KUALA TERENGGANU, 17 April – Kerajaan Negeri Terengganu komited untuk memastikan Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) dapat beroperasi di bangunan sendiri, dalam usaha memperkukuh sistem pendidikan Islam negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata, kebanyakan bangunan yang digunakan untuk pengoperasian SRIDI ketika ini merupakan premis sewaan oleh Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT), dan bukan milik kerajaan negeri.
“Justeru, JPINT akan memberi penumpuan terhadap pengoperasian SRIDI baharu di bangunan milik Kerajaan Negeri Terengganu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahimi Zulkifli dalam Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, hari ini.
Mengulas lanjut, Satiful memaklumkan bahawa JPINT telah merancang untuk menambah satu lagi SRIDI di kawasan Dewan Undangan Negeri Batu Buruk, tertakluk kepada kelulusan serta peruntukan daripada Kerajaan Negeri Terengganu.
Sementara itu, bagi cadangan penubuhan SRIDI di kawasan DUN Rantau Abang, lokasi di Mukim Kuala Dungun kini sedang menunggu kelulusan Pelan Akui (PA) daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).
“Setelah Pelan Akui diperoleh, proses pewartaan tanah yang dicadangkan akan dilaksanakan oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Terengganu,” katanya lagi.
Langkah ini dilihat sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Negeri Terengganu untuk menyediakan prasarana pendidikan Islam yang lebih kukuh dan lestari di seluruh negeri.