lightning-solid
Berita :

Artikel "Sidang DUN" Terkini

Hulu Terengganu Terima RM16.1 Juta Menuju Gedung Makanan Kedua
Hulu Terengganu Terima RM16.1 Juta Menuju Gedung Makanan Kedua
KUALA TERENGGANU, 20 April – Komitmen kerajaan negeri terhadap kemajuan sektor makanan negeri semakin terbukti apabila Hulu Terengganu menerima peruntukan keseluruhan sebanyak RM16.1 juta sejak 2018, sekaligus meletakkan daerah itu dalam radar sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Terengganu (GPMT) kedua selepas Setiu. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dr. Azman Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan Hulu Terengganu dalam dasar dan pelaksanaan pembangunan sektor pertanian. "Pelbagai isu pertanian di Hulu Terengganu dibangkitkan oleh ADUN Telemong. "Peruntukan yang kita salurkan kepada Hulu Terengganu sentiasa meningkat daripada setahun ke setahun, dalam pelbagai sektor, sama ada sektor pertanian, penternakan, perikanan dan pengairan dan saliran Daerah Hulu Terengganu, dan yang paling besar dapat manfaat ialah sektor akuakultur," katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail, dalam sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas yang berlangsung di Wisma Darul Iman, baru-baru ini. Beliau menjelaskan secara terperinci bahawa pada tahun 2018 sebanyak RM433 ribu telah disalurkan, diikuti RM530 ribu pada 2019, RM1.04 juta pada 2020, RM2.14 juta pada 2021, RM1.3 juta pada 2022, RM2.18 juta pada 2023, dan RM5.4 juta pada tahun 2024. "Jika campur jumlah keseluruhan termasuk dengan bantuan akuakultur dalam tempoh 2018 sehingga 2024, kita telah salurkan jumlah keseluruhan RM16.1 juta kepada daerah Hulu Terengganu," jelasnya. Beliau tidak menolak kemungkinan Hulu Terengganu akan diangkat sebagai daerah Gedung Pengeluaran Makanan Terengganu yang kedua selepas Setiu, berdasarkan keupayaan serta pelaburan berterusan yang diterima. "Saya tak menolak kemungkinan untuk Daerah Hulu Terengganu bakal diwartakan sebagai GPMT yang kedua selepas Daerah Setiu," kata beliau. Beliau turut menyeru penduduk daerah itu agar bersedia menyahut cabaran dan bekerjasama dengan kerajaan dalam menjayakan misi keterjaminan makanan negeri. "Jadi orang Hulu Terengganu perlu bersedia untuk bekerja kuat bagi sama-sama kita berkolaborasi memajukan sektor keterjaminan makanan negeri kita," ujarnya.
20 Apr 25
2222
'Tiada Pemimpin Kekal Kuasa Selama-Lamanya' - Dr. Sam
'Tiada Pemimpin Kekal Kuasa Selama-Lamanya' - Dr. Sam
KUALA TERENGGANU, 19 April – Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyampaikan peringatan penuh makna bahawa kuasa politik adalah sesuatu yang bersifat sementara, manakala sistem pentadbiran adalah warisan yang wajib dijaga daripada dicemari kepentingan peribadi. Menurut beliau, sejarah membuktikan bahawa tiada seorang pun pemimpin mampu terus menongkat langit dan kekal berkuasa selama-lamanya. "Ada ketika kita berkuasa dan ada ketika kuasa hilang dari tangan kita," katanya dalam sesi penggulungan DUN, di Wisma Darul Iman, kelmarin.  Beliau menegaskan bahawa struktur kerajaan tidak boleh sekali-kali dipaksa untuk tunduk kepada kehendak politikus yang ingin mengekalkan kekuasaan mereka. "Sistem ini tidak boleh dipaksa-rela digunakan oleh political masters untuk tujuan politik kepartian," ujar beliau. Samsuri turut menempelak cubaan segelintir pihak yang menyerangnya dengan memutarbelit isu dan fakta, seolah-olah beliau baru memegang kuasa dan tidak memahami selok-belok pentadbiran. "Saya mula menggalas jawatan ini sejak 2018 lagi.  "Tapi isu ini hanya timbul enam bulan kebelakangan ini sahaja," ujarnya. Mengulas lebih lanjut, beliau menyatakan dirinya tidak naif dalam isu pentadbiran dan tahu dengan jelas apa itu Travel Control Order (TCO) dan kesan status sebagai VIP. "Saya agak segan menyebut terma VIP, tapi saya gagahkan juga, supaya masing-masing tahu pandangan saya tidak sama dengan pandangan mainstream," katanya.
