lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Lesen Sampan Khas Untuk Nelayan Tulen
Lesen Sampan Khas Untuk Nelayan Tulen
KUALA TERENGGANU, 18 Ogos – Kerajaan Negeri Terengganu bersama Jabatan Perikanan, LKIM dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) hari ini memutuskan untuk membuka permohonan baharu Lesen Sampan Khas Nelayan bagi tahun 2025, khusus buat nelayan tulen yang masih belum memiliki lesen. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato' Dr Azman Ibrahim berkata, langkah ini diambil selepas menyedari masih ada nelayan sepenuh masa yang belum mendapat lesen walaupun lebih 600 lesen khas telah diluluskan pada tahun 2021 dan 2022. “Operasi pemutihan lesen turut dijalankan bagi memastikan hanya nelayan tulen dan aktif sahaja kekal memiliki lesen.  "Lesen yang tidak digunakan atau tamat tempoh akan ditarik balik bagi memberi ruang kepada mereka yang benar-benar layak,” tegasnya dalam satu kenyataan dalam sosialnya pada hari ini. Menurutnya, antara syarat utama ialah pemohon mestilah warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas, bekerja sepenuh masa sebagai nelayan, memiliki sampan sendiri tidak melebihi 15 meter, sihat tubuh badan, lulus temuduga dan tidak pernah memiliki lesen nelayan sebelum ini. Beliau menegaskan, hanya pesara kerajaan daripada kelompok B40 sahaja dibenarkan untuk memohon. Tambah Azman, nelayan yang layak diminta segera berhubung dengan PNK, Pejabat Perikanan Daerah atau Pejabat Perikanan Negeri Terengganu dalam tempoh dua minggu dari tarikh pengumuman.
18 Aug 25
190
PB Hotel Lancar Newsletter Perkukuh Jenama Dan Tingkatkan Keterlihatan
PB Hotel Lancar Newsletter Perkukuh Jenama Dan Tingkatkan Keterlihatan
KUALA TERENGGANU, 18 Ogos – Paya Bunga(PB) Hotel melancarkan Newsletter PB Hotel sebagai salah satu langkah proaktif untuk memperkukuh jenama serta meningkatkan keterlihatan hotel itu di mata pelanggan dan rakan strategik. Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah PB Hotel, Ahmad Shah Muhamed berkata penerbitan berkenaan bertujuan memperluas capaian maklumat kepada pelanggan sedia ada dan bakal pelanggan, di samping meluaskan jaringan hubungan dengan pelbagai pihak berkepentingan. “Melalui newsletter ini, PB Hotel dapat menyampaikan perkembangan, promosi, pencapaian serta inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) secara konsisten dan berkesan “Saya percaya inisiatif tersebut akan menjadi nilai tambah dalam memperkasakan komunikasi serta membina hubungan yang lebih erat dengan semua pihak,” katanya ketika merasmikan pelancaran Newsletter PB hotel di sini, semalam. Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan dan tahniah kepada Jabatan Komunikasi Korporat serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penerbitan tersebut. Ahmad Shah optimis Newsletter PB Hotel akan berkembang menjadi salah satu medium utama yang mengukuhkan lagi reputasi hotel itu sebagai hotel patuh syariah atau Muslim Friendly di Bandar Kuala Terengganu, yang menawarkan hospitaliti terbaik di negeri Terengganu.  
