lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Penghijrahan Rasulullah Asas Tamadun Gemilang – MB Terengganu
Penghijrahan Rasulullah Asas Tamadun Gemilang – MB Terengganu
KUALA TERENGGANU, 27 Jun – Sambutan Maal Hijrah setiap tahun mengangkat sebuah peristiwa agung dalam sejarah Islam yang wajar dihayati secara menyeluruh oleh umat Islam. Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penghijrahan Rasulullah SAW bukan sekadar peristiwa fizikal semata-mata, tetapi membawa misi besar dalam membina tamadun yang gemilang berasaskan syiar Islam. “Peristiwa hijrah mengajar kita bahawa perubahan besar tidak berlaku dengan kekuatan fizikal sahaja, tetapi menuntut kesabaran, strategi, kebijaksanaan serta keimanan yang mendalam. “Rasulullah SAW dan para sahabat berhijrah bukan kerana kelemahan, tetapi kerana visi yang jelas untuk membina tamadun yang berteraskan tauhid dan keadilan,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu 1447H yang berlangsung di Wisma Darul Iman, di sini hari ini. Majlis tersebut telah disempurnakan perasmiannya oleh Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin yang berkenan mencemar duli berangkat ke majlis berkenaan. Keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Muda Terengganu itu turut diiringi Yang Amat Mulia Tengku Seri Setia Mahkota Raja dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja. Yang di-Pertuan Muda Terengganu turut berkenan mengurniakan hadiah dan anugerah kepada pemenang-pemenang dan tokoh-tokoh sempena Maal Hijrah bagi tahun ini.  
27 Jun 25
208
Ceramah Ustaz Abdul Somad Gamit Kehadiran Lautan Manusia
Ceramah Ustaz Abdul Somad Gamit Kehadiran Lautan Manusia
BESUT, 27 Jun — Sambutan ambang Maal Hijrah 1447H di Dataran Tapak Pasir Tani Kuala Besut malam tadi mencatat sejarah tersendiri apabila lautan manusia membanjiri kawasan tersebut untuk menghadiri ceramah istimewa oleh Tokoh Dakwah Nusantara, Prof. Dr. Ustaz Abdul Somad Batubara sekali gus mencipta Fenomena yang tersendiri.  Kehadiran beliau bukan sahaja menyerlahkan aura keilmuan dan semangat perjuangan Islam, malah menghidupkan kembali roh penghijrahan Rasulullah SAW dalam konteks masa kini. Ribuan hadirin dari segenap pelusuk negeri, terdiri daripada pelbagai lapisan umur dan latar belakang telah berkumpul bagi menyelami hikmah dakwah dan pesanan rohani yang disampaikan dengan gaya penyampaian yang menyentuh hati. Majlis dimulakan dengan bacaan doa awal tahun yang dipimpin oleh pendakwah terkemuka, Ustaz Mokhtar Yacoob, sebagai simbolik memohon keberkatan Ilahi dan petunjuk dalam melangkah ke tahun Hijrah yang baharu. Dalam ucapan yang penuh keinsafan dan harapan, Ustaz Abdul Somad menyatakan rasa takjubnya terhadap ketentuan Ilahi yang mempertemukan beliau dengan masyarakat Terengganu pada detik penting ini "Semasa kami menyusun jadual ini, tidak terlintas di fikiran saya, kita akan menyambut malam tahun baharu Hijrah di Terengganu. "Rupa-rupanya sudah tertulis di Luh Mahfuz, tahun baharu ini berjumpa dengan orang-orang baik, di negeri yang baik, mempunyai kerajaan yang baik. Maka saya optimis, saya semangat, tahun ke hadapan ini kita semua lebih baik," ujarnya.  Program rohani ini turut mendapat sokongan penuh daripada pimpinan negeri dan daerah yang hadir bagi meraikan kebangkitan semangat ummah, antaranya,  Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi merangkap Dato' Dr Azman Ibrahim, Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh, serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) setempat.  Dalam pada itu, ADUN Kuala Besut Azbi Salleh, menyampaikan penghargaan dan kesyukuran atas kehadiran ribuan masyarakat yang menjadikan sambutan ini suatu kejayaan luar biasa. “Setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan kurnia-Nya kita dapat berkumpul sempena sambutan Maal Hijrah pada hari yang penuh barakah ini," katanya.  Beliau juga turut menyeru semua agar menjadikan hijrah bukan hanya sekadar sejarah, tetapi sebagai agenda perubahan. “Maal Hijrah bukan sekadar mengingati peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah, tetapi membawa maksud yang jauh lebih mendalam  agar kita melakukan penghijrahan dalam diri daripada kegelapan kepada cahaya, keinsafan daripada kelalaian, menuju ke arah ketakwaan yang sejati. "Jutaan terima kasih diucapkan kepada Jabatan Amal Malaysia dan barisan anggota polis yang telah memainkan peranan penting melancarkan pergerakan dan kawalan trafik bagi memastikan kelancaran, keselamatan dan keselesaan semua yang hadir. "Majlis ini bukan sahaja membuktikan kebangkitan roh ukhuwah dalam kalangan rakyat Besut, bahkan menjadi simbol perpaduan dan keazaman masyarakat menuju kehidupan yang lebih diberkati, berlandaskan iman dan taqwa dalam melangkah ke tahun baharu Hijrah," ujar beliau. 