19 Apr 25
215
Jika Sistem Rosak, Negara Gagal - MB Seru Reformasi Pentadbiran
Jika Sistem Rosak, Negara Gagal - MB Seru Reformasi Pentadbiran
KUALA TERENGGANU, 18 April – Menteri Besar Terengganu memberi peringatan bahawa jika sistem dan struktur pentadbiran negara terus diganggu oleh campur tangan politik sempit, Malaysia bakal terjerumus ke dalam kitaran ganas yang berulang setiap kali perubahan kuasa berlaku. Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kestabilan negara bukan terletak pada siapa yang memegang tampuk pemerintahan, tetapi pada institusi yang kekal neutral, telus dan berfungsi di atas prinsip keadilan. "Sekiranya sistem dan struktur ini diganggu, maka kita akan berdepan dengan kitaran ganas, yang berulang-ulang setiap kali perubahan politik berlaku," katanya dalam penggulungan Usul Menjunjung Kasih di Dewan Undangan Negeri, di Wisma Darul Iman, semalam.  Beliau menegaskan bahawa krisis politik yang berterusan akan mencetuskan keresahan dalam kalangan penjawat awam, mengganggu keharmonian masyarakat dan merencatkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara. "Ini akhirnya membawa kepada terhakisnya keyakinan pihak pelabur pada kita," kata beliau. Menurut beliau, negara-negara maju seperti Jepun dan Korea Selatan mampu mengekalkan kestabilan dasar walaupun sering berlaku perubahan kepimpinan, kerana mereka tidak merosakkan struktur kerajaan yang telah dibina. "Di sana, struktur dan sistem negara tetap kukuh, dan ketidaktentuan ekonomi sangat minima," ujarnya memberi perbandingan. Justeru, beliau menyeru agar reformasi pentadbiran dilaksanakan secara berfasa, terutamanya jika berlaku perubahan kuasa di peringkat Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 nanti. "Sudah tentu semua agensi pelaksana dan penguat kuasa akan terus kekal, kerana mereka adalah orang yang sama juga yang akan menjalankan tugas jika kami diamanahkan rakyat nanti," katanya.
18 Apr 25
91
GLC Terengganu Raih Kontrak RM1.8 Bilion
GLC Terengganu Raih Kontrak RM1.8 Bilion
KUALA TERENGGANU, 18 April – Kerajaan Negeri Terengganu terus menunjukkan pencapaian ekonomi yang memberangsangkan apabila syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri berjaya memperoleh nilai kontrak mencecah RM1.8 bilion menjelang Disember 2024, khususnya dalam sektor minyak dan gas. Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pencapaian ini membuktikan keberkesanan dasar dan perancangan kerajaan negeri sejak mengambil alih pentadbiran pada tahun 2018, yang memberi fokus kepada pemerkasaan GLC dan pemelbagaian sumber hasil negeri. "Syarikat GLC kita mencatat peningkatan hasil yang berlipat ganda setiap tahun sejak 2018. "Ini bukan sekadar angka, tetapi petunjuk jelas bahawa strategi kita mula membuahkan hasil nyata," katanya semasa sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih di Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Iman. Ahmad Samsuri.  Menurut Menteri Besar, antara GLC yang mencatatkan kejayaan adalah EPIC Berhad bersama anak syarikatnya, yang kini aktif dalam pelbagai segmen industri minyak dan gas, termasuk hiliran (downstream), pertengahan (midstream), dan perkhidmatan huluan (upstream services). "Mereka terlibat dalam penyelenggaraan, logistik, dan pengurusan gudang. "Setakat 31 Disember 2024, jumlah kontrak dalam tangan yang diperolehi adalah sebanyak RM1.8 bilion,” jelasnya.
