Artikel "Semasa" Terkini
Pelaksanaan Dasar Wanita Terengganu Perlu Kesungguhan Politik
KUALA TERENGGANU, 24 Ogos – Pegawai Hal Ehwal Bukan Islam kepada Menteri Besar Terengganu, Dr. Balachandran Gopal Krisnan menegaskan bahawa kejayaan Dasar Wanita Terengganu bergantung kepada kesungguhan politik serta pelaksanaan yang menyeluruh dan inklusif.
Beliau berkata, meskipun dasar tersebut telah dirangka secara komprehensif, masih wujud persepsi dalam kalangan sesetengah pihak bahawa ia tidak memberi nilai politik yang segera.
“Inisiatif ini baik, tetapi kelihatan kurang mendapat perhatian kerana dianggap tidak memberi ‘mileage’ dalam konteks Terengganu. Bagi sesetengah pihak, asalkan ada dasar, itu sudah mencukupi,” ujarnya.
Menurut beliau, pelaksanaan dasar ini tidak boleh terhenti pada dokumen semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada tindakan nyata melalui program, kemudahan dan sokongan yang dapat dirasai wanita di seluruh negeri.
“Pelaksanaan mesti menyeluruh dengan pemantauan berterusan. Roadshow di setiap daerah juga perlu dilaksanakan supaya dasar ini benar-benar mendekati wanita di akar umbi,” tegasnya.
Dr. Balachandran turut berkongsi pandangan hasil sesi pembentangan panel yang disertainya, dengan menekankan bahawa peranan wanita bukan sekadar soal kesaksamaan, tetapi sebagai rakan strategik dalam membentuk keluarga sejahtera, komuniti progresif dan negeri yang makmur.
Beliau menambah, suara wanita akar umbi termasuk wanita muda, wanita desa dan ibu tunggal masih perlu diperkasakan agar dasar ini benar-benar inklusif.
“Dasar hanya akan inklusif apabila setiap lapisan wanita merasa mereka diwakili,” katanya.
Menyentuh mengenai Dasar Wanita Terengganu 2025, beliau menyatakan harapan agar ia menjadi model rujukan negara dengan memberi tumpuan kepada pendidikan berterusan, sokongan ekonomi mikro, pembangunan pusat komuniti wanita, dan pengarusperdanaan suara wanita dalam proses perancangan dasar negeri dan daerah.
“Saya berharap dasar ini tidak hanya kekal sebagai dokumen rasmi, tetapi benar-benar menjadikan wanita lebih yakin, dihargai, dan bersedia menjadi peneraju bersama pembangunan negeri,” tegas beliau.
24 Aug 25
52
Santuari Kelah Sepi Salah Kerajaan Negeri?
KUALA TERENGGANU, 24 Ogos - Penularan berita kehilangan Kelah (Tor Tambra) di Santuari Kelah Tasik Kenyir menyebabkan beberapa pihak menyalahkan kerajaan negeri berikutan insiden terbabit.
Menolak dakwaan tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi, Dato' Dr. Azman Ibrahim menegaskan pengurusan santuari berkenaan bukannya di bawah sellaan kerajaan negeri.
"Orang kita sangat gemar berpolitik. Ikan kelah yang dikatakan hilang pun jadi topik untuk serang kerajaan negeri.
"Untuk makluman bagi mereka yang belum tahu, Santuari Kelah Tasik Kenyir dijaga dan diuruskan oleh KETENGAH (Lembaga Kemajuan Terenganu Tengah) sebuah agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
"KETENGAH juga yang mengutip bayaran tiket masuk ke Santuari, bukan kerajaan negeri," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut memaklumkan bahawa KETENGAH telah mengeluarkan kenyataan serta mengambil langkah pemulihan berhubung isu yang terjadi di kawasan produk eko-pelancongan tersebut.
"Soal netizen nak percaya atau tidak, itulah kenyataan dari agensi yang berautoriti.
"Kita doakan semoga Kelah akan kembali semula dan Santuari dapat dibuka semula kepada orang ramai.
Azman berkata demikian dalam satu hantaran melalui Facebook rasminya beberapa hari yang lalu.