27 Jun 25
26714
Pakar Nefrologi Tokoh Maal Hijrah Terengganu
Pakar Nefrologi Tokoh Maal Hijrah Terengganu
KUALA TERENGGANU, 27 Jun – Pakar Perunding Nefrologi dan Ketua Jabatan IDMD Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr. Ghazali Ahmad diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1447H sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu 2025 yang berlangsung di Wisma Darul Iman, hari ini. Beliau yang memiliki pengalaman hampir empat dekad dalam bidang perubatan, khususnya dalam Nefrologi dan Transplantasi, merupakan antara tokoh penting dalam landskap kesihatan Malaysia dan rantau Asia Pasifik. Dr. Ghazali juga merupakan antara pakar yang terlibat dalam merawat Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika menerima rawatan di IJN baru-baru ini, selain pernah memberikan khidmat perubatan kepada tokoh-tokoh besar negara seperti mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad serta beberapa menteri kanan yang lain. “Pada tahap apa sekalipun, apabila seseorang datang mendapatkan rawatan, dan kita pula memiliki kepakaran serta kemahiran, maka itu adalah ruang untuk kita menyumbang kepada negara. “Ramai pemimpin negara dari pelbagai peringkat telah saya rawat. Ia satu pengalaman sangat berharga kerana dalam masa yang sama saya memainkan peranan sebagai rakyat Malaysia yang ingin berbakti kepada tanah air,” jelas beliau. Tambahnya lagi, adalah sangat penting bagi negara untuk memiliki kepakaran dalam bidang kritikal seperti perubatan, bagi mengelak kebergantungan kepada negara luar yang mungkin mempunyai kepentingan tersendiri. “Bayangkan jika pemimpin atau Raja-raja kita mengalami masalah kesihatan dan kita terpaksa bergantung kepada negara luar untuk rawatan. Dalam situasi tertentu, kuasa asing boleh menekan kita dan menyebabkan kita tunduk demi mendapatkan rawatan yang sepatutnya kita sendiri mampu sediakan jika memiliki kepakaran,” katanya. Mengenai anugerah yang diterima, beliau merasakan bahawa penghargaan itu sangat berharga dan sangat menghargainya. "Sebenarnya berat nak terima anugerah ini sebab saya rasa sumbangan saya tidaklah seberapa dan saya rasa lebih ramai warga negeri Terengganu yang telah berbakti dengan lebih cemerlang bukan sahaja di peringkat negeri tetapi di peringkat nasional dan antarabangsa. "Bagaimanapun, saya bersyukur insya-Allah dengan anugera ini akan meningkatkan lagi azam dan usaha saya untuk memperkasa ummah di saat kita tahu umat Islam diganyang di peringkat antarabangsa jadi kita mesti sama-sama memperkuatkan di antara satu sama lain dengan mengabungkan pelbagai kepakaran," ujarnya yang merupakan anak jati Kijal. Sepanjang empat dekad terlibat dalam dunia perubatan beliau telah menyandang beberapa jawatan antaranya menjadi Ahli Jawatankuasa Eksekutif, Persatauan Trasplantasi Asia (2017-2025), Ahli Lembaga Penasihat, Doctor Against Forced Organ Harvesting (DAFOM) (2011-2025) Selain itu belia juga merupakan Ahli Jawatankuasa Penasihat Korean Vitalink International (2024-2025), Penasihat Nefrologi, Yayasan Buah Pinggang Papua New Guinea (2021-2025), Ahli Jawatankuasa Penasihat Perubatan, Lembaga Zakat Selangor.  Antara anugerah tertinggi yang  diperolehi ialah Anugerah Chugh-kirpal- Persatuan Nefrologi Asia Pasifik (2021), Anugerah Tan Sri Abu Bakar-Persatuan Nefrologi Malaysia (2019).  