18 Apr 25
2426
Siapa VIP Sebenar? - Dr Sam
Siapa VIP Sebenar? - Dr Sam
KUALA TERENGGANU, 18 April – Dalam suasana politik yang sering sarat dengan keangkuhan kuasa, Menteri Besar Terengganu tampil dengan kisah sederhana tetapi menyentuh hati, tentang bagaimana beliau mendidik anak-anaknya tentang makna sebenar kepimpinan dan nilai rendah diri. Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menceritakan bagaimana beliau tidak pernah meletakkan keretanya di parkir khas VIP setiap kali mengunjungi pusat beli-belah KTCC, walaupun beliau adalah Ketua Kerajaan Negeri. "Anak saya pernah tanya, kenapa saya tak letak kereta di tempat parking VIP?.  "Jawapan saya, saya ke sana atas urusan peribadi, bukan rasmi," katanya dalam sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Dewan Undangan Negeri, di Wisma Darul Iman, semalam.  Menurut beliau, walaupun ada keistimewaan yang boleh digunakan, seorang pemimpin harus tahu batas antara tanggungjawab rasmi dan urusan peribadi. "Sudah tentu ada 'Very Important Person' lain yang lebih memerlukan tempat itu berbanding saya,” ujarnya.  Kisah ini dikongsikan beliau ketika menyentuh tentang istilah VIP yang menurutnya sering disalahertikan oleh masyarakat dan segelintir pemimpin. "Saya agak segan untuk menyebut terma VIP ini, tapi saya gagahkan juga, supaya masing-masing tahu pandangan saya berbeza dari pandangan mainstream," katanya.
18 Apr 25
177
Pelan Teknologi Hijau Siap Dirangka
Pelan Teknologi Hijau Siap Dirangka
KUALA TERENGGANU, 17 April - Kerajaan Terengganu telah siap merangka pelan khas untuk pembangunan teknologi hijau atau Pelan Induk Teknologi Hijau Negeri Terengganu (PITIH) 2030 yang mempunyai beberapa fasa tindakan yang dirancang. Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, pada tahun ini kerajaan negeri sedang meneliti pelaksanaan bagi projek pembinaan loji hidrogen hijau di kawasan Terengganu Wilayah Utara, Wilayah Selatan dan juga Wilayah Tengah. "Dijangka akan menjana jumlah keseluruhan anggaran 80Megawat (MW) tenaga boleh baharu melalui anak-anak sungai sedia ada di negeri ini," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim,di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Dalam pada itu, Khuzaini berkata kajian kebolehlaksanaan berkaitan tenaga boleh baharu juga akan dilaksanakan. "Seperti penternakan kontrak alga, solar akua, solar terapung di laut terbuka dan turbin angin bagi memastikan projek tersebut boleh dilaksanakan di negeri ini," jelas beliau.
17 Apr 25
164
PITAS2030 Pelan Holistik Bangunkan Negeri
PITAS2030 Pelan Holistik Bangunkan Negeri
KUALA TERENGGANU, 17 April – Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS2030) kini membuktikan bahawa pembangunan negeri sedang bergerak dengan nyata.  Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, PITAS2030 merupakan pelan holistik yang menggabungkan pengukuhan ekonomi, pembangunan fizikal dan kesejahteraan spiritual rakyat. "Sebagai ulangkaji kita bersama, inilah yang kita jenamakan di bawah satu pelan induk iaitu PITAS2030. "Bagi penggal ini, kerajaan telah menyenaraikan 93 Program Pembangunan Berimpak Tinggi (HIPP) mengikut portfolio setiap Exco sebagai pemacu pembangunan strategik negeri," katanya dalam sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga DUN Kelima Belas di Wisma Darul Iman hari ini. Jelas Menteri Besar, mengikut laporan semasa 2024, sebanyak 32 program atau 34.4 peratus telah disempurnakan, 38 program (40.9 peratus) sedang dilaksanakan, dan 19 lagi (20.43 peratus) dalam peringkat perancangan, manakala hanya empat program (4.3 peratus) masih di peringkat kertas konsep. “Pencapaian ini membuktikan kesungguhan seluruh jentera kerajaan dan rakan strategik untuk memastikan manfaat pembangunan dirasai rakyat di setiap pelosok negeri,” tegasnya. Namun, beliau mengingatkan agar tidak leka, sebaliknya menumpukan usaha mempercepat pelaksanaan program yang telah mencapai tahap kemajuan 50 hingga 80 peratus. “Kita perlu meningkatkan kecekapan, kurangkan birokrasi dan manfaatkan teknologi serta pembiayaan inovatif agar sasaran PITAS2030 tercapai lebih awal daripada jadual,” katanya.
