Artikel "Semasa" Terkini
Sultan Mizan Berkenan Isytihar Surat Baginda Omar Sebagai Warisan Dunia
KUALA NERUS, 25 Jun – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, berkenan mencemar duli berangkat mengisytiharkan Koleksi Surat Persendirian Baginda Omar sebagai dokumen warisan dunia di bawah Program Memory of the World Committee for Asia and the Pacific (MOWCAP), satu pengiktirafan tertinggi daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Majlis bersejarah itu turut dirasmikan sendiri oleh baginda, menzahirkan komitmen tinggi institusi diraja dalam memelihara khazanah warisan negara.
Dalam titahnya, Sultan Mizan menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai bukti bahawa koleksi warisan yang dikumpulkan sejak abad ke-19 merupakan aset sejarah bangsa yang bernilai tinggi di mata dunia.
"Beta dengan sukacitanya mengisytiharkan bahawa koleksi surat persendirian Baginda Omar secara rasminya telah diiktiraf sebagai dokumen warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
"Dan merasmikan Seminar Warisan Asia Pasifik Surat Persendirian Baginda Omar anjuran Arkib Negara Malaysia dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT)," titah baginda.
Pengisytiharan itu dimasyhurkan secara rasmi dalam Majlis Peristiharan dan Seminar Warisan Asia Pasifik Surat Persendirian Baginda Omar, yang berlangsung penuh adat istiadat di Dewan Sultan Mizan, UMT, di sini semalam.
Terdahulu, keberangkatan tiba baginda disambut penuh istiadat oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Saraswathy Kandami, dan Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Dato’ Jaafar Sidek Abdul Rahman.
Turut mengiringi baginda ialah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail, serta paduka-paduka anakanda.
Koleksi bersejarah yang terdiri daripada 56 naskhah surat persendirian Sultan Omar, pemerintah ke-9 Terengganu dari tahun 1839 hingga 1876, telah terlebih dahulu diiktiraf sebagai Warisan Kebangsaan oleh Jabatan Warisan Negara pada 30 September 2010.
Pengiktirafan antarabangsa oleh UNESCO ini bukan sahaja mengangkat martabat sejarah dan intelektual Terengganu, malah menjadi lambang keunggulan warisan ilmu, pentadbiran dan diplomasi Melayu yang terdokumentasi dengan penuh ketelitian sejak lebih satu abad lalu.
25 Jun 25
301
ECE 2025 : Tiga MoU Dimeterai
Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (PBKSB), anak syarikat Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) menjalin kerjasama dengan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) bagi penyelesaian gudang berpusat.
25 Jun 25
49
Impian Tercapai, 142 Keluarga Termasuk OKU Terima Rumah
Seramai 142 buah keluarga bertuah menerima kunci pemilikan bagi projek Rumah Pangsa Mampu Milik Tok Jembal Sejahtera yang telah dibangunkan di Kampung Tok Jembal, daerah Kuala Nerus.
25 Jun 25
20
Sultan Mizan Berkenan Berangkat Ke Majlis Santapan Malam Diraja ECE 2025
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli menghadiri Majlis Santapan Malam Diraja Sempena East Coast Energy (ECE) 2025 bertempat di Primula Beach Resort.
25 Jun 25
36
Labuh 12 Tukun Konservasi, Pujuk Ikan 'Berkampung' Di Terengganu
Sebanyak 12 tukun konservasi dilabuhkan di perairan Taman Laut Pulau Redang, hari ini sebagai usaha memperkaya pembiakan ikan dan hidupan laut.
25 Jun 25
24
“Dulu Menyewa, Sekarang Miliki Rumah Sendiri” – Luahan Syukur Penjual Sayur
KUALA NERUS, 25 Jun – "Tiga kali temuduga, enam tahun menunggu, akhirnya rezeki Allah bagi juga," itu luahan penuh syukur wanita yang mahu dikenali sebagai Nora, 33, seorang penjual sayur yang bersama suaminya Mohd Zubir Ngah, 35.
Impian mereka untuk memiliki rumah pertama akhirnya ternokhtah selepas menerima inisiatif Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) Tok Jembal Sejahtera di bawah Kerajaan Negeri Terengganu.
Bagi pasangan ini, rumah bukan hanya tempat berteduh namun ia hadiah paling bermakna selepas bertahun menabung mimpi.
“Abang (suami) dah tiga kali temuduga, masa bujang, masa awal kahwin, sekarang ni, lepas enam tahun kahwin, baru dapat. Syukur sangat,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman dengan senyuman yang menahan sebak semalam.