27 Jun 25
2476
Terengganu Sedia Terima Kapal 'Cruise' Mewah
Terengganu Sedia Terima Kapal 'Cruise' Mewah
KUALA TERENGGANU, 27 Jun – Buat pertama kali dalam sejarah, Terengganu bakal membuka pintu kepada ribuan pelancong bertaraf jutawan menerusi industri pelayaran mewah yang dijangka berlabuh di pesisirnya seawal tahun hadapan.  Dengan infrastruktur pelabuhan yang telah dinaik taraf dan kekayaan destinasi yang masih belum diteroka dunia, negeri ini bersedia melangkah ke pentas pelancongan antarabangsa, bukan sekadar sebagai tempat singgah, tetapi sebagai nadi baharu ekonomi laut dan mercu baharu pelabuhan pelancongan Malaysia. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, usaha membawa industri pelayaran ke Terengganu telah dimulakan sejak empat tahun lalu, iaitu sebelum pandemik Covid-19, namun tertangguh kerana isu teknikal seperti pendalaman dasar laut, masalah benteng ombak (breakwater), serta struktur drawbridge yang menghalang kapal besar. "Cruise akan ke Terengganu awal tahun depan. Perancangan ini telah dirintis sejak dua tahun sebelum pandemik. "Ia dibincang dalam mesyuarat EXCO kerajaan negeri dan mendapat sokongan, cuma tertangguh akibat cabaran fizikal dan teknikal yang kini sudah ditangani," katanya pada sidang media selepas program Cruise Familiarization Tour di Permai Hotel, semalam. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MMC Ports, Dato' Azman Shah Mohd Yusuf, Ketua Pegawai Eksekutif Duyong Cruise Holidays Sdn Bhd, Kapten Mohd Tarmizi Mejam. Tambah beliau, Terengganu kini memiliki tiga jeti yang telah dinaik taraf, Jeti EPIC di muara Kuala Terengganu dengan kos naik taraf lebih RM30 juta, Jeti Duyong Marina dan Jeti Taman Tamadun Islam (TTI), yang bersedia menyambut pelancong dari seluruh dunia. "Walaupun Jeti EPIC lazimnya untuk industri minyak dan gas, mereka bersedia menyokong pelancongan. Duyong Marina kita letakkan sebagai jeti utama. "Kita telah buat kajian kedalaman, arus, keselamatan, dan yakin tiga jeti ini mampu terima hingga tiga kapal besar serentak," jelas beliau. Ariffin berkata, Cruise Fam Tour adalah langkah penting memperkenalkan Kuala Terengganu kepada penggiat industri pelayaran antarabangsa, dengan sasaran awal kepada kapal bersaiz kecil dan sederhana yang mampu membawa ribuan orang pelancong dan kru. "Saya percaya kehadiran pelancong akan beri impak langsung kepada usahawan kita, dari Pasar Payang, TTI, Muzium Negeri, Setiu Wetland, hingga ke pulau-pulau kita yang menawan. "Ramai pelancong Cruise adalah jutawan yang biasa melancong ke seluruh dunia. Bila mereka jumpa destinasi baharu, mereka akan datang lagi," katanya lagi. Menurutnya, walaupun mewakili Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Datuk Razali Idris yang masih dalam perjalanan pulang dari Makkah, beliau turut memberikan komitmen penuh sebagai EXCO yang menjaga portfolio keusahawanan. "Ini bukan pelancongan biasa, tapi pelaburan masa depan. Kita buka laluan untuk cruise ‘high-end’ selepas kapal sederhana mula berlabuh. "Kita mahu Kuala Terengganu jadi perintis, kalau berjaya, negeri-negeri lain boleh ikut," ujarnya. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MMC Ports, Dato’ Azman Shah Mohd Yusuf menjelaskan tumpuan kini ialah kepada kapal kategori explorer, premium dan luxury yang mengutamakan pengalaman baharu dan sanggup membayar lebih untuk destinasi eksklusif. "Di Kuala Terengganu sahaja, kita boleh tawarkan tujuh jenis ekspedisi, dari warisan, alam semula jadi, kulinari, aktiviti lasak hingga ke budaya pesisir. "Cruise bukan lagi untuk golongan pencen. Sekarang ramai pelancong muda dan keluarga besar yang melancong bersama, impaknya berlapis," katanya. Menurut beliau, Malaysia kini sedang merangka rangkaian pelabuhan strategik agar negara dapat muncul sebagai Homeport, pusat permulaan pelayaran pelancong antarabangsa. "Kita sedang bina rangkaian pelabuhan Malaysia supaya negara ini jadi Homeport, pelancong mendarat, menginap di hotel, naik cruise dan pulang ke negara asal melalui lapangan terbang. "Destinasi yang hanya memberi lawatan 8 jam mesti susun aktiviti padat dan memikat supaya pelancong mahu kembali. Tapi kalau cruise mewah, mereka akan bermalam, itu lebih tinggi nilai ekonominya," tambahnya. Beliau turut berkongsi pengalaman menyertai Persidangan Cruise Global di Miami, April lalu. "Sebelum sempat saya tandatangan apa-apa, sudah ramai bertanya tentang Kuala Terengganu. "Bila kita sebut tentang tarikan baharu, mereka terus tertarik. Memang ada pasaran, kalau kita berjaya di sini, pantai timur akan hidup," ujarnya.
