lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Terengganu Negeri Kedua Terbaik Bangunkan Tanah Terbiar
Terengganu Negeri Kedua Terbaik Bangunkan Tanah Terbiar
KUALA TERENGGANU, 17 April – Terengganu kini berada pada kedudukan kedua terbaik di Malaysia selepas Pahang dalam usaha memajukan semula tanah terbiar dengan pelbagai jenis tanaman pertanian sejak 15 tahun lalu. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, kejayaan ini hasil usaha berterusan sejak tahun 2008 sehingga 2021 dengan pembangunan semula lebih 1,122 hektar tanah terbiar di semua daerah negeri ini. "Maksud tanah terbiar dari segi taarif Jabatan Pertanian ialah tanah milik samada ia milik individu atau syarikat yang berkeluasan melebihi 1 ekar, keadaannya terbiar tidak diusahakan selama 3 tahun berturut-turut. "Sebanyak 1,122.09 hektar telah dibangunkan dari 2008 - 2021 dengan pelbagai tanaman, lokasinya di semua daerah.  "Untuk rekod Terengganu ialah negeri yang kedua terbaik selepas Pahang dari segi kejayaan memajukan tanah terbiar," katanya semasa menggulung perbahasan Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Iman, semalam. Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri menubuhkan Task Force Pembangunan Tanah Terbiar pada tahun 2020 dan kini memiliki pangkalan data khas atau 'land bank' bagi menyelaraskan tindakan pemulihan tanah yang tidak diusahakan. "Tahun 2020 Kerajaan Negeri telah menubuhkan Task Force Pembangunan Tanah Terbiar.  "Kita telah mempunyai ‘land bank’ data tanah terbiar. "Sehingga 2021 keluasan tanah terbiar dikenal pasti berjumlah 8,263.05 hektar," jelasnya.
17 Apr 25
179
Kerjasama MPTN Terengganu Perkukuh Pemeliharaan Biodiversiti
Kerjasama MPTN Terengganu Perkukuh Pemeliharaan Biodiversiti
KUALA TERENGGANU, 17 April - Kerajaan Negeri melalui Majlis Pengurusan Taman Negeri (MPTN) Terengganu sentiasa bekerjasama dengan pihak berkepentingan dalam pemeliharaan biodiversiti di negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, antaranya melalui penganjuran Seminar Biodiversiti Terengganu 2024 yang telah diadakan pada 6 November 2024di Dewan Besar, Wisma Darul Iman yang disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Terengganu. “Penganjuran seminar berkenaan menarik penyertaan kira-kira 300 orang daripada pelbagai latarbelakang termasuk dari sektor awam, akademik, swasta, badan bukan kerajaan (NGO), komuniti tempatan, masyarakat Orang Asli dan mahasiswa. “Ia bertujuan untuk memupuk kesedaran pelbagai pihak di dalam pentingnya melindungi biodiversiti yang disampaikan melalui perkongsian daripada agenda kebangsaan dalam pemeliharaan biodiversiti, kajian dan usaha konservasi serta perbincangan berkaitan isu-isu ancaman terhadap biodiversiti,” ujarnya ketika sesi soalan lisan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga, Dewan Undangan Negeri Kelima Belas, di Wisma Darul Iman, di sini, semalam. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan ADUN Air Putih, Mohd Hafiz Adam berkenaan adakah kerajaan negeri bekerjasama dengan NGO atau institusi pengajian tinggi dalam kajian dan pemeliharaan biodiversiti. Sementara itu katanya, seiring dengan hasrat melindungi kepelbagaian biologi negeri, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk mewartakan Pulau Bidong yang berkeluasan 231.3 hektar merangkumi 1 batu nautika daripada tikas air surut sebagai sebuah Taman Negeri. “Ia diletakkan di bawah urus tadbir MPTN Terengganu yang mana urusan pewartaan akan diselaraskan dalam masa terdekat ini,” ujarnya.  
