KUALA TERENGGANU, 14 Julai – Hubungan erat antara Kerajaan Negeri Terengganu dan Kerajaan Persekutuan dilihat mampu membawa manfaat besar kepada rakyat, khususnya dalam aspek pendidikan dan pembangunan negeri.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan kesyukuran atas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pelaksanaan Program Tuisyen Rakyat dengan peruntukan RM5.27 juta sebagai projek rintis yang dimulakan di Terengganu, melibatkan seramai 9,408 pelajar.
“Kita berasa amat teruja dan terharu dengan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri. Saya difahamkan Menteri Pendidikan sendiri turut terkejut dengan pengumuman itu,” katanya kepada media.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Penutup Program Madani Rakyat di Pasar Payang semalam, yang disempurnakan oleh Perdana Menteri.
Mengulas lanjut, beliau berkata inisiatif itu diyakini dapat membantu meringankan beban kewangan ibu bapa serta membuka peluang kepada pelajar untuk mengikuti kelas tuisyen secara percuma, sekali gus meningkatkan tahap pencapaian akademik pelajar di negeri ini.
Tambahnya lagi, pelaksanaan program itu memerlukan penyelarasan rapi antara pihak sekolah dan Jabatan Pendidikan Negeri, agar manfaatnya dapat dirasai secara menyeluruh merangkumi pelajar cemerlang, sederhana dan juga yang tercicir.
“Kesemua kumpulan ini harus diberikan perhatian secara seimbang agar tiada yang tercicir daripada menerima manfaat di negeri Terengganu ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Dr Ahmad Samsuri turut menyatakan bahawa kerajaan negeri sentiasa mengemukakan permohonan peruntukan pembangunan berdasarkan keperluan semasa, termasuk bagi projek-projek di luar Rancangan Malaysia.
“Alhamdulillah, walaupun perinciannya belum diperincikan dari segi lokasi dan jenis projek, yang lebih penting ialah wujudnya hubungan baik antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat kerana kedua-duanya saling memerlukan,” ujarnya.