KUALA NERUS, 25 Jun - Seramai 163 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2024 diraikan dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Peringkat DUN Tepoh 2024 yang diadakan di Dewan Utama, Ar-Riyadah Residence, Majlis Sukan Negeri Terengganu semalam.
Majlis anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Tepoh ini bertujuan meraikan dan memberi penghargaan atas kejayaan mendapat keputusan cemerlang dalam SPM dan STAM.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim menyempurnakan majlis dengan menyampaikan sijil penghargaan, wang tunai, plak dan hadiah iringan kepada semua pelajar yang diraikan.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas usaha gigih para pelajar, sokongan ibu bapa serta dedikasi para pendidik dalam membentuk generasi berilmu dan berakhlak mulia.
“Kejayaan ini bukan noktah terakhir, tetapi permulaan kepada perjalanan yang lebih mencabar. Insya-Allah, mereka akan melangkah ke peringkat lebih tinggi, sama ada dalam bidang akademik, teknikal mahupun pengajian agama.
“DUN Tepoh akan terus menyokong usaha untuk melahirkan modal insan berkualiti yang menjadi aset penting negeri dan negara,” ujarnya ketika berucap dalam majlis tersebut.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Faridah Yahya yang mewakili Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Nerus serta Penghulu Mukim Wakaf Tembesu, Muhammad Naim Jasmi.

Salah seorang pelajar cemerlang, Mohd Hafizuddin Mohd Madhan dari Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin turut menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas penghargaan yang diberikan oleh pihak DUN Tepoh.
Pelajar yang memperoleh 10 Mumtaz dalam Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2024 itu berkata, inisiatif seumpama ini menjadi pembakar semangat buat dirinya dan rakan-rakan untuk terus melangkah lebih jauh dalam bidang ilmu.
“Saya amat berterima kasih kepada semua pihak terutamanya YB ADUN, guru-guru dan ibu bapa atas sokongan berterusan. Ini bukan sahaja satu pengiktirafan, tetapi satu motivasi untuk saya terus berjaya,” ujarnya.