17 Apr 25
143
Cadangan Pembinaan Jalan Baharu Terengganu-Kelantan Sudah Diangkat
Cadangan Pembinaan Jalan Baharu Terengganu-Kelantan Sudah Diangkat
KUALA TERENGGANU, 16 April - Cadangan Projek Membina Jalan Baru dari Felda Keruak, Besut, Terengganu ke Chuchoh Puteri, Kuala Krai telah diangkat ke Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).  Inisiatif mengangkat cadangan projek oleh JKR Terengganu kepada KKDW menunjukkan adanya usaha berterusan bagi memastikan keperluan jaringan jalan raya di kawasan luar bandar tidak diabaikan. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata, projek tersebut dilihat penting bagi meningkatkan akses penduduk Besut ke kawasan bersempadan di Kelantan serta merangsang pembangunan ekonomi setempat sekiranya diluluskan dan dilaksanakan kelak. "Cadangan Projek Membina Jalan Baru Dari Felda Keruak, Besut, Terengganu Ke Chuchoh Puteri, Kuala Krai telah diangkat ke Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) oleh pihak Jabatan Kerja Raya Terengganu di bawah RP1 RMK13. "Bagi Projek Cadangan Membina Jalan Baru dari Pekan Keruak ke Jalan Gunung Bongsu, Hulu Besut, Terengganu pula, projek ini juga telah diangkat ke KKDW oleh JKR Terengganu semasa Rolling Plan kelima Rancangan Malaysia Kedua Belas (RP5 RMK12)," jelasnya. Perkara itu dimaklumkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai itu dalam sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh ADUN Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin, semalam. Menurut beliau, pada masa ini, kedua-dua projek yang disebutkan – Jalan Keruak/Gunung Bongsu dan Jalan Keruak/Chuchoh Puteri – tidak disenaraikan dalam senarai keutamaan negeri di bawah RP1 RMK13.    
17 Apr 25
11449
Terengganu Ambil Langkah Drastik Lindungi Penyu
Terengganu Ambil Langkah Drastik Lindungi Penyu
KUALA TERENGGANU, 17 April – Kerajaan negeri melalui Jabatan Perikanan mengambil langkah penguatkuasaan yang menyeluruh di kawasan berisiko tinggi termasuk zon pendaratan dan perairan terlarang bagi menangani ancaman terhadap spesies penyu di Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dr. Azman Ibrahim,berkata diantaranya, operasi penguatkuasaan pukat pari sama ada di Pengkalan-Pengkalan Nelayan atau di laut, terutama Daerah Kemaman dan Dungun yang telah dikenalpasti banyak menggunakan pukat pari. "Yang kedua, operasi penguatkuasaan terhadap nelayan yang menceroboh kawasan santuari penyu," jelasnya. "Yang ketiganya, penguatkuasaan undang-undang di bawah Enakmen Pemuliharaan Penyu Terengganu 1951 pindaan 2021 dengan hukuman yang lebih berat terhadap kesalahan yang melibatkan kematian penyu," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan ADUN Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili, dalam sesi pergulungan Usul Menjunjung Kasih sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas yang berlangsung di Wisma Darul Iman, semalam. Dr Azman juga turut menegaskan bahawa penguatkuasaan turut dilaksanakan di bawah peruntukan negeri.  Tambahnya, di sebalik usaha besar-besaran melepaskan lebih tiga juta anak penyu sejak 2018, hanya seekor daripada setiap 1,000 yang berjaya kembali semula ke pantai untuk bertelur. "Penyu ialah spesis haiwan zaman dinasour yang masih survive sehingga hari ini.  "Rekod perlepasan anak penyu Terengganu dari tahun 2018-2024 ialah sebanyak 3,025,735 ekor, banyak yang kita lepas. "Statistik bagi setiap 1,000 ekor anak penyu yang dilepaskan, 1 ekor akan berjaya hidup sehingga dewasa dan kembali semula ke pantai di mana ia menetas, dengan nisbah 1/1000," katanya.   Dr. Azman turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan kematian penyu yang dipercayai berpunca daripada perbuatan manusia serta pelbagai ancaman yang dihadapi spesies tersebut. "Walaupun penyu mempunyai kemampuan berenang merentasi lautan antara benua, survival penyu terdedah kepada banyak ancaman. "Dari tahun 2015 - 2025 sebanyak 592 ekor kematian penyu direkodkan.  "Pada tahun 2024 sahaja, sebanyak 52 ekor kematian penyu dilaporkan, jumlah kematian yang sama pada tahun 2023, dari Januari sehingga Mac 2025 sebanyak 22 kematian penyu telah dilaporkan,” jelas beliau. Beliau turut menjelaskan bahawa meskipun punca sebenar kematian penyu sukar dipastikan, corak penemuan bangkai menunjukkan elemen perbuatan manusia yang mencurigakan.  "Bangkai penyu yang hanyut ditemui terperangkap dalam pukat nelayan, terdapat tali yang membelit disekeliling bangkai penyu. "Terdapat batu yang diikat pada bangkai penyu bertujuan menengelamkan penyu yang mati ke dasar lautan. "Bolehlah disimpulkan kematian yang berlaku dalam kes-kes di atas adalah angkara perbuatan tangan-tangan manusia,” tegas beliau. ADUN Jabi itu turut menambah, bagi menangani ancaman terhadap penyu,
