lightning-solid
Berita :

Artikel "Sidang DUN" Terkini

Terengganu Taja Anak Muda Jadi Juruteknik Pesawat Bertauliah
Terengganu Taja Anak Muda Jadi Juruteknik Pesawat Bertauliah
KUALA TERENGGANU, 7 Julai – Kerajaan Terengganu terus memperkukuh agenda pembangunan modal insan berkemahiran tinggi apabila memperkenalkan Program Latihan Persijilan Juruteknik Pesawat Bertauliah (CAAM Category A1), hasil kerjasama bersama Yayasan Terengganu, Yayasan Pendidikan MAIDAM (YPM) dan syarikat penerbangan Batik Air. Program berimpak tinggi itu membuka peluang kepada anak Terengganu, khususnya dalam kalangan belia dan golongan asnaf, untuk menceburi bidang aeroangkasa secara profesional dengan latihan bertaraf industri serta pensijilan rasmi daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM). Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata, setakat ini seramai 15 orang calon telah ditaja oleh Yayasan Terengganu dan YPM bagi menyertai program tersebut. "Bagi Kohort 1, seramai 58 calon telah menghadiri sesi temu duga di Pusat Cari Kerja THRDC dan 8 daripadanya berjaya dipilih oleh Batik Air serta memulakan kursus pada 1 Mac 2025. "Manakala Kohort 2 menyaksikan 18 calon temu duga secara dalam talian, dan 10 daripada mereka telah mendapat tawaran," katanya ketika menjawab soalan lisan ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, dalam sidang DUN di Wisma Darul Iman, hari ini. Sulaiman mengemukakan pertanyaan berhubung inisiatif baharu yang dilaksana kerajaan negeri bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam sektor ekonomi strategik. Mengulas lanjut, Satiful berkata kerajaan negeri turut melaksanakan inisiatif penempatan pekerjaan secara bersasar melibatkan lebih 800 anak tempatan dalam industri seperti Sony, Panasonic, Mybrush dan Telekom Malaysia dari tahun 2022 hingga 2024. "Turut diberi keutamaan ialah golongan asnaf, melalui Program Oil & Gas Wakalah Technical Programme (OGWTP) anjuran INSTEP dan YPM yang melibatkan 47 peserta. "Peserta program ini menjalani latihan dalam bidang Mekanikal dan Elektrik dan Instrumen serta dilengkapi pensijilan seperti BOSIET, AESP, OGSP dan BOFA yang diiktiraf industri," jelas beliau. Tambah Satiful, dalam sektor halal pula, seramai 102 peserta menyertai Certified Halal Internal Auditing Programme (CHAP) anjuran Halal Development Corporation (HDC) dan UniSZA bagi melahirkan auditor dalaman halal profesional. Sementara itu katanya, sektor kereta api (rail) menjadi tumpuan baharu susulan pelancaran perkhidmatan kereta api Pantai Timur. Program Latihan Kemahiran Industri (PLKI) yang melibatkan latihan di China telah dimulakan oleh pihak ECRL, namun penglibatan belia Terengganu masih perlu dipertingkatkan. Beliau turut memaklumkan bahawa institusi seperti TATIUC, TESDEC, KKYT, TTITC serta IPT lain memainkan peranan dalam latihan teknikal, manakala THRDC menyelaras pemadanan kerja dengan industri selepas tamat pengajian. “Ada industri memerlukan pensijilan tambahan, maka peranan Yayasan Terengganu dan YPM penting dalam menyediakan dana latihan tambahan agar graduan bersedia sepenuhnya untuk ke industri sebenar,” jelasnya.
