lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

PITAS2030 Pelan Holistik Bangunkan Negeri
PITAS2030 Pelan Holistik Bangunkan Negeri
KUALA TERENGGANU, 17 April – Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS2030) kini membuktikan bahawa pembangunan negeri sedang bergerak dengan nyata.  Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, PITAS2030 merupakan pelan holistik yang menggabungkan pengukuhan ekonomi, pembangunan fizikal dan kesejahteraan spiritual rakyat. "Sebagai ulangkaji kita bersama, inilah yang kita jenamakan di bawah satu pelan induk iaitu PITAS2030. "Bagi penggal ini, kerajaan telah menyenaraikan 93 Program Pembangunan Berimpak Tinggi (HIPP) mengikut portfolio setiap Exco sebagai pemacu pembangunan strategik negeri," katanya dalam sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga DUN Kelima Belas di Wisma Darul Iman hari ini. Jelas Menteri Besar, mengikut laporan semasa 2024, sebanyak 32 program atau 34.4 peratus telah disempurnakan, 38 program (40.9 peratus) sedang dilaksanakan, dan 19 lagi (20.43 peratus) dalam peringkat perancangan, manakala hanya empat program (4.3 peratus) masih di peringkat kertas konsep. “Pencapaian ini membuktikan kesungguhan seluruh jentera kerajaan dan rakan strategik untuk memastikan manfaat pembangunan dirasai rakyat di setiap pelosok negeri,” tegasnya. Namun, beliau mengingatkan agar tidak leka, sebaliknya menumpukan usaha mempercepat pelaksanaan program yang telah mencapai tahap kemajuan 50 hingga 80 peratus. “Kita perlu meningkatkan kecekapan, kurangkan birokrasi dan manfaatkan teknologi serta pembiayaan inovatif agar sasaran PITAS2030 tercapai lebih awal daripada jadual,” katanya.
17 Apr 25
121
Agensi Kerajaan Bukan Alat Politik - Dr Sam
Agensi Kerajaan Bukan Alat Politik - Dr Sam
KUALA TERENGGANU, 17 April – Menteri Besar Terengganu memberikan amaran agar tiada mana-mana pihak memperalatkan agensi kerajaan demi kepentingan politik sempit, sambil menegaskan bahawa beliau tidak pernah rasa tergugat dengan kehadiran agensi penguat kuasa dalam pentadbiran negeri. Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, budaya menggunakan agensi untuk menyerang lawan politik adalah langkah berbahaya yang menjejaskan maruah sistem pentadbiran negara. "Budaya yang kita tegur ialah penggunaan agensi ini sebagai alatan untuk mendapat maklumat dalaman politik, tanpa ada check and balance," katanya. Beliau berkata demikian dalam sesi pergulungan Usul Menjunjung Kasih sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas yang berlangsung di Wisma Darul Iman, hari ini. Beliau mengingatkan, tindakan itu bukan sahaja merosakkan kepercayaan rakyat terhadap sistem, bahkan boleh mencetuskan ketidakharmonian sosial dan ketidakstabilan dasar negara. "Inilah antara punca ketidakselesaan penjawat awam dan terhakisnya keyakinan pelabur terhadap kita,” ujar beliau. Dalam masa yang sama, beliau menyatakan bahawa beliau tidak pernah mempunyai masalah dengan mana-mana agensi, termasuklah cawangan khas yang hadir dalam setiap sidang DUN. "Saya tidak pernah rasa tidak selesa walaupun mereka hadir setiap kali sidang DUN dan sidang media," katanya. Malah beliau mengakui keberadaan mereka adalah normal dan tidak menimbulkan sebarang kekeliruan dalam tugasnya sebagai ketua kerajaan negeri. "Mereka kadang kala berada di bilik khusus di atas Dewan ini.  "Kita tidak pernah anggap kehadiran mereka sebagai satu gangguan," ujarnya.
