lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Hulu Besut Bakal Terima Rumah Mampu Milik Baharu
Hulu Besut Bakal Terima Rumah Mampu Milik Baharu
BESUT, 20 Ogos – Hulu Besut bakal menerima projek perumahan baharu menerusi pembinaan Rumah Mampu Milik (RMM) yang dirancang khusus bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat. Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Dato’ Wan Adnan, turun padang meninjau kawasan tersebut dalam satu lawatan kerja bersama pihak berkaitan, semalam. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin, berkata agenda pembinaan perumahan untuk rakyat itu menjadi salah satu fokus utama perbincangan yang turut melibatkan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Besut. Beliau menyambut baik usaha itu yang dilihat sebagai langkah strategik kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat. “Kerjasama erat antara PMINT, Pejabat Daerah dan Kerajaan Terengganu ini diharap dapat memastikan setiap projek menepati keperluan masyarakat, di samping membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk setempat,” katanya ketika ditemui selepas lawatan bersama PMINT, di sini. Dalam rangka lawatan berkenaan, rombongan turut meninjau tapak cadangan projek perumahan di Kampung Durian Telor berhampiran Tasik Telabak, sebagai langkah awal menilai kesesuaian kawasan sebelum dilaksanakan. Lawatan diteruskan ke sekitar Kampung Pasir Akar bagi meninjau keperluan semasa penduduk serta mengenal pasti potensi pembangunan lain yang boleh dimanfaatkan demi kesejahteraan masyarakat Hulu Besut.  
20 Aug 25
1051
Air Terjun Misteri Di Kijal Bakal Jadi Tarikan Baharu Terengganu
Air Terjun Misteri Di Kijal Bakal Jadi Tarikan Baharu Terengganu
KEMAMAN, 20 Ogos – Air Terjun Janda Mandi di Kijal yang terkenal dengan keunikannya kerana aliran air terus jatuh ke laut bakal dijadikan tarikan pelancongan baharu di Terengganu. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, usaha itu akan dibangunkan melalui konsep Community Based Tourism (CBT) dengan penglibatan masyarakat setempat. “Air Terjun Janda Mandi ini cukup unik dan hanya ada satu di negara kita. Insya-Allah, kita akan majukan tempat ini bersama penduduk supaya keindahan alamnya terus terpelihara. “Air Terjun Janda Mandi setinggi 80 hingga 90 meter itu terletak di Bukit Kijal, berhampiran Pantai Teluk Kalong. Lokasinya boleh dicapai melalui dua cara, sama ada berjalan kaki merentasi trek bukit atau menaiki bot,” jelasnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Lawatan Kerja ke Kawasan Air Terjun Janda Mandi, Bukit Kijal semalam. Razali berkata, walaupun laluan sudah ditambah baik, pengunjung tetap disarankan mendapatkan khidmat penunjuk arah daripada penduduk kampung memandangkan trek agak licin dan berbahaya sekiranya bersendirian. “Selain keindahan alam semula jadi, air terjun ini turut menyimpan kisah misteri turun-temurun. Menurut cerita orang kampung, nama 'Janda Mandi' berasal daripada kisah seorang wanita, isteri kepada nakhoda yang meninggal dunia ketika belayar. “Wanita itu dikatakan turun mandi di air terjun berkenaan sebelum ghaib secara misteri. Sehingga kini, kisah tersebut kekal menjadi bualan penduduk, malah ada nelayan tempatan mendakwa pernah terlihat kelibat seorang wanita mandi di kawasan itu,” katanya. Beliau berkata, gabungan keindahan semula jadi dan kisah unik itu mampu menjadikan Janda Mandi sebagai produk pelancongan ikonik baharu di negeri ini. “Pelancongan bukan hanya tentang pemandangan, tetapi juga cerita di sebaliknya. Dengan penglibatan penduduk kampung, saya yakin Janda Mandi akan menjadi tarikan istimewa di Kijal,” ujarnya.  
