Artikel "Utama" Terkini
Dr. Sam Hairan Insiden Bendera Terbalik Makin Kerap
KUALA TERENGGANU, 6 Ogos – Semua pihak diingatkan agar tidak memandang remeh berkaitan pengibaran Jalur Gemilang, sebaliknya ia perlu dilakukan dengan rasa hormat dan penuh kepekaan.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Jalur Gemilang adalah identiti negara yang seharusnya dihormati dan dikibarkan dengan penuh rasa bangga serta semangat patriotik.
“Berkaitan isu bendera terbalik ini, saya juga hairan kenapa sejak akhir-akhir ini berlaku perkara yang sedemikian, seingat saya dulu tidak timbul perkara sebegini mungkin dengan tiadanya media sosial 10, 20 tahun dahulu perkara ini tidak diwar-warkan.
“Walau apapun kita percaya, setiap individu mahupun agensi perlu lebih cermat dan ini merupakan satu langkah yang boleh dibuat dengan sendiri untuk memastikan tidak berlaku kesilapan yang sedemikian,” ujarnya kepada pemberita selepas menyempurakan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Terengganu 2025 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di premis Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, Port Dickson Jumaat lepas.
Dalam pada itu, beliau menyeru kepada semua untuk bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh kebanggaan dan menolak segala bentuk diskriminasi serta memperkukuh perpaduan demi kesejahteraan bersama.
“Ianya bukan sekadar perkara rutin yang kita laksanakan setiap tahun tetapi ini adalah satu langkah daripada kerajaan negeri bersama dengan kerajaan persekutuan untuk memberi penekanan kepada rakyat pentingnya perkataan merdeka dalam jiwa dan sanubari masing-masing.
“Kita berharap supaya generasi muda akan terus menghayati sepenuhnya erti kemerdekaan akhirnya menjadi warga yang cintakan negara dan tanah air,” ujarnya.
06 Aug 25
155
UC TATI Sasar Kerjasama Strategik Dengan FOZ One Tingkat Kemahiran Pelajar
Peluang menjalani latihan industri di syarikat berteknologi tinggi, FOZ One, diyakini mampu memperkukuh kemahiran dan meningkatkan daya saing graduan Universiti Kolej TATI (UC TATI), khususnya dalam bidang reka bentuk dan pembuatan acuan (tool and die).
06 Aug 25
39
Tertinggi di Malaysia, Terengganu Catat 73,051 Pegangan Pertanian
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan Terengganu memiliki 73,051 pegangan pertanian yang juga merupakan rekod tertinggi di Malaysia bagi tahun rujukan 2023.
06 Aug 25
40
TaniStats Solusi Lambakan Hasil Pertanian
Kerajaan negeri mencadangkan penggunaan TaniStats atau sistem data pertanian bagi mengatasi masalah lambakan hasil pertanian tempatan yang bukan berpunca daripada kekurangan permintaan, tetapi kegagalan menyampaikan produk ke pasaran yang memerlukan.
06 Aug 25
31
FOZ One Dipelawa Buka Kilang Pembuatan Moden di Terengganu
Kerajaan Terengganu telah mengemukakan jemputan rasmi kepada FOZ One Sdn Bhd, sebuah syarikat pembuatan moden, untuk mempertimbangkan pembukaan kilang di negeri ini sebagai langkah memperluas ekosistem industri dan memperkasakan peluang pekerjaan tempatan.
06 Aug 25
40
Terengganu Tuan Rumah Persidangan Biodiversiti Hutan Pertama di Malaysia
KUALA TERENGGANU, 6 Ogos - Negeri Terengganu telah diberi penghormatan menjadi tuan rumah buat julung kalinya dalam sejarah penganjuran ekspedisi saintifik biodiversiti hutan sejak tahun 1999.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, Persidangan Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Tahun 2025 kali ini merupakan persidangan pertama yang dilangsungkan dalam bentuk persidangan penuh.
Beliau menyifatkan penganjuran persidangan ini sebagai satu pencapaian yang besar buat Terengganu serta pemilihan lokasi persidangan yang mencerminkan kepelbagaian biodiversiti di negeri itu.
