Artikel "Semasa" Terkini
Nahas Bot : Terengganu Cadang Jabatan Laut Tarik Lesen
Kerajaan negeri akan mencadangkan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak pengusaha industri pelancongan yang mengingkari prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan, khususnya pelancongan maritim.
02 Jul 25
226
10,000 ‘Y Suku’, ‘Y16’ Gegar Litar Gong Badak
Lebih 10,000 pemilik motosikal Yamaha Y15ZR (Y Suku) dan Yamaha Y16ZR (Y16) dari seluruh negara membanjiri Litar Permotoran Gong Badak semalam sempena penganjuran Cara Geng Y Members 2.0 yang berlangsung dengan penuh meriah.
02 Jul 25
48
Gudang Berteknologi Tinggi di KSB Dijangka Beroperasi Tahun Depan
KUALA TERENGGANU, 30 Jun - Sebuah Gudang Berpusat berteknologi tinggi dijangka mula beroperasi di Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB) Sdn Bhd, anak syarikat kepada Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad, menjelang tahun 2026.
Kerjasama strategik bersama Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) melalui Malaysia Petroleum Management (MPM) itu merupakan salah satu daripada tiga memorandum persefahaman (MoU) yang telah dimeterai sempena East Coast Energy (ECE 2025), baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili berkata, perjanjian tersebut bertujuan untuk menubuhkan pusat sehenti di Kemaman bagi menyediakan perkhidmatan logistik menyeluruh untuk operasi huluan.
"Salah satu inisiatif utama ialah pembukaan gudang berpusat perintis di pangkalan bekalan Kemaman yang dijangka memulakan operasi pada tahun 2026.
"Gudang ini akan menggunakan alat digital, aliran kerja yang diseragamkan, dan infrastruktur bersepadu bagi meningkatkan kecekapan rantaian bekalan.
"Kerjasama itu dimeterai melalui memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh Pengurus Besar Kanan Pengurusan Pengeluaran dan Operasi MPM, Handan Ramli dan saya selaku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC," katanya.
Menurut PETRONAS, pendekatan ini dijangka dapat mengurangkan kos penyimpanan inventori, meminimumkan lebihan bahan, serta meningkatkan keterlihatan dalam rantaian bekalan.
Naib Presiden Kanan MPM, Datuk Ir. Bacho Pilong, menyifatkan MoU tersebut sebagai komitmen Malaysia dalam memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelaburan pilihan dalam sektor penerokaan dan pengeluaran (E&P)
"Rantaian bekalan kami yang bersepadu dan mudah diakses menyokong aktiviti E&P di seluruh negara.
"MoU ini menggariskan matlamat kami untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi pertumbuhan, penyeragaman operasi dan penyelesaian berasaskan teknologi dalam rantaian nilai minyak dan gas.
"PETRONAS kekal komited untuk memastikan bekalan tenaga yang optimum dan mampan, dengan MPM memainkan peranan penting dalam mengurus sumber petroleum dan tadbir urus sektor huluan," nyatanya dalam satu kenyataan.
01 Jul 25
383
Pengusaha Tamak, Pelancong Culas Tingkat Risiko Kemalangan
KUALA TERENGGANU, 30 Jun - Pengerusi Jawatankuasa pelancongan, kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, menyifatkan ketamakan pengusaha industri pelancongan marin serta sikap acuh tidak acuh segelintir pelancong menyumbang kepada risiko kemalangan.
Mengambil contoh tragedi di Pulau Perhentian, beliau berkata siasatan awal mendapati bot tersebut mempunyai permit sah dan dikendalikan oleh pengendali berlesen, namun pengusaha didapati melanggar had kapasiti muatan.
"Masalah sebenarnya jangka masa bisnes dia pendek. Bisnes dia untuk (pelancongan marin) Terengganu ini dulu berjangka 6 bulan. Sekarang ini apabila perubahan iklim, dia datang angin serta merta. Hujan diluar monsun timur laut.
"Jadi bisnes dia hanya 4 bulan sahaja. Maka semasa pengunjung sedang ramai, dia berusaha secara bersungguh-sungguh. Dalam masa yang sama, jenis tamak pun ada. Dia boleh isi 12 sahaja tapi dia isi sampai 15 (penumpang).