17 Apr 25
223
MB: Hentikan Diskriminasi Politik, Kukuhkan Federalisme Demi Rakyat
MB: Hentikan Diskriminasi Politik, Kukuhkan Federalisme Demi Rakyat
KUALA TERENGGANU, 17 April - Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan bahawa sistem federalisme di Malaysia perlu bebas daripada diskriminasi politik agar rakyat dapat menikmati pembangunan secara adil, tanpa mengira sesiapa yang memerintah. Beliau berkata, konsep federalisme yang sihat bukan sahaja memupuk pembangunan seimbang antara persekutuan dan negeri, tetapi juga menjamin hak rakyat untuk menikmati hasil pembangunan secara saksama. Menurutnya, realiti sistem sedia ada membuka ruang untuk dimanipulasi oleh pihak berkuasa persekutuan, terutamanya apabila kerajaan negeri ditadbir oleh parti politik yang berbeza. "Federalisme yang berfungsi dengan baik, bukan sahaja memupuk pembangunan seimbang antara persekutuan dan negeri, bahkan turut menjamin hak rakyat, untuk menikmati hasil pembangunan tanpa diskriminasi politik. "Namun begitu, kerangka sistem federalisme berdasarkan Jadual Sembilan Perlembagaan Persekutuan, direkabentuk sebagai asas kemerdekaan Malaysia pada tahun 1957, yang masih diamalkan dalam negara kita lebih cenderung kepada centralized federalisme. "Ia meletakkan kuasa kerajaan persekutuan yang lebih luas dan besar dari sudut bidang kuasa dan sumber kewangan, menjadikan kerajaan negeri amat bergantung kepada kerajaan persekutuan secara amalannya. "Sistem ini juga telah membuka ruang, dan boleh dimanipulasi melalui tekanan ke atas kerajaan-kerajaan negeri, yang dipimpin oleh parti yang tidak sehaluan dari segi politik, dengan kerajaan di peringkat persekutuan. Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Kemaman berkata demikian di dalam ucapannya ketika sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Mengulas lebih lanjut, Dr. Samsuri menjelaskan bahawa pendekatan 'co-operative federalism' dapat mengurangkan ketegangan politik antara negeri dan pusat serta meningkatkan keyakinan pelabur dan rakyat terhadap pentadbiran. "Objektif yang kita ingin capai ialah, memperkukuhkan kestabilan politik dan meningkatkan keyakinan pelabur serta menambah keyakinan rakyat terhadap kecekapan pentadbiran," katanya. Beliau turut merujuk kepada model antarabangsa seperti 'The Tasmanian Commonwealth-State Agreement', yang berjaya menyelaraskan matlamat antara kerajaan negeri dan persekutuan dengan lebih cekap dan berkesan.  
17 Apr 25
99
SRIDI Miliki Premis Sendiri Tak Lama Lagi
SRIDI Miliki Premis Sendiri Tak Lama Lagi
KUALA TERENGGANU, 17 April – Kerajaan Negeri Terengganu komited untuk memastikan Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) dapat beroperasi di bangunan sendiri, dalam usaha memperkukuh sistem pendidikan Islam negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata, kebanyakan bangunan yang digunakan untuk pengoperasian SRIDI ketika ini merupakan premis sewaan oleh Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT), dan bukan milik kerajaan negeri. “Justeru, JPINT akan memberi penumpuan terhadap pengoperasian SRIDI baharu di bangunan milik Kerajaan Negeri Terengganu,” katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahimi Zulkifli dalam Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, hari ini. Mengulas lanjut, Satiful memaklumkan bahawa JPINT telah merancang untuk menambah satu lagi SRIDI di kawasan Dewan Undangan Negeri Batu Buruk, tertakluk kepada kelulusan serta peruntukan daripada Kerajaan Negeri Terengganu. Sementara itu, bagi cadangan penubuhan SRIDI di kawasan DUN Rantau Abang, lokasi di Mukim Kuala Dungun kini sedang menunggu kelulusan Pelan Akui (PA) daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM). “Setelah Pelan Akui diperoleh, proses pewartaan tanah yang dicadangkan akan dilaksanakan oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Terengganu,” katanya lagi. Langkah ini dilihat sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Negeri Terengganu untuk menyediakan prasarana pendidikan Islam yang lebih kukuh dan lestari di seluruh negeri.
17 Apr 25
1081
Suntik Inisiatif Khas Atasi Lambakan Buah-buahan
Suntik Inisiatif Khas Atasi Lambakan Buah-buahan
Inisiatif secara berterusan perlu dilaksanakan bagi mengelakkan isu lambakan buah-buahan terus berulang.