18 Aug 25
108
141 Peserta Sertai Kursus Pra-Perkahwinan di DUN Manir
141 Peserta Sertai Kursus Pra-Perkahwinan di DUN Manir
HULU TERENGGANU, 18 Ogos – Seramai 141 peserta telah menghadiri Kursus Pra-Perkahwinan peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir yang berlangsung selama dua hari berakhir Sabtu lalu. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Hilmi Harun berkata, program tersebut menjadi medium pendedahan terbaik kepada golongan muda sebelum melangkah ke alam rumah tangga. Menurutnya, peserta hanya dikenakan yuran sebanyak RM80 seorang, manakala kos makan minum dan kemudahan lain ditanggung penganjur dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) serta belia dan beliawanis DUN Manir. “Saya berpuas hati dengan sambutan kali ini kerana jelas menunjukkan golongan belia bijak mengambil peluang yang disediakan. "Tujuan utama penganjuran adalah untuk memberi kemudahan dan meringankan beban anak muda yang belum berkahwin bagi mendapatkan sijil perkahwinan dengan tempat yang lebih dekat. “Semoga kursus ini mampu membimbing peserta menghadapi cabaran rumah tangga dengan berpandukan ilmu serta panduan yang diperolehi sepanjang program,” katanya ketika berucap merasmikan majlis penutup kursus berkenaan di Dewan Kompleks AL-KAWTHAR, Kubang Lembek, semalam. Beliau turut menasihati pasangan muda agar terus menimba ilmu melalui majlis-majlis agama bagi memastikan mahligai yang dibina diberkati Allah SWT serta melahirkan keluarga sakinah, mawaddah wa rahmah. “Insya-Allah pihak kami akan merancang penganjuran kursus seperti ini pada setiap tahun agar lebih ramai masyarakat dapat mengambil manfaat daripada pengisian yang bermanfaat,” tambahnya.
17 Aug 25
74
Suruhanjaya Pembangunan Negara Jawapan Kepada Tuntutan Rakyat
Suruhanjaya Pembangunan Negara Jawapan Kepada Tuntutan Rakyat
KUALA TERENGGANU, 17 Ogos - Cadangan menubuhkan Suruhanjaya Transformasi Pembangunan Negara wajar mendapat sokongan penuh kerana ia merupakan langkah strategik membina Malaysia yang lebih adil, seimbang dan makmur. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato' Hanafiah Mat, berkata idea yang dikemukakan Ahli Parlimen Kemaman, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar adalah satu mekanisme penting untuk membetulkan ketidakadilan dalam agihan pembangunan negara. Menurutnya, dengan menilai semula keberkesanan Rancangan Malaysia (RMK) sebelum ini, kelemahan lampau boleh diperbaiki supaya setiap projek benar-benar memberi manfaat kepada rakyat, bukan sekadar terhenti di atas kertas. "Melalui audit terhadap sistem pemberian sedia ada termasuk geran am, geran khas dan perkongsian hasil, kita mampu menutup ruang ketirisan sekali gus memastikan dana sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan," katanya. Beliau menambah, cadangan untuk mengadaptasi model antarabangsa seperti 'Equalization Payment' dan 'Fiscal Stabilization Programme' yang berjaya diamalkan di Jerman, Kanada serta Australia membuktikan Malaysia bersedia mengambil pendekatan terbaik dunia bagi menjamin pembangunan negeri yang lebih seimbang. Hanafiah turut menegaskan, penyertaan semua negeri melalui wakil rasmi dalam suruhanjaya itu akan memperkukuh semangat federalisme sejati, di mana suara negeri didengar dan dihormati. "Rakyat tidak peduli siapa yang berkuasa, sama ada Persekutuan atau Negeri. Apa yang mereka mahu ialah jalan raya dibaiki, peluang pekerjaan diwujudkan, kemudahan asas dipertingkatkan dan masa depan keluarga mereka terjamin. Suruhanjaya ini adalah jawapan kepada tuntutan itu," katanya. Beliau menegaskan, sudah tiba masanya berhenti bermain dengan janji dan mula bergerak dengan tindakan nyata. "Sokongan kepada cadangan ini bukan lagi pilihan, tetapi kewajipan demi keadilan dan kemajuan seluruh rakyat Malaysia," tegasnya.