16 Apr 25
110
Reformasi PBT Bantu Tarik Pelabur
Reformasi PBT Bantu Tarik Pelabur
KUALA TERENGGANU, 16 April - Kerajaan negeri telah melaksanakan beberapa langkah untuk menambahbaik sistem pentadbiran dan perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) demi melancarkan pembangunan setempat dan menarik pelabur.  Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, antara langkah yang dilaksanakan adalah menerusi digitalisasi perkhidmatan iaitu dengan memperkenalkan sistem dalam talian untuk memperkemaskan proses permohonan dan perkhidmatan lain bagi meningkatkan kecekapan dan penyampaian. "Selain itu, melalui latihan dan pembangunan sumber manusia dengan memberikan latihan berterusan kepada pegawai PBT bagi memastikan mereka memiliki kemahiran dan pengetahuan yang terkini dalam pengurusan serta pengendalian hal ehwal masyarakat. "Kita juga melakukan penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan penduduk dengan mengadakan projek pembangunan infrastruktur yang memudahkan akses dan dapat menggalakkan pelaburan seperti pembangunan jalan, fasiliti awam, dan ruang niaga," ujarnya ketika sesi soalan lisan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga, Dewan Undangan Negeri Kelima Belas, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam berkata demikian bagi menjawab soalan yang dikemukakan ADUN Bukit Tunggal, Sr. Zaharuddin Zahid yang ingin tahu apakah langkah yang telah dilakukan oleh pihak Kerajaan Negeri dalam menambah baik sistem pentadbiran dan perkhidmatan PBT bagi melancarkan pembangunan setempat, berjaya menarik pelabur dan memastikan penyelesaian masalah dengan lebih cekap. Tambah Wan Sukairi, kerajaan negeri juga memberi penekanan kepada penyelesaian masalah secara proaktif dengan mengimplementasikan mekanisme maklum balas awam yang lebih baik untuk mengenal pasti masalah dengan cepat dan efisien, serta menyediakan penyelesaian yang sesuai. "Di samping mendorong kerjasama dengan sektor swasta bagi membiayai projek pembangunan dan perkhidmatan yang dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat," ujarnya.
16 Apr 25
105
Kerajaan Negeri Rancang Buka Tanah Kerajaan Perbanyakkan RMM
Kerajaan Negeri Rancang Buka Tanah Kerajaan Perbanyakkan RMM
KUALA TERENGGANU, 16 April - Kerajaan negeri bercadang membuka lebih banyak kawasan tanah kerajaan bagi tujuan pembinaan Rumah Mampu Milik (RMM) untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata 23 projek akan terlibat dalam perancangan tersebut. “Ketika ini terdapat 23 projek dalam perancangan yang melibatkan pembinaan 4, 417 unit rumah bagi membantu golongan berkenaan memiliki kediaman sendiri di seluruh negeri ini. "Pembangunan ini bukan sahaja digerakkan oleh kerajaan negeri, tetapi turut melibatkan usaha sama dengan kerajaan persekutuan dan pemaju swasta. “Inisiatif ini selaras dengan matlamat kerajaan untuk memastikan setiap keluarga memiliki rumah sediri, sekali gus meningkatkan kesejahteraan rakyat dalam persekitaran yang selesa dan harmoni. Beliau berkata demikian di dalam ucapannya ketika sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, hari ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam itu juga menaruh harapan yang tinggi agar hasil daripada kerjasama pihak yang terlibat bakal meningkatkan pembinaan RMM kepada rakyat. Menurut beliau, pecahan bagi cadangan pembangunan projek perumahan mengikut daerah adalah seperti berikut; Kuala Terengganu (470 unit), Kuala Nerus (739 unit), Kemaman (843 unit), Dungun (255 unit), Marang (620 unit), Hulu Terengganu (800 unit), Besut (190 unit) dan Setiu (500 unit). Tambahan lagi, tujuh pihak yang bertanggungjawab dalam menjayakan usaha sama tersebut termasuklah kerajaan negeri, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta tiga pihak daripada sektor swasta.
