lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Baik Pulih Jalan Runtuh di Batu Rakit Dijangka Siap Oktober
Baik Pulih Jalan Runtuh di Batu Rakit Dijangka Siap Oktober
KUALA TERENGGANU, 14 Julai – Projek pembaikan jalan dan tebing runtuh bernilai RM4.95 juta di Batu Rakit yang rosak akibat musim Monsun Timur Laut, kini menunjukkan kemajuan memberangsangkan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Oktober ini. Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi berkata projek yang dibiayai menerusi Sistem Maklumat Rekod-rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) itu dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).  "Kami meninjau projek ini yang dilaksanakan susulan runtuhan sepanjang 280 meter akibat cuaca buruk tempoh hari. "Kerja-kerja ini dibuat bagi menyelamatkan pantai dan jalan yang ada di kawasan terlibat," katanya ketika sidang media semasa meninjau tapak projek di Kampung Tanjung Batu Rakit, di sini semalam. Turut hadir Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia, Dato’ Ir. Roslan Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail. Menurut Alexander, setakat 15 Jun 2025, kemajuan fizikal projek telah mencapai 45.37 peratus iaitu 18 hari lebih awal daripada jadual, manakala kemajuan kewangan pula mencecah RM3.03 juta daripada jumlah keseluruhan RM4.95 juta, sekali gus mencerminkan tahap pelaksanaan yang sangat memuaskan. "Saya diberi taklimat bahawa progres sangat baik dan bakal siap awal dari jadual. "Mengikut prestasi kewangan pun mengikut seperti yang sepatutnya, ini boleh dikatakan terbaiklah," jelasnya. Beliau menjelaskan projek pembaikan ini dilaksanakan oleh syarikat SR Tech Resources bermula 8 April dan dijadual siap pada 7 Oktober 2025, justeru semua pihak terutama kontraktor diminta meneruskan kerja sehingga selesai sepenuhnya. "Kita berharap bila tiba bulan Oktober nanti, ia akan siap dengan sempurna. "itu penting, kita mahu kerjasama semua pihak sampai projek ini siap sepenuhnya," tambahnya. Dalam masa sama, projek pembinaan benteng pemecah ombak atau breakwater yang dijalankan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut dilaksanakan bersebelahan kawasan sama, sebagai pelengkap kepada usaha menyeluruh menangani hakisan pantai. "Adapun kerja-kerja breakwater di belakang kita ini, ia merupakan kerja di bawah JPS. "Kedua-dua projek ini kita harapkan akan menangani masalah runtuhan pantai," ujarnya. Menurut beliau, teknologi Cresmet Concrete yang digunakan untuk membina struktur tebing di lokasi itu dipilih kerana terbukti mampu menahan ombak secara 'modular' berdasarkan kajian khusus terhadap faktor ombak dan bentuk pantai. "Saya difahamkan ia akan terbukti dan berkesan untuk menahan ombak. "Semua itu sudah diambil kira, sebab itu reka bentuk tebing sebegitu," jelas beliau. Beliau turut menyeru penduduk agar terus bersabar, memberikan kerjasama, dan mematuhi semua arahan keselamatan demi memastikan kelancaran pelaksanaan kerja serta keselamatan bersama. "Saya amat menghargai kesabaran dan sokongan rakyat. "Kerana inilah kunci kepada kemudahan awam yang selesa dan selamat untuk semua," ujarnya.
14 Jul 25
213
Kerja Baik Pulih Jalan Aring-Kenyir Bermula November
Kerja Baik Pulih Jalan Aring-Kenyir Bermula November
KUALA NERUS, 14 Julai – Kerja-kerja pembaikan Jalan Aring-Kenyir yang runtuh akibat hujan lebat hujung tahun lepas dijangka bermula November ini. Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu, Ir. Dr. Hasli Ibrahim berkata, kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM36 juta bagi pelaksanaan projek tersebut. "Buat masa sekarang peruntukan untuk pelaksanaan projek tersebut telah diluluskan kerajaan sebanyak RM36 juta. "Sekarang sudah di peringkat reka bentuk akhir dan perolehan akan berlaku, mengikut rancangan kita, projek tersebut akan dimulakan pada November nanti,” katanya dalam sidang media selepas sesi lawatan kerja Menteri Kerja Raya. Runtuhan berlaku sepanjang 100 meter di laluan berkenaan akibat hujan lebat musim tengkujuh hujung tahun lalu, menyebabkan jalan ditutup kepada semua jenis kenderaan sehingga kini. Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia, Dato’ Ir. Roslan Ismail.