Terdahulu, KETENGAH melaporkan kehadiran memerang menjadi punca ikan ikonik berkenaan culas untuk masuk ke lubuk yang disediakan untuk pelancong.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Perikanan Terengganu, Pang Nyukang menjelaskan perubahan landskap dan cuaca menyebabkan ikan tertumpu di lubuk semula jadi.
"Pemerhatian mendapati kawasan pemberian makanan ikan telah mengalami mendapan pasir dari hulu sungai selain penurunan paras air tasik sebagai persediaan tadahan musim tengkujuh.
"Keadaan ini menyebabkan perairan menjadi cetek manakala cuaca panas dan ketiadaan teduhan semula jadi menjadikan ikan lebih cenderung berlindung di kawasan berair dalam," katanya seperti dilaporkan oleh Astro AWANI.
24 Aug 25
127
Dasar Wanita Terengganu Perlu Libatkan Lelaki
KUALA TERENGGANU, 24 Ogos – Kejayaan Dasar Wanita Terengganu tidak hanya bergantung kepada wanita semata-mata.
Sebaliknya, ia memerlukan penglibatan menyeluruh termasuk kaum lelaki, khususnya mereka yang memimpin di peringkat jabatan, agensi, pertubuhan dan komuniti.
Naib Timbalan Pengerusi Khairunnisa, Dr. Farhaana Husainy Hasbullah berkata, sesi libat urus yang dijalankan memberi peluang peserta memahami dasar dengan lebih terperinci.
Namun katanya, pelaksanaannya mesti diterjemahkan dalam bentuk pelan tindakan dan gerak kerja nyata.
“Jika ia dapat dijalankan secara berstruktur di jabatan, agensi, pertubuhan dan komuniti, insya-Allah manfaatnya bukan sahaja kepada wanita, bahkan memberi impak besar kepada kesejahteraan keluarga, masyarakat dan negeri,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan program ini perlu diperluaskan dengan melibatkan lebih ramai peserta lelaki kerana kerjasama semua pihak adalah kunci kejayaan pelaksanaan dasar tersebut.
“Pembentangan yang sangat baik dan sesi libat urus interaktif memberi peluang peserta memahami dengan lebih terperinci Dasar Wanita Terengganu,” katanya.
24 Aug 25
199
Permohonan Skim Motosikal Tanpa Riba, DUTE Dibuka Hari Ini
KUALA TERENGGANU, 24 Ogos – Permohonan bagi Skim Pembiayaan Motosikal Tanpa Riba dan Dana Usahawan Terengganu (DUTE) dibuka bermula hari ini, dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM2.4 juta bagi memperkasa ekonomi belia di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato' Ariffin Deraman berkata, skim-skim tersebut boleh dimohon di pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing dengan mematuhi syarat yang ditetapkan.
Menurut beliau, skim pembiayaan motosikal tanpa riba menawarkan pinjaman sehingga RM5,000 seorang kepada lima penerima bagi setiap DUN, melibatkan seramai 160 belia di seluruh negeri.
“Skim ini amat penting untuk membantu belia, khususnya mereka yang terlibat dalam pekerjaan gig, penghantaran, usahawan mikro serta aktiviti keusahawanan supaya lebih mudah bergerak, meningkatkan produktiviti dan menambah pendapatan.
“Ia juga mampu meringankan beban kos sara hidup dengan menyediakan pilihan kenderaan yang murah, praktikal dan bebas riba,” katanya di sidang media selepas majlis pelancaran skim tersebut di sini, hari ini.
Selain itu, DUTE pula memperuntukkan sebanyak RM1.6 juta, dengan agihan RM50,000 bagi setiap DUN, bertujuan memberi suntikan modal awal kepada usahawan belia untuk memulakan perniagaan atau menaik taraf operasi.
“Dana ini telah digunakan oleh belia untuk membeli peralatan seperti mesin jahit industri, selain meningkatkan mutu perniagaan makanan melalui sistem pembungkusan yang lebih baik – satu langkah penting untuk menjadikan perniagaan mereka lebih berdaya saing dan mampu menembusi pasaran baharu,” jelasnya.
Ariffin turut menegaskan bahawa kedua-dua inisiatif ini merupakan kesinambungan usaha kerajaan negeri untuk menyokong pembangunan keusahawanan belia.
“Bantuan ini adalah hasil titik peluh rakyat yang disalurkan melalui kerajaan negeri.
“Gunakanlah ia dengan penuh tanggungjawab demi kebaikan bersama,” tegasnya.
