Artikel "Pertanian" Terkini
RM500,000 Naik Taraf Skim Pengairan Padi Paya Paman
KEMAMAN, 15 Oktober – Kerajaan Negeri Terengganu memperuntukkan RM500,000 bagi menaik taraf Skim Pengairan Padi di Paya Paman, Kemaman, sebagai langkah strategik memperkukuh infrastruktur pertanian dan memastikan sistem pengairan berfungsi secara lebih efisien.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim, berkata projek itu menjadi antara fokus utama kerajaan negeri dalam usaha menjamin kelangsungan sektor pertanian serta keterjaminan makanan negeri.
Namun, beliau turut melahirkan kebimbangan serius terhadap peningkatan kawasan tanah padi terbiar, khususnya apabila generasi muda semakin tidak berminat mengusahakan sawah peninggalan keluarga walaupun dilengkapi sistem pengairan dan saliran lengkap.
“Infrastruktur kita boleh cari bajet untuk bina. Namun, kita cukup bimbang dengan situasi tanah padi terbiar apabila generasi muda tidak lagi berminat untuk menguruskan tanah sawah peninggalan orang tua sehingga mewujudkan kawasan sawah terbiar walaupun mempunyai sistem pengairan dan saliran yang lengkap,” katanya dalam satu kenyataan di laman sosial miliknya, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menyeru penduduk Kemaman, khususnya golongan muda, agar kembali aktif dalam aktiviti penanaman padi supaya usaha menaik taraf sistem pengairan ini benar-benar dimanfaatkan.
“Orang Kemaman kena rajin buat padi,” tegasnya.
Dr. Azman turut berharap kemudahan infrastruktur yang lebih baik ini akan menarik semula minat petani termasuk golongan muda untuk mengusahakan tanah sawah, sekali gus meningkatkan pengeluaran hasil padi di daerah tersebut.
Isu penuaan petani dan penyertaan belia yang semakin berkurang dalam sektor pertanian sering dibangkitkan di pelbagai negeri, mendorong kerajaan untuk merangka pendekatan serta insentif baharu bagi menjadikan sektor pertanian lebih menarik, moden dan berdaya saing.
15 Oct 25
44
Terengganu Peruntuk RM430 Ribu Naik Taraf Infrastruktur TKPM Rhu Tapai
SETIU, 14 Oktober – Kerajaan Terengganu memperkukuh usaha memperkasa sektor pertanian negeri dengan memperuntukkan sebanyak RM430 ribu bagi menaik taraf infrastruktur di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Rhu Tapai, Setiu.
Peruntukan itu melibatkan kerja-kerja menaik taraf sistem pengairan, saliran dan jaringan jalan ladang bagi meningkatkan kecekapan pengeluaran hasil pertanian peserta di kawasan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim, berkata inisiatif itu adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri untuk memastikan TKPM terus menjadi nadi pengeluaran makanan dan sumber pendapatan kepada rakyat.
"Semoga para peserta TKPM boleh meningkatkan pengeluaran hasil dengan penambahbaikan yang kita buat kepada jaringan jalan ladang dan sistem pengairan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, TKPM merupakan tanah milik kerajaan Negeri yang diwartakan di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara (KTN) khas untuk tujuan pertanian, penternakan, atau perikanan dengan matlamat utama bagi pengeluaran makanan negara.
Di Terengganu, lebih 2,000 hektar tanah telah diwartakan sebagai TKPM Pertanian termasuklah lokasi-lokasi penting seperti TKPM Palong Jenang Kemaman, TKPM Peradong Manir, TKPM Serating Marang, TKPM Tok Dor Besut dan TKPM Rhu Tapai Setiu.
Selain itu, terdapat kira-kira 4,000 hektar TKPM Penternakan dan sekitar 200 hektar TKPM Perikanan.
Mengulas mengenai konsep TKPM Pertanian, Azman menjelaskan bahawa setiap peserta diberikan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) tanah antara 8 hingga 10 ekar seorang berserta kemudahan infrastruktur.
"Di sinilah mereka membanting tulang mencari rezeki. Kerajaan turut membantu dalam beberapa aspek lain termasuk bantuan teknikal, input dan pemasaran," tambahnya, menegaskan peranan kerajaan dalam menyokong usaha keras peserta TKPM.
