Artikel "Utama" Terkini
Gangguan Kera: Basung Ranger Antara Solusi
KUALA TERENGGANU, 18 April - Kerajaan negeri bakal menerapkan idea yang menggunakan konsep kerjasama bersama komuniti setempat dalam menangani konflik haiwan perosak tanaman, kera, di daerah Hulu Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata pihaknya sedang meneliti cadangan bagi membasmi permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat yang terkesan.
"Bagi menangani isu ini secara lebih berkesan, Kerajaan Negeri sedang meneliti cadangan untuk mewujudkan pasukan keselamatan komuniti, berasaskan pendekatan yang telah dilaksanakan melalui penubuhan Pasukan Basong Rangers di Hulu Terengganu.
"Pendekatan ini dilihat berpotensi untuk diperluaskan dengan penglibatan aktif masyarakat setempat dalam usaha pengurusan konflik hidupan liar.
"Sekarang ini kita telah berjaya 'menghalau' gajah dengan Basung Ranger. Setakat ini sudah tiada aduan daripada orang kampung mengenai gangguan daripada gajah. Jadi sekarang ini apa yang kita ingin buat untuk menangani isu kera ini, kita akan buat sama seperti Basung Ranger," jelasnya.
Beliau berkata demikian di dalam ucapannya ketika sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, semalam.
Menurutnya, dari tahun 2020 hingga Mac 2025, sebanyak 192 aduan berkaitan pengurusan konflik hidupan liar yang melibatkan spesies kera telah diterima oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu.
"Sebagai langkah penyelesaian, sebanyak 754 tindakan telah diambil dan sejumlah 3,413 ekor kera telah dilupuskan.
"Termasuk melalui kaedah tembak mati serta tangkap lupus, yang melibatkan penggunaan perangkap dan suntikan ubat untuk memusnahkan haiwan tersebut," katanya.
Namun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Mamad Puteh, mengatakan bahawa mengikut purata harian daripada statistik yang telah diberikan, hanya lebih kurang empat ekor kera sahaja telah dilupuskan setiap hari.
"Oleh itu saya telah menekankan yang kita (pihak kerajaan negeri) akan menubuhkan satu pasukan seperti Basung Ranger di Hulu Terengganu, di mana apabila kita mendapat kerjasama antara komuniti setempat, setiap malam (masa) operasi boleh dijalankan
"Dan saya yakin perancangan ini akan memberikan keputusan yang baik. Cuma hasilnya bergantung kepada jumlah kelengkapan (senapang) yang dapat dibekalkan," jawab Razali kepada celahan ADUN Kuala Berang.
18 Apr 25
149
Jika Sistem Rosak, Negara Gagal - MB Seru Reformasi Pentadbiran
KUALA TERENGGANU, 18 April – Menteri Besar Terengganu memberi peringatan bahawa jika sistem dan struktur pentadbiran negara terus diganggu oleh campur tangan politik sempit, Malaysia bakal terjerumus ke dalam kitaran ganas yang berulang setiap kali perubahan kuasa berlaku.
Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kestabilan negara bukan terletak pada siapa yang memegang tampuk pemerintahan, tetapi pada institusi yang kekal neutral, telus dan berfungsi di atas prinsip keadilan.
"Sekiranya sistem dan struktur ini diganggu, maka kita akan berdepan dengan kitaran ganas, yang berulang-ulang setiap kali perubahan politik berlaku," katanya dalam penggulungan Usul Menjunjung Kasih di Dewan Undangan Negeri, di Wisma Darul Iman, semalam.
Beliau menegaskan bahawa krisis politik yang berterusan akan mencetuskan keresahan dalam kalangan penjawat awam, mengganggu keharmonian masyarakat dan merencatkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara.
"Ini akhirnya membawa kepada terhakisnya keyakinan pihak pelabur pada kita," kata beliau.
Menurut beliau, negara-negara maju seperti Jepun dan Korea Selatan mampu mengekalkan kestabilan dasar walaupun sering berlaku perubahan kepimpinan, kerana mereka tidak merosakkan struktur kerajaan yang telah dibina.
"Di sana, struktur dan sistem negara tetap kukuh, dan ketidaktentuan ekonomi sangat minima," ujarnya memberi perbandingan.
Justeru, beliau menyeru agar reformasi pentadbiran dilaksanakan secara berfasa, terutamanya jika berlaku perubahan kuasa di peringkat Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 nanti.
"Sudah tentu semua agensi pelaksana dan penguat kuasa akan terus kekal, kerana mereka adalah orang yang sama juga yang akan menjalankan tugas jika kami diamanahkan rakyat nanti," katanya.