24 Aug 25
9000
Pelajar SMIDI Guna Tablet Mulai Tahun Hadapan
KUALA NERUS, 24 Ogos – Bermula tahun hadapan, semua pelajar Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) akan mula menggunakan tablet dalam sesi pembelajaran sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan negeri menerapkan digitalisasi menuju agenda Pendidikan Sejahtera 2030.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat, berkata langkah ini bagi memastikan sekolah milik kerajaan negeri sentiasa seiring dengan arus pendidikan perdana.
“Bermula awal tahun depan, semua pelajar baharu SMIDI akan dibekalkan tablet kerana kita mahu memanfaatkan teknologi maklumat (IT) semaksimum mungkin dalam proses pembelajaran.
“Bagi Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI), kita akan memperkenalkan asas-asas IT dengan menyiapkan makmal IT di setiap sekolah. Walaupun tidak diwajibkan pada peringkat awal, namun di SMIDI penggunaan makmal IT adalah wajib,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Ijtima’ Warga Pendidik JPINT di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, Kuala Nerus, baru-baru ini.
Menurutnya lagi, pihak pengurusan sekolah turut perlu bersiap sedia menyediakan infrastruktur dan kelengkapan bagi memastikan penggunaan teknologi dapat dimaksimumkan.
Mengulas lanjut, Satiful berkata usaha ini diharap memberi manfaat besar kepada pelajar dan seterusnya meningkatkan kualiti pendidikan negeri.
“Selain itu, kita juga mahu memperkasakan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bukan sahaja di sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), tetapi juga di sekolah milik kerajaan negeri.
“Langkah ini termasuk mewujudkan kelas sains tulen agar sekolah-sekolah di bawah JPINT tidak ketinggalan,” ujarnya.
24 Aug 25
153
Hak, Tanggungjawab Wanita Ibarat Dua Sisi Mata Wang
KUALA TERENGGANU, 22 Ogos – Hak dan tanggungjawab wanita adalah dua sisi mata wang yang tidak boleh dipisahkan.
Sekali gus, ia menjadi isu utama dalam Dasar Wanita Terengganu yang menuntut penglibatan mereka secara menyeluruh dalam pembangunan sosial dan ekonomi negeri.
Menurut Pensyarah Kanan, English Learning Centre, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Azza Jauhar Ahmad Tajuddin, wanita merangkumi hampir 49 peratus daripada populasi Terengganu dan tidak lagi boleh dianggap sekadar pelengkap, sebaliknya rakan strategik dalam pembangunan negeri serta ummah.
“Wanita ialah guru pertama kepada anak-anak, penggerak masyarakat dan penyumbang besar kepada pembangunan negeri.
"Mereka perlu diberi ruang dan peluang untuk menjadi pendidik, pemimpin, penggerak ekonomi serta menguasai teknologi secara beretika,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam Seminar Dasar Wanita Terengganu di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, pada semalam.
Azza Jauhar menegaskan, keseimbangan antara hak dan tanggungjawab amat penting supaya dasar ini tidak hanya bersifat slogan, tetapi benar-benar memberi impak kepada pembangunan keluarga, masyarakat dan negeri.
Tambahnya, dengan pengiktirafan dan sokongan berterusan, wanita berupaya melahirkan generasi berdaya saing, beretika serta berperanan besar dalam kesejahteraan negeri.
22 Aug 25
324
RXZ Member : MB, Exco Terengganu Dihalang Serta
KUALA TERENGGANU, 22 Ogos – “Selamat datang dan bertandang ke Negeri Terengganu untuk RXZ Member 7.0. Walau jasad kami dihalang, hati tetap bersama kalian,” demikian tegas Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dalam kenyataan terbarunya menjelang perasmian perhimpunan mega RXZ Member 7.0.
Beliau mengalu-alukan kedatangan puluhan ribu peminat motosikal RXZ dari seluruh negara, namun pada masa sama meluahkan kekecewaan apabila beliau, Exco Kerajaan dan kepimpinan negeri tidak dibenarkan menyertai acara itu sejak awal perbincangan.
“Saya mohon maaf kerana tidak dapat bersama menunggang RXZ meraikan semua peserta.