14 Jul 25
1439
Terengganu Tuan Rumah Persidangan Ortodontik Antarabangsa Kali Pertama
Terengganu Tuan Rumah Persidangan Ortodontik Antarabangsa Kali Pertama
KUALA TERENGGANU, 14 Julai - Buat kali pertama, Terengganu telah terpilih bagi Persidangan Saintifik Antarabangsa & Pameran Perdagangan Persatuan Ortodontis Malaysia (MAOISCTE) Kali Ke-31, sekali gus mencatat sejarah tersendiri dalam bidang kesihatan pergigian negeri. Menteri Besar, Dato' Sri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri menyokong penuh inisiatif ke arah amalan pergigian yang lebih lestari, inklusif dan berteraskan teknologi. Menurutnya, pendekatan tersebut selaras dengan usaha dalam memperluas akses perkhidmatan kesihatan pergigian yang adil dan menyeluruh, khususnya kepada komuniti luar bandar. "Tema tahun ini, 'Kelestarian Dalam Bidang Ortodontik' sangat bertepatan dengan arus pembangunan kesihatan masa kini yang bukan sahaja menekankan kecemerlangan klinikal, tetapi juga kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan sosial. "Terima kasih kerana memilih Terengganu menjadi tuan rumah bagi Persidangan Saintifik Antarabangsa & Pameran Perdagangan Persatuan Ortodontis Malaysia Kali Ke-31 buat julung kalinya," katanya. Dalam usaha memperkukuh jaringan profesional dan perkongsian ilmu dalam bidang berkenaan, persidangan yang diadakan di Primula Beach Hotel di sini berjaya menghimpunkan pengamal ortodontik dari lima buah negara termasuk Malaysia. Himpunan delegasi daripada luar serta dalam negara bagi MAOISCTE Kali Ke-31 itu jelas menjadikan persidangan pertama di seluruh pantai timur kali ini lebih signifikan dan berprestij. "Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua delegasi dari dalam dan luar negara, khususnya tetamu utama dari Itali, New Zealand, Korea Selatan dan Taiwan yang turut hadir dalam persidangan berprestij ini. "Selamat datang ke Terengganu. Negeri kaya warisan, indah budayanya," ujarnya menerusi satu hantaran di laman sosial media rasminya, semalam. Dalam pada itu, beliau turut menyuarakan harapan agar persidangan ini menjadi pemangkin kepada perkongsian ilmu yang lebih luas, merintis inovasi baharu serta memperkukuh jaringan profesional demi manfaat rakyat dan kemajuan negara.
14 Jul 25
231
Penduduk Kampung Belimbing Risau Ancaman Pak Belang
Penduduk Kampung Belimbing Risau Ancaman Pak Belang
DUNGUN, 15 Julai – Kehadiran seekor harimau belang sejak Khamis lalu di Kampung Belimbing, Hulu Dungun, mencetuskan suasana cemas dan ketakutan dalam kalangan penduduk kampung. Haiwan buas itu dipercayai berkeliaran di kawasan kediaman dan kebun buah-buahan, sekali gus menyebabkan hampir 200 penduduk hidup dalam kebimbangan dan berjaga-jaga setiap masa. Menurut salah seorang penduduk, Tuan Zahari Tuan Hassan, kemunculan harimau tersebut merupakan kali pertama berlaku di kampung berkenaan. Katanya, harimau tersebut bukan sahaja menceroboh kawasan rumahnya pada waktu malam, malah turut melarikan simpanan daging segar serta memakan beberapa ekor ayam peliharaannya.  “Boleh sedar sebab ada ayam dengan anak tidur dekat tepi motor. Lepas dengar bunyi ayam lari, saya suruh orang rumah suluh, ingatkan musang, tapi rupanya rimau. Bila suluh, nampak harimau belang,” katanya ketika ditemui di kampung berkenaan, semalam. Susulan kejadian itu, penduduk kini semakin bimbang akan keselamatan diri dan anak-anak yang sering bermain di luar rumah. Kebanyakan mereka memilih untuk berkurung di dalam rumah, terutama pada waktu malam. Siti Rohani Awang, seorang lagi penduduk pula meluahkan rasa takut untuk membenarkan cucu-cucunya bermain di luar, malah mengakui takut untuk ke bilik mandi pada waktu malam.  “Waktu maghrib pun dah takut nak keluar. Dulu tak pernah jadi macam ni,” tambahnya. Manakala Mohd Khairi Yunus memaklumkan, mereka kini lebih berhati-hati dan telah mengambil langkah menutup pintu rumah seawal petang demi keselamatan. “Budak-budak tak boleh main petang. Nak keluar kerja awal pagi pun takut. Harap pihak berkuasa dapat ambil tindakan segera,” katanya. Perkara itu turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman yang turun padang meninjau sendiri keadaan penduduk terlibat. Beliau memaklumkan bahawa laporan telah dibuat kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Dungun dan negeri untuk tindakan lanjut. “Kami telah laporkan kepada pihak berwajib untuk mengambil tindakan segera demi keselamatan penduduk dan mengelakkan perkara tidak diingini,” katanya. Dalam masa sama, beliau menasihatkan penduduk agar mengehadkan aktiviti luar rumah terutama pada waktu malam sehingga harimau tersebut berjaya ditangkap atau dihalau keluar dari kawasan kampung.
14 Jul 25
81
Persekutuan Wajib Salur Peruntukan, Bukan Atas Dasar Ehsan
Persekutuan Wajib Salur Peruntukan, Bukan Atas Dasar Ehsan
KUALA TERENGGANU, 13 Julai – Pembahagian hasil dan tanggungjawab antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu difahami dengan tepat agar tidak timbul kekeliruan mengenai kedudukan sebenar negeri dalam kerangka Persekutuan Malaysia. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim menegaskan bahawa segala bentuk peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan kepada negeri termasuk negeri yang tidak sehaluan politik merupakan tanggungjawab berasaskan perjanjian persekutuan, bukannya ihsan atau pertimbangan politik. “Apabila negeri-negeri menyertai Persekutuan Malaysia pada tahun 1963, segala hasil mahsul seperti minyak, gas, hutan, cukai dan sumber semula jadi diserahkan kepada Kerajaan Pusat. Maka berdasarkan perjanjian tersebut, terdapat lebih 13 jenis pemberian yang wajib disalurkan semula kepada kerajaan negeri. “Kita tidak pernah menafikan pemberian tahunan yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada semua negeri, termasuk negeri pembangkang. Malah, negeri-negeri seperti Pulau Pinang menerima jumlah yang lebih besar. Namun, perlu ditegaskan bahawa pemberian ini bukanlah satu bentuk belas kasihan atau kemurahan hati PMX sebaliknya, ia adalah tanggungjawab mengikut perjanjian persekutuan,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial rasminya, kelmarin. Beliau menegaskan bahawa pemberian itu tidak wajar dijadikan modal politik, seolah-olah negeri perlu berterima kasih atas ‘kebaikan’ kerajaan pusat. Tambah beliau, negeri hanya mempunyai akses kepada hasil daripada tanah, hutan dan air, manakala kutipan utama seperti cukai pendapatan, duti kastam, saman, denda, dan pelbagai jenis cukai lain dikutip dan disalurkan terus kepada kerajaan pusat. “Realitinya, hasil cukai menjadi tunjang kepada kewangan negara dan negeri. Semua hasil seperti cukai LHDN, lesen, saman polis, duti setem, duti kastam dan sebagainya masuk ke Persekutuan. “Negeri pula hanya bergantung kepada hasil tanah, hutan, air serta cukai premis. Ke mana perginya hasil minyak dan gas daripada Terengganu dan Kelantan, kita semua sudah maklum,” ujarnya lagi. Dalam pada itu, Dr. Azman turut mencadangkan agar semakan semula kadar pemberian kepada negeri-negeri dibuat, bersandarkan kepada peningkatan kutipan hasil negara yang sebahagiannya disumbangkan oleh negeri-negeri seperti Terengganu dan Kelantan. “Kita tidak mempersoalkan jika negeri seperti Selangor dan Pulau Pinang mendapat peruntukan lebih besar kerana mereka mempunyai hasil yang tinggi. Namun, negeri lain juga berhak menerima kadar yang adil dan setimpal dengan sumbangan mereka kepada ekonomi negara,” katanya. Kenyataan beliau itu sebagai reaksi terhadap kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang sebelum ini menyatakan bahawa pembangunan di Kelantan akan terus ketinggalan tanpa peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan seolah-olah membayangkan bahawa kemajuan negeri bergantung kepada pertimbangan politik pusat semata-mata. “Asas pembentukan negara ini perlu difahami secara tuntas agar peranan dan tanggungjawab antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri tidak dipolitikkan. Kedua-duanya mempunyai bidang kuasa dan fungsi yang wajib dihormati,” tegas beliau.