"Selepas itu, harga tiket yang sepatutnya RM45, dia kurangkan harga bagi jadi RM10, RM15 atau RM20 untuk menambah bilangan penumpang. Ini yang saya maksudkan dengan pengusaha bot yang tamak," katanya.
Jelas beliau, mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan, setiap lesen yang dikeluarkan oleh Jabatan Laut adalah mengikut saiz vesel laut digunakan pengusaha.
"Kalau awak nak muat banyak, ramai orang, ambiklah lesen yang lebih daripada 12 orang. Mengikut saiz bot awak itu," nasihatnya ringkas, ditujukan kepada pengusaha yang masih mengambil remeh akan hal tersebut.
Dalam senario lain, Razali turut menegur sikap segelintir pelancong yang memandang mudah kepada peraturan keselamatan, khususnya dalam pemakaian jaket keselamatan ketika berada di dalam bot.
"Pelancong culas nak pakai jaket keselamatan apabila berada didalam bot. Ini yang terserempak dengan saya, dia hanya pakai masa nak naik bot selepas itu bila di laut dia tidak pakai.
"Sedangkan di bot itu sudah tertulis diwajibkan pakai jaket kelamatan, pakai sehingga turun daripada bot. Itu yang sukar untuk kita nak bendung kecuali melalui penguatkuasaan," ujarnya.
Namun, Razali menegaskan bahawa kerajaan negeri hanya berperanan sebagai pembimbing dalam sektor pelancongan, manakala kuasa penguatkuasaan terletak pada agensi persekutuan seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Laut dan Taman Laut.
"Jadi kalau ketiga-tiga agensi ini bekerjasama dengan baik saya yakin dan percaya ia boleh dibendung," nyatanya kepada pemberita dalam sidang media bertempat di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Sebagai langkah pencegahan lain, beliau mencadangkan agar setiap pengusaha bot mewajibkan taklimat keselamatan ringkas kepada penumpang seperti amalan dalam kapal terbang.
Menurutnya, pengusaha boleh memaklumkan kapasiti bot, destinasi, cuaca semasa dan pemakaian jaket keselamatan kepada penumpang vesel dan beliau yakin dengan pelaksanaan yang betul ia mampu menyelamatkan nyawa.
"Tak lama pun, tiga minit sahaja tak sampai lima minit. Ada sebahagiannya buat. Ini adalah hasil daripada libat urus pihak pelancongan. Dalam masa yang sama, ada juga yang tidak buat," jelasnya.
Tambahnya lagi, program libat urus tahunan bersama pengusaha bot, penguatkuasa, dan agensi berkaitan akan diteruskan bagi memperkukuh keselamatan pelancong.
Dalam pada itu, kerajaan negeri juga akan terus menggalakkan kehadiran pelancong ke pulau-pulau di Terengganu, namun aspek keselamatan akan menjadi keutamaan.
30 Jun 25
279
Nahas Bot : Terengganu Cadang Jabatan Laut Tarik Lesen
KUALA TERENGGANU, 30 Jun - Kerajaan negeri akan mencadangkan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak pengusaha industri pelancongan yang mengingkari prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan, khususnya pelancongan maritim.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, cadangan tersebut disuarakan susulan daripada tragedi bot pelancongan terbalik di laut akibat dipukul ombak dalam perjalanan dari Pulau Perhentian Kecil ke Pulau Perhentian Besar, pada Sabtu.
"Mana-mana pengusaha, sama ada pengusaha bot atau chalet yang mempunyai bot berlesen dan berlaku kemalangan serta 'pilot' (tekong bot) terkait dengan bahan-bahan terlarang maka kita (kerajaan negeri) akan cadang kepada Jabatan Laut supaya Jabatan Laut tarik balik lesen tersebut.
"Dalam kes ini, yang lesen (pengusaha) bot kita cadang kepada Jabatan Laut supaya menggantung atau menarik lesen itu. Dan untuk masa yang akan datang pun kita akan buat SOP macam itu.
