Artikel "Utama" Terkini
                                            
                            'Perlu Kelulusan PBT Sebelum Buat Apa-apa' - Exco Tegur Syarikat Swasta
                        
                        
                            KUALA TERENGGANU, 30 September - Kerajaan negeri menegaskan bahawa mana-mana syarikat perlu mendapatkan kelulusan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) terlebih dahulu sebelum melaksanakan sebarang kerja atau pemasangan struktur di tapak mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pemasangan palang parkir automatik di Pulau Warisan baru-baru ini jelas dilakukan tanpa sebarang kebenaran daripada MBKT.
"Semua benda-benda yang melibatkan perkara-perkara yang seperti itu, projek-projek ataupun kerja-kerja seperti itu perlu mendapat kelulusan daripada Majlis Bandaraya.
"Dalam bahasa mudah, tidak boleh sesenang-senangnya untuk pasang palang atau apa sahaja tanpa kebenaran MBKT," katanya.
Wan Sukairi
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM) Balai Besar Sejahtera, Dungun, di sini, hari ini.
Tambah Wan Sukairi, tindakan segera telah diambil MBKT sebaik sahaja menerima maklumat berhubung isu tersebut dengan menyita palang terbabit dalam tempoh beberapa jam selepas aduan diterima.
Katanya, walaupun tapak terbabit berada di bawah pajakan sebuah syarikat, ia tetap tertakluk kepada undang-undang pihak berkuasa tempatan.
"Pemilik pajakan dinasihatkan untuk merujuk dan membuat permohonan kepada MBKT terlebih dahulu.
"Hanya selepas mendapat kelulusan, barulah pihak majlis akan menilai sama ada sesuatu projek boleh diteruskan atau sebaliknya," jelasnya.
Isu berkenaan menjadi perhatian selepas pemasangan palang automatik di Pulau Warisan, Kuala Terengganu tular di media sosial yang lalu sebelum MBKT mengambil tindakan penguatkuasaan.
Menurut MBKT dalam satu kenyataan, perbuatan tersebut adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 46(1)(a), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).
                        
                        
                                30 Sep 25
            
                    
                                156
            
            
                                            
                            Selain Surau, KMI Tawar ‘Silent Room’ Buat Agama Lain
                        
                        
                            KUALA TERENGGANU, 30 September – Pelancaran Hospital Mesra Ibadah (HMI) di bawah rangkaian TDM Berhad melalui anak syarikatnya, KMI Healthcare, menjadi mercu tanda baharu dalam sektor kesihatan apabila menggabungkan rawatan moden dengan pendekatan berteraskan Maqasid Syariah serta rahmatan lil ‘alamin.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, HMI bukan sahaja memberi kemudahan ibadah kepada pesakit Muslim, malah turut menyediakan silent room bagi penganut agama lain menunaikan amalan keagamaan masing-masing.
“Apabila pesakit diberi ruang untuk menunaikan ibadah dengan selesa, ia bukan sahaja mempercepat proses pemulihan, malah memberi ketenangan jiwa kepada pesakit dan keluarga mereka.
“Alhamdulillah, hospital ini menyediakan ruang senyap (silent room) dan kemudahan khas bagi penganut agama lain menunaikan amalan keagamaan mengikut kepercayaan masing-masing. Ia selari dengan prinsip Islam sebagai rahmat untuk seluruh alam,” jelasnya ketika merasmikan pelancaran HMI di KMI Kuala Terengganu Medical Centre, semalam.
Menurutnya, pendekatan tersebut membuktikan bahawa perkhidmatan kesihatan boleh digerakkan seiring dengan nilai Islam tanpa mengetepikan kepelbagaian kepercayaan, sekali gus menampilkan konsep inklusif yang wajar dicontohi.
“Hospital Mesra Ibadah ini bukan sahaja menyembuhkan tubuh dan menenangkan jiwa, tetapi juga menghormati semua agama. Usaha mempertingkatkan HMI ke peringkat lebih sempurna iaitu Hospital Patuh Syariah juga perlu dilakukan segera,” katanya.
Beliau turut menyeru warga kerja KMI Healthcare mengekalkan profesionalisme, mengutamakan kebajikan pesakit serta memupuk budaya kerja yang mesra, penyayang dan berintegriti.
“Semoga hospital ini menjadi rujukan kepada seluruh negara dalam memperluas perkhidmatan kesihatan berteraskan rahmatan lil ‘alamin, di samping menyediakan rawatan yang mendekatkan manusia kepada Allah SWT,” tambah beliau.
                        