20 Aug 25
4520
CEO Baharu TFC Janji Profesionalisme
CEO Baharu TFC Janji Profesionalisme
KUALA NERUS, 20 Ogos – Pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn. Bhd. (TFCSB), Syeikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai, membuka lembaran baharu buat skuad Penyu dengan komitmen membawa bola sepak negeri ke tahap lebih profesional di samping memberi impak terhadap ekonomi rakyat. Ketua Pegawai Eksekutif TFCSB itu menzahirkan penghargaan kepada Ahli Lembaga Pengarah yang memberi kepercayaan untuk beliau menerajui kelab gergasi Pantai Timur itu.  "Pertama sekali saya mengucapkan terima kasih kepada Ahli Lembaga Pengarah TFCSB kerana telah memberi saya peluang untuk menerajui Terengganu FC (TFC). "Saya mengharapkan pengalaman saya dalam bidang korporat di dalam dan luar negara akan memberi sesuatu yang baharu kepada negeri Terengganu, bukan sahaja kepada pasukan bola sepak, tetapi juga dalam menaikkan taraf ekonomi rakyat Terengganu," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Ice Power dan TFCSB yang dimeterai di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini hari ini. Beliau turut menegaskan kesepakatan bersama Ahli Lembaga Pengarah untuk memperkukuh tahap bola sepak negeri secara profesional.  "Saya punyai persetujuan dengan Ahli Lembaga Pengarah adalah untuk menaikkan taraf standard bola sepak negeri Terengganu secara profesionalisme. "Banyak yang perlu kita baiki, dari segi infrastruktur, nilai komersial, dan juga kedudukan kewangan,” jelas beliau. Dengan pengalaman luas di peringkat antarabangsa, beliau optimis mampu membawa perubahan besar kepada TFC dan seluruh penyokongnya.  "Daripada itu saya punya harapan dari pengalaman-pengalaman saya berada di luar akan membawa bola sepak negeri Terengganu kepada satu tahap yang lebih tinggi selepas ini," ujarnya.
20 Aug 25
206
REE Terengganu Jangan Jadi Seperti Petroleum, Rakyat Perlu Nikmati Hasil
REE Terengganu Jangan Jadi Seperti Petroleum, Rakyat Perlu Nikmati Hasil
KUALA LUMPUR, 19 Ogos - Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Alias Razak (PN), hari ini meminta kerajaan memastikan hasil nadir bumi bukan radioaktif (REE) di Terengganu tidak mengalami nasib sama seperti petroleum, yang menurutnya tidak memberikan pulangan sewajarnya kepada rakyat negeri itu. Beliau berkata, meskipun Terengganu menjadi pengeluar petroleum utama negara sejak sekian lama, manfaatnya lebih banyak diagihkan untuk kepentingan nasional berbanding rakyat tempatan. “Kini alhamdulillah Terengganu dikurniakan simpanan REE antara yang tertinggi di negara ini, tetapi terdapat beberapa halangan untuk mengusahakannya kerana sebahagian besar berada di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK). “Kerajaan negeri telah mengambil langkah dengan mencadang untuk mengapungkan kawasan berkenaan, iaitu menggantikannya dengan kawasan hutan lain yang tidak mempunyai REE,” katanya ketika mengemuka soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini. Alias turut bertanya cadangan dan kerjasama kementerian bagi membantu usaha kerajaan negeri menjayakan perlombongan REE sebagai sumber hasil baharu agar Terengganu dapat bangkit maju seperti negeri-negeri di Pantai Barat. Menjawab persoalan itu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perlombongan REE memerlukan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan kerana ia melibatkan beberapa peringkat kelulusan. Katanya, kerajaan negeri bertanggungjawab mengeluarkan lesen penerokaan dan pajakan perlombongan, manakala Kerajaan Persekutuan terlibat dalam kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), skim pengendalian perlombongan serta permit eksport. “Setakat ini negara belum mempunyai teknologi memproses REE, dan aktiviti perlombongan masih di peringkat percubaan. Justeru, kita perlu memastikan kajian terperinci dijalankan sebelum operasi berskala besar dimulakan,” katanya. Dalam soalan asal, Alias meminta kementerian menyatakan status kajian untuk membenarkan aktiviti perlombongan REE di kawasan HSK serta garis masa untuk dimuktamadkan.  