26 Jun 25
5492
TDM Berhad Salur Bantuan Buat 200 Asnaf DUN Tepoh
TDM Berhad Salur Bantuan Buat 200 Asnaf DUN Tepoh
KUALA TERENGGANU, 26 Jun - TDM Berhad meraikan seramai 200 asnaf menerusi program TDM Bersama Masyarakat Tepoh di Dewan Masyarakat Tok Jiring, hari ini  Antara pengisian program termasuk tazkirah Dhuha, perasmian serta penyampaian sumbangan berbentuk barangan keperluan asas dan wang tunai serta pemeriksaan kesihatan percuma oleh Klinik Ikram Gong Badak. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim menyambut baik pelaksanaan program itu yang turut mendapat kerjasama erat Tepoh Care dan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Tepoh. Katanya, ia bukan sahaja meringankan beban rakyat, tetapi turut memperkukuhkan hubungan antara sektor korporat dan juga masyarakat khasnya komuniti Tepoh. "Apa yang dilakukan oleh TDM pada hari ini bukan sekadar menyampaikan bantuan, tetapi keprihatinan dan semangat kebersamaan yang semakin diperlukan dalam masyarakat kita. "Usaha ini sangat selari dengan tuntutan agama dan lebih penting, ia lahir dari keikhlasan," ujarnya. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM, Najman Kamaruddin berkata, inisiatif ini adalah sebahagian daripada pendekatan berimpak tinggi dalam membudayakan nilai tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat sebagai sebahagian daripada operasi korporat.  "Menyedari realiti peningkatan kos sara hidup, syarikat percaya bahawa kerjasama erat antara kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan komuniti adalah asas kepada kemampanan sosial," ujarnya. Tambah beliau, program CSR ini memberi fokus utama kepada bantuan langsung kepada komuniti, khususnya golongan asnaf, warga emas dan keluarga kurang berkemampuan.  "Sebanyak RM40,000 zakat wakalah syarikat diperuntukkan untuk komuniti Tepoh dan akan dikongsi juga kepada masyarakat melalui program-program kebajikan lain.  "Tepoh adalah peringkat DUN siri ke-7 di mana sebelum ini kami telah pun menjelajah DUN bagi Kota Putera, Jerteh, Ajil, Kuala Besut, Bukit Besi dan Rhu Rendang," ujarnya.