18 Apr 25
97
GLC Terengganu Raih Kontrak RM1.8 Bilion
KUALA TERENGGANU, 18 April – Kerajaan Negeri Terengganu terus menunjukkan pencapaian ekonomi yang memberangsangkan apabila syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri berjaya memperoleh nilai kontrak mencecah RM1.8 bilion menjelang Disember 2024, khususnya dalam sektor minyak dan gas.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pencapaian ini membuktikan keberkesanan dasar dan perancangan kerajaan negeri sejak mengambil alih pentadbiran pada tahun 2018, yang memberi fokus kepada pemerkasaan GLC dan pemelbagaian sumber hasil negeri.
"Syarikat GLC kita mencatat peningkatan hasil yang berlipat ganda setiap tahun sejak 2018.
"Ini bukan sekadar angka, tetapi petunjuk jelas bahawa strategi kita mula membuahkan hasil nyata," katanya semasa sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih di Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Iman.
Ahmad Samsuri.
Menurut Menteri Besar, antara GLC yang mencatatkan kejayaan adalah EPIC Berhad bersama anak syarikatnya, yang kini aktif dalam pelbagai segmen industri minyak dan gas, termasuk hiliran (downstream), pertengahan (midstream), dan perkhidmatan huluan (upstream services).
"Mereka terlibat dalam penyelenggaraan, logistik, dan pengurusan gudang.
"Setakat 31 Disember 2024, jumlah kontrak dalam tangan yang diperolehi adalah sebanyak RM1.8 bilion,” jelasnya.
18 Apr 25
2432
Siapa VIP Sebenar? - Dr Sam
KUALA TERENGGANU, 18 April – Dalam suasana politik yang sering sarat dengan keangkuhan kuasa, Menteri Besar Terengganu tampil dengan kisah sederhana tetapi menyentuh hati, tentang bagaimana beliau mendidik anak-anaknya tentang makna sebenar kepimpinan dan nilai rendah diri.
Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menceritakan bagaimana beliau tidak pernah meletakkan keretanya di parkir khas VIP setiap kali mengunjungi pusat beli-belah KTCC, walaupun beliau adalah Ketua Kerajaan Negeri.
"Anak saya pernah tanya, kenapa saya tak letak kereta di tempat parking VIP?.
"Jawapan saya, saya ke sana atas urusan peribadi, bukan rasmi," katanya dalam sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Dewan Undangan Negeri, di Wisma Darul Iman, semalam.
Menurut beliau, walaupun ada keistimewaan yang boleh digunakan, seorang pemimpin harus tahu batas antara tanggungjawab rasmi dan urusan peribadi.
"Sudah tentu ada 'Very Important Person' lain yang lebih memerlukan tempat itu berbanding saya,” ujarnya.
Kisah ini dikongsikan beliau ketika menyentuh tentang istilah VIP yang menurutnya sering disalahertikan oleh masyarakat dan segelintir pemimpin.
"Saya agak segan untuk menyebut terma VIP ini, tapi saya gagahkan juga, supaya masing-masing tahu pandangan saya berbeza dari pandangan mainstream," katanya.
18 Apr 25
182
Lebih Dua Juta Pelancong ke Terengganu Suku Pertama 2025
KUALA TERENGGANU, 18 April - Terengganu terus menjadi sebagai destinasi pelancongan utama negara apabila jumlah kehadiran pelancong dan pengunjung ke negeri ini bagi suku pertama tahun 2025 mencecah 2.03 juta orang.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata statistik yang telah dicapai buat masa ini mengatasi jangkaan awal dan memberi isyarat positif kepada sasaran tahunan.
"Bagi suku tahun pertama 2025, jumlah kehadiran pelancong dan pengunjung yang direkodkan dianggarkan sebanyak 2,032,537 orang.
"Ini menunjukkan prestasi cemerlang sektor pelancongan negeri hasil usaha berterusan dalam promosi dan penambahbaikan fasiliti serta produk pelancongan.
"Ini juga merupakan satu permulaan yang memberangsangkan dan memberi petunjuk positif bahawa sasaran tahunan juga berpotensi untuk dicapai atau dilepasi," jelasnya.
Perkara itu telah diumumkan oleh Razali di dalam ucapannya ketika sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, hari ini.
Menelusuri prestasi tahun sebelumnya, kehadiran pelancong dan pengunjung ke Terengganu pada tahun 2024 mencatatkan angka yang melepasi sasaran awal yang ditetapkan.
"Selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan, kehadiran pelancong dan pengunjung ke Terengganu pada tahun 2024 telah mencatatkan jumlah yang membanggakan, iaitu sebanyak 7.8 juta orang, melepasi sasaran asal sebanyak 4.5 juta.
"Sehubungan itu, bagi tahun 2025, Kerajaan Negeri telah menetapkan sasaran yang lebih tinggi, iaitu 8.5 juta (Lapan Perpuluhan Lima Juta) pelancong dan pengunjung, sebagai usaha berterusan untuk memajukan sektor pelancongan negeri ini," ujar beliau.