"Alhamdulillah, pada hari ini Terengganu dipertuankan sebagai yang pertama dalam penganjuran persidangan ini di Malaysia. Sebelum ini ianya hanya dianjurkan dalam bentuk seminar dan bengkel.
"Pemilihan negeri Terengganu sebagai lokasi penganjuran Persidangan Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Tahun 2025 amatlah bertepatan memandangkan Terengganu bukan sahaja kaya dengan kepelbagaian biodiversiti hutan daripada kategori hutan tanah pamah hingga hutan pergunungan, hutan paya laut dan tanah bencah.
"Malah, (Terengganu) turut mempunyai kepelbagaian biodiversiti marin yang dilindungi melalui pewartaan Taman Laut Malaysia di sekitar pulau-pulau utama seperti Pulau Redang, Pulau Perhentian dan Pulau Kapas," katanya.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Dato' Zahari Ibrahim, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu, Dato' Norhaidi Yunus serta Ketua Penyelidik Persidangan Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan, Prof. Emeritus Dato' Dr. Abdul Latiff Mohamad.
Menurut Razali, persidangan ini juga menyatukan empat negeri yang terlibat dalam siri ekspedisi terdahulu, bagi berkongsi hasil penemuan saintifik spesies-spesies flora dan fauna, termasuk yang jarang ditemui dan masih berjaya dipelihara di kawasan hutan simpan Terengganu.
Mengulas lanjut, beliau berkata usaha bersepadu sedang dilaksanakan melalui pelbagai dasar seperti Dasar Perhutanan Negara 2021, Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (2022–2030) dan Pelan Tindakan Biodiversiti Negeri Terengganu untuk memastikan kelestarian khazanah semula jadi ini dapat dipertahan.
"Selain mengiktiraf usaha saintifik, persidangan ini juga berperanan memperkukuh dokumentasi biodiversiti serta menyokong pembangunan ekopelancongan yang lestari.
"Saya amat bersyukur empat negeri dapat bergabung dalam persidangan ini dan datang ke negeri Terengganu untuk melihat sendiri spesies-spesies yang agak 'rare' yang masih lagi dapat dijaga oleh Jabatan Perhutanan negeri," ujarnya.
Razali turut menyatakan harapan agar persidangan ini menjadi titik tolak kepada kolaborasi lebih erat antara saintis, agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi dan NGO dalam usaha memelihara biodiversiti hutan tanah air untuk generasi akan datang.
Persidangan Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Tahun 2025 dijadualkan untuk berlangsung selama tiga hari bermula 4 hingga 6 Ogos 2025 di Raia Hotel & Convention Centre, Kuala Terengganu.
06 Aug 25
390
THRDC Buka Semula Peluang Kerjaya di FOZ One untuk Anak Terengganu
SENAI, 5 Ogos - Terengganu Human Resource Development Centre (THRDC) bakal membuka semula peluang pekerjaan kepada anak-anak Terengganu di FOZ One, sebuah syarikat pembuatan berteknologi yang semakin berkembang di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif THRDC, Aminuddin Omar berkata, lawatan kerja yang diadakan baru-baru ini menunjukkan kejayaan insiatif sebelum ini apabila ramai diterima bekerja selepas 'program outreach' yang dijalankan pada tahun 2022.
"Syarikat ini telah mengambil anak Terengganu dalam kalangan belia bekerja selepas kita adakan program padanan kerja sebelum ini.
"Tidak lama lagi kita akan buka sekali lagi peluang kepada anak Terengganu untuk bekerja di sini lagi yang akan bakal kita umumkan," ujarnya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas mengadakan lawatan ke syarikat terbabit, baru-baru ini.
Mengulas lebih lanjut, Aminuddin berkata usaha sentiasa dijalankan oleh kerajaan Terengganu dalam mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan rakyat khususnya golongan belia malah mampu membina tenaga kerja tempatan yang bekemahiran dan berkualiti tinggi.