Inisiatif naik taraf infrastruktur ini diharap akan memberi impak positif kepada ekonomi peserta TKPM dan seterusnya menyumbang kepada usaha negeri serta negara dalam mencapai tahap keterjaminan makanan yang lebih tinggi.
14 Oct 25
1037
Dua Bot Nelayan Vietnam Ditenggelam Jadi Tukun Tiruan
KUALA TERENGGANU, 14 Oktober – Dua buah bot nelayan asing Vietnam yang dirampas kerana menceroboh dan mencuri hasil laut negara akan dilupuskan dengan kaedah penenggelaman untuk dijadikan tukun tiruan di perairan Pulau Rhu, Besut pada 21 Oktober depan.
Langkah ini merupakan tindakan tegas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu dalam membanteras pencerobohan nelayan asing di samping inisiatif memulihara ekosistem marin negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan Dan Komoditi Negeri Terengganu, Dato’ Dr. Azman Ibrahim, berkata proses penenggelaman bot-bot ini adalah bukti komitmen APMM dan kerajaan negeri dalam mengawal kedaulatan laut serta melindungi khazanah hasil laut negara.
“Dua buah bot nelayan asing Vietnam yang ditahan kerana menceroboh perairan negara kita akan ditenggelamkan sebagai tukun tiruan di Perairan Pulau Rhu Besut pada 21 Oktober 2025,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di media sosial.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada APMM Terengganu yang terus komited mengawal laut Terengganu dari anasir asing yang merosakkan dan mencuri khazanah hasil laut.
Menurut beliau, sebelum dilupuskan, semua enjin dan peralatan bernilai akan ditanggalkan daripada bot tersebut.
Katanya, hanya badan bot sahaja yang akan ditenggelamkan untuk memastikan ia selamat dan sesuai dijadikan habitat baharu hidupan laut.
Pelupusan bot yang dijadikan tukun tiruan dilihat memberikan kesan jangka panjang sebagai struktur sokongan kepada pemuliharaan biodiversiti marin, menjadi tempat perlindungan dan sumber makanan kepada hidupan laut, sekali gus membantu meningkatkan hasil tangkapan nelayan tempatan.
APMM Terengganu sebelum ini telah kerap kali menggunakan kaedah penenggelaman bot nelayan asing yang dilucut hak mahkamah sebagai tukun tiruan di perairan negeri, menandakan keseriusan pihak berkuasa dalam menangani isu pencerobohan perikanan haram.
13 Oct 25
88
Kerajaan Terengganu Tanggung Sehingga RM100,000 Kos Rumah Untuk Nelayan B40
KUALA TERENGGANU, 12 Oktober – Kerajaan Negeri Terengganu menanggung hampir RM100,000 kos pembinaan sebuah rumah bagi Skim Perumahan Penempatan Semula Nelayan (PSN) untuk diberikan kepada golongan nelayan berlesen B40 pada harga subsidi serendah RM54,000.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, kos sebenar pembinaan setiap unit rumah adalah hampir RM150,000.
"Harga kos sebuah rumah adalah hampir RM150,000, tetapi Kerajaan Negeri bersetuju untuk memberikan kepada nelayan yang layak pada harga RM54,000 sahaja. Baki kos pembinaan itu sepenuhnya akan ditanggung oleh kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Projek Khas PSN di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Projek PSN melibatkan kos keseluruhan sekitar RM33 juta, dengan Kerajaan Negeri membiayai kira-kira RM20 juta dan dibantu dana Kerajaan Persekutuan sebanyak RM13 juta.
"Kos keseluruhan ini tidak termasuk nilai tanah yang telah diberikan secara percuma oleh Kerajaan Negeri," tambah beliau.
Menurut Dr Azman, terdapat tiga lokasi PSN yang sedang dibangunkan, iaitu di Pulau Skepeng Kemaman, Benting Lintang Besut, dan Seberang Penarik Setiu.
"Dua projek iaitu PSN Kemaman dan PSN Besut telah siap sepenuhnya. Dalam mesyuarat hari ini, kita telah menerima senarai cadangan peserta daripada kalangan nelayan berlesen B40. Insya-Allah, majlis penyerahan kunci rumah-rumah ini dijadualkan pada awal Disember 2025," jelasnya.