                        
                                30 Sep 25
            
                    
                                83
            
            
                                            
                            Didik Dahulu, Hukum Kemudian – Dr. Khalil
                        
                        
                            KUALA TERENGGANU, 29 September – Kerajaan Terengganu menegaskan pendekatan pelaksanaan Syariah di negeri ini memberi keutamaan kepada pendidikan dan kefahaman masyarakat, berbanding terus melaksanakan hukuman.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, meskipun peruntukan undang-undang telah wujud termasuk kesalahan meninggalkan solat fardu di bawah Seksyen 18, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001, fokus utama kerajaan adalah mendidik masyarakat agar memahami tuntutan agama.
“Dalam pelaksanaan Syariah ada dua perkara iaitu pertama melaksanakan hukuman, kedua memberi pendidikan. Kita letakkan pendidikan sebagai keutamaan kerana kadangkala orang meninggalkan ibadat bukan kerana enggan, tetapi kerana tidak tahu atau kurang kefahaman.
“Peraturan memang ada, namun ia tidak semestinya dilaksanakan terus. Kita bergerak seiring dengan usaha pendidikan melalui pelbagai inisiatif, termasuk kempen kesedaran, peringatan, 'banner' dan kemudahan yang disediakan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Pelancaran Hospital Mesra Ibadah di KMI Centre, Kuala Terengganu, hari ini.
Menurut beliau, usaha itu selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan institusi kesihatan bukan sahaja sebagai pusat rawatan.
"Tetapi juga medan pendidikan ibadah dan penghayatan Syariah dalam kehidupan seharian.
"Banyak kemudahan yang disediakan kepada pesakit untuk menunaikan solat walaupun dalam keadaan uzur, termasuk panduan wuduk, tayamum, solat duduk atau berdiri serta menjaga kebersihan diri," tambah beliau.
                        
                        
                                29 Sep 25
            
                    
                                115
            
            
                                            
                            2,766 Rumah SPNB Siap Dibina
                        
                        
                            KEMAMAN, 29 September - Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM504 juta bagi pembinaan 5,450 buah Rumah Mesra Rakyat (RMR) menerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di seluruh negara, tahun ini. 
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, setakat Ogos lalu, sebanyak 2,766 unit rumah telah siap dibina, 1,310 unit sedang dalam pembinaan manakala 1,374 unit lagi sedang dalam proses untuk diserahkan kepada kontraktor. 
"Sejak SPNB diletakkan dibawah seliaan KPKT pada 2018, usaha penyelarasan inisiatif perumahan rakyat menjadi lebih bersepadu dan berkesan dan sehingga kini, sebanyak 73,167 unit RMR telah siap dibina di seluruh negara. 
"RMR yang dilengkapi tiga bilik ini bernilai RM75,000 yang mana kita memberikan subsidi RM20,000 untuk setiap rumah yang dibina dan pemilik hanya perlu membayar kira-kira RM300 sebulan dalam tempoh 16 tahun," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mesra Rakyat kepada 11 pemilik dan Sijil Penghargaan kepada sembilan kontraktor di Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Kampung Baru di Kemasik, di sini, semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terengganu, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah.
Menurut Aiman Athirah, program RMR merupakan komitmen kerajaan dalam menyediakan perumahan kepada rakyat yang berpendapatan RM5,000, dengan syarat pemilik memiliki tanah. 
Katanya, sehingga Julai, SPNB mererima sebanyak 182,208 permohonan untuk program RMR. 
"Daripada jumlah itu, 117,000 adalah permohonan yang telah lengkap dan 73,354 telah diluluskan selepas memenuhi syarat ditetapkan. 
"Sebanyak 65,000 permohonan lagi dalam proses pendaftaran serta semakan sebelum disenaraikan untuk kelulusan," katanya. 
Sementara itu, Wan Sukairi berkata, Kerajaan Negeri Terengganu akan terus memainkan peranan dengan penuh komitmen dan berkesan dalam menjalin kerjasama erat bersama SPNB bagi memastikan kesejahteraan rakyat melalui peluang memiliki rumah sendiri.
“Terima kasih buat SPNB yang sentiasa memberi komitmen dalam meyediakan rumah berkualiti dan mampu milik buat rakyat di Terengganu.
“Sehingga 31 Ogos lalu, SPNB telah menyiapkan 10,254 unit RMR di negeri ini dan secara keseluruhan 72,167 unit di seluruh negara,” ujarnya.
Beliau mengharapkan, dengan adanya rumah ini, para penerima dapat menikmati kehidupan lebih selesa, sejahtera dan terus membina masa depan yang lebih baik bersama keluarga.
 