17 Aug 25
174
Pakar UPM Kenal Pasti Dua Spesies Rumput Laut Ditemui di Kijal
Pakar UPM Kenal Pasti Dua Spesies Rumput Laut Ditemui di Kijal
KEMAMAN, 17 Ogos – Dua spesies rumput laut iaitu ‘Halophila beccarii’ dan ‘Halodule pinifolia’ telah dikenal pasti terdapat di perairan Kijal menerusi Program CEPA dan Kempen Kesedaran Rumput Laut bersama para nelayan tempatan, semalam. Pakar Rumput Laut Malaysia dari Jabatan Akuakultur, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Muta Harah Zakaria, berkata rumput laut memainkan peranan yang amat penting dalam memastikan kelestarian ekosistem marin. Katanya, rumput laut berfungsi mengurangkan pencemaran air, membantu mengawal hakisan tanah, menjadi sumber makanan kepada hidupan marin seperti penyu, dugong serta anak-anak ikan, selain menjadi habitat dan tempat berpaut kepada kuda laut. “Rumput laut juga memberi manfaat besar kepada manusia kerana ia digunakan dalam makanan dan ubat-ubatan seperti antioksida serta antibiotik,” katanya ketika berucap pada program berkenaan yang bertempat di Darul Iman Training Centre (DITC) Kijal, Kemaman semalam. Program tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris. Dr Muta Harah berkata, di beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak, ia turut dijadikan bahan binaan atap serta anyaman bakul. “Program kesedaran ini diharapkan dapat meningkatkan kefahaman masyarakat, khususnya komuniti nelayan Kijal.  “Dari sudut kepentingan memelihara serta memulihara khazanah laut yang bernilai tinggi untuk kesejahteraan generasi masa hadapan,” ujarnya.                
17 Aug 25
210
'Langkah Sihat Wanita Kijal 2.0' Himpun Lebih 500 Peserta
'Langkah Sihat Wanita Kijal 2.0' Himpun Lebih 500 Peserta
KEMAMAN, 17 Ogos – Program ‘Langkah Sihat Wanita Kijal 2.0’ berjaya menghimpunkan lebih 500 peserta daripada pelbagai lapisan umur dari sekitar Kemaman dan kawasan berhampiran, sekali gus menjadi platform penyatuan masyarakat melalui aktiviti sihat dan bermanfaat. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris berkata, program yang berlangsung di Bandar Baru Kijal itu bermula seawal jam 7 pagi dengan pendaftaran peserta sebelum diteruskan dengan aktiviti berjalan kaki sejauh 3 kilometer mengelilingi laluan utama bandar tersebut. “Acara kemuncak turut diserikan dengan sesi cabutan bertuah yang paling dinantikan, dengan hadiah utama berupa ‘Gold Bar’ dan pendingin hawa (aircond) menjadi tarikan utama kepada peserta. “Menariknya, program kali ini turut menzahirkan solidariti buat adik Zara Qistina sebagai simbol sokongan masyarakat dalam menyeru agar budaya buli dihentikan sepenuhnya,” jelasnya. Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas Majlis Perasmian ‘Langkah Sihat Wanita Kijal’ bertempat di Dewan Terbuka Paya Lasir Bandar Baru Kijal semalam. Turut hadir Pegawai Khas Ahli Parlimen Kemaman, Hazri Jusoh, Senator, Che Alias Hamid, ketua Suri Kijal, Mestilah Mohamed, dan Ketua Sahabat Annisa Kijal, Nurul Hidayat Ibrahim. Razali melahirkan ucapan tahniah kepada semua terlibat dalam penganjuran program berkenaan. “Insya-Allah, ia akan dijadikan acara tahunan yang mengumpulkan masyarakat dalam suasana sihat dan penuh mesra. “ Saya berharap agar program sebegini terus diberi sokongan padu oleh seluruh masyarakat demi melahirkan komuniti yang lebih sihat, harmoni dan prihatin.                  
16 Aug 25
67
ADUN Bukit Besi Sumbang Perangkap Kera Gergasi
ADUN Bukit Besi Sumbang Perangkap Kera Gergasi
DUNGUN, 17 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman menyumbangkan empat buah perangkap kera bagi menangani masalah gangguan haiwan perosak di kawasan itu. Inisiatif tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Perhilitan Daerah Dungun setelah menerima banyak aduan daripada penduduk mengenai kerosakan tanaman, harta benda serta ancaman keselamatan terutama terhadap kanak-kanak kecil. Menurut Ghazali, perangkap tersebut dibina mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh pihak Perhilitan, bagi memastikan keberkesanan dan keselamatan penggunaannya. “Alhamdulillah, dengan kelulusan Jabatan Perhilitan, sebanyak empat buah perangkap telah berjaya disiapkan. Perangkap ini akan diuruskan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat di lokasi-lokasi yang dikenal pasti sering berlaku gangguan kera dan beruk,” katanya. Beliau menambah, kerjasama erat dengan pihak JPKK amat penting kerana mereka merupakan mata dan telinga penduduk kampung yang sentiasa melaporkan sebarang masalah melibatkan haiwan liar. “Sebelum ini, telah pun direkodkan insiden serangan haiwan berkenaan, justeru langkah ini diambil bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku,” jelasnya. Usaha ini sekali gus diharap dapat mengurangkan kerosakan tanaman dan memastikan keselamatan penduduk kampung terjamin.  