12 Oct 25
3244
'Satu Rumah, Satu Laman Tani'
HULU BESUT, 10 Sept – Pusat Khidmat Masyarakat (ADUN) Hulu Besut hari ini melancarkan projek perintis Laman Tani, tanaman timun batang, sebagai usaha memperkenalkan konsep “Satu Rumah, Satu Laman Tani.”
Majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin yang turut memaklumkan bahawa inisiatif ini adalah bagi menyahut saranan Pengarah USWa Negeri Terengganu, Tuan Roslina Tuan Sulaiman, yang menggalakkan aktiviti bercucuk tanam dilaksanakan di setiap rumah.
Menurut Mohd Husaimi, projek perintis di PKM ini akan diperluas ke seluruh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam DUN Hulu Besut, sebagai langkah memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pertanian kecil-kecilan di halaman rumah.
“Pendekatan ini bukan sahaja dapat menjimatkan kos sara hidup, bahkan memberi manfaat kepada kesihatan, kelestarian alam sekitar serta mengeratkan ukhuwah dalam komuniti,” katanya.
Dalam pada itu,beliau turut menyeru penduduk yang sudah mempunyai laman tani supaya meneruskannya, manakala yang belum bermula disaran mengambil contoh daripada projek ini.
10 Sep 25
993
Masih Ada Lot Kosong TKPM, Kerajaan Negeri Ajak Petani Rebut Peluang
KUALA TERENGGANU, 3 September - Petani dan usahawan tani Terengganu dipelawa merebut peluang menyertai Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) yang masih mempunyai lot kosong untuk diusahakan di beberapa daerah.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim berkata, permohonan boleh dibuat di Pejabat Pertanian Daerah dengan keutamaan diberikan kepada rakyat serta usahawan tempatan.
Dr. Azman (Tengah) di TKPM Rhu Tapai, Setiu
"Semalam bila saya post gambar ladang betik di TKPM Rhu Tapai Setiu, ada beberapa orang yang mesej menyatakan minat untuk turut sama terlibat.
"Kepada petani atau usahawan yang berminat menyertai TKPM boleh membuat permohonan. Ada lagi lot-lot kosong yang sedia untuk diisi oleh pemohon yang layak," katanya dalam satu hantaran Facebook rasminya, hari ini.
Menurut beliau, selain tanaman betik, TKPM turut memberi peluang untuk mengusahakan tanaman makanan yang mempunyai tempoh singkat matang.
"Kalau nak tanam durian perlu mohon tanah kategori lain," jelasnya ringkas.
Berdasarkan maklumat Jabatan Pertanian Negeri Terengganu yang telah dikongsikan oleh Dr. Azman melalui hantaran yang sama, kekosongan lot TKPM ditawarkan di tiga lokasi utama.
Antaranya termasuklah TKPM Rhu Tapai, Setiu (35 lot terbuka); TKPM Paloh Jenang, Kemaman (6 lot terbuka) serta TKPM Tok Dor, Besut dengan tujuh lot terbuka serta 22 lot Struktur Pelindung Hujan (SPH).
Sekiranya berminat, borang permohonan boleh diperoleh di Pejabat Pertanian Daerah terlibat, manakala sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat melalui talian pejabat di Besut (09-6971015), Setiu (09-6097373) dan Kemaman (09-8583195).
Ladang betik Amira di TKPM Rhu Tapai, Setiu yang berkeluasan 10 ekar dan mengandungi kira-kira 5,000 pokok
Terdahulu, Dr. Azman berkongsi kejayaan seorang anak muda tempatan yang mengusahakan ladang betik varieti Amira dengan keluasan 10 ekar di TKPM Rhu Tapai, Setiu yang berkapasiti kira-kira 5,000 pokok.
Jelasnya, betik varieti tersebut mula mengeluarkan hasil pada usia lapan bulan dengan jangka hayat maksimum tiga tahun, manakala harga ladang sekitar RM3 sekilogram.
03 Sep 25
1498
Tukun Tiruan Bukan Hanya 'Rumah Ikan'
Kerajaan Terengganu dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melabuhkan sebanyak 18 Tukun Tiruan Kuboid Juvenil Penghalang Pukat Tunda (rekreasi) di perairan Jambu Bongkok, Marang.