                        
                        
                                29 Sep 25
            
                    
                                149
            
            
                                            
                            182 Unit Rumah Realisasi Harapan Penduduk Rantau Abang
                        
                        
                            DINGUN, 29 September –Sebanyak 182 unit Rumah Mampu Milik (RMM) yang sedang dibina di Balai Besar, Dungun bakal memberi manfaat besar kepada rakyat khususnya penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang.
Projek berkenaan melibatkan 128 unit RMM Jenis A dengan harga bermula RM90,000 dan 54 unit RMM Jenis B dengan harga bermula sekitar RM185,000.
Selain kediaman, kawasan perumahan itu juga akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti taman permainan serta kedai setingkat demi keselesaan dan kesejahteraan para penduduk.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkilfli ketika berucap pada majlis pecah tanah projek itu berkata, pembinaan RMM bukan sahaja menyediakan tempat berteduh, bahkan mampu mencorak masa depan yang lebih stabil dan sejahtera kepada rakyat yang bakal menerima manfaatnya.
“Rumah Mampu Milik ini bukan sekadar projek fizikal, tetapi ia membawa harapan, memberi keyakinan dalam membina masa depan yang lebih baik untuk rakyat.
"Inilah bukti kesungguhan kita dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan,” katanya.
Projek itu telah bermula pada 12 Januari 2025 dan dijangka siap pada 10 Mei 2028.
Mohd Fadhli turut menzahirkan doa dan harapan agar pembangunan tersebut berjalan lancar serta memberi impak besar kepada kesejahteraan rakyat di DUN Rantau Abang.
                        
                        
                                29 Sep 25
            
                    
                                271
            
            
                                            
                            UMT Tawar Tiga Program Baharu Bagi Sesi Akademik 2025 2026
                        
                        
                            KUALA TERENGGANU, 29 September – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menawarkan tiga program baharu mulai sesi akademik 2025/2026.
Naib Canselor UMT, Profesor Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata, tiga program baharu tersebut ialah Sarjana Muda Teknologi Tenaga Boleh Diperbaharui dengan Kepujian, Sarjana Muda Teknologi Elektrik (Tenaga dan Kuasa) dengan Kepujian serta Sarjana Muda Sains Gunaan (Teknologi Maritim) dengan Kepujian (Dual Degree).
“Penawaran program baharu ini selaras dengan keperluan semasa negara dan dijangka dapat melahirkan lebih ramai tenaga pakar dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, teknologi elektrik dan maritim pada masa hadapan,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, UMT menerima seramai 2,105 pelajar baharu bagi kemasukan sesi akademik 2025/2026, melibatkan 36 program pengajian di bawah tujuh fakulti. 
“Daripada jumlah tersebut, seramai 15 orang merupakan pelajar antarabangsa yang datang dari pelbagai negara termasuk Maldives, India, Indonesia, Bangladesh, Sudan, Tanzania, Timor-Leste dan Kenya bagi mengikuti pengajian peringkat Sarjana Muda,” ujarnya.
Katanya, proses pendaftaran yang bermula seawal jam 8 pagi semalam berjalan lancar seperti yang dirancang. 
“UMT sentiasa bersedia menyambut kehadiran pelajar baharu dengan menyediakan kemudahan penginapan yang mencukupi, selain keperluan asas lain termasuk bilik pengajaran dan pembelajaran, makmal moden serta kafe yang selesa bagi memastikan kebajikan pelajar terjamin sepanjang tempoh pengajian.
“Bagi membantu pelajar menyesuaikan diri dengan kehidupan kampus, Minggu Jalinan Mesra (MJM) akan dilaksanakan mulai 28 September hingga 4 Oktober ini,” ujarnya.
Tambah beliau, selain kampus induk di Kuala Nerus, UMT turut mempunyai kampus kedua di Bukit Kor, Marang yang akan memulakan kuliah pada 5 Oktober ini. 
“Kampus tersebut menempatkan seramai 332 pelajar bagi mengikuti tiga program pengajian di bawah Fakulti Sains Makanan dan Agroteknologi melibatkan 28 kursus pengajian. 
“Segala kemudahan kuliah dan makmal pengajaran di kampus tersebut juga telah disediakan sepenuhnya untuk kegunaan pelajar baharu,” ujarnya.
 