Pasangan ini menjalankan perniagaan kecil-kecilan menjual sayur di pasar pagi Bukit Besar, warisan tapak niaga ibunya yang kini menjadi punca rezeki mereka.
Kini mereka perlu keluar rumah lebih awal setiap hari kerana jarak dari Tok Jembal ke tapak niaga agak jauh berbanding dahulu ketika tinggal di Panji Alam.
Namun, kata Nora, semua itu tidak menjadi masalah apabila dibandingkan dengan rezeki besar yang Allah kurniakan.
“Dulu sewa RM600 di Bukit Tunggal. Sekarang cuma RM320 (bayaran sewa beli) sekali dengan kos ‘maintenance’.
“Banyak sangat dapat jimat. Tak sangka, rezeki besar macam ni datang pada kami juga,” jelasnya.
Bagi seorang lagi penerima, Mohd Hasbullah Halmi, 37, detik menerima kunci rumah ibarat menyambut kelahiran harapan baru dalam hidupnya.
“Sejak pecah tanah lagi saya mohon. Enam tahun tunggu. Akhirnya hari ni Allah izinkan saya genggam kunci rumah sendiri.
“Terima kasih Kerajaan Terengganu. Ramai mohon, bukan senang nak dapat. Tapi hari ini, saya tahu, setiap doa itu akhirnya akan sampai,” katanya yang berkali-kali mengulang ucapan syukur.
Terdahulu Kerajaan Negeri memaklumkan, sebanyak 160 unit rumah pangsa dibina di atas tanah seluas 4.2 ekar di Kampung Tok Jembal.
Seramai 142 penerima sudah menerima kunci, dan 12 lagi akan menyusul tidak lama lagi.
Dengan harga bersubsidi RM80,000 (harga asal RM150,000), pemilik hanya perlu membayar serendah RM221.10 sebulan, dengan RM100 bayaran penyelenggaraan.
Rumah berkeluasan 801.48 kaki persegi itu dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air, tempat letak kereta berbumbung, dewan serbaguna dan taman permainan sebuah pakej sempurna buat keluarga yang baru bermula. Di sebalik tekanan kos sara hidup yang semakin mencengkam rakyat, program RPMM benar-benar membantu mereka yang memerlukan.
25 Jun 25
212
Impian Tercapai, 142 Keluarga Termasuk OKU Terima Rumah
KUALA NERUS, 24 Jun - Seramai 142 buah keluarga bertuah menerima kunci pemilikan bagi projek Rumah Pangsa Mampu Milik Tok Jembal Sejahtera yang telah dibangunkan di Kampung Tok Jembal, daerah Kuala Nerus.
Mewakili Menteri Besar, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kerajaan negeri sentiasa cakna akan keperluan rakyat, khususnya dalam aspek penyediaan kediaman yang selesa, berkualiti dan mampu dimiliki oleh semua golongan terutamanya mereka yang berpendapatan rendah.
"Usaha ini dilaksakan dengan penuh iltizam walaupun berdepan dengan cabaran ekonomi dan kos pembinaan. Walaupun tekanan ekonomi global memberi kesan kepada industri pembinaan, kerajaan negeri tetap komited dalam menyediakan rumah yang selesa dan patuh syariah.
"Hari ini kita menyaksikan hasil usaha itu melalui pembinaan sebanyak 160 unit rumah pangsa mampu milik (RPMM) Tok Jembal Sejahtera di atas tapak seluas 4.20 ekar yang diperuntukkan khas untuk penduduk di Kuala Nerus dan sekitarnya.
"Projek perumahan ini merupakan cerminan keprihatinan dan keutamaan kerajaan dalam kesejahteraan rakyat dengan pemilikan rumah sendiri", katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Penyerahan Kunci RPMM Tok Jembal Sejahtera bertempat di Dewan Serbaguna Tok Jembal, pagi tadi.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Dato' Wan Adnan Wan Derahman; Ahli Dewan Undangan (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat; ADUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail serta ADUN Kuala Nerus, Dato' Dr. Alias Razak.
Bertemakan 'Rumah Selesa, Rakyat Sejahtera', Wan Sukairi berkata, projek yang telah menelan perbelanjaan sebanyak RM27.9 juta itu memuatkan lima blok bangunan bertingkat empat dengan keluasan selesa 801.48 kaki persegi bagi setiap unit rumah.
"Setiap rumah dilengkapi dengan tiga bilik tidur, dua bilik air serta satu tempat letak kereta berbumbung.