26 Jun 25
127
Warisan Diraja Terengganu Diiktiraf UNESCO
Warisan Diraja Terengganu Diiktiraf UNESCO
KUALA NERUS, 26 Jun – Pengiktirafan Koleksi Surat Persendirian Baginda Omar sebagai dokumen warisan dunia oleh UNESCO mengangkat martabat warisan diraja Terengganu di persada antarabangsa, membuktikan ketokohan pemerintahan Melayu abad ke-19 yang penuh wibawa dan berpengaruh dalam jaringan diplomasi serantau. Majlis Perisytiharan dan Seminar Warisan Asia Pasifik yang berlangsung penuh adat istiadat di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) semalam telah dirasmikan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, yang berkenan mencemar duli berangkat bersama Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail serta paduka-paduka anakanda. Terdahulu, keberangkatan tiba baginda disambut oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Saraswathy Kandami dan Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Dato’ Jaafar Sidek Abdul Rahman. Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Saraswathy Kandami menyifatkan koleksi surat bersejarah ini sebagai lambang kecendekiawanan dan kewibawaan Sultan Omar ibni Sultan Ahmad Shah yang memerintah Terengganu dari tahun 1839 hingga 1876. "Baginda Omar atau Sultan Omar merupakan Sultan Terengganu ke-IX yang memerintah dari tahun 1839 hingga 1876. "Sebanyak 56 naskhah Surat Persendirian Baginda Omar disimpan di Arkib Negara Malaysia sebagai khazanah sejarah yang amat bernilai," katanya. Beliau menjelaskan bahawa koleksi tersebut dikumpulkan oleh Syeikh Ulama Tok Ku Tuan Besar Paduka Indera Engku Syed Seri Perdana Engku Muhammad, penasihat utama Sultan Omar, sebelum diwarisi oleh keturunannya dan diserahkan kepada Arkib Negara Malaysia pada tahun 1992. "Surat-surat asal telah disumbangkan oleh waris Engku Pengiran Anum, iaitu Engku Wook dan Engku Mohsein. "Koleksi ini mencakupi jangka masa dari tahun 1839 hingga 1893," jelasnya. Menurutnya, dokumen berharga ini terlebih dahulu diiktiraf sebagai Warisan Kebangsaan oleh Jabatan Warisan Negara pada 30 September 2010, sebelum menerima pengiktirafan peringkat serantau sebagai dokumen warisan dunia oleh UNESCO di bawah Memory of the World Committee for Asia and the Pacific (MOWCAP) pada 8 Mei 2024. Beliau turut memuji peranan Arkib Negara Malaysia yang telah melaksanakan pemuliharaan dan pendigitalan surat-surat asal bagi memastikan warisan ini terus hidup dalam simpanan negara. "Arkib Negara Malaysia telah menyimpan surat-surat ini dalam bilik khas di repositori Kuala Lumpur. "Dan kini proses pendigitalan telah pun disempurnakan," tambah beliau. Saraswathy menekankan keupayaan pemerintahan Baginda Omar yang berjaya menjalin hubungan diplomatik dengan kuasa luar seperti Riau-Lingga, Siam dan British serta memperkukuh institusi agama Islam di negeri ini. "Baginda berjaya meningkatkan perdagangan dan pentadbiran negeri serta mengekalkan hubungan dengan Kerajaan Rattanakosin di Thailand. "Baginda juga melantik imam-imam dari Riau untuk memperkukuh ajaran Islam di negeri ini," ujarnya. Beliau optimis lebih banyak dokumen warisan akan diangkat ke peringkat dunia menerusi usaha gigih Arkib Negara Malaysia. "Saya percaya banyak lagi dokumen sejarah yang sedang dalam proses untuk diiktiraf di peringkat serantau dan global. "Usaha ini perlu diberi sokongan penuh oleh seluruh rakyat," tegasnya.  
26 Jun 25
816
163 Pelajar Cemerlang SPM, STAM 2024 Terima Pengiktirafan
163 Pelajar Cemerlang SPM, STAM 2024 Terima Pengiktirafan
KUALA NERUS, 25 Jun - Seramai 163 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2024 diraikan dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Peringkat DUN Tepoh 2024 yang diadakan di Dewan Utama, Ar-Riyadah Residence, Majlis Sukan Negeri Terengganu semalam.  Majlis anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Tepoh ini bertujuan meraikan dan memberi penghargaan atas kejayaan mendapat keputusan cemerlang dalam SPM dan STAM.  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim menyempurnakan majlis dengan menyampaikan sijil penghargaan, wang tunai, plak dan hadiah iringan kepada semua pelajar yang diraikan. Beliau turut merakamkan penghargaan atas usaha gigih para pelajar, sokongan ibu bapa serta dedikasi para pendidik dalam membentuk generasi berilmu dan berakhlak mulia. “Kejayaan ini bukan noktah terakhir, tetapi permulaan kepada perjalanan yang lebih mencabar. Insya-Allah, mereka akan melangkah ke peringkat lebih tinggi, sama ada dalam bidang akademik, teknikal mahupun pengajian agama. “DUN Tepoh akan terus menyokong usaha untuk melahirkan modal insan berkualiti yang menjadi aset penting negeri dan negara,” ujarnya ketika berucap dalam majlis tersebut. Majlis turut diserikan dengan kehadiran Faridah Yahya yang mewakili Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Nerus serta Penghulu Mukim Wakaf Tembesu, Muhammad Naim Jasmi. Salah seorang pelajar cemerlang, Mohd Hafizuddin Mohd Madhan dari Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin turut menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas penghargaan yang diberikan oleh pihak DUN Tepoh. Pelajar yang memperoleh 10 Mumtaz dalam Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2024 itu berkata, inisiatif seumpama ini menjadi pembakar semangat buat dirinya dan rakan-rakan untuk terus melangkah lebih jauh dalam bidang ilmu. “Saya amat berterima kasih kepada semua pihak terutamanya YB ADUN, guru-guru dan ibu bapa atas sokongan berterusan. Ini bukan sahaja satu pengiktirafan, tetapi satu motivasi untuk saya terus berjaya,” ujarnya.  
