KUALA TERENGGANU, 17 April - Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan bahawa sistem federalisme di Malaysia perlu bebas daripada diskriminasi politik agar rakyat dapat menikmati pembangunan secara adil, tanpa mengira sesiapa yang memerintah.
Beliau berkata, konsep federalisme yang sihat bukan sahaja memupuk pembangunan seimbang antara persekutuan dan negeri, tetapi juga menjamin hak rakyat untuk menikmati hasil pembangunan secara saksama.
Menurutnya, realiti sistem sedia ada membuka ruang untuk dimanipulasi oleh pihak berkuasa persekutuan, terutamanya apabila kerajaan negeri ditadbir oleh parti politik yang berbeza.
"Federalisme yang berfungsi dengan baik, bukan sahaja memupuk pembangunan seimbang antara persekutuan dan negeri, bahkan turut menjamin hak rakyat, untuk menikmati hasil pembangunan tanpa diskriminasi politik.
"Namun begitu, kerangka sistem federalisme berdasarkan Jadual Sembilan Perlembagaan Persekutuan, direkabentuk sebagai asas kemerdekaan Malaysia pada tahun 1957, yang masih diamalkan dalam negara kita lebih cenderung kepada centralized federalisme.
"Ia meletakkan kuasa kerajaan persekutuan yang lebih luas dan besar dari sudut bidang kuasa dan sumber kewangan, menjadikan kerajaan negeri amat bergantung kepada kerajaan persekutuan secara amalannya.
"Sistem ini juga telah membuka ruang, dan boleh dimanipulasi melalui tekanan ke atas kerajaan-kerajaan negeri, yang dipimpin oleh parti yang tidak sehaluan dari segi politik, dengan kerajaan di peringkat persekutuan.
Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Kemaman berkata demikian di dalam ucapannya ketika sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut, Dr. Samsuri menjelaskan bahawa pendekatan 'co-operative federalism' dapat mengurangkan ketegangan politik antara negeri dan pusat serta meningkatkan keyakinan pelabur dan rakyat terhadap pentadbiran.
"Objektif yang kita ingin capai ialah, memperkukuhkan kestabilan politik dan meningkatkan keyakinan pelabur serta menambah keyakinan rakyat terhadap kecekapan pentadbiran," katanya.
Beliau turut merujuk kepada model antarabangsa seperti 'The Tasmanian Commonwealth-State Agreement', yang berjaya menyelaraskan matlamat antara kerajaan negeri dan persekutuan dengan lebih cekap dan berkesan.