"Perumahan ini turut menyediakan kemudahan sokongan bagi memastikan keselesaan dan keharmonian komuniti setempat termasuklah enam unit gerai niaga, sebuah taska, sebuah tadika, surau, bilik pengurusan jenazah, taman permainan kanak-kanak, gelanggang badminton serta sebuah dewan terbuka bagi kegunaan bersama," katanya.
Tambah beliau, sebuah pejabat pengurusan juga telah disediakan bagi memastikan pengurusan penyelenggaraan fasiliti di kawasan perumahan baharu itu berjalan dengan lancar yang turut bertujuan untuk menjamin keselamatan penduduk.
Namun begitu jelasnya, untuk memastikan setiap keperluan dan penyelenggaraan yang perlu dilakukan secara berkala dapat dijalankan dengan sempurna, beliau berpesan kepada bakal penghuni RPMM tersebut untuk memainkan peranan masing-masing dengan baik.
"Saya mewakili kerajaan negeri ingin menyeru kepada semua penerima agar menjaga amanah ini sebaik mungkin, laksanakan tanggungjawab dengan memebuat bayaran bulanan secara berdisiplin.
"Insya-Allah jawatankuasa yang menjaga kawasan perumahan ini akan dibentuk dan akan ada bayaran bulanan yang pemilik-pemilik perlu bayar dengan harga yang paling minima demi untuk jaga kebersihan, keharmonian dan keselamatan yang ada dalam kawasan kejiranan kita semua ini," pesannya.
24 Jun 25
368
Tuba, Renjatan Elektrik Gugat Ekosistem Sungai
HULU TERENGGANU, 24 Jun – Sungai-sungai di Terengganu terus berdepan kerosakan ekosistem akibat kegiatan haram seperti menuba ikan dan penggunaan renjatan elektrik, meskipun data terkini menunjukkan insiden ini semakin berkurang hasil peningkatan kesedaran masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, kegiatan menuba yang menggunakan akar tuba (Derris elliptica) serta teknik kejutan arus elektrik masih berlaku dan memberi kesan langsung kepada sumber akuatik negeri.
"Aktiviti tuba ikan, yang menggunakan akar tuba dan renjatan elektrik pada ikan masih ada.
"Tapi pada akhir-akhir ini, mengikut data yang kita perolehi, angka itu sudah menurun," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Program Pelepasan benih ikan , penyerahan bantuan peralatan dan insentif input akuakultur serta pelancaran kajian penandaan peralatan menangkap ikan nelayan darat bertempat di Sungai Terengganu, Kampung Temir, di sini baru-baru ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Perikanan (DOF) Negeri Terengganu, Pang Nyukang; Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Terengganu, Dr. Sukati Sakka; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail.
Menurut beliau, pelaku kegiatan ini bukan hanya penduduk tempatan, malah terdapat laporan bahawa ia turut dipelopori oleh warga asing yang bekerja dalam pelbagai sektor dan menggunakan masa lapang mereka dengan cara merosakkan sumber.
"Kita dapat laporan di kampung-kampung, aktiviti terlarang ini dipelopori oleh warga asing.
"Pekerja asing yang datang bekerja di sini, antara kegiatan masa lapang dia ialah menangkap ikan dengan cara melanggar kaedah dan merosakkan sumber," jelasnya.
Azman menyeru agar masyarakat menjadi barisan hadapan dalam memantau sungai dan segera melaporkan sebarang aktiviti haram demi menyelamatkan ekosistem air negeri.
"Kalau di laut, biar kita rasa laut itu milik kita, kalau di sungai, biar kita rasa sungai itu sungai kita.
"Cubalah jadi mata dan telinga untuk kita peka kepada kegiatan yang guna kaedah tangkapan yang merosakkan sumber seperti tuba, bom atau renjatan elektrik," tambahnya.
Beliau menegaskan, dengan lebih 1,000 batang sungai dan perairan seluas 87,000 meter persegi, adalah mustahil untuk semua kawasan dipantau secara berkesan tanpa penglibatan komuniti setempat.
"Jabatan tentu sekali tidak sempat nak letak kakitangan sepanjang aliran sungai.
"Jadi orang kampunglah yang diminta perhatikan," ujarnya.
Sebagai maklumat tambahan, menurut Akta Perikanan 1985 dan Kaedah-Kaedah Perikanan Darat Terengganu 1988 (Pindaan 1993), penggunaan racun, bom atau arus elektrik dalam penangkapan ikan adalah dilarang sepenuhnya kerana boleh menyebabkan kepupusan spesies akuatik.