19 Aug 25
195
Jenama Antarabangsa Finland Taja Terengganu FC
Jenama Antarabangsa Finland Taja Terengganu FC
KUALA NERUS, 19 Ogos – Terengganu FC (TFC) melakar sejarah baharu apabila menerima tajaan rasmi daripada Ice Power, jenama antarabangsa berasaskan teknologi dari Finland dengan pakej Bronze, sekali gus memperkukuhkan ekosistem penajaan bola sepak negeri dan mengangkat reputasi kelab ke tahap lebih tinggi. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Terengganu Football Club Sdn. Bhd. (TFCSB), Hishamuddin Abdul Karim berkata kerjasama itu menjadi titik tolak penting hubungan strategik antara sektor sukan dan industri. "Majlis ini adalah satu lagi langkah penting dalam usaha memperkukuhkan kerjasama strategik antara sektor sukan dan pihak industri, khususnya dalam menyediakan sokongan terbaik kepada atlet serta pemain bola sepak dalam negeri kita," katanya ketika berucap di Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Ice Power dan TFCSB yang dimeterai di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini hari ini. Beliau menjelaskan kehadiran Synteq Medical sebagai pengedar rasmi Ice Power membuktikan keyakinan global terhadap usaha pembangunan bola sepak negeri ini dan akan digunakan sepenuhnya dalam pengurusan pasukan. "Melalui kerjasama ini, Synteq Medical merupakan pengedar produk rasmi Ice Power, yang merupakan produk antarabangsa berasaskan teknologi dari Finland, akan turut digunakan oleh pasukan Terengganu FC untuk pengurusan pasukan seharian. "Hal ini secara tidak langsung menunjukkan sokongan dan keyakinan sebuah jenama global terhadap usaha pembangunan bola sepak pasukan Terengganu FC," tambahnya. Menurut Hishamuddin, kemasukan Ice Power bukan sahaja memberi kelebihan prestasi, malah mampu melonjakkan nilai komersial serta memperkukuhkan reputasi TFC di pentas bola sepak tanah air. "Kemasukan Ice Power menyertai TFC pada kali ini tentu sekali akan membantu ekosistem penajaan Terengganu FC dan memberikan impak positif dan signifikan, bukan sahaja dari sudut sokongan prestasi pasukan, malah dari sudut komersial dan reputasi kelab. "Ini membuktikan bahawa sukan, khususnya bola sepak, mempunyai nilai pasaran dan potensi besar," jelasnya. Beliau menambah, penajaan antarabangsa ini turut diharap dapat memberi manfaat lebih luas kepada rakyat negeri, bukan sekadar atlet dan pemain. "Kita juga mengharapkan Ice Power terus melebar ke seluruh negeri Terengganu, bukan sahaja untuk atlet, bukan sahaja untuk pemain bola sepak, tetapi untuk kegunaan bagi masyarakat pelbagai lapisan di kalangan rakyat negeri ini. "Saya percaya kehadiran penaja antarabangsa seperti Ice Power ini akan membuka lebih banyak peluang dan menjadi pemangkin kepada penyertaan lebih ramai penaja korporat di masa akan datang untuk bersama-sama membangunkan industri bola sepak negeri dan negara," ujarnya. Dalam ucapannya juga, Hishamuddin tidak lupa merakamkan penghargaan kepada Synteq Medical atas keyakinan serta kerjasama yang diberikan dalam menjayakan hasrat besar ini. "Bagi pihak TFCSB, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pihak Synteq Medical atas keyakinan dan kesudian untuk bersama-sama dalam menjayakan hasrat besar kita pada kali ini. "Saya juga mengharapkan Synteq Medical akan berjaya menembusi pasaran di negeri Terengganu dan seterusnya terus melebar ke seluruh negara dengan penuh meyakinkan," tambahnya. Sementara itu, wakil Ice Power dari Pro Skill Leverage, Harideheren menegaskan kerjasama dengan TFC merupakan penajaan pertama mereka dalam arena bola sepak Malaysia selepas aktif menaja acara sukan sejak 2021. "Kerjasama dengan TFCSB merupakan langkah pertama kami dalam penajaan pasukan bola sepak di Malaysia. "Ice Power telah menaja beberapa acara sukan dan kesihatan seperti Score Run, Majlis Perbandaran Ampang Jaya Run, serta Garmin Run," katanya. Beliau menambah, jenama dari Finland itu kini menjadi penaja rasmi pasukan hoki ais kebangsaan Finland selain kejohanan badminton antarabangsa. "Ice Power merupakan penaja rasmi pasukan hoki ais kebangsaan Finland. "Serta kejohanan badminton antarabangsa Arctic Open yang dianjurkan Badminton Finland," jelasnya.