16 Aug 25
72
Terengganu Tuntut Hak Senarai 10 Projek Wajib Lulus RMK-13
Terengganu Tuntut Hak Senarai 10 Projek Wajib Lulus RMK-13
KUALA TERENGGANU, 16 Ogos – Kerajaan Negeri Terengganu mengemukakan senarai 10 projek mega yang dianggap 'wajib diluluskan' dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) Rolling Plan Pertama (RP1) bagi memastikan keselamatan rakyat, kelestarian alam sekitar dan kelancaran ekonomi negeri. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato' Hanafiah Mat  berkata projek-projek tersebut merupakan keperluan mendesak dan bukan bersifat kemewahan. Katanya, ia melibatkan aspek keselamatan rakyat, kesihatan awam, kelestarian alam sekitar serta pembangunan infrastruktur strategik. "Antara projek yang disenaraikan ialah Pengawalan Hakisan Pantai Rusila, Marang (RM144.85 juta), Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buaya, Kuala Nerus (RM247.97 juta), Jalan Baharu KT-Bypass ke FT14, Kuala Terengganu (RM231.12 juta) dan RTB Anak Sungai Ibai, Kuala Terengganu (RM147.66 juta). "Turut disenaraikan ialah pembinaan Blok Tambahan Hospital Besut (RM500 juta), penggantian Paip Air Submarin ke Pulau Redang (RM150 juta), naik taraf FT03 di Setiu (RM231.84 juta), Sistem Saliran Mesra Alam Kampung Mak Chili, Kemaman (RM29.90 juta), pembinaan Jambatan Baharu Pulau Kekabu, Marang (RM6.90 juta) dan naik taraf Stadium Hoki, Kuala Terengganu (RM7.90 juta)," ujarnya. Menurut Hanafiah, projek-projek ini amat penting untuk menangani isu seperti hakisan pantai kritikal, banjir kilat, kemudahan kesihatan yang terhad, masalah air, jalan raya yang berisiko, serta infrastruktur sukan yang uzur. “Terengganu adalah penyumbang utama hasil negara melalui industri minyak dan gas. Namun, kelulusan projek dan peruntukan sering berdepan kelewatan. "Kami berharap kerajaan Persekutuan memberi keutamaan penuh terhadap 10 projek ini demi kesejahteraan rakyat,” katanya. Tambah beliau lagi, sebelum ini, RMK-12 telah meletakkan asas kukuh bagi menyediakan peruntukan pembangunan yang lebih besar kepada Terengganu, sekali gus menyasarkan lonjakan pertumbuhan ekonomi negeri.  "Namun, dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13), penglibatan Terengganu dilihat terbatas apabila negeri ini hanya terlibat dalam enam daripada keseluruhan 122 strategi yang digariskan. "Keadaan ini menimbulkan persoalan mengenai keutamaan perancangan pembangunan yang seimbang antara negeri, terutama bagi memastikan Terengganu terus mendapat manfaat setimpal dengan sumbangannya kepada ekonomi negara," jelasnya.