"Jadi apabila terkait sahaja dengan barang terlarang kita akan 'ban', dan insya-Allah kita akan berbincang dengan Jabatan Laut untuk menarik balik atau menggantung lesen dia dan individu (tekong bot) itu kita akan serah kepada polislah," katanya.
Razali berkata demikian kepada pemberita dalam satu sesi sidang media di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut, Razali memaklumkan bahawa pihaknya berjaya mengenalpasti kesalahan lain yang telah dilanggar oleh pengusaha dan tekong terbabit ketika menjalankan servis walaupun telah mendapat permit dan mempunyai vesel laut berlesen.
"Seperti saya difahamkan, penumpang dia 15 orang. Melebihi had. Sepatutnya bot dia itu 10 orang penumpang sahaja dan satu 'pilot' dan satu 'co-pilot'.
"Dia juga langgar peraturan lain, dia langgar peraturan tidak memakai jaket keselamatan dan keluar pada waktu malam.
"Dia tidak ada permit untuk keluar malam sebenarnya, keluar malam ini ada permit kalau dia mohon dengan Jabatan Laut dan ada syarat-syarat tertentu, tapi dia tidak mohon dan dia (didapati) guna bahan terlarang," ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan tragedi bot karam di Pulau Perhentian yang membawa 15 penumpang telah mengorbankan tiga penumpang di tempat kejadian termasuk dua kanak-kanak.
Manakala, seorang kanak-kanak berumur enam tahun dalam keadaan kritikal kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Dalam perkembangan sama, pemandu bot dalam kejadian itu, direman tiga hari bermula hari ini.
Suspek, 22, yang dibawa ke Mahkamah Majistret Setiu direman sehingga Rabu atas kesalahan berkaitan dadah.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Nurliyana Md Zukri mengikut Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1957.
30 Jun 25
374
UMT Rintis Kaedah Adaptasi Hakisan Pantai
KUALA NERUS, 30 Jun – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus memperkukuh peranannya dalam menangani isu geobencana pantai melalui penganjuran Seminar dan Townhall Geobencana Pantai: Adaptasi dan Mitigasi Terhadap Impak Hakisan Pantai dan Perubahan Iklim yang berlangsung di Auditorium Mahyuddin, UMT di sini, hari ini.
Seminar yang mendapat kerjasama strategik PLANMalaysia itu memberi fokus terhadap usaha menangani masalah hakisan pantai yang semakin membimbangkan terutama di kawasan Pantai Timur.
Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim dalam ucapan perasmiannya menegaskan bahawa UMT telah lama memainkan peranan sebagai pusat kecemerlangan dalam bidang sains marin, perikanan, pengurusan pesisir dan perubahan iklim.
“Dengan kedudukan strategik UMT di persisiran pantai, kami bukan sahaja menjadi saksi kepada kesan hakisan, malah menjadikan isu ini medan utama penyelidikan serta inovasi penyelesaian.
"Kami melaksanakan kajian meliputi pemetaan risiko hakisan, penggunaan teknologi mitigasi seperti living shoreline serta penerapan adaptasi komuniti terhadap perubahan iklim," ujarnya.
Mengulas lanjut katanya, antara pendekatan strategik yang diketengahkan UMT termasuklah Perancangan Ruang Laut (MSP) yang berasaskan sains bagi menyeimbangkan antara perlindungan alam sekitar marin, pembangunan ekonomi biru dan kesejahteraan sosial.
"Pendekatan itu dianggap pelengkap kepada perancangan fizikal darat dan sangat penting dalam konteks pembangunan mampan negara maritim seperti Malaysia.
"Fenomena hakisan pantai bukan sekadar isu alam sekitar, malah memberi kesan langsung kepada komuniti nelayan tradisional yang kehilangan kawasan pendaratan bot, tempat tinggal dan sumber pendapatan akibat perubahan garis pantai yang semakin mengecil," ujar beliau.
Katanya, gelombang besar dan peningkatan aras laut turut menjejaskan ekosistem pesisir seperti hutan paya bakau yang menjadi benteng semula jadi dan habitat penting perikanan.