“Apa nak buat, apabila politik memanjang 24 jam dengan syarat itu dan ini, akhirnya saya dan pimpinan Kerajaan Negeri yang sentiasa bersama anda semua telah ditiadakan.
“Akhirnya, tak pasal-pasal RXZ menjadi mangsa politik cemburu orang Putrajaya/KL. Inilah contoh politik 'low class' yang saya selalu sebut. Orang di Terengganu panggil politik ‘komang spanar’,” katanya.
Meskipun tidak hadir secara fizikal, beliau tetap menitipkan sokongan dan doa buat semua peserta.
“Tungganglah motor dengan hati-hati. Semoga selamat sampai dan pulang. Jangan lupa jaga solat dan amalkan kebaikan sepanjang perjalanan,” pesannya.
RXZ Member 7.0 terus mengukuhkan Kuala Terengganu sebagai pusat tumpuan peminat motosikal dua lejang, namun penganjuran kali ini jelas tercemar dengan campur tangan politik sempit yang cuba meminggirkan kepimpinan negeri.
22 Aug 25
31650
Lemboh Nisang Bukti Kejayaan Usahawan Tempatan, Kerajaan Negeri Sedia Hulur Sokongan
MARANG, 22 Ogos – Kerajaan negeri komited menyokong pembangunan usahawan kecil dan sederhana (IKS) yang berjaya mengangkat produk tradisi negeri ke pasaran lebih luas, termasuk usaha yang dilakukan oleh pengusaha Lemboh Nisang di Marang.
Pusat jualan makanan berasaskan nisang (gula Melaka) yang diusahakan oleh Nur Nadhirah Syuhadah Rahmat, 27, atau lebih dikenali Nachik Cikna bersama suami itu kini mendapat sambutan luar biasa walaupun baru 18 hari beroperasi.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato' Ariffin Deraman berkata sepanjang lawatan ke lokasi tersebut mendapati Lemboh Nisang menjadi tumpuan orang ramai walaupun pada hari bekerja, manakala pada hujung minggu jumlah pengunjung meningkat tiga hingga empat kali ganda.
Katanya, menyedari potensi besar Lemboh Nisang bukan sahaja sebagai perniagaan keluarga tetapi juga destinasi baharu Community Based Tourism (CBT), kerajaan negeri akan meneliti bentuk sokongan dan bantuan yang sesuai bagi mengembangkan lagi produk tersebut.
"Kerajaan negeri sentiasa bersedia membantu usahawan tempatan yang mampu menjana peluang pekerjaan serta merancakkan sektor pelancongan.
“Usahawan seperti ini adalah aset negeri kerana mereka bukan sahaja melestarikan produk tradisi Terengganu, malah menjadikan ia tarikan baharu pelancongan.
"Kami akan terus memberi sokongan melalui pelbagai inisiatif bagi memastikan perniagaan seperti ini terus berkembang,” jelasnya.
Tambah beliau, dengan sokongan berterusan, Lemboh Nisang diyakini mampu menjadi antara destinasi wajib dikunjungi di Marang serta mengangkat produk nisan sebagai kebanggaan Terengganu di persada nasional.
Lemboh Nisang yang terletak berhampiran Dataran Batu Putih di Bandar Marang itu menawarkan pelbagai produk berasaskan nisan, dengan rancangan memperkenalkan lebih banyak variasi pada masa akan datang.
22 Aug 25
1347
Seminar Dasar Wanita Terengganu Teguh 'Kuasa' Wanita
KUALA TERENGGANU, 21 Ogos - Kerajaan Negeri menganjurkan Seminar Dasar Wanita Terengganu 2025 bagi memperkukuh pelaksanaan Dasar Wanita Terengganu sebagai panduan strategik pembangunan wanita negeri ini.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Zuraida Md Noor berkata, bertemakan ‘Wanita Solehah Peneraju Bersama’ seminar tersebut bertujuan mencapai misi memperkasa wanita melalui ilmu, perlindungan hak serta keupayaan menunaikan tanggungjawab mengikut fitrah ke arah membina negeri yang maju, berkat dan sejahtera.
Katanya, Dasar Wanita Terengganu bukan sekadar dokumen di atas kertas, sebaliknya simbol komitmen Kerajaan Negeri untuk melindungi, memelihara, memperkasa dan membangunkan wanita di semua peringkat.