16 Aug 25
1946
Buli Racun Keharmonian, Nyawa Jadi Taruhan
Buli Racun Keharmonian, Nyawa Jadi Taruhan
KUALA TERENGGANU, 15 Ogos – Perbuatan buli disifatkan sebagai ‘racun keharmonian’ yang merosakkan hubungan sesama manusia dan berpotensi meragut nyawa jika dibiarkan berleluasa. Khutbah Jumaat di seluruh Terengganu baru-baru ini menggariskan bahawa budaya buli, sama ada di sekolah, tempat kerja atau alam maya, merupakan perbuatan zalim yang diharamkan oleh Islam kerana mencederakan fizikal, mental dan emosi mangsa. Menurut teks khutbah yang disediakan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), kes buli masih berada pada tahap membimbangkan. “Tahun lalu sahaja, sebanyak 427 kes salah laku buli direkodkan di sekolah seluruh negara, termasuk insiden pada 2024 yang mengakibatkan kematian pelajar. “Buli bukan sekadar memukul atau mengasari secara fizikal, malah termasuk memalukan, menakutkan, menyindir atau menyisihkan seseorang sehingga menjejaskan maruah dan kesejahteraan diri,” tegas khutbah tersebut. Khutbah turut memberi amaran mengenai bahaya buli siber, yang berlaku melalui media sosial dan aplikasi mesej apabila mangsa dihina, difitnah atau didedahkan aibnya secara terbuka. Jelasnya, perbuatan ini bukan sahaja berdosa, malah boleh menyebabkan mangsa mengalami tekanan perasaan yang serius sehingga mengambil nyawa sendiri. “Firman Allah SWT dalam Surah Maryam ayat 96 turut dibacakan yang bermaksud: 'Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Allah akan menjadikan bagi mereka perasaan kasih sayang (dalam hati manusia)',” kata khutbah itu.  Khutbah menyeru semua pihak termasuk ibu bapa, guru, masyarakat dan pemimpin berganding bahu mendidik generasi muda dengan nilai hormat-menghormati, tolong-menolong dan kasih sayang agar budaya buli dapat dihapuskan. “Buli bukan budaya kita. Ia bukan gurauan, tetapi jenayah moral dan agama. Hentikan sebelum ada lagi nyawa terkorban,” demikian tegas khutbah itu.
15 Aug 25
75
'Layanan Dua Darjat', Terengganu Mahu Haknya Dikembalikan
'Layanan Dua Darjat', Terengganu Mahu Haknya Dikembalikan
KUALA TERENGGANU, 15 Ogos – Kerajaan Negeri Terengganu menggesa kerajaan Persekutuan menghentikan amalan layanan 'dua darjat' dalam pengagihan projek dan peruntukan pembangunan, yang didakwa membantutkan kemajuan negeri itu. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato' Hanafiah Mat menegaskan, walaupun negeri berkenaan menjadi penyumbang utama hasil negara menerusi industri minyak dan gas, banyak projek yang dicadangkan berdepan proses kelulusan yang lambat, syarat tambahan yang ketat, malah ada yang dipotong skala pelaksanaannya. “Ini bukan soal politik, ini soal keadilan kepada rakyat dan Terengganu bukan anak tiri dalam Persekutuan Malaysia.  "Hak kita mesti dihormati  dan Terengganu berhak menikmati pembangunan setara dengan negeri-negeri lain,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman ketika dihubungi.  Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Cukai berkata beliau juga menyokong penuh ucapan perbahasan RMK-13 Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar merangkap Ahli Parlimen Kemaman di Sidang Parlimen baru-baru ini. Katanya, Ahmad Samsuri bukan sekadar mengkritik kelemahan, tetapi mengemukakan cadangan konkrit untuk memperkukuh kerjasama Persekutuan–Negeri, mempercepat pembangunan, dan memastikan Terengganu mendapat haknya secara adil. Beliau turut menegaskan bahawa perkara tersebut adalah selaras dengan semangat Persekutuan Malaysia yang termaktub dalam Perlembagaan, dan sebarang diskriminasi pembangunan terhadap negeri itu perlu dihentikan segera. “Kita menyumbang hasil, kita berhak menikmati pembangunan setimpal,” ujarnya. Beliau juga menegaskan pembangunan luar bandar perlu dilaksanakan secara menyeluruh, termasuk bekalan air bersih, grid elektrik diperkukuh dengan tenaga boleh baharu, dan liputan internet berkelajuan tinggi ke seluruh daerah. Dalam perbahasan RMK14 baru-baru ini, Menteri Besar turut menekankan keutamaan projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) sebagai pemacu mobiliti dan ekonomi negeri, dengan memberi manfaat kepada pengangkutan hasil pertanian, perikanan dan industri. Justeru itu, Hanafiah berkata beliau menyokong penuh desakan itu dan mahu Kerajaan Persekutuan segera meluluskan pelaksanaan projek yang telah siap kajian dan kerja awalan sejak 2022, sambil menegaskan komitmen politik serta kewangan amat diperlukan bagi mengelak kelewatan berterusan.    
15 Aug 25
3778