Memasuki minit terakhir perlawanan, Hulu Terengganu sekali lagi berpeluang menambah jaringan, tetapi tidak berjaya disudahkan. Keputusan kekal sehingga wisel penamat dibunyikan dan Hulu Terengganu dinobatkan sebagai juara baharu bagi sukan bola sepak pada SUTERA 2025. Pada dua edisi SUTERA yang lalu, Hulu Terengganu hanya menduduki tempat keempat dalam kedua-dua percubaan mereka. Kali ini, Hulu Terengganu menuai hasil kegigihan lalu dengan menjuarai 'ibu pingat' bagi temasya sukan ini. Dalam pada itu, pingat gangsa dimenangi juara edisi lalu iaitu daerah Marang yang 'membelasah' Setiu 7-1 dalam penentuan tempat ketiga, petang tadi.                    
26 Sep 25
898
Nur Fara Syuhada Permata Baru Olahraga Terengganu
Nur Fara Syuhada Permata Baru Olahraga Terengganu
KUALA NERUS, 26 September - Nur Fara Syuhada Mat Razali, 15, menampilkan aksi cemerlang dengan menjuarai acara 3000 meter larian berhalangan wanita pada Sukan Terengganu (SUTERA) edisi ketiga di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, semalam. Meskipun tidak berjaya memperbaharui rekod peribadi (PB), Syuhada tetap melakar emas buat kontinjen Kuala Nerus dengan catatan masa 12:58.2s, mengatasi pesaing terdekat, Nur Ain Safiyyah Mohd Suhaimi dari Marang (15:10.00s) dan Nur Liyana Batrisya Khairol Azwan dari Kuala Terengganu (16:22.9s). "Saya sangat puas hati dengan pencapaian hari ini walaupun tidak dapat buat PB (rekod peribadi terbaik). Tiada saingan kuat jadi agak relaks, cuma dari segi masa tak dapat lebih baik daripada sebelum ini," katanya ketika ditemui selepas perlumbaan. Nur Fara Syuhada Anak jati Kuala Nerus itu, sebelum ini pernah mencuri tumpuan di pentas antarabangsa apabila meraih emas dalam acara 3000 meter larian berhalangan pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2025 (Malaysia Open), baru-baru ini. Menurut pelari cilik itu, trek larian Stadium Tuanku Syed Putra, Perlis, menjadi saksi larian berhalangan 3000 meter pertamanya dimana dia turut berjaya mencatat PB membanggakan dengan rekod 12:41.34s. Walaupun tewas dalam acara 2000 meter larian berhalangan di MSSM akibat masalah kesihatan (gastrik), Syuhada mengakui dirinya lebih serasi untuk beraksi dalam jarak jauh kerana faktor ketahanan. "Kalau saya pilih, saya pilih lagi jauh, 3000 meter. Saya memang berlatih pun untuk acara jarak jauh sebab 'endurance' lebih kuat," jelasnya yang kini sudah mempunyai empat tahun pengalaman dalam olahraga. Jurulatihnya yang berasal dari negeri Sembilan, Ahmad Luth Hamizan, 33, turut berpuas hati dengan prestasi anak didiknya meskipun kejohanan kali ini berlangsung dalam tempoh luar musim. Jurulatih kepada Syuhada, Ahmad Luth "Setakat ini saya tengok walaupun sekarang off season tapi sebenarnya membuatkan kejohanan tu menjadi lebih seronok. Kalau kita tengok, Terengganu ni untuk 'middle' dan 'long distance' bagi saya pesaing dia ramai. Pesaing ramai daripada sekolah sukan Bukit Jalil, daripada sekolah sukan Gambang dan juga sekolah sukan Malaysia Terengganu lah.  "Jadi kalau kita tengok, walaupun dia orang bersaing di peringkat negeri sekalipun dia masih rancak sebabnya ramai atlet daripada Terengganu. Jadi bila kita bertanding di sini walaupun atlet ini 'off season', lepas habis MSSM dia masih menunjukkan prestasi," katanya. Tambahnya, keputusan yang diperolehi oleh Syuhada semalam masih berada di tahap yang memuaskan dan mencapai ekspektasi walaupun mempunyai perbezaan masa hampir sebanyak lapan saat berbanding rekod peribadinya sebelum ini. Guru sukan itu turut mengungguli pingat emas dalam acara sama kategori lelaki di bawah kontijen Kuala Terengganu dengan rekod 10:21.4s, meninggalkan Kuala Nerus (10:35.4s) pada kedudukan perak dan Besut (10.49.7s) yang akur dengan gangsa. Ahmad Luth yang kini berkhidmat di Sekolah Sukan Malaysia Terengganu percaya Syuhada berpotensi menjadi bintang masa depan Terengganu, khususnya dalam acara jarak jauh. Dengan usia yang masih muda serta disiplin latihan berterusan, Syuhada dilihat mampu menjadi permata baharu olahraga Terengganu yang bakal menggalas cabaran negeri di pentas kebangsaan dan antarabangsa pada masa hadapan, sekali gus membuktikan SUTERA sebagai medan pembinaan bakat baru.
26 Sep 25
2410