Individu yang didapati bersalah boleh dikompaun sehingga RM500, didenda tidak lebih RM1,000 atau dipenjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali.
Sebarang maklumat boleh disalurkan terus kepada polis, pejabat perikanan berhampiran, atau hotline Fishcom di 03-88885019 / 03-88704058.
24 Jun 25
47
Terengganu Salur RM40,000 Bangun Sistem Tanda Alat Nelayan
HULU TERENGGANU, 24 Jun – Kerajaan Negeri memperuntukkan dana sebanyak RM40,000 bagi melaksanakan kajian penandaan peralatan nelayan darat, langkah proaktif yang dijangka memperkukuh pengurusan sumber dan penguatkuasaan perikanan di perairan darat negeri ini.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Pang Nyukang berkata, kajian tersebut akan menjadi asas penting kepada pembangunan sistem penandaan yang jelas, sah dan tersusun bagi peralatan yang digunakan oleh nelayan darat.
"Kerajaan Negeri Terengganu telah memperuntukkan sebanyak RM40,000.00 pada tahun 2025 untuk melaksanakan kajian penandaan peralatan nelayan darat.
"Kajian ini akan membolehkan jabatan menentukan kaedah penandaan yang menunjukkan pemilikan peralatan yang digunakan oleh nelayan darat," katanya dalam Program Pelepasan benih ikan, penyerahan bantuan peralatan dan insentif input akuakultur serta pelancaran kajian penandaan peralatan menangkap ikan nelayan darat bertempat di Sungai Terengganu, Kampung Temir, Hulu Terengganu, baru-baru ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim; Pengarah Pertanian Negeri, Dr. Sukati Sakka; dan ADUN Telemong, Mohd Zawawi Ismail.
Menurut beliau, kajian itu melibatkan 20 orang nelayan di dua lokasi utama iaitu Sungai Dungun dan Tasik Kenyir, dengan setiap kawasan melibatkan 10 orang peserta. Antara peralatan yang terlibat ialah pukat tahan, rawai, taut dan jala.
"Kajian ini akan dilaksanakan oleh Institut Penyelidikan Perikanan Kampung Acheh, Perak (FRIKA).
"Ia merangkumi penandaan empat jenis peralatan utama yang digunakan oleh nelayan darat di Terengganu," jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa kajian ini bukan sekadar mencatat data, tetapi bertujuan membangunkan sistem pengurusan perikanan darat yang lebih tersusun serta memperkemas urusan lesen dan penguatkuasaan.
"Objektif kajian adalah membangunkan sistem penandaan yang sesuai untuk peralatan perikanan darat.
"Selain menyatakan hak milik, ia juga membantu dalam kawalan eksploitasi sumber dan memudahkan urusan penguatkuasaan di lapangan," tambah beliau.
Katanya lagi, hasil kajian ini disasarkan untuk membentuk satu sistem rujukan rasmi yang akan mengiktiraf peralatan bertanda milik nelayan tulen, dan menjadi asas kepada sebarang pindaan fi lesen pada masa akan datang.
"Dijangka sekurang-kurangnya nelayan tulen akan mempunyai peralatan yang bertanda rasmi.
"Pihak jabatan juga boleh menjadikan sistem ini sebagai rujukan bagi sebarang pindaan fi lesen peralatan nelayan darat," ujarnya.
24 Jun 25
361
ECE 2025 : Tiga MoU Dimeterai
KUALA TERENGGANU, 24 Jun - Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (PBKSB), anak syarikat Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) menjalin kerjasama dengan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) bagi penyelesaian gudang berpusat.
Memorandum persefahaman (MoU) itu dimeterai sempena Persidangan dan Pameran East Coast Energy (ECE 2025) yang berlangsung di Dewan Konvesyen, Taman Tamandun Islam di sini, hari ini.
Pertukaran MoU tersebut disaksikan Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin yang berkenan merasmikan persidangan berkenaan.
Sementara itu, MoU dalam pembangunan keupayaan tenaga boleh diperbaharui pula ditandatangani antara Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Manakala, Eastern Pacific Marine Services Sdn. Bhd. dan Advantage Marine Services Sdn. Bhd. pula memeterai MoU dalam perkongsian strategik bagi perkhidmatan teknikal marin dan luar pesisir.
ECE 2025 yang berlangsung selama dua hari bermula 23 hingga 24 Jun ini dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu melalui Terengganu Petroleum Council (TPC), dengan kerjasama PETRONAS sebagai Rakan Ilmu, manakala Terengganu Inc. sebagai Rakan Strategik dan EPIC Berhad sebagai Rakan Korporat.
24 Jun 25
226