DUNGUN, 15 Julai – Kehadiran seekor harimau belang sejak Khamis lalu di Kampung Belimbing, Hulu Dungun, mencetuskan suasana cemas dan ketakutan dalam kalangan penduduk kampung.
Haiwan buas itu dipercayai berkeliaran di kawasan kediaman dan kebun buah-buahan, sekali gus menyebabkan hampir 200 penduduk hidup dalam kebimbangan dan berjaga-jaga setiap masa.
Menurut salah seorang penduduk, Tuan Zahari Tuan Hassan, kemunculan harimau tersebut merupakan kali pertama berlaku di kampung berkenaan.
Katanya, harimau tersebut bukan sahaja menceroboh kawasan rumahnya pada waktu malam, malah turut melarikan simpanan daging segar serta memakan beberapa ekor ayam peliharaannya.
“Boleh sedar sebab ada ayam dengan anak tidur dekat tepi motor. Lepas dengar bunyi ayam lari, saya suruh orang rumah suluh, ingatkan musang, tapi rupanya rimau. Bila suluh, nampak harimau belang,” katanya ketika ditemui di kampung berkenaan, semalam.
Susulan kejadian itu, penduduk kini semakin bimbang akan keselamatan diri dan anak-anak yang sering bermain di luar rumah. Kebanyakan mereka memilih untuk berkurung di dalam rumah, terutama pada waktu malam.
Siti Rohani Awang, seorang lagi penduduk pula meluahkan rasa takut untuk membenarkan cucu-cucunya bermain di luar, malah mengakui takut untuk ke bilik mandi pada waktu malam.
“Waktu maghrib pun dah takut nak keluar. Dulu tak pernah jadi macam ni,” tambahnya.
Manakala Mohd Khairi Yunus memaklumkan, mereka kini lebih berhati-hati dan telah mengambil langkah menutup pintu rumah seawal petang demi keselamatan.
“Budak-budak tak boleh main petang. Nak keluar kerja awal pagi pun takut. Harap pihak berkuasa dapat ambil tindakan segera,” katanya.
Perkara itu turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman yang turun padang meninjau sendiri keadaan penduduk terlibat.
Beliau memaklumkan bahawa laporan telah dibuat kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Dungun dan negeri untuk tindakan lanjut.
“Kami telah laporkan kepada pihak berwajib untuk mengambil tindakan segera demi keselamatan penduduk dan mengelakkan perkara tidak diingini,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menasihatkan penduduk agar mengehadkan aktiviti luar rumah terutama pada waktu malam sehingga harimau tersebut berjaya ditangkap atau dihalau keluar dari kawasan kampung.