"UMT melalui kerjasama dengan pelbagai agensi seperti PLANMalaysia turut menyumbang kepada penggubalan dasar dan pelan tindakan holistik yang menyokong matlamat pembangunan lestari (SDG) dan Ekonomi Biru negara.
"Usaha ini diterjemahkan melalui Rancangan Fizikal Zon Persisiran Pantai Negara yang kini mula mengambil kira aspek marin secara menyeluruh dalam perancangan negara," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan harapan agar seminar berkenaan bukan sekadar menjadi medan perbincangan tetapi menjadi pemangkin kepada tindakan bersepadu dan lestari dalam menangani isu hakisan yang semakin mendesak akibat perubahan iklim.
“Sinergi antara penyelidik, pembuat dasar dan komuniti perlu diperkukuh bagi melahirkan solusi sebenar kepada cabaran ini," ujarnya.
30 Jun 25
161
Jabatan Mufti, MAIDAM Perkukuh Kefahaman Ilmu Falak
KUALA TERENGGANU, 30 Jun- Jabatan Mufti Negeri Terengganu dengan kerjasama Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menganjurkan Program Bulan Falak Malaysia Peringkat Negeri Terengganu bagi memperkukuhkan kefahaman ilmu falak di kalangan umat Islam khususnya di negeri ini.
Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), M Rozi Bidin berkata, program sebegini merupakan platform terbaik untuk memberi pendedahan kepada masyarakat tentang perkembangan dalam ilmu falak.
“Contohnya mengenai penggunaan teknologi moden, kaedah cerapan, arah kiblat dan pelbagai lagi aspek penting dalam menyokong ketepatan hukum dan amalan umat Islam.
“Malah panel jemputan dapat menjernihkan dan mencerahkan lagi kefahaman kita terhadap ilmu falak,” ujarnya.
Beliau yang mewakili Yang Dipertua Maidam, Dato’ Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Bulan Falak Malaysia Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Auditorium, Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu di sini, semalam.
Mengulas lanjut, beliau turut merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada pihak penganjur atas usaha yang begitu gigih mengatur program yang amat bertepatan dengan keperluan masa kini.
“Ilmu falak bukan sahaja berkaitan dengan pengiraan waktu solat atau penentuan awal Ramadan dan 1 syawal tetapi ia juga cabang ilmu yang mencerminkan keagungan ciptaan Allah S.W.T.
“Kegemilangan tamadun Islam terdahulu banyak dipandu oleh kehebatan ilmuan falak seperti Ibnu Yunus yang secara tidak langsung membuktikan Islam sangat menekankan kepentingan ilmu dan ketepatan dalam melakukan amal ibadah,” ujarnya.
Justeru, beliau mengharapkan program sebegini akan terus diperkasa dan menjadi contoh kepada negeri-negeri lain dalam memartabatkan ilmu falak sebagai teras kecemerlangan umat Islam.
30 Jun 25
117
Penguatkuasa Agama Pantau Kubur Nurly Elak Amalan Khurafat
KUALA TERENGGANU, 29 Jun – Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) melalui Unit Penguatkuasaan Pejabat Agama Daerah Besut akan melakukan pemantauan berkala bagi memastikan tiada sebarang perbuatan khurafat berlaku di kawasan kubur arwah Nurly Shahirah Azman, mangsa bahas bas pelajar UPSI.
Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan JHEAT, Aizi Saidi Abd Aziz berkata, pemantauan itu adalah sebahagian daripada usaha mengekang sebarang aktiviti yang bercanggah dengan hukum syarak di kawasan tanah perkuburan.
Menurutnya, pihaknya memberi amaran tegas bahawa mana-mana individu yang didapati melakukan perbuatan khurafat akan dikenakan tindakan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001.
“Seksyen 3A – Perbomohan dan Sihir memperuntukkan bahawa mana-mana individu atau pusat rawatan yang melakukan atau menjalankan amalan perbomohan, sihir, atau apa-apa perbuatan bercanggah dengan hukum syarak boleh dikenakan hukuman jika disabitkan kesalahan.
“Hukuman itu meliputi denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial satu hantaran oleh kenalan ahli keluarga mangsa yang dikenali sebagai Ahmad Nazrul, yang meluahkan rasa kecewa dan terkilan apabila segelintir individu mengambil kesempatan melakukan amalan khurafat ketika menziarahi kubur arwah Nurly.