07 Jul 25
1053
Pertanian Hulu Terengganu Terus Diperkasa
Pertanian Hulu Terengganu Terus Diperkasa
KUALA TERENGGANU, 7 Julai – Kerajaan negeri komited melaksanakan beberapa inisiatif dalam usaha memperkasakan agenda pertanian di Hulu Terengganu yang merupakan antara bidang utama sumber pendapatan rakyat di daerah itu suatu ketika dahulu. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, antara usaha yang dilaksanakan kerajaan termasuk mempromosikan Geran Agropreneur Muda (GAM), mewujudkan kawasan tanaman/ternakan yang baharu (Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), padang ragut atau zon industri akuakultur), mengadakan program berimpak tinggi dan pembangunan modal insan selain penggunaan teknologi dan amalan pertanian baik. Katanya, GAM bernilai RM30,000 dalam bentuk barangan ditawarkan kepada peserta berumur 18 hingga 45 tahun bagi membantu dan menggalakkan penyertaan dari golongan belia memandangkan kebanyakkan petani di daerah ini berusia antara 55 hingga 65 tahun. "Kerajaan negeri juga merancang mewujudkan TKPM baru di Kampung Pela, Mukim Penghulu Diman sebagai tapak pengeluaran makanan dan memfokuskan kaedah penanaman secara fertigasi yang lebih bersistematik. "Rekod peserta fertigasi menunjukkan penyertaan peserta lebih aktif dari kelompok usia 30 hingga 45 tahun. Bimbingan dan kursus secara percuma juga disediakan kepada peserta berminat. Pihak Jabatan sentiasa membuka peluang bagi meningkatkan pengetahuan dengan memberikan kursus/’hands on’ samada di dalam negeri atau luar Terengganu,” ujarnya. Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemung, Mohd Zawawi Ismail pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini. Mohd Zawawi mengemukakan soalan mengenai apakah usaha kerajaan negeri untuk mengembalikan dan memperkasakan semula agenda pertanian di Daerah Hulu Terengganu. Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri juga terus mempergiatkan program pelepasan benih ikan ke perairan umum bagi memperkaya sumber perikanan serta meningkatkan pendapatan komuniti nelayan. "Program inventori sumber perikanan darat turut dijalankan bagi mengumpul data spesis ikan sebelum program pelepasan benih ikan dilaksanakan," ujarnya. Tambah beliau, bagi menyokong pengukuhan jangka panjang industri akuakultur negeri, penyediaan insentif bantuan secara in-kind kepada penternak seperti peralatan akuakultur, sangkar, benih, dan makanan ikan akan diberikan melalui kelulusan Jawatankuasa Negeri dan peruntukan tahunan semasa.  
07 Jul 25
622
Kumpulan Wang Amanah Jabatan Perpaduan Ditutup Kerana Tidak Aktif
Kumpulan Wang Amanah Jabatan Perpaduan Ditutup Kerana Tidak Aktif
KUALA TERENGGANU, 7 Julai - Usul Membatalkan Kumpulan Wang Amanah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Terengganu yang dibawa di Dewan Mesyuarat Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri Terenggganu Kelima Belas, Wisma Darul Iman hari ini kerana akaun itu tidak lagi aktif dan hanya mempunyai baki sekitar RM3 sahaja. Menurut Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, ia merupakan akuan lama yang telah tidak lagi digunakan selaras dengan perubahan fungsi dan kaedah operasi jabatan berkenaan. "Itu adalah akaun lama yang tidak lagi aktif sejak sekian lama, jadi kita tutuplah dan kaedah penggunaanya pun sudah diubah. "Biasalah, akaun 'dormant' yang tidak lagi aktif perlu ditutup. Nak guna buat apa lagi, baki pun tinggal RM3 sahaja," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di sini, hari ini. Terdahulu, usul bagi menutup satu komponen dalam Kumpulan Wang Amanah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Terengganu telah diterima sebulat suara tanpa sebarang perbahasan. Usul itu telah dikemukakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat. Katanya,menurut Subperenggan Terengganu (10) (4) (B) Akta Tatacara Kewangan 1957, Akta 61 Dewan Undangan Negeri membuat ketetapan bersetuju membatalkan Kumpulan Wang Amanah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Terengganu yang berbaki RM3.  
07 Jul 25
124
Terengganu Raikan Hari Penyu Sedunia: Program "Terengganu Turtles Tourism"
Terengganu Raikan Hari Penyu Sedunia: Program "Terengganu Turtles Tourism"
KUALA TERENGGANU, 24 April - Sempena sambutan Hari Penyu Sedunia yang jatuh pada 23 Mei 2025, kerajaan negeri bakal menganjurkan program peringkat negeri, 'Terengganu Turtles Tourism', bermula dari 22 hingga 24 Mei 2025. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata program itu bertujuan meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan pemuliharaan penyu, di samping mempromosikan Terengganu sebagai destinasi utama ekopelancongan negara. "Program ini turut tersenarai dalam Kalendar Acara Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu 2025, dan dijangka dapat menarik lebih ramai pelawat serta pelabur yang menyokong agenda pelancongan lestari. "Penyu adalah ikon khazanah semula jadi negeri yang bukan sahaja bernilai tinggi dari segi konservasi, malah mempunyai potensi besar untuk menjana ekonomi menerusi pelancongan berasaskan alam. "Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap pentingnya pemuliharaan penyu dan menjadikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan utama berkaitan konservasi penyu," katanya. Tambahnya, program yang akan berlangsung selama tiga hari itu juga membuka potensi untuk merancakkan lagi pelancongan berasaskan alam semula jadi serta pelancongan berasaskan pendidikan. Dalam usaha sama, Razali menjelaskan bahawa usaha kolaboratif bersama pihak badan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta dan GLC telah dilaksanakan bagi merealisasikan konservasi reptilia marin itu. "Di Santuari Penyu Ma’Daerah, Kerteh kita ada Kerjasama bersama Jabatan Perikanan, WWF Malaysia dan Ineos PCG Acetyls menjalankan aktiviti seperti pelepasan anak penyu, program corporate social responsibility (CSR), sarang penyu angkat, dan pencerapan penyu di habitat semula jadi. "Pengurusan dan pemantauan pantai pendaratan penyu oleh Seatru (UMT) di Pulau Redang, Bubble Dive Resort dan Fuze Ecoteer di Pulau Perhentian serta Kapas Turtle Community Project di Pulau Kapas dan Gemia. "Program kesedaran awam seperti Terengganu Turtle Camp dan Kem Penyu bersama Sekolah Angkat, di samping program pelepasan anak penyu yang mendapat sambutan menggalakkan," jelasnya. Mengulas lebih lanjut, beliau juga menyentuh mengenai pembelian telur penyu daripada pemajak berlesen untuk dieramkan di tempat penetasan oleh pihak seperti WWF Malaysia, PULIHARA, Resort World Kijal dan Terengganu Silica. "Kami berharap Terengganu Turtles Tourism dapat menjadi titik tolak kepada usaha bersepadu memelihara penyu serta mengukuhkan kedudukan Terengganu sebagai destinasi utama ekopelancongan negara," ujarnya. Hari Penyu Sedunia disambut pada 23 Mei setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran global tentang ancaman terhadap penyu laut dan usaha untuk melindunginya.  Terengganu merupakan antara negeri terawal di Malaysia yang memulakan program konservasi penyu secara aktif sejak beberapa dekad lalu.
24 Apr 25
440
Kerjasama Kerajaan Negeri, Persekutuan Pacu Pembangunan Pelancongan
Kerjasama Kerajaan Negeri, Persekutuan Pacu Pembangunan Pelancongan
KUALA TERENGGANU, 22 April - Kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan terus menjadi pemangkin utama dalam merealisasikan aspirasi Terengganu sebagai destinasi pelancongan utama negara. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata sejumlah peruntukan telah diluluskan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) bagi melaksanakan 13 tapak projek pelancongan. "Bagi tahun 2025, sejumlah RM3.98 juta telah diluluskan oleh MOTAC bagi melaksanakan 13 projek pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur pelancongan di seluruh negeri. "Antara projek utama yang dikenal pasti termasuklah kerja-kerja naik taraf kemudahan di Taman Eko Pelancongan Lata Ulu Kasar, Setiu, pemuliharaan Memorial Batu Bersurat di Kuala Berang, serta menaik taraf jeti pelancongan di Bandar Marang dan kemudahan di Gunung Tebu, Besut. "Selain itu, peruntukan ini juga akan diagihkan untuk projek menaiktaraf papan tanda pelancongan serta kerja-kerja berkaitan di Daerah Dungun dan lain-lain," jelasnya. Dalam usaha yang sama, beliau menjelaskan bahawa projek menaiktaraf jeti di Pulau Perhentian dan Pulau Redang dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM4 juta juga telah diluluskan. "Insya-Allah, dimaklumkan bahawa terdapat beberapa lagi projek tambahan yang dijangka akan diluluskan dalam Fasa 2 pada tahun 2025. "Perbahasan yang telah dibangkitkan jelas menunjukkan kesungguhan semua Ahli Yang Berhormat dalam memastikan pembangunan pelancongan negeri Terengganu terus maju dan lestari. "Termasuk aspek kebersihan lokasi pelancongan, pemuliharaan alam semula jadi serta penerokaan destinasi baharu yang berpotensi tinggi, khususnya dalam bidang ekopelancongan," jelasnya. Razali berkata demikian di dalam ucapannya ketika sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, baru-baru ini. Dalam pada itu, kerajaan negeri turut akan terus memberi penekanan kepada pembangunan pelancongan berasaskan komuniti (CBT), dengan 30 lokasi yang kini aktif dan 11 lagi sedang dikenal pasti di daerah Besut, Dungun dan Hulu Terengganu. "Dalam usaha memperkasa inisiatif ini, kerajaan akan merangka siri lawatan berfokus bagi menilai secara terperinci cadangan-cadangan pembangunan yang telah dikemukakan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat. "Agar pelaksanaan setiap projek nanti benar-benar memberi manfaat kepada rakyat serta memelihara khazanah alam semula jadi kita," katanya.
22 Apr 25
106
'Tiada Pemimpin Kekal Kuasa Selama-Lamanya' - Dr. Sam
'Tiada Pemimpin Kekal Kuasa Selama-Lamanya' - Dr. Sam
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyampaikan peringatan penuh makna bahawa kuasa politik adalah sesuatu yang bersifat sementara, manakala sistem pentadbiran adalah warisan yang wajib dijaga daripada dicemari kepentingan peribadi.