17 Apr 25
115
Agensi Kerajaan Bukan Alat Politik - Dr Sam
Agensi Kerajaan Bukan Alat Politik - Dr Sam
KUALA TERENGGANU, 17 April – Menteri Besar Terengganu memberikan amaran agar tiada mana-mana pihak memperalatkan agensi kerajaan demi kepentingan politik sempit, sambil menegaskan bahawa beliau tidak pernah rasa tergugat dengan kehadiran agensi penguat kuasa dalam pentadbiran negeri. Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, budaya menggunakan agensi untuk menyerang lawan politik adalah langkah berbahaya yang menjejaskan maruah sistem pentadbiran negara. "Budaya yang kita tegur ialah penggunaan agensi ini sebagai alatan untuk mendapat maklumat dalaman politik, tanpa ada check and balance," katanya. Beliau berkata demikian dalam sesi pergulungan Usul Menjunjung Kasih sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas yang berlangsung di Wisma Darul Iman, hari ini. Beliau mengingatkan, tindakan itu bukan sahaja merosakkan kepercayaan rakyat terhadap sistem, bahkan boleh mencetuskan ketidakharmonian sosial dan ketidakstabilan dasar negara. "Inilah antara punca ketidakselesaan penjawat awam dan terhakisnya keyakinan pelabur terhadap kita,” ujar beliau. Dalam masa yang sama, beliau menyatakan bahawa beliau tidak pernah mempunyai masalah dengan mana-mana agensi, termasuklah cawangan khas yang hadir dalam setiap sidang DUN. "Saya tidak pernah rasa tidak selesa walaupun mereka hadir setiap kali sidang DUN dan sidang media," katanya. Malah beliau mengakui keberadaan mereka adalah normal dan tidak menimbulkan sebarang kekeliruan dalam tugasnya sebagai ketua kerajaan negeri. "Mereka kadang kala berada di bilik khusus di atas Dewan ini.  "Kita tidak pernah anggap kehadiran mereka sebagai satu gangguan," ujarnya.
17 Apr 25
217
SRIDI Miliki Premis Sendiri Tak Lama Lagi
SRIDI Miliki Premis Sendiri Tak Lama Lagi
KUALA TERENGGANU, 17 April – Kerajaan Negeri Terengganu komited untuk memastikan Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) dapat beroperasi di bangunan sendiri, dalam usaha memperkukuh sistem pendidikan Islam negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata, kebanyakan bangunan yang digunakan untuk pengoperasian SRIDI ketika ini merupakan premis sewaan oleh Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT), dan bukan milik kerajaan negeri. “Justeru, JPINT akan memberi penumpuan terhadap pengoperasian SRIDI baharu di bangunan milik Kerajaan Negeri Terengganu,” katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahimi Zulkifli dalam Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, hari ini. Mengulas lanjut, Satiful memaklumkan bahawa JPINT telah merancang untuk menambah satu lagi SRIDI di kawasan Dewan Undangan Negeri Batu Buruk, tertakluk kepada kelulusan serta peruntukan daripada Kerajaan Negeri Terengganu. Sementara itu, bagi cadangan penubuhan SRIDI di kawasan DUN Rantau Abang, lokasi di Mukim Kuala Dungun kini sedang menunggu kelulusan Pelan Akui (PA) daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM). “Setelah Pelan Akui diperoleh, proses pewartaan tanah yang dicadangkan akan dilaksanakan oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Terengganu,” katanya lagi. Langkah ini dilihat sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Negeri Terengganu untuk menyediakan prasarana pendidikan Islam yang lebih kukuh dan lestari di seluruh negeri.
17 Apr 25
1075
Perbuatan Menghasut, Sengaja Tidak Solat Berdepan Tindakan Tegas
Perbuatan Menghasut, Sengaja Tidak Solat Berdepan Tindakan Tegas
KUALA TERENGGANU, 17 April - Agensi di bawah portfolio dakwah dan pelaksanaan syariah akan meneruskan kerjasama dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam memperkasakan dakwah secara langsung di tapak pasar malam bagi mengajak masyarakat menunaikan solat fardu. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, sekiranya didapati ada pihak dengan sengaja tidak menunaikan solat fardu dan menghasut yang lain, tindakan tegas akan diambil . Katanya, Bahagian Penguatkuasaan akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan kesalahan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir)(Terengganu)2001. "Dalam melaksanakan dasar 'Indahnya Hidup Beryariat' kerjasama antara kerajaan dan masyarakat sangat penting khususnya dalam dakwah berkaitan solat fardu. "Tanpa menafikan tugas semua orang sebagai Daie bagi isu berkaitan solat fardu ketika pengoperasian pasar malam, Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah telah bermesyuarat dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk meneliti keperluan pemberhentian waktu operasi sementara bagi memberi ruang kepada peniaga dan pengunjung untuk solat," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Selain itu, Muhammad Khalil berkata pihaknya juga mengambil maklum mengenai cadangan yang turut dibangkitkan mengenai penyediaan ruangan solat. "Serta tempat mengambil wuduk bagi peniaga-peniaga dan pengunjung berdekatan," ujar beliau.
17 Apr 25
115