18 Apr 25
353
Fasa Baharu Pulau Poh
KUALA TERENGGANU, 18 April - Pulau Poh di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir kini berwajah baharu hasil pelbagai inisiatif proaktif yang dilaksanakan oleh Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (TI), selaras dengan penyerahan hak pengurusan dan pengoperasian aset pulau tersebut oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Terengganu pada Jun 2023.
Pelbagai usaha penambahbaikan telah dijalankan untuk memastikan Pulau Poh beroperasi secara aktif dan mampu menarik kehadiran pelancong secara berterusan ke kawasan berkenaan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, YB Datuk Razali Idris, antara inisiatif utama ialah penempatan semula jeti penumpang bot laju ke Dome utama Pulau Poh bagi meningkatkan akses dan keselesaan pengunjung.
"Inisiatif seterusnya ialah kerja-kerja penyelenggaraan juga sedang dipergiatkan termasuk penempatan lapan orang kakitangan bagi tugas kebersihan, landskap dan penyelenggaraan elektrikal serta empat pengawal keselamatan.
"Bagi merancakkan aktiviti ekonomi setempat, Terengganu Inc. turut melantik vendor bagi enam unit food court dan enam unit kiosk, di mana sebahagian besar daripada mereka telah mula menjalankan operasi.
"Selain itu, pelbagai aktiviti sukan air turut diperkenalkan seperti Jet Ski Ride, Banana Boat, Water Bicycle dan Swan Boat. Aktiviti darat yang tidak kurang menarik seperti E-ATV, E-Scooter dan E-Bike juga ditawarkan," katanya.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu juga menjelaskan kemudahan lain bagi camper van yang disediakan bersama surau, tandas dan bekalan elektrik.
Dalam perkembangan berkaitan jelas beliau, penyerahan projek pembangunan hotel daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) kepada Terengganu Inc. telah dimuktamadkan pada 24 Disember 2024.
"Ketika ini, TI berada dalam fasa akhir rundingan dengan pihak operator hotel, iaitu Tamu Hotel.
"Hotel tersebut dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada suku pertama tahun 2026, sekali gus berpotensi menjadi pemangkin utama kepada peningkatan jumlah pelawat ke Tasik Kenyir, khususnya ke Pulau Poh.
Hotel Pulau Poh
“Insya-Allah, limpahan ekonomi yang terhasil daripada pembangunan ini akan memberikan manfaat besar kepada masyarakat setempat,” ujarnya.
Razali berharap usaha bersepadu itu dapat menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkasa sektor pelancongan sambil memastikan manfaat ekonomi dinikmati secara inklusif oleh komuniti tempatan.
17 Apr 25
167
Jeti Pulau Tenggol RM5.8 Juta Bakal Dibina
KUALA TERENGGANU, 18 April - Kerajaan Terengganu bakal membina jeti pelancongan awam ke Pulau Tenggol yang menelan belanja RM5.8 juta sekali gus menggamit lebih ramai kehadiran pengunjung.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, projek terbabit merupakan salah satu keutamaan bagi kerajaan negeri dalam sektor pelancongan.
"Ia telah dikemukakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), Rolling Plan Pertama kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC)," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin di semasa Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.
Menurut Razali, projek itu membabitkan fasa pertama selama enam bulan dan fasa kedua pula akan mengambil masa selama 24 bulan.
Katanya, Majlis Perbandaran Dungun akan bertindak sebagai penyelaras projek.
"Objektif utama dalam pelaksanaan projek ini adalah bagi meningkatkan kemudahan sedia ada bagi menarik pelancong ke Pulau Tenggol serta kemudahan awam sedia ada di perkedaian medan ikan bakar.
"Dengan adanya kemudahanya jeti pelancong ini akan wujudlah pelbagai aktiviti kemasyarakatan di kawasan Pulau Tenggol di samping membantu mewujudkan kemudahan untuk penduduk bertemu mesra apabila sebarang aktiviti dijalankan," ujarnya.
17 Apr 25
198
Persekutuan Digesa Tubuh Suruhanjaya Khas Kaji Sistem Federalisme
KUALA TERENGGANU, 18 April - Menteri Besar, Dato' Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Khas untuk mengkaji semula sistem federalisme negara agar lebih realistik dan sesuai dengan perkembangan semasa.
Beliau berkata, penambahbaikan ini penting bagi memastikan negeri dan negara dapat bergerak seiring dalam kitaran global yang semakin pantas dan mencabar.
“Saya mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Khas, bagi memberi input, serta cadangan reformasi sistem federalisme negara yang lebih realistik dan praktikal, sesuai dengan kepantasan sesebuah negeri dan negara untuk bergerak seiring,” katanya ketika sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.