21 Apr 25
78
Enam Projek Perumahan Dungun Dalam Pembinaan
Enam Projek Perumahan Dungun Dalam Pembinaan
Sebanyak enam projek perumahan sedang dalam proses pembinaan di daerah Dungun, melibatkan keseluruhan 1,062 unit rumah yang direkodkan setakat Mac lalu.
20 Apr 25
104
Wujudkan Skim Bantuan Petani Khusus Gangguan Haiwan Liar
Wujudkan Skim Bantuan Petani Khusus Gangguan Haiwan Liar
Kerajaan negeri dicadang supaya mewujudkan satu skim bantuan khas kepada petani di Hulu Terengganu, bagi menangani kemerosotan sektor pertanian akibat gangguan haiwan liar dan kekurangan sokongan infrastruktur.
20 Apr 25
98
Kelapa : Pekebun Kejar Untung, Santan Negara Terancam
Kelapa : Pekebun Kejar Untung, Santan Negara Terancam
KUALA TERENGGANU, 20 April – Harga kelapa muda yang melonjak tinggi mendorong pekebun memilih jalan pintas untuk meraih keuntungan segera, namun tindakan ini menjejaskan bekalan kelapa tua negara dan mengancam industri santan tempatan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, permintaan terhadap kelapa muda kini begitu tinggi sehingga menyebabkan pengeluaran kelapa tua merosot dengan ketara di pasaran. "Sebiji kelapa muda boleh dijual sehingga RM4.50, manakala kelapa tua pula sekadar RM2.50 dan semakin murah jika disimpan,” katanya semasa sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih di Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga DUN Kelima Belas di Wisma Darul Iman, baru-bari ini. Menurut beliau, ketidakseimbangan harga ini telah mendorong pekebun lebih berminat menjual kelapa muda kerana pulangannya jauh lebih lumayan berbanding kelapa tua yang digunakan dalam pemprosesan santan. "Inilah sebabnya kelapa muda jadi pilihan utama pekebun. "Mereka kejar untung cepat, tapi kita sedang hadapi kekurangan bahan asas untuk makanan rakyat,” keluhnya. Jelasnya lagi, keadaan ini diburukkan dengan fenomena perubahan iklim yang menyebabkan ‘kepupusan mayang’, iaitu kegagalan pokok kelapa berbunga antara Jun hingga September tahun lalu. "Tiada mayang maka tiadalah buah. "Fenomena ini telah menjejaskan hasil kelapa tua secara drastik,” kata beliau. ADUN Jabi itu turut mengakui bahawa walaupun Tahap Sara Diri (SSR) bagi kelapa menunjukkan peningkatan dari 53 peratus pada 2019 kepada 74 peratus pada tahun 2023, ia belum cukup untuk menampung permintaan sekiranya trend ini berterusan. "Cadangan pembukaan ladang kelapa oleh ADUN Kuala Besut adalah satu langkah tepat dan perlu dilaksanakan segera," ujarnya.
20 Apr 25
182
Sawah Tidak Lagi Dikenang Sebagai Punca Rezeki
Sawah Tidak Lagi Dikenang Sebagai Punca Rezeki
KUALA TERENGGANU, 20 April – Ladang-ladang padi di Kuala Berang dan Hulu Terengganu yang suatu ketika dahulu menjadi nadi kehidupan masyarakat luar bandar kini semakin sepi dan terbiar, bukan kerana kekurangan infrastruktur, tetapi akibat tiada kesinambungan generasi pelapis untuk mengusahakannya. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dr. Azman Ibrahim menjelaskan bahawa isu sebenar bukan berpunca daripada kegagalan kemudahan asas, sebaliknya hilangnya minat dalam kalangan anak muda untuk menyambung usaha generasi terdahulu. "Saya ingin menjelaskan sedikit mengenai isu sawah padi yang terbiar di sekitar daerah Kuala Berang dan Hulu Terengganu, keadaannya bukan disebabkan ketiadaan infrastruktur kerana kemudahan itu sebenarnya sudah tersedia. "Masalah sebenar timbul apabila generasi baharu tidak lagi berminat meneruskan usaha mengusahakan sawah pusaka selepas pemergian ibu bapa mereka. "Anak-anak hari ini tidak lagi melihat sawah sebagai sumber rezeki, sebaliknya mewarisi tanah tanpa mewarisi semangat dan tanggungjawab untuk mengusahakannya," katanya ketika menjawab persoalan ADUN Telemong dalam sidang DUN di Wisma Darul Iman, baru-baru ini. Tambah beliau, meskipun terdapat cadangan untuk membuka peluang pelaburan, kekangan struktur geografi menjadikan usaha itu sukar direalisasikan secara komersial. "Kita nak buka kepada pelabur pun, kawasannya sedikit dan terpisah-pisah dan bukan sesuai dijadikan satu sektor komersial. "Jadi itu di antara situasi sebenar," ujarnya.
20 Apr 25
76