                        
                        
                                29 Sep 25
            
                    
                                82
            
            
                                            
                            Sumbangan Dermasiswa Al-Ikhlas Bernilai RM1.8 Juta Ringan Beban Pelajar UMT
                        
                        
                            KUALA TERENGGANU, 28 September – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini menyalurkan sumbangan Zakat Dermasiswa Al-Ikhlas berjumlah RM1.8 juta bagi membantu meringankan beban kewangan pelajarnya.
Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim menyempurnakan penyerahan sumbangan itu pada Majlis Penyampaian Zakat Dermasiswa Al-Ikhlas di Dewan Sultan Mizan, UMT dengan disaksikan wakil agensi penyumbang utama zakat.
Sumbangan berkenaan merangkumi tiga kategori iaitu Bantuan Awal Pengajian bernilai RM500 kepada 1,000 pelajar baharu, bantuan komputer riba kepada 40 pelajar asnaf serta Biasiswa Al-Idrisi UMT bernilai RM18,000 kepada seorang penerima.
Antara penerima bantuan komputer riba ialah Muhammad Hafizi Mohd Arifin, 18, pelajar Diploma Perikanan dari Jerantut, Pahang yang sebelum ini terpaksa meminjam komputer riba rakan kerana kekangan kewangan.
Sementara itu, Nur ‘Azhiimah Mohd Ali, 28, dari Kota Bharu, Kelantan diumumkan sebagai penerima tunggal Biasiswa Al-Idrisi UMT selepas memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.44 dalam program Sarjana Muda Sains Akuakultur Dengan Kepujian.
Majlis itu turut dihadiri wakil Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Bank Islam, CIMB Islamic, RHB Islamic dan Bank Muamalat sebagai rakan strategik penyumbang zakat.
Dalam ucapannya, Mohd Zamri merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang zakat dan menegaskan usaha tersebut bukan sahaja meringankan beban pelajar, malah menjadi pemangkin kepada kecemerlangan akademik mereka.
                        
                        
                                29 Sep 25
            
                    
                                84
            
            
                                            
                            Program R&R: Rehat dan Rawat @Masjid UMT Sambut Mesra Pelajar Baharu
                        
                        
                            KUALA NERUS, 29 September– Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menganjurkan Program R&R: Rehat dan Rawat @Masjid UMT sempena pendaftaran pelajar baharu sesi akademik 2025/2026.
Inisiatif itu menjadi ruang menyantuni pelajar dan keluarga yang hadir dari seluruh negara dengan menyediakan pelbagai kemudahan seperti sarapan pagi, makan tengah hari, minuman ringan, ruang rehat, ruang solat serta tandas yang selesa.
Suasana mesra jelas kelihatan apabila ramai ibu bapa singgah berehat dan menjamu selera selepas menempuh perjalanan jauh, malah rata-rata melahirkan rasa syukur atas layanan yang diberikan.
Ketua PISM, Dr Kasyfullah Abdul Kadir berkata, penganjuran program ini bertujuan menyambut kedatangan warga baharu UMT serta meringankan beban keluarga dengan menyediakan kemudahan asas.
“Masjid bukan sekadar tempat beribadah, tetapi juga pusat kebajikan dan ukhuwah. Kami mahu pelajar dan ibu bapa merasai bahawa mereka diraikan dengan penuh kasih sayang,” katanya.
Selain itu, PISM turut terlibat dalam Minggu Jalinan Mesra (MJM) pelajar baharu yang bermula sejak 28 September lalu dengan menyediakan ruang makan minum, ruang solat, serta Slot Bersama PISM yang dijadualkan berlangsung pada 2 Oktober ini.
PISM turut merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang yang menjayakan program berkenaan dan berharap inisiatif itu dapat diteruskan pada masa hadapan.
 
 
                        
                        
                                29 Sep 25
            
                    
                                79
            
            
                                            