19 Aug 25
394
Penjara Dua Tahun Menanti Kaki Ponteng Solat Jumaat
Penjara Dua Tahun Menanti Kaki Ponteng Solat Jumaat
KUALA TERENGGANU, 18 Ogos – Lelaki Muslim di Terengganu yang culas menunaikan solat Jumaat tanpa alasan munasabah berdepan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM3,000, atau kedua-duanya sekali. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata tindakan itu selaras dengan pindaan Enakmen Jenayah Syariah (Takzir) 2016, yang berkuat kuasa selepas digubal beberapa tahun lalu. Menurutnya, sebelum pindaan dibuat, hanya mereka yang tidak hadir solat Jumaat tiga kali berturut-turut akan dikenakan tindakan. “Namun kini, kegagalan hadir walaupun sekali sahaja tanpa alasan munasabah sudah boleh diambil tindakan. “Peringatan ini penting kerana solat Jumaat bukan sekadar syiar, tetapi lambang kekuatan umat. Hukuman hanya akan dilaksanakan sebagai jalan terakhir sekiranya individu tetap culas selepas diberi peringatan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. Bagi memastikan kewajipan itu tidak diabaikan, kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan memasang kain rentang peringatan di perkarangan masjid setiap daerah. Usaha itu jelas beliau bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai undang-undang yang sedang berkuat kuasa. Dalam masa sama katanya, tindakan penguatkuasaan boleh dilakukan hasil laporan orang awam, rondaan mahupun operasi bersepadu JHEAT bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Dr. Muhammad Khalil turut menyeru masyarakat melihat pelaksanaan undang-undang ini sebagai langkah mendidik dan menjaga martabat Islam, khususnya bagi membentuk kefahaman generasi muda. Beliau menjelaskan, seksyen berkaitan sebenarnya telah wujud sejak Enakmen Jenayah Syariah 2001, sebelum diperkemaskan melalui pindaan pada tahun 2016.
18 Aug 25
657
Seminar Dasar Wanita Terengganu Fokus Penglibatan Pemegang Taruh
Seminar Dasar Wanita Terengganu Fokus Penglibatan Pemegang Taruh
KUALA TERENGGANU, 18 Ogos – Seminar Dasar Wanita Terengganu memberi fokus kepada penglibatan pemegang taruh secara menyeluruh bagi memastikan setiap intipati dasar dapat difahami, diterjemah dan memberi impak yang berkesan kepada golongan wanita di negeri ini. Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu (USWa), Tuan Roslina Tuan Sulaiman berkata, penglibatan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), academia dan masyarakat awam sangat penting bagi menyumbang idea serta  buah fikiran dalam memperkasakan peranan wanita. “Dasar Wanita Terengganu bukan sekadar dokumen, tetapi panduan penting yang memerlukan komitmen semua pihak.  “Melalui seminar ini, kita membuka ruang kepada pemegang taruh untuk memberi pandangan, bertukar idea serta mencari kaedah terbaik dalam pelaksanaan dasar agar ia benar-benar menyentuh kehidupan wanita,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika dalam sesi temuramah Bersama Manis FM, semalam. Menurut Tuan Roslina, Seminar Dasar Wanita Terengganu bakal berlangsung pada 21 Ogos ini di Dewan Besar, Wisma Darul Iman dan dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia. Jelasnya, antara objektif utama seminar ini ialah membincangkan dan menerangkan isi kandungan Dasar Wanita Terengganu kepada semua pemegang taruh. Selain itu kata beliau, ia membuka ruang kepada pemegang taruh untuk memberi idea dan bertukar pendapat ke arah pelaksanaan lebih inklusif serta memastikan setiap intipati dasar difahami dan dilaksanakan secara komprehensif. “Wanita yang sejahtera adalah tonggak kepada kesejahteraan ummah. Maka, kita berharap program ini mendapat sambutan baik dan mampu melahirkan strategi pelaksanaan dasar yang benar-benar memartabatkan peranan wanita Terengganu,” ujarnya. Dasar Wanita Terengganu diyakini menjadi kerangka utama dalam membina masyarakat harmoni, berdaya saing serta seimbang antara pembangunan insan dan kesejahteraan keluarga.