17 Apr 25
78
Perbuatan Menghasut, Sengaja Tidak Solat Berdepan Tindakan Tegas
Perbuatan Menghasut, Sengaja Tidak Solat Berdepan Tindakan Tegas
KUALA TERENGGANU, 17 April - Agensi di bawah portfolio dakwah dan pelaksanaan syariah akan meneruskan kerjasama dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam memperkasakan dakwah secara langsung di tapak pasar malam bagi mengajak masyarakat menunaikan solat fardu. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, sekiranya didapati ada pihak dengan sengaja tidak menunaikan solat fardu dan menghasut yang lain, tindakan tegas akan diambil . Katanya, Bahagian Penguatkuasaan akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan kesalahan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir)(Terengganu)2001. "Dalam melaksanakan dasar 'Indahnya Hidup Beryariat' kerjasama antara kerajaan dan masyarakat sangat penting khususnya dalam dakwah berkaitan solat fardu. "Tanpa menafikan tugas semua orang sebagai Daie bagi isu berkaitan solat fardu ketika pengoperasian pasar malam, Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah telah bermesyuarat dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk meneliti keperluan pemberhentian waktu operasi sementara bagi memberi ruang kepada peniaga dan pengunjung untuk solat," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Selain itu, Muhammad Khalil berkata pihaknya juga mengambil maklum mengenai cadangan yang turut dibangkitkan mengenai penyediaan ruangan solat. "Serta tempat mengambil wuduk bagi peniaga-peniaga dan pengunjung berdekatan," ujar beliau.
17 Apr 25
121
Sikap 'Nak Simpan Buat Pusaka' Rugikan Negeri - Dr. Azman
Sikap 'Nak Simpan Buat Pusaka' Rugikan Negeri - Dr. Azman
KUALA TERENGGANU, 17 April – Pemilikan tanah tanpa usaha memajukannya hanya menjadikan ia beban dan kerugian kepada negeri, lebih-lebih lagi apabila alasan klasik 'nak simpan buat pusaka' masih menjadi jawapan utama pemilik tanah di Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dr. Azman Ibrahim menegaskan bahawa pemikiran sebegini wajar dikikis kerana tanah ialah amanah untuk dimakmurkan, bukan ditinggalkan tanpa dimanfaatkan. "Adalah suatu kerugian bila situasi tanah terbiar ini dibiarkan berlarutan dalam keadaan terbiar dalam satu tempoh yang lama.  "Ramai pemilik tanah bila ditanya kenapa biarkan saja tanah tanpa diusahakan, jawapan klasiknya ialah, nak simpan buat pusaka,” katanya dalam sesi pergulungan sidang DUN, di Wisma Darul Iman semalam. Beliau mengingatkan bahawa harta pusaka akan tetap menjadi milik waris selepas kematian, dan menyimpan tanah tanpa sebarang usaha pembangunan bukanlah tindakan bijak ketika masih hidup dan mampu berusaha. "Pusaka tak perlu simpan, bila kita mati maka harta peninggalan termasuk tanah akan jadi pusaka.  "Yang kita mahu ialah, masa masih hidup dan bertenaga, kita perlu berusaha untuk memakmurkan muka bumi Allah,” ujarnya. Menurut rekod, Jabatan Pertanian sebelum ini mengklasifikasikan tanah terbiar sebagai tanah milik individu atau syarikat seluas lebih satu ekar yang tidak diusahakan selama tiga tahun berturut-turut, dengan lebih 8,263 hektar dikenal pasti sebagai terbiar di seluruh negeri sehingga 2021.
17 Apr 25
311
Tanah Sawah Seluas 700 Hektar Dibangun Secara Serius
Tanah Sawah Seluas 700 Hektar Dibangun Secara Serius
KUALA TERENGGANU, 17 April – Kerajaan negeri serius memberi tumpuan untuk membangunkan kawasan sawah padi seluas 700 hektar yang berada di bawah Skim Pengairan Kampung Jelapang, Setiu  Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, 300 hektar kawasan teroka asal sedang diusahakan oleh warga kampung sejak awal 70 an lagi manakala 400 hektar yang dibuka kerajaan telah terbiar sejak sekian lama. “Susulan itu, antara usaha yang dilakukan kerajaan negeri ialah dengan memberi hakmilik kepada orang-orang kampung samada peneroka asal atau waris mereka yang telah membuka tanah sawah tersebut.  “Manakala 400 hektar kawasan dibangunkan oleh Kerajaan Negeri dengan penglibatan Terengganu Agrotech Development Corp Sdn Bhd (TADC) bersama pelabur tempatan di bawah Skim Pengairan Kampung Jelapang pada 2009 dengan kos RM47 juta,” ujarnya. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata demikian bagi menjawab soalan lisan ADUN Langkap, Azmi Maarof dalam Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga, Dewan Undangan Negeri Kelima Belas, di Wisma Darul Iman, di sini, semalam. Sementara itu, beliau memaklumkan, kerajaan Negeri dan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM459,000 untuk perlaksanaan 17 senarai kerja dalam memastikan infrastruktur sawah padi berada pada tahap optimum pada tahun 2024. “Antara skop kerja ialah penyelenggaraan perparitan dan saliran, penyelenggaraan rumah pam, baik pulih jalan ladang dan penyelenggaraan pintu air,” ujarnya.  