Antara perbuatan yang dikesali termasuk tindakan individu tertentu yang mengambil tanah dari kubur arwah, kononnya untuk membantu menyelesaikan urusan kehidupan mereka.
Dalam satu hantaran berasingan, Ahmad Nazrul memaklumkan bahawa tali penghadang telah dipasang mengelilingi kubur arwah sebagai inisiatif ahli keluarga bagi mengelakkan kawasan tersebut dicemari dengan unsur syirik dan khurafat.
Dalam pada itu, wakil keluarga Allahyarhamah Nurly memaklumkan bahawa mereka hanya menerima kunjungan tetamu dari jam 9 pagi hingga 6 petang setiap hari, dan tidak akan menerima sebarang kunjungan pada 2 hingga 5 Julai atas sebab-sebab tertentu.
29 Jun 25
240
10,000 ‘Y Suku’, ‘Y16’ Gegar Litar Gong Badak
KUALA NERUS, 29 Jun – Lebih 10,000 pemilik motosikal Yamaha Y15ZR (Y Suku) dan Yamaha Y16ZR (Y16) dari seluruh negara membanjiri Litar Permotoran Gong Badak semalam sempena penganjuran Cara Geng Y Members 2.0 yang berlangsung dengan penuh meriah.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, Kerajaan Negeri Terengganu amat mengalu-alukan kehadiran peserta yang datang dari pelbagai negeri untuk menyertai acara komuniti permotoran tersebut.
“Terima kasih atas kehadiran semua pemilik Y Suku dan Y16 ke negeri Terengganu. Semoga segala urusan permusafiran sepanjang berada di sini dipermudahkan oleh Allah SWT,” katanya ketika hadir menyantuni peserta.
Menurut beliau lagi, pihak kerajaan berharap setiap peserta yang hadir menerima layanan baik daripada rakyat Terengganu serta membawa pulang kenangan manis sepanjang berada di negeri ini.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada penganjur kerana berjaya menganjurkan program tersebut untuk kali kedua, serta berharap agar sebarang kelemahan sebelum ini telah diperbaiki.
“Sekiranya Terengganu terus menjadi tuan rumah pada masa akan datang, kita harap penganjuran ini dapat dipertingkatkan lagi dan mampu memberikan pengalaman terbaik kepada semua peserta,” tambahnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian penutup program, turut diserikan dengan hadiah cabutan bertuah utama berupa sebuah kereta jenama Range Rover, lima buah motosikal Y Suku dan Y16, serta pakej melancong ke Turki dan mengerjakan umrah.
Dalam ucapannya, Hishamuddin turut menitipkan nasihat agar para peserta sentiasa menjaga adab, tatasusila dan mematuhi peraturan jalan raya sepanjang perjalanan pulang ke destinasi masing-masing.
“Sepanjang bermusafir, carilah masjid atau surau untuk kita jadikan tempat sujud kepada Allah sebagai tanda kehambaan.
“Mudah-mudahan ia menjadi saksi di hari akhirat bahawa kita pernah singgah ke rumah Allah SWT ketika berada di negeri Terengganu, dan melabuhkan dahi merendah diri kepada-Nya, sebagai tanda kepatuhan kepada Pemilik segala-galanya,” ujarnya.
29 Jun 25
2086
Tiga Pelancong Maut, Satu Kritikal dalam Tragedi Bot Terbalik
BESUT, 29 Jun -Tiga maut manakala satu kritikal dalam tragedi sebuah bot pelancong terbalik akibat ribut kuat dan kepala angin yang melanda.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad @ Abu Bakar berkata insiden yang berlaku di hadapan sebuah resort, kira-kira jam 11 malam.
Katanya, berdasarkan maklumat awal bot berkenaan dinaiki 16 orang termasuk seorang pemandu bot.
"Semua mangsa yang lain selamat dan masih berada di Klinik Kesihatan Pulau Perhentian menunggu bantuan untuk dihantar ke Jeti Kuala Besut,"katanya
29 Jun 25
26