"THRDC kekak komited untuk menjadi pemudah cara kepada anak muda Terengganu dalam mendapatkan pekerjaan serta menyediakan akses kepada sektor pekerjaan berimpak tinggi di dalam negara,"ujarnya.
05 Aug 25
355
Pasar Payang Jadi Pentas Budaya Terengganu
Pasar Payang bukan lagi sekadar pusat jual beli, sebaliknya bakal menjadi pentas hidup yang mempamerkan kekayaan budaya dan identiti Terengganu kepada pelancong dari seluruh pelusuk dunia.
05 Aug 25
402
UC TATI Sasar Kerjasama Strategik Dengan FOZ One Tingkat Kemahiran Pelajar
SENAI, 5 Ogos – Peluang menjalani latihan industri di syarikat berteknologi tinggi, FOZ One, diyakini mampu memperkukuh kemahiran dan meningkatkan daya saing graduan Universiti Kolej TATI (UC TATI), khususnya dalam bidang reka bentuk dan pembuatan acuan (tool and die).
Rektor UC TATI, Prof. Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid berkata, lawatan ke syarikat tersebut baru-baru ini memberikan gambaran jelas bahawa FOZ One memiliki fasiliti serta teknologi moden yang amat sejajar dengan program teknikal yang ditawarkan di institusi berkenaan.
Menurut beliau, perbincangan telah diadakan bagi membuka peluang kepada pelajar UC TATI untuk menjalani latihan industri di FOZ One, dengan harapan ia juga dapat membuka laluan kepada penempatan pekerjaan selepas tamat pengajian.
“Saya melihat ini sebagai peluang yang sangat baik kerana pelajar UC TATI telah dibekalkan dengan kemahiran dalam bidang tool and die design serta tool and die making.
“Selain latihan industri, saya turut berbincang mengenai peluang untuk pelajar menjalankan projek penyelidikan di syarikat ini, sama ada di peringkat projek tahun akhir atau pascasiswazah,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika menyertai lawatan kerja delegasi kerajaan negeri ke FOZ One, baru-baru ini.
Delegasi Kerajaan Negeri Terengganu itu diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dato’ Ariffin Deraman.
Dalam pada itu, Dr. Hairul Azhar turut menyeru anak-anak Terengganu untuk melanjutkan pengajian di UC TATI yang menawarkan program berteraskan kemahiran tinggi serta relevan dengan keperluan industri masa kini.
05 Aug 25
74
Sambutan Kemerdekaan: Semua Premis Diarah Pasang Jalur Gemilang
KUALA TERENGGANU, 4 Ogos – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Terengganu mengeluarkan arahan rasmi supaya semua premis kerajaan, swasta dan perniagaan menghiasi bangunan masing-masing dengan Jalur Gemilang sepanjang bulan kemerdekaan sebagai lambang kecintaan kepada negara.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Datuk Jusman Ibrahim berkata, arahan itu melibatkan semua pihak di bawah seliaan PBT, dan pelaksanaannya bermula serta-merta sehingga sambutan Hari Malaysia pada bulan September.
"PBT di seluruh negeri Terengganu telah mengeluarkan arahan kepada semua premis, sama ada premis kerajaan ataupun swasta, atau mana-mana peniaga untuk memasang bendera Malaysia.
"Ini merupakan salah satu tanda sokongan kita sebagai rakyat negara ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Program Walkabout bersama para peniaga Pasar Payang dan Majlis Agihan Jalur Gemilang sempena sambutan hari kemerdekaan ke-48, di sini semalam.
Turut bersama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris serta Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Hilman Hajijan.
Beliau menjelaskan, pemasangan Jalur Gemilang bukan sekadar keperluan kosmetik atau upacara semusim, sebaliknya mencerminkan jati diri dan komitmen rakyat terhadap makna kemerdekaan yang sebenar.
"Pemasangan bendera ini akan berterusan sehingga kemuncaknya pada bulan September nanti.
"Ia akan berlangsung sepanjang sambutan bulan kemerdekaan ini, dan akan memuncak pada sambutan Hari Malaysia," jelasnya.
04 Aug 25
165