26 Jun 25
53
Sultan Mizan Berkenan Isytihar Surat Baginda Omar Sebagai Warisan Dunia
Sultan Mizan Berkenan Isytihar Surat Baginda Omar Sebagai Warisan Dunia
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, berkenan mencemar duli berangkat mengisytiharkan Koleksi Surat Persendirian Baginda Omar sebagai dokumen warisan dunia di bawah Program Memory of the World Committee for Asia and the Pacific (MOWCAP), satu pengiktirafan tertinggi daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
26 Jun 25
47
“Dulu Menyewa, Sekarang Miliki Rumah Sendiri” – Luahan Syukur Penjual Sayur
“Dulu Menyewa, Sekarang Miliki Rumah Sendiri” – Luahan Syukur Penjual Sayur
 "Tiga kali temuduga, enam tahun menunggu, akhirnya rezeki Allah bagi juga," itu luahan penuh syukur wanita yang mahu dikenali sebagai Nora, 33, seorang penjual sayur yang bersama suaminya Mohd Zubir Ngah, 35.
25 Jun 25
48
Mahasiswa Teruja Impak ECE 2025, Sokong Terengganu Teroka Hasil baharu
Mahasiswa Teruja Impak ECE 2025, Sokong Terengganu Teroka Hasil baharu
KUALA TERENGGANU, 25 Jun – Persidangan East Coast Energy (ECE) 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, di sini ternyata memberi impak besar kepada mahasiswa dan mahasiswi Terengganu. Ia susulan Terengganu kini berada di landasan tepat untuk muncul sebagai negeri peneraju dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui negara. Rata-rata pelajar yang ditemui pada hari kedua penganjuran persidangan yang menghimpunkan lebih 1,000 perwakilan termasuk pembuat dasar, pemimpin industri tenaga, pelabur dan inovator dari dalam dan luar negara itu amat berpuas hati dengan apa yang ditawarkan pada persidangan berkenaan. Pelajar tahun akhir Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Zakwan M. Fadhli yang mengikuti Program Pemimpin Muda sempena persidangan tersebut berkata, ECE 2025 membuka ruang dan peluang kepada mereka untuk lebih memahami tentang industri tenaga di Pantai Timur. “Program ini sangat bagus untuk pelajar, selain didedahkan dengan pelbagai ilmu tentang teknologi baru ia turut memberi kami maklumat yang lebih mendalam tentang keperluan industri untuk menghadapi dunia pekerjaan selepas ini,” ujarnya kepada pemberita. Dalam pada itu, beliau turut menyokong ucapan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sempena majlis perasmian program berkenaan yang ada menyatakan bahawa Terengganu tidak perlu mengharapkan seratus peratus kepada sumber petroleum. “Sebaliknya perlu menjana pendapatan baharu bagi menyaksikan negeri kita muncul sebagai peneraju dalam transformasi tenaga bersih berasaskan inovasi, daya tahan dan pemerkasaan serantau,” ujarnya. Malah katanya, Terengganu mempunyai potensi yang cukup besar untuk melangkah lebih jauh sebagai peneraju utama dalam pembangunan sumber tenaga hijau negara. “Contoh terbaik yang Petronas sedang hasilkan sekarang ini iaitu teknologi hidrogen. “Justeru, dengan adanya sumber tenaga baharu ia memberi harapan kepada negeri kita untuk lebih maju tanpa bergantung kepada hasil petroleum,” ujarnya. Sementara itu rakannya, Nurul Alya Farhana Nasruddin dan Nurul Hidayah Ekasah turut menyokong pandangan Zakwan. Katanya, selain industri tenaga, persidangan berkenaan turut mendedahkan mereka dengan Teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin popular. “Bagi kami, sebagai pelajar kita wajar dikuasai AI kerana kita boleh mengaplikasikannya semasa belajar malah boleh menjadikan bidang tersebut sebagai haluan kerjaya,” ujarnya.
25 Jun 25
313