“Dasar Wanita Terengganu menggariskan matlamat yang jelas termasuk membina jati diri wanita berasaskan ilmu dan ketakwaan, mempertahankan hak wanita melalui syariat dan akhlak, memperkukuhkan institusi kekeluargaan, meningkatkan penyertaan wanita dalam sektor ekonomi, serta memastikan suara wanita diiktiraf dalam proses membuat keputusan.
“Seminar ini adalah satu wadah penting bagi kita memahami, membincang dan menghayati pelaksanaan Dasar Wanita Terengganu yang memberi tumpuan kepada beberapa aspek utama antaranya melindungi, memelihara, memperkasa serta membangunkan wanita,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Seminar Dasar Wanita Terengganu 2025 yang disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.
Seminar berkenaan turut dimuatkan sesi pembentangan oleh pakar akademik, persembahan khas, serta sesi libat urus bersama peserta yang terdiri daripada wakil jabatan kerajaan, NGO, penggiat masyarakat dan aktivis wanita.
Sementara itu, Dato’ Nara Setia dalam ucapan perasmiannya menekankan kepentingan pelaksanaan dasar secara menyeluruh agar wanita Terengganu dapat menikmati peluang sama rata, perlindungan sewajarnya dan ruang luas untuk menyumbang kepada negeri.
Beliau turut menyenaraikan cabaran semasa wanita termasuk perubahan ekonomi global, keperluan penguasaan digital, isu sosial seperti keganasan rumah tangga, serta cabaran menyeimbangkan kerjaya dan keluarga.
“Dasar Wanita Terengganu akan dilaksanakan melalui 18 skop utama merangkumi aspek agama, keluarga, kesihatan, pendidikan, ekonomi, politik, kepimpinan, teknologi maklumat, kesukarelawanan, jaringan sosial, alam sekitar dan lain-lain. Kita tidak mahu seminar ini hanya tinggal di atas kertas, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada tindakan konkrit di jabatan, agensi dan komuniti,” jelasnya.
21 Aug 25
153
Masjid Seberang Takir Sambut 100,000 Peserta RXZ
KUALA NERUS, 21 Ogos – Masjid Seberang Takir kini bersiap sedia sepenuhnya bagi menerima kehadiran lebih 100,000 peserta RXZ Members sempena perhimpunan mega yang bakal berlangsung di sekitar Kuala Nerus.
Sebagai antara lokasi tumpuan utama, masjid berkenaan turut menyediakan pelbagai kemudahan asas termasuk ruang solat, tempat letak motosikal serta pasukan petugas khas bagi memastikan kelancaran urusan pengunjung dan kebersihan kawasan sepanjang program berlangsung.
Timbalan Pengerusi Masjid, Halim Che Ibrahim berkata, sebagai tanda meraikan kehadiran tetamu, pihak masjid mengambil inisiatif menyediakan jamuan istimewa.
“Kita menjangkakan lebih 3,000 orang akan hadir. Bagi meraikan mereka, masjid menyediakan lebih 160 kilogram daging lembu, bersamaan kira-kira dua ekor lembu untuk jamuan bersama,” katanya.
Menurut beliau, tujuan utama usaha ini bukan sahaja untuk menyambut komuniti RXZ Members, tetapi juga mengambil peluang mengimarahkan masjid dalam kalangan anak muda serta pelawat luar.
“Alhamdulillah, sambutan penduduk setempat sangat positif. Tiada sebarang isu atau aduan, malah ramai turut bersama membantu dalam persiapan,” jelasnya.
Selain mengeratkan hubungan masyarakat, program ini juga diharap dapat memperkenalkan Masjid Seberang Takir sebagai masjid pelancongan, selari dengan peranannya sebagai pusat tumpuan dan ikon di kawasan ini.
Seorang penduduk tempatan, Ridhwan Takwa, berkata beliau menyambut baik kehadiran para peserta sambil menasihati agar semua pengunjung menjaga adab, kebersihan serta menghormati suasana rumah ibadah.
“Ini peluang untuk kami menunjukkan keramahan masyarakat Seberang Takir kepada pengunjung dari seluruh negara,” katanya.
Perhimpunan RXZ Members merupakan acara tahunan yang menghimpunkan ribuan peminat motosikal RXZ dan dijangka membawa limpahan pengunjung luar biasa ke negeri Terengganu kali ini.
21 Aug 25
1979