17 Apr 25
97
Pembinaan Masjid Kampung Baru Kertih Disambung Semula
Pembinaan Masjid Kampung Baru Kertih Disambung Semula
KUALA TERENGGANU, 17 April - Pembinaan masjid di kampung Baru Kertih, Kemaman, kini bakal diteruskan kembali setelah sekian lama ditinggalkan terbengkalai. Pengerusi Jawatankuasa Infrasruktur, Utiliti Dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat, berkata tawaran semula bagi menyiapkan masjid yang mampu memuatkan 2,000 jemaah itu telah pun diluluskan. "Pihak kerajaan negeri telah meluluskan tawaran semula bagi menyiapkan kerja- kerja terbengkalai Masjid Kampung Baru Kertih, Kemaman sebagaimana keputusan Mesyuarat Projek Sakit peringkat Negeri pada 8 September 2024. "Pihak JKR bersama UPEN dan JHEAT telah mengadakan beberapa siri mesyuarat bagi menyelaras skop kerja berdasarkan siling projek yang telah diluluskan. "Projek akan diteruskan dengan mengguna pakai baki siling projek sedia ada dan skop kerja adalah sehingga mencapai kos RM 4.5 juta sahaja, berdasarkan kefungsian paling minima.  Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini, semalam. Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai itu, surat niat bagi kerja pembinaan tersebut telah mula dikeluarkan pada 13 hari bulan April yang lalu. "Pelawaan tender dijadualkan pada 24 April 2025, tarikh tutup tender ialah pada 25 Mei 2025 dan diikuti dengan pengeluaran Surat Setuju Terima (SST) yang dirancang pada 24 Jun 2025. "Manakala Tarikh Milik Tapak ditetapkan pada 8 Julai 2025," jelasnya menjawab soalan daripada ADUN Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili. Tempoh pembinaan bagi projek ini adalah selama 18 bulan dan dijangka siap sepenuhnya pada 30 Disember 2026.    
17 Apr 25
264
RM2 Juta Diperuntuk Bangunkan Infrastruktur Tanah Terbiar
RM2 Juta Diperuntuk Bangunkan Infrastruktur Tanah Terbiar
KUALA TERENGGANU, 17 April – Kerajaan Terengganu telah menyalurkan lebih RM2 juta dalam tempoh tiga tahun sejak 2021 bagi membiayai pembinaan infrastruktur asas di kawasan tanah terbiar, sebagai pemangkin kepada usaha menjadikan tanah tidak diusahakan kembali produktif dan bernilai. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, insentif khas ini diberikan kepada pemilik tanah yang bersedia memulakan aktiviti pertanian dengan sokongan infrastruktur asas seperti sistem pengairan, pagar, jalan dan kemudahan lain. "Bermula tahun 2021, Kerajaan Negeri telah menyediakan insentif bagi penyediaan infrastruktur asas di kawasan tanah terbiar seperti sistem pengairan, pagar, jalan dan lain-lain berjumlah RM20,000/ha," katanya sebagai menjawab persoalan dari ADUN Buluh Gading ketika sesi menggulung perbahasan DUN di Wisma Darul Iman, semalam. Menurut beliau, pada tahun pertama pelaksanaan, kerajaan memperuntukkan RM500,000 sebagai permulaan dan jumlah itu kemudiannya ditambah kepada RM1 juta pada tahun 2022 berikutan permintaan serta sambutan menggalakkan daripada pemilik tanah. "Tahun 2022 peruntukan dinaikkan kepada RM1 juta.  "Tahun 2023, RM500 ribu lagi diperuntukkan bagi tujuan yang sama. "Insentif ini disalurkan terus melalui Jabatan Pertanian Negeri dan bertujuan meringankan beban awal pemilik tanah yang ingin memulakan semula aktiviti pertanian selepas sekian lama tanah mereka dibiarkan terbengkalai," jelasnya.
17 Apr 25
154