16 Apr 25
3645
Enam Projek Perumahan Dungun Dalam Pembinaan
Enam Projek Perumahan Dungun Dalam Pembinaan
KUALA TERENGGANU, 16 April – Sebanyak enam projek perumahan sedang dalam proses pembinaan di daerah Dungun, melibatkan keseluruhan 1,062 unit rumah yang direkodkan setakat Mac lalu. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, antara projek tersebut termasuk pembinaan 182 unit Rumah Mampu Milik (RMM) Balai Besar yang terletak di Rantau Abang. “Projek di bawah peruntukan kerajaan negeri ini telah bermula 12 Januari lalu dan dijangka siap 29 April 2028 dan kini telah memasuki peringkat kerja-kerja awalan di tapak termasuk kerja tanah,” ujarnya ketika sesi soalan lisan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga, Dewan Undangan Negeri Kelima Belas, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh ADUN Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahimi Zulkifli berkenaan perkembangan projek perumahan terkini di Dungun terutamanya di Rantau Abang.  Selain itu katanya, Projek Pemajuan Kawasan (PPK) di Bandar Al Muktafi Billah Shah yang melibatkan pembinaan 130 unit rumah di bawah peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah yang bermula pada 27 Disember 2023 dan dijangka siap pada 24 Jun depan kini memasuki fasa kerja bangunan dan infrastruktur. “Manakala 70 unit rumah melalui projek Rumah Idaman Rakyat (RIR) Desa Idalam, Santong, Paka di bawah peruntukan  Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) yang memulakan pembinaan pada 28 Disember 2023 juga memasuki fasa kerja bangunan dan infrastruktur dan dijangka akan mendapat CCC pada Julai ini. “Sementara, projek Perumahan Mampu Milik Dan Bercampur di Kampung Baru, Mukim Kuala Abang (154) yang bermula pada 7 Julai 2021 dan dijangka siap pada 7 Julai 2026 dibawah peruntukan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dalam proses kajian semula. “Dan projek Perumahan di Taman Industri Park, Paka (178 unit rumah) serta Pembangunan Tanah di kawasan Kuala Paka (348 unit rumah) di bawah peruntukan Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri terengganu (LTAWNT) masing-masing memasuki kerja-kerja bangunan dan infrastruktur (20 peratus) dan dalam proses kebenaran merancang,” ujarnya.
16 Apr 25
1328
Cadangan Naik Taraf Jambatan Buluh Gading Disenarai Semula Dalam RMK13
Cadangan Naik Taraf Jambatan Buluh Gading Disenarai Semula Dalam RMK13
KUALA TERENGGANU, 16 April - Cadangan projek pembesaran dan menaik taraf Jambatan Buluh Gading di Kuala Nerus akan disenarai semula dalam perancangan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 'Rolling Plan' 2 (RMK13RP2) selepas permohonan sebelum ini belum mendapat kelulusan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat berkata, cadangan menaik taraf jambatan tersebut telah dimasukkan dalam skop kerja projek menaiktaraf. "Cadangan pembesaran dan naiktaraf Jambatan Buluh Gading telah dimasukkan dalam skop kerja projek Menaiktaraf Jalan Dari Kubang Jela ke Bulatan Batu Enam (Fasa 2).  "Permohonan projek telah dibuat dalam Rancangan Malaysia ke-Dua Belas Rolling Plan 1 hingga 5 (RMK12RP1-5) yang lalu, namun setakat ini masih belum mendapat kelulusan.  "Cadangan pelaksanaan projek ini akan disenaraikan semula dalam cadangan projek pembangunan di bawah RMK13RP2," katanya.  Beliau menjawab cadangan ADUN Bukit Tunggal, Sr. Zaharuddin Zahid ketika berucap dalam sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, hari ini. Menurut Hanafiah, projek itu melibatkan kerja menaik taraf jalan sedia ada daripada dua kepada empat lorong sepanjang empat kilometer serta penggantian jambatan Buluh Gading yang telah berusia lebih 61 tahun sejak dibina pada tahun 1964. "Kos keseluruhan projek ini dianggarkan sebanyak RM480.9 juta, dengan RM39 juta diperuntukkan khusus untuk pembinaan jambatan baharu Buluh Gading.  "Ia merupakan kesinambungan kepada projek naik taraf jalan FT003 dari Durian Burung ke Pulau Rusa yang telah siap pada 2011," jelasnya. Hanafiah turut menegaskan bahawa sekiranya projek ini diluluskan dalam RMK yang akan datang, pelan pembinaan jambatan baharu akan mengambil kira keperluan semua pihak, termasuk laluan bot pelancong yang menjadi salah satu tarikan utama di kawasan tersebut. "Rekabentuk jambatan akan dirangka secara menyeluruh, bukan sahaja untuk kemudahan penduduk setempat tetapi juga bagi menyokong perkembangan sektor pelancongan secara mampan," tambah beliau.