Dr. Samsuri menegaskan bahawa sistem federalisme Malaysia yang sedia ada, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan 1957, terlalu memusatkan kuasa kepada Kerajaan Persekutuan, termasuk dari sudut sumber kewangan dan bidang kuasa.
"Kerangka sistem federalisme adalah lebih cenderung kepada 'centralized federalisme', yang telah meletakkan kuasa kerajaan Persekutuan yang lebih luas dan besar, menjadikan kerajaan negeri amat bergantung,” ujarnya.
Beliau turut memetik pakar perlembagaan, Dr. Muhammad Fathi Yusof, yang menyifatkan pergantungan kerajaan negeri berpunca daripada keterbatasan sumber hasil cukai dan bukan cukai yang dibenarkan kepada negeri.
Dalam pada itu, turut dinyatakan bahawa perubahan ini bukan bertujuan menolak Perlembagaan, sebaliknya untuk mengukuhkan kerangka federalisme sedia ada agar lebih adil, dinamik dan praktikal.
"Teguran dan pandangan yang saya lontarkan ini, adalah untuk memperkukuhkan sistem federalisme yang termaktub dalam perlembagaan.
"Supaya negeri dan negara dapat bergerak seiring untuk mencapai kesejahteraan kehidupan, dan keharmonian yang lebih berpanjangan," katanya.
17 Apr 25
98
Kerajaan Salur RM3.58 Juta Untuk Pelajar Cemerlang Terengganu
KUALA TERENGGANU, 17 April – Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu menyalurkan sebanyak RM3,581,400 kepada 268 pelajar cemerlang di negeri ini sebagai persediaan melanjutkan pelajaran ke universiti dalam dan luar negara pada tahun 2024.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahari Mamat berkata, agihan biasiswa menerusi Skim Pelajar Cemerlang (SPC) itu melibatkan 239 pelajar dalam negara dan 29 pelajar luar negara.
“Tajaan ini merangkumi pelbagai bidang dengan penekanan utama dalam Perubatan, Pergigian, Kejuruteraan, Teknologi Maklumat, Sains Kesihatan, Pengajian Islam & Perbankan Islam,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka berkata demikian bagi menjawab soalan lisan ADUN Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin dalam Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga, Dewan Undangan Negeri Kelima Belas, di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.
Sementara itu, beliau memaklumkan, Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) melalui Yayasan Pendidikan MAIDAM telah memperuntukkan bantuan kewangan bagi agihan kepada 21 pelajar cemerlang untuk melanjutkan pengajian bermula pada peringkat Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana (Master) dan Doktor Falsafah (PhD) pada tahun 2024.
Katanya, pelaksanaan agihan tersebut adalah di bawah Bantuan Program Pengajian Islam (Ijazah Sarjana Muda) yang melibatkan 13 pelajar dan Program Memperkasakan Ulama' (Master dan PhD) melibatkan lapan pelajar.
“Bantuan Program Pengajian Islam merupakan bantuan biasiswa penuh yang ditawarkan kepada pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia untuk menyambung pengajian pada peringkat Ijazah Sarjana Muda yang melibatkan keseluruhan penajaan berjumlah RM231,807.60.
“Manakala Bantuan Program Memperkasakan Ulama' merupakan tajaan biasiswa penuh kepada pelajar lepasan Ijazah Sarjana Muda untuk menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana (Master) manakala tajaan peringkat Doktor Falsafah (PhD) pula adalah tajaan kepada pelajar lepasan Ijazah Sarjana (Master) melibatkan jumlah keseluruhan RM136,832.21,” ujarnya.
17 Apr 25
288
Pelan Teknologi Hijau Siap Dirangka
KUALA TERENGGANU, 17 April - Kerajaan Terengganu telah siap merangka pelan khas untuk pembangunan teknologi hijau atau Pelan Induk Teknologi Hijau Negeri Terengganu (PITIH) 2030 yang mempunyai beberapa fasa tindakan yang dirancang.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, pada tahun ini kerajaan negeri sedang meneliti pelaksanaan bagi projek pembinaan loji hidrogen hijau di kawasan Terengganu Wilayah Utara, Wilayah Selatan dan juga Wilayah Tengah.
"Dijangka akan menjana jumlah keseluruhan anggaran 80Megawat (MW) tenaga boleh baharu melalui anak-anak sungai sedia ada di negeri ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim,di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Khuzaini berkata kajian kebolehlaksanaan berkaitan tenaga boleh baharu juga akan dilaksanakan.
"Seperti penternakan kontrak alga, solar akua, solar terapung di laut terbuka dan turbin angin bagi memastikan projek tersebut boleh dilaksanakan di negeri ini," jelas beliau.
17 Apr 25
170