lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

MP Dungun Desak Kerajaan Perkukuh Perlindungan Pemberi Maklumat
MP Dungun Desak Kerajaan Perkukuh Perlindungan Pemberi Maklumat
KUALA LUMPUR, 23 Julai – Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli, menegur kerajaan Persekutuan agar tidak sekadar menggubal undang-undang baharu tanpa memastikan keberkesanan pelaksanaannya, ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perlindungan Pemberi Maklumat (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat semalam. Menurut beliau, meskipun RUU itu digambarkan sebagai langkah ke hadapan, realitinya ramai pemberi maklumat terus berdepan tekanan politik, ugutan dan tindakan balas, khususnya apabila pendedahan mereka melibatkan individu berkuasa atau berkepentingan dalam pentadbiran. “Pentingnya diwujudkan satu sistem perlindungan yang benar-benar berkesan dan menyeluruh bagi memastikan keberanian golongan ini tidak dipatahkan oleh rasa takut atau ancaman balas yang boleh menggugat keselamatan dan kehidupan mereka,” soal beliau, sambil menggesa kerajaan memastikan mekanisme penguatkuasaan bebas dan tidak tunduk kepada pengaruh politik. Wan Hassan turut menekankan keperluan memastikan ketelusan dalam menilai kesahihan maklumat daripada 'whistleblower' agar tidak disalah guna untuk menutup pendedahan sebenar, satu kelemahan yang menurutnya masih wujud dalam sistem sedia ada. Beliau menutup perbahasan dengan mengingatkan Ahli Dewan akan firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 48, mengenai hari pembalasan, di mana tiada sesiapa dapat melindungi orang lain, dan tiada syafaat atau tebusan yang mampu menyelamatkan mereka yang mengkhianati amanah. “Jika dunia gagal melindungi yang benar kerana kepentingan kuasa, ingatlah bahawa keadilan Allah SWT tidak boleh diputar belit,” tegasnya.
23 Jul 25
102
Pelantikan Ketua Audit Langgar Amalan Kerajaan, Wujud Risiko Tidak Telus
Pelantikan Ketua Audit Langgar Amalan Kerajaan, Wujud Risiko Tidak Telus
KUALA LUMPUR, 23 Julai – Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato’ Rosol Wahid menggesa Kerajaan Persekutuan meneliti semula proses pelantikan Ketua Audit Negara yang disifatkan bercanggah dengan amalan konvensional dan menimbulkan risiko ketidakbebasan serta ketidaktelusan dalam pengurusan kewangan awam. Beliau berkata, pelantikan Ketua Audit Negara yang masih berkhidmat dalam perkhidmatan awam bercanggah dengan tradisi sejak 1966, apabila semua sembilan penyandang terdahulu dilantik hanya selepas bersara daripada jawatan kerajaan. “Sejak 1966, semua Ketua Audit Negara terdahulu termasuk S. Khandiah, Ahmad Nordin Zakaria, Tan Sri Ambrin Buang dan Tan Sri Madinah Mohamad dilantik selepas pencen. Hanya penyandang sekarang masih berkhidmat. “Perkara ini dipersoalkan banyak pihak dan saya bersetuju dengan kebimbangan itu,” katanya ketika membahaskan Laporan Ketua Audit Negara di Dewan Rakyat hari ini. Rosol turut mengkritik laporan audit yang dikemukakan ke Parlimen, yang disifatkannya terlalu ringkas dan gagal memberikan gambaran menyeluruh terhadap kecekapan pengurusan serta perbelanjaan awam oleh kementerian dan agensi kerajaan. “Sebanyak 2,000 entiti diberi ruang untuk diaudit, tetapi laporan setebal ini sahaja yang kita terima. Ia tidak mencerminkan skala sebenar penilaian dan seolah-olah dibuat secara sambil lewa,” ujarnya. Beliau turut mempersoalkan mengapa hanya beberapa kementerian seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah menjadi tumpuan laporan, yang menimbulkan kebimbangan berhubung unsur pilih kasih atau pengaruh politik dalam proses audit. “Di sini mungkin ada sedikit politik dalam kalangan audit. Oleh itu, kerajaan perlu memberi perhatian serius terhadap cadangan pembaharuan walaupun laporan ini sendiri dipersoalkan kesahihannya, kerana Ketua Audit sekarang pun dilantik dengan cara yang dipertikaikan,” tegasnya. Rosol menekankan bahawa kerajaan perlu segera memulihkan kredibiliti institusi audit negara agar keyakinan rakyat terhadap integriti dan ketelusan pengurusan kewangan awam dapat dipulihkan sepenuhnya.
23 Jul 25
180
Prosedur Perolehan Projek Kerajaan Buka Ruang Ketirisan
Prosedur Perolehan Projek Kerajaan Buka Ruang Ketirisan
KUALA LUMPUR, 23 Julai – Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr. Alias Razak, mendakwa kerajaan Persekutuan gagal mengurus perolehan projek pembangunan dengan berkesan apabila terus menggunakan kaedah Pra-Kelayakan (Pre-Qualification atau Pre-Q) yang terbukti bermasalah, seperti didedahkan dalam laporan audit terbaharu. Menurutnya, walaupun Kerajaan Madani berjanji mempercepat projek berimpak tinggi untuk rakyat, laporan audit mendedahkan proses perolehan sehingga tandatangan kontrak mengambil masa hampir dua tahun, tanpa projek dimulakan. “Kelewatan ini menjejaskan rakyat yang terpaksa menunggu kemudahan asas, sementara janji kerajaan hanya tinggal janji,” katanya dalam sesi perbahasan Laporan Ketua Audit Negara di Dewan Rakyat hari ini.  Dr