18 Aug 25
121
Tujuh Bot Peronda Baharu Tingkat Kawalan Perairan Negara
Tujuh Bot Peronda Baharu Tingkat Kawalan Perairan Negara
MARANG, 18 Ogos - Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menyerahkan tujuh bot peronda khusus untuk penguatkuasaan konservasi sumber perikanan negara. Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Dato' Adnan Hussain memaklumkan, bot-bot dengan kos keseluruhan bernilai RM11 juta itu diserahkan hari ini kepada pangkalan-pangkalan operasi di Perlis, Kedah, Perak, Selangor dan Terengganu. "Untuk perolehan, bot 13 meter sebanyak tujuh unit adalah tujuan khusus untuk menguatkuasakan Akta Perikan 1985 di perairan Malaysia khususnya zon pantai. "Salah satunya akan ditempatkan di Terengganu untuk mengawal selia perairan di sini, manakala dua unit lain di Selangor, dua di Perak, satu masing-masing di Kedah dan Perlis. "Ia bagi meningkatkan keupayaan Jabatan Perikanan Malaysia sekali gus menangani isu-isu dikaitkan dengan IUU (aktiviti Perikanan Tidak Dikawal Selia)," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Melabuh Tukun Tiruan Kuboid Juvenil Penghalang Pukat Tunda bersama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan makanan dan Komoditi Terengganu, Dato' Dr. Azman Ibrahim, di perairan Jambu Bongkok, di sini hari ini. Dalam program berkenaan, sebanyak 18 tukun tiruan dilabuhkan di bawah peruntukan pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12 Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang turut dihadiri Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Pang Nyukang dan Pengarah Perikanan Negeri Selangor, Noraisyah Abu Bakar serta Pegawai dan Pentadbir Tanah Daerah Marang, Zulkifly Isa. Menurut Adnan, lebih menarik lagi ialah bot-bot berkenaan dibina oleh kontraktor tempatan yang beroperasi di Terengganu iaitu MSET Inflatable Terengganu. "Kita harap dengan bot yang baru ini, moral anggota kita dapat ditingkatkan dan sekali gus aktiviti pemantauan dapat dilaksanakan dengan lebih baik dan berkesan," tambahnya. Dalam pada itu, Dr. Azman turut berterima kasih kepada pihak kementerian di atas penyerahan aset tersebut. "Ada tujuh bot peronda laju dengan enjin 900HP, boleh dikatakan bot peronda terbesar (dimiliki DOF) dengan panjang 13 meter kerana sebelum ini, bot peronda dalam sekitar 10 meter dengan 600HP. "Dengan saiz yang ada ini sebenarnya memberikan kita pilihan untuk kita menguatkuasakan Akta Perikanan 1985, khususnya perairan Terengganu ini sangat luas sehingga kawasan Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) sekitar 87,000 kilometer persegi. "Aset-aset yang cekap sangat diperlukan untuk kita menjamin keselamatan perairan kita dan juga menjaga khazanah laut kita kerana kita bukan hanya berhadapan dengan masalah nelayan asing khususnya dari Vietnam, malah kita berdepan pencerobohan bot pukat tunda dari negeri jiran yang menceroboh zon  tangkapan nelayan Terengganu. "Kebanyakan bot pukat tunda yang ditahan melakukan aktiviti pukat tunda dalam jarak 6-7 batu nautika sahaja dari persisir pantai. Jadi, kita tidak pernah berhenti dalam menyuarakan hak nelayan Terengganu supaya Akta Perikanan 1985 ini dikuatkuasakan demi menjamin keharmonian semua pihak. "Aset-aset ini akan meningkatkan lagi kredibiliti dan kemampuan penguatkuasa kita dalam melaksanakan tugas kita," katanya.      