19 Aug 25
40
Tujuh Bot Peronda Baharu Tingkat Kawalan Perairan Negara
Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menyerahkan tujuh bot peronda khusus untuk penguatkuasaan konservasi sumber perikanan negara.
19 Aug 25
25
Jadikan Pertanian Agenda Nasional
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos - Ahli Parlimen Kemaman, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan menjadikan sektor pertanian sebagai identiti teras Malaysia yang perlu diberikan tumpuan sepenuhnya dan diangkat sebagai agenda nasional.
Katanya, perkara itu penting untuk diberikan perhatian selain menjadikan 'mega-trend' lain terkini di peringkat global seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan kemajuan teknologi sebagai fokus pembangunan jangka panjang.
"Lihatlah agenda nasional yang pernah kita berikan tumpuan suatu ketika dahulu, ke mana kesan dan hasilnya masa kini?.
"Adakah ia menjadi pemacu ekonomi negara kita atau ia sekadar trend semasa yang dijadikan tumpuan sehingga kita terlepas fokus yang sepatutnya,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan Perbahasan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13), di Dewan Rakyat, semalam.
12 Aug 25
52
RMK-13 Tidak Seiring Realiti Pertanian Terengganu
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos – Sasaran pertumbuhan sektor pertanian Terengganu hanya 1.1 peratus dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) disifatkan terlalu rendah dan bercanggah dengan pengumuman besar Kerajaan Persekutuan yang mahu menjadikan negeri itu hab pembangunan ekonomi biru dan hab pengeluaran makanan negara.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim, berkata sasaran itu tidak selari dengan potensi sebenar sektor berkenaan.
"Gema besar tapi sasaran kecil. Agak menghairankan mengenai sasaran dan perancangan di dalam RMK-13 bagi sektor pertanian Terengganu," katanya kepada pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).
Beliau menjelaskan, pengumuman Perdana Menteri di Parlimen berkaitan projek mega itu bercanggah dengan angka sasaran yang terlalu sederhana.
"Ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pembangunan hab ekonomi biru dan pewujudan hab pengeluaran makanan negara melibatkan Negeri Terengganu, purata kadar pertumbuhan tahunan bagi KDNK sektor pertanian negeri ini disasarkan hanya 1.1 peratus.
"Sedangkan pertumbuhan KDNK pertanian Terengganu bagi tahun 2023 ialah 7.4 peratus," jelasnya.
Menurutnya, subsektor perikanan dan akuakultur merupakan nadi ekonomi rakyat, di samping subsektor tanaman dan penternakan yang semakin berkembang pesat.
"Subsektor perikanan dan subsektor akuakultur adalah merupakan salah satu industri strategik bagi ekonomi rakyat Terengganu.
"Subsektor tanaman dan subsektor penternakan Terengganu juga telah menunjukkan pertumbuhan yang semakin signifikan kebelakangan ini," tambah beliau.
Azman turut memetik dapatan Banci Pertanian 2024 yang meletakkan Terengganu sebagai negeri dengan pegangan ternakan dan pertanian tertinggi di Malaysia.
"Sebagaimana dapatan dalam Banci Pertanian 2024, Terengganu mempunyai jumlah pegangan ternakan dan pertanian tertinggi dalam negara.
"Kerana itulah, Kerajaan Negeri menyasarkan sektor pertanian Terengganu untuk tumbuh mencecah antara 10.6 hingga 12.0 peratus menjelang tahun 2030," jelasnya lagi.
Beliau menegaskan unjuran itu adalah realistik dan berasaskan data sebenar di lapangan, sekali gus lebih tinggi berbanding sasaran RMK-13.
"Ia adalah sasaran yang realistik berdasarkan fakta dan data di lapangan.
"Kalau sekadar mensasarkan pertumbuhan KDNK pertanian Terengganu pada kadar 1.1 peratus maka ia tak sepadan dengan gema kuat pengumuman untuk menjadikan Terengganu sebagai hab pembangunan ekonomi biru dan hab pengeluaran makanan negara," tegasnya.
Beliau menyeru supaya perancangan pembangunan sektor pertanian negeri dipacu ke hadapan dan tidak mundur kebelakang.
"Kita perlu berjalan ke hadapan dan bukannya mengundur ke belakang.
"Saya menyokong penuh ucapan perbahasan RMK-13 Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar merangkap Ahli Parlimen Kemaman," ujarnya.
11 Aug 25
514