KUALA NERUS, 11 Oktober – Pasukan Bukit Cempaka Pasir Putih (BCPP FC) menamatkan penantian hampir tiga dekad apabila muncul juara Kejohanan Bola Sepak 11 Sebelah Piala YB ADUN Batu Rakit 2025, setelah menewaskan DABARA FC 2-3 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu baru-baru ini.
Kejayaan ini merupakan gelaran pertama BCPP FC dalam kejohanan tersebut sejak kali terakhir mara ke perlawanan akhir pada tahun 2000.
Skuad kendalian Mohd Hasraf Hussein, tampil konsisten sepanjang kejohanan dengan rekod tanpa kekalahan selepas melepasi peringkat kumpulan.
Dalam aksi akhir yang penuh debaran, BCPP FC membuka tirai jaringan menerusi Muhammad Affendi seawal minit ke-23, sebelum DABARA FC menyamakan kedudukan melalui Muhammad Alauddin pada minit ke-35.
BCPP FC kembali di hadapan menerusi jaringan Muhammad Azhar pada minit ke-40, namun DABARA FC sekali lagi bangkit menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-50. Gol kemenangan BCPP FC akhirnya hadir melalui Muhammad Aqil, yang memastikan pasukannya menjulang piala berprestij ini dengan keputusan akhir 2-3.
Antara penyokong yang hadir, Nurul Hafiza Ghazali, 36, meluahkan rasa syukur dan bangga atas kejayaan pasukan kesayangannya.
“Saya sangat terharu pasukan saya dapat pergi sejauh ini, walaupun orang lain lihat kami hanya pasukan underdog,” ujarnya.