                            Pernah Harumkan Nama Negara, Asmawi Kini Perlukan Bantuan Rakyat
                        
                        
                            KEMAMAN, 29 September – Tabung Bantuan Rawatan bagi bekas pemain hoki remaja kebangsaan dan Sukma Terengganu, Mohamad Asmawi Zaidi, telah dilancarkan semalam bagi membantu membiayai kos rawatan dan perubatannya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris berkata, tabung itu diwujudkan hasil perbincangan antara keluarga Asmawi bersama Persatuan Hoki Terengganu selepas beliau disahkan menghidap masalah kesihatan yang memerlukan kos rawatan tinggi.
“Keadaan kesihatan Asmawi kini memerlukan perhatian segera. Usaha ini adalah tanda kebersamaan kita untuk membantu meringankan beban beliau dan keluarga, 
"Asmawi pernah mengharumkan nama negeri dan negara suatu ketika dahulu melalui sukan hoki, khususnya ketika mewakili Terengganu di pentas Sukma dan pasukan remaja kebangsaan. 
"Sumbangan dan kejayaan beliau dalam arena sukan wajar dikenang dengan membantu meringankan beban rawatan yang ditanggungnya," jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Tabung Rawatan Asmawi bertempat di Pejabat DUN Kijal, Paya Lasir Bandar Baru Kijal semalam.
Majlis tersebut dihadiri kakaknya, Nur Haslida Zaidi serta Presiden Persatuan Hoki Terengganu, Cikgu Mohd Fikri Harun.
Menurut Nur Haslida, kos rawatan adiknya mencecah kira-kira RM1,300 sebulan termasuk keperluan ubatan dan barangan penjagaan harian.
Katanya, sokongan orang ramai amat diharapkan bagi memastikan kelangsungan rawatan dapat diteruskan.
"Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun BSN | 1111141000273158 (Mohamad Asmawi Bin Zaidi) atau menghubungi 019-920 6959 (Nur Haslida Zaidi, kakak Asmawi) bagi sebarang pertanyaan.
"Semoga inisiatif ini dapat meringankan beban keluarga serta menjadi asbab kepada kesembuhan Asmawi, yang pernah mengharumkan nama Terengganu dan negara dalam arena hoki suatu ketika dahulu," ujarnya.
 
                        
                        
                                29 Sep 25
            
                    
                                14785
            
            
                                            
                            Amanah Urus Wang Rakyat
                        
                        
                            KUALA TERENGGANU, 28 September – Setiap sen wang rakyat adalah amanah yang mesti dipertanggungjawabkan, sama ada jumlahnya kecil atau melibatkan ratusan juta ringgit.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim menegaskan, tidak wajar isu berkaitan pembaziran atau salah guna dana awam dipandang ringan kerana setiap perbelanjaan mesti memastikan manfaatnya sampai kepada rakyat.
"Setiap sen duit rakyat adalah amanah. Tak kira samada RM10 ribu, lima juta, RM40 juta, RM100 juta atau 1 bilion semuanya adalah tanggungjawab yang bakal dipersoalkan.
"Tak ada istilah, alaaaa... sikit saja! Itu pun nak bising!
"Apa yang penting ialah, setiap sen yang dibelanjakan perlu dipastikan manfaatnya wajib sampai kepada rakyat. Kalau berlaku apa-apa kecacatan, ia mesti diperbaiki segera dan dibuat tindakan pembetulan," jelasnya dalam laman sosialnya hari ini.
Justeru itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak berwajib kerana insiden runtuhan tembok penghadang di Batu Rakit telah diambil tindakan segera tanpa kos tambahan daripada wang rakyat.
Namun begitu, Azman mempersoalkan beberapa projek mega zaman kerajaan dahulu gagal diselesaikan meskipun melibatkan kerugian wang rakyat dengan jumlah yang sangat besar. 
"Rakyat Terengganu akan terus bertanya ke mana kesudahannya penyelesaian projek Taman Ilmu di Tembila, Kompleks Bebas Cukai Tasik Kenyir dan Pulau Bayas, bas amphibia dan beberapa projek besar lagi yang menjadi gajah putih. 
"Runtuhan Stadium Sultan Mizan juga diperbaiki dengan kos dari Kerajaan Negeri melibatkan jumlah ratusan juta, bukan dengan biaya dari kontraktor yang membina Stadium," tegasnya.
Dalam masa yang sama, beliau turut mengingatkan agar pemimpin berhati-hati dalam berpolitik dan tidak terlalu ghairah menuding jari kepada pihak lawan kerana rakyat sudah penat dengan perbalahan politik yang tiada kesudahan.
“Nasihat saya, berpada-padalah dalam bermain politik. Mari kita pakat-pakat memberikan khidmat terbaik kepada rakyat. 
"Satu jari menunding kepada lawan, empat jari menunding kepada diri sendiri.
Orang tua pesan, kalau berbalah biar berpada-pada. Mana tahu suatu hari kita akan berbaik dan boleh duduk bersama sebagai rakan sekerja,” ujarnya.
                        
                        
                                28 Sep 25
            
                    
                                49