16 Apr 25
261
Rakyat Terengganu Diseru Ceburi Pertanian Kontan
Rakyat Terengganu Diseru Ceburi Pertanian Kontan
KUALA TERENGGANU, 16 April - Kerajaan negeri menggalakkan rakyat Terengganu terlibat dalam sektor tanaman kontan yang boleh menjana hasil cepat dan memberikan impak tinggi kepada sosial ekonomi rakyat. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, tanaman kontan singkat masa seperti cili, labu, terung, nanas dan sebaginya tidak memerlukan modal yang begitu besar dan penjagaannya juga lebih praktikal.  "Untuk modal permulaan mereka boleh mohon melalui Skim Pinjaman Modal Tani (SPMT) manakala tapak tanah kerajaan boleh mohon Lesen Pendudukan Sementara,” ujarnya. Beliau yang juga Ahli Dewan Udangan Negeri Jabi (ADUN) berkata demikian bagi menjawab soalan lisan ADUN Permaisuri, Mohd Yusop Majid dalam Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga, Dewan Undangan Negeri Kelima Belas, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Menurut beliau, kerajaan negeri juga menyediakan kawasan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) yang dikhususkan untuk tanaman kontan dengan kadar sewa yang sangat rendah. "Ketika ini Terengganu mempunyai lima TKPM iaitu TKPM Rhu Tapai, Setiu; Tok Dor, Besut; Serating, Marang; Peradong, Kuala Terengganu dan  Paloh Jenang, Kemaman melibatkan keluasan keseluruhan 1,194 hektar. “Menerusi Pelan Strategik Pertanian Terengganu (PSPT) 2024-2030, sebanyak enam TKPM baru bakal diwujudkan iaitu di Telaga Papan, Setiu; Pela, Hulu Terengganu; Pinang Merah dan Rantau Abang, Dungun; Kemasik, Kemaman dan Bukit Rong Ubi di Kuala Nerus,” ujarnya. Sementara itu katanya, pengusaha pertanian yang mempunyai modal disyorkan menceburi sektor tanaman durian yang berpotensi menjana pendapatan lumayan.  "Produk durian samada durian segar atau diproses dari Malaysia telah memasuki pasaran eksport.  "Malaysia telah memeterai protokol baharu dengan negara China bagi pengeksportan durian sejuk beku pada Mei 2019 dan buah segar pada 2024," ujarnya. Katanya, selaras dengan permintaan yang tinggi sektor durian, Kerajaan Negeri mengfokuskan kepada dua strategi iaitu pembukaan kebun dan ladang bagi penanaman baru durian serta pemulihan dusun-dusun durian sedia ada. “Potensi hasil tanaman ini mampu mencecah sehingga 14.7 metrik tan sehektar,” ujarnya. Malah katanya, statistik menunjukkan keluasan tanaman durian di Terengganu meningkat ketara daripada 1,696.5 hektar pada 2016 kepada 3,165.4 hektar pada tahun lalu.  
16 Apr 25
462
Kerajaan Terengganu Lulus 40,977 Lot Tanah Kepada Rakyat
Kerajaan Terengganu Lulus 40,977 Lot Tanah Kepada Rakyat
KUALA TERENGGANU, 16 April - Kerajaan Negeri telah meluluskan sebanyak 40,977 lot tanah kepada rakyat Terengganu sejak Mei 2018 hingga Februari 2025. Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, daripada jumlah itu, sebanyak  30,771 melibatkan permohonan tanah bangunan dan 10,206 permohonan tanah pertanian. "Setiu merekodkan kelulusan tanah tertinggi iaitu sebanyak 8,364 lot diikuti Kemaman (7,997); Dungun (7,817); Marang (6,542); Hulu Terengganu (4,204); Besut (3,853); Kuala Nerus (1,181) dan Kuala Terengganu (1,019)," ujarnya. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata demikian bagi menjawab soalan lisan ADUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail dalam Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga, Dewan Undangan Negeri Kelima Belas, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Sementara itu, beliau memaklumkan, Kerajaan Negeri telah meluluskan sebanyak 7,721 lot 'tanah terkilan' (tanah dirampas kerajaan terdahulu) kepada rakyat sejak mengambil alih pentadbiran Terengganu pada Mei 2018 hingga Februari lalu. Katanya daripada jumlah tersebut, sebanyak 6,303 lot tanah adalah melibatkan tapak rumah. "Selain itu, sebanyak 1,418 lagi ialah kelulusan yang melibatkan tanah pertanian," katanya.
16 Apr 25
2243