13 Jul 25
861
Kerajaan Terengganu Sampai Penghargaan kepada UPSI Bantu Mangsa Nahas
Kerajaan Terengganu Sampai Penghargaan kepada UPSI Bantu Mangsa Nahas
IPOH, 13 Julai – Kerajaan Negeri Terengganu telah menyampaikan surat penghargaan kepada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai tanda terima kasih atas keprihatinan luar biasa dan kerjasama erat dalam membantu mangsa nahas kemalangan bas yang melibatkan pelajar universiti berkenaan. Surat tersebut diserahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga serta Perpaduan Nasional Negeri Terengganu, Maliaman Kassim kepada Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff, dalam satu kunjungan rasmi ke kampus UPSI baru-baru ini. Menurut Maliaman, penghargaan itu adalah manifestasi ucapan terima kasih Kerajaan Negeri Terengganu terhadap sikap cekap, empati dan komitmen tinggi yang ditunjukkan UPSI dalam menguruskan insiden yang menimpa anak-anak Terengganu yang menuntut di universiti tersebut. “Bagi pihak Kerajaan Negeri Terengganu dan seluruh rakyat negeri ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak UPSI atas keprihatinan dan kerjasama yang amat bermakna dalam membantu para pelajar yang terlibat dalam nahas baru-baru ini,” ujarnya. Tambah beliau, tindakan pantas serta pendekatan berperikemanusiaan oleh pihak universiti, termasuk penyediaan bantuan kecemasan, sokongan moral dan pengurusan krisis yang tersusun, telah memberi impak besar kepada mangsa dan ahli keluarga mereka. “Usaha murni ini amat kami hargai. Ia mencerminkan semangat solidariti, nilai kemanusiaan serta tanggungjawab sosial yang tinggi dalam kalangan warga UPSI. “Pendekatan ini menyerlahkan UPSI bukan sekadar sebagai institusi cemerlang dalam bidang akademik, tetapi juga sebagai universiti yang benar-benar prihatin terhadap kebajikan pelajarnya,” katanya. Sementara itu, Dr. Md Amin turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Terengganu atas pengiktirafan serta sokongan moral yang diberikan terhadap usaha universiti dalam menjaga kebajikan pelajar. “Sebagai universiti pendidik utama negara, UPSI sentiasa mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan pelajarnya. Setiap warga UPSI memainkan peranan penting dalam memastikan pelajar diberikan perhatian yang sewajarnya, khususnya dalam saat-saat mencabar,” jelas beliau. Terdahulu, insiden kemalangan tragis yang berlaku bulan lalu telah meragut 15 nyawa pelajar UPSI dan mencederakan 27 yang lain, ketika mereka dalam perjalanan pulang ke kampus selepas cuti Hari Raya Aidiladha. Kebanyakan mangsa merupakan pelajar berasal dari Terengganu dan kini sedang menjalani proses pemulihan.