18 Aug 25
198
Abdul Hadi, Anisa Johan Tilawah Kuala Terengganu
Abdul Hadi, Anisa Johan Tilawah Kuala Terengganu
KUALA TERENGGANU, 18 Ogos – Che Abdul Hadi Che Abdul Halim dinobatkan sebagai Johan Qari Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Kuala Terengganu 1447H/2025M yang berlangsung di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, semalam. Manakala bagi kategori Qariah, gelaran Johan disandang oleh Anisa Mohd Hanafiah. Kedua-dua pemenang membawa pulang piala, sijil penghargaan serta wang tunai berjumlah RM2,000 setiap seorang. Majlis perasmian dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor. Dalam ucapannya, Zuraida berkata, tilawah ini mampu melahirkan qari dan qariah berpotensi serta menjadi medan melahirkan pewaris yang boleh membawa bacaan al-Quran ke peringkat lebih tinggi. “Al-Quran bukan hanya untuk dibaca dengan tajwid dan suara yang merdu, tetapi lebih penting adalah penghayatan serta amalan dalam kehidupan seharian. Inilah tujuan sebenar majlis ini diadakan,” katanya. Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk memperkasakan syiar Islam melalui pelbagai inisiatif pendidikan dan penghayatan al-Quran, sekali gus memastikan ia terus menjadi nadi pembangunan insan. "Syabas dan tahniah kepada semua pihak yang menjayakan penganjuran majlis kali ini, termasuk para peserta yang mengambil bahagian," tambahnya. Dengan kemenangan ini, Che Abdul Hadi dan Anisa akan mewakili daerah Kuala Terengganu ke Tilawah al-Quran peringkat negeri yang dijadualkan berlangsung tidak lama lagi.
18 Aug 25
128
Peluang Rakyat Terengganu Miliki Rumah Serendah RM80,000
Peluang Rakyat Terengganu Miliki Rumah Serendah RM80,000
KUALA TERENGGANU, 18 Ogos – Berita gembira buat rakyat Terengganu yang masih belum memiliki kediaman sendiri apabila kerajaan negeri melalui Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu (Bahagian Perumahan) membuka permohonan Projek Rumah Mampu Milik (RMM) Bukit Gasing Sejahtera II, Marang bermula 10 Ogos hingga 10 September 2025. Projek berkonsepkan perumahan patuh syariah di bawah program Rumah Darul Iman (RAHMAN) ini menyediakan dua jenis pilihan rumah dengan harga bermula serendah RM80,000. Bagi RMM Jenis A, sebanyak 173 unit ditawarkan dengan keluasan lantai 800 kaki persegi serta harga bermula RM80,000. Ia ditawarkan khusus untuk golongan berpendapatan isi rumah antara RM1,500 hingga RM4,000. Manakala RMM Jenis B pula menyediakan 65 unit dengan keluasan lantai 900 kaki persegi dan harga bermula RM185,000. Unit ini terbuka kepada mereka yang berpendapatan isi rumah antara RM2,500 hingga RM7,000. Kerajaan negeri menjelaskan, projek tersebut bukan sahaja menawarkan kediaman selesa pada harga berpatutan, malah mengutamakan kesejahteraan keluarga dengan keluasan tanah yang praktikal serta menepati keperluan rakyat pelbagai lapisan. Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui Sistem Permohonan Rumah Mampu Milik Negeri Terengganu (ePerumahan) di pautan https://eperumahan.terengganu.gov.my. Dengan adanya projek ini, kerajaan negeri yakin ia dapat membantu mengurangkan beban rakyat serta memastikan lebih ramai penduduk Terengganu berpeluang memiliki rumah pertama.
18 Aug 25
18519