13 Jul 25
121
Terengganu Terus Komited Memperkasa Pembangunan Sukan
Terengganu Terus Komited Memperkasa Pembangunan Sukan
KUALA TERENGGANU, 13 Julai – Kerajaan Negeri Terengganu terus komited memperkasa pembangunan sukan melalui pelbagai inisiatif di bawah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) demi memastikan kelangsungan prestasi atlet dan kemudahan sukan yang mampan serta inklusif. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurus MSNT yang dipengerusikannya pada Selasa lalu. Menurutnya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi tahun ini untuk melaksanakan beberapa projek penting, termasuk menaik taraf Litar Latihan MiniGP dan Pocket Bike, serta pembinaan baharu gelanggang futsal, pickleball dan sukan padel. “Pembangunan sukan di Terengganu bukan sahaja memberi fokus kepada atlet elit, malah turut merangkumi penyediaan infrastruktur yang memberi manfaat kepada pembangunan akar umbi dan generasi muda,” katanya menerusi satu kenyataan. Jelas beliau, pihaknya turut membincangkan persediaan awal kontinjen negeri bagi menghadapi Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan PARASUKMA Selangor 2026. Sehubungan itu katanya, sebuah pasukan khas telah ditubuhkan dan segala perancangan akan dikemas kini secara berterusan. Tambahnya lagi, program sukan berprestasi tinggi bagi atlet Para juga akan dikendalikan oleh MSNT, sebagaimana arahan terkini daripada KBS. “Walaupun begitu, kerjasama erat bersama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu (JBSNT) akan terus diperkukuh dalam usaha melahirkan lebih ramai atlet para yang berpotensi. “Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Terengganu, KBS, Majlis Sukan Negara (MSN) dan JBSNT atas sokongan berterusan mereka. “Kerjasama erat antara kerajaan negeri dan agensi persekutuan amat penting bagi memastikan Terengganu kekal cemerlang dalam bidang sukan dan seterusnya menyumbang kepada kecemerlangan sukan negara,” katanya.
13 Jul 25
348
Pelarasan Tarif Air : Terengganu Pastikan Tidak Beban Rakyat
Pelarasan Tarif Air : Terengganu Pastikan Tidak Beban Rakyat
KUALA TERENGGANU, 13 Julai - Cadangan Syarikat Air Terengganu Sdn.Bhd (SATU) untuk menyelaras semula tarif air akan dibincang dengan lebih lanjut bersama operator bagi memastikan pelaksanaan itu tidak membebankan rakyat. Pelarasan tarif air membolehkan syarikat utiliti melaksanakan operasi serta perbelanjaan modal (Capex), termasuk penggantian paip lama dan kerja-kerja penaiktarafan infrastruktur air. Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak operator lain bagi tindakan seterusnya. "Setakat ini kita boleh katakan begitu dahulu, dan kita akan keluarkan kenyataan rasmi pada masa yang sesuai," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Program Madani Rakyat Terengganu di Pasar Payang di sini pada Sabtu.  Beliau berkata demikian  bagi mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)  berhubung permohonan pelarasan tarif air yang dipohon 10 negeri termasuk Terengganu. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar, Dato' Hanafiah Mat berkata cadangan pelarasan perkhidmatan bekalan air oleh SATU kepada SPAN disokong oleh Kerajaan Negeri untuk mendapat pertimbangan dan kelulusan dari Jemaah Menteri bagi  menjamin kelangsungan industri air dalam jangka panjang. Namun, katanya pelarasan itu akan dipastikan agar tidak membebankan rakyat. "Pihak kerajaan negeri komited memastikan pelarasan tarif air ini tidak akan membebankan rakyat. "Justeru itu, kami berharap agar permohonan berkenaan mendapat pertimbangan sewajarnya," ujarnya lagi. SPAN juga telah mengesahkan telah menerima permohonan daripada sembilan lagi operator perkhidmatan bekalan air iaitu Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Pahang. Kesemua permohonan berkenaan masih diperingkat penelitian dan belum dimuktamadkan.
13 Jul 25
602
Hubungan Baik Negeri, Persekutuan Beri Manfaat Kepada Rakyat
Hubungan Baik Negeri, Persekutuan Beri Manfaat Kepada Rakyat
KUALA TERENGGANU, 14 Julai – Hubungan erat antara Kerajaan Negeri Terengganu dan Kerajaan Persekutuan dilihat mampu membawa manfaat besar kepada rakyat, khususnya dalam aspek pendidikan dan pembangunan negeri. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan kesyukuran atas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pelaksanaan Program Tuisyen Rakyat dengan peruntukan RM5.27 juta sebagai projek rintis yang dimulakan di Terengganu, melibatkan seramai 9,408 pelajar. “Kita berasa amat teruja dan terharu dengan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri. Saya difahamkan Menteri Pendidikan sendiri turut terkejut dengan pengumuman itu,” katanya kepada media. Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Penutup Program Madani Rakyat di Pasar Payang semalam, yang disempurnakan oleh Perdana Menteri. Mengulas lanjut, beliau berkata inisiatif itu diyakini dapat membantu meringankan beban kewangan ibu bapa serta membuka peluang kepada pelajar untuk mengikuti kelas tuisyen secara percuma, sekali gus meningkatkan tahap pencapaian akademik pelajar di negeri ini. Tambahnya lagi, pelaksanaan program itu memerlukan penyelarasan rapi antara pihak sekolah dan Jabatan Pendidikan Negeri, agar manfaatnya dapat dirasai secara menyeluruh merangkumi pelajar cemerlang, sederhana dan juga yang tercicir. “Kesemua kumpulan ini harus diberikan perhatian secara seimbang agar tiada yang tercicir daripada menerima manfaat di negeri Terengganu ini,” katanya. Dalam perkembangan lain, Dr Ahmad Samsuri turut menyatakan bahawa kerajaan negeri sentiasa mengemukakan permohonan peruntukan pembangunan berdasarkan keperluan semasa, termasuk bagi projek-projek di luar Rancangan Malaysia. “Alhamdulillah, walaupun perinciannya belum diperincikan dari segi lokasi dan jenis projek, yang lebih penting ialah wujudnya hubungan baik antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat kerana kedua-duanya saling memerlukan,” ujarnya.
13 Jul 25
63
Projek Solar Terapung-Hab Hidrogen Hijau di Terengganu Dilancar
Projek Solar Terapung-Hab Hidrogen Hijau di Terengganu Dilancar
HULU TERENGGANU,12 Julai - Satu sejarah dalam sektor tenaga boleh diperbaharui apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan Projek Solar Terapung Hibrid Hidro (HHFS) dan Hab Hidrogen Hijau di Stesen Janakuasa Hidroelektrik Sultan Mahmud, Kenyir. Pelancaran tersebut menjadi simbol komitmen negara untuk menjadi peneraju serantau dalam pembangunan hidrogen hijau selain menyokong agenda tenaga bersih melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR). Projek Hab Hidrogen Hijau ini merupakan kerjasama strategik antara dua syarikat gergasi, Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta anak syarikat kerajaan negeri, Terengganu Inc bagi membangunkan pengeluaran hidrogen dan produk berkaitan.  Sementara itu, projek HHFS pula dibangunkan oleh anak syarikat TNB, TNB Genco Sdn Bhd, bersama Terengganu Inc selaras dengan usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan pertumbuhan sosioekonomi tempatan. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, kerjasama ini menggabungkan kekuatan dua syarikat utama negara dalam membentuk ekosistem tenaga yang mampan dan dinamik. “Ini membuka ruang kepada kepelbagaian sumber tenaga negara yang lebih kukuh, dan pada masa sama menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia dan rantau ini. "Projek ini juga akan dibangunkan di Koridor Kenyir-Kertih dan merupakan yang pertama seumpamanya dari segi skala.  "Ia melibatkan pembangunan bersepadu daripada penjanaan tenaga boleh diperbaharui, pengeluaran hidrogen hijau serta penghasilan metanol dan ammonia hijau" ujarnya dalam satu kenyataan. Terdahulu, Majlis Peluncuran Pembangunan Solar Terapung Hidro Hibrid dan Hab Hidrogen Hijau telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim di  Stesen Janakuasa Hidroelektrik Sultan Mahmud di Kenyir. Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir; Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Mohd Bakke Salleh; dan Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid. Menurut Presiden dan CEO TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan, kerjasama dalam Hab Hidrogen Hijau Terengganu menjadi pemangkin utama kepada transformasi tenaga bersih negara. “Projek HHFS Kenyir pula membuktikan bagaimana TNB memanfaatkan loji hidro sedia ada untuk menyimpan tenaga dan menstabilkan grid, sekali gus menampung permintaan tenaga secara cekap,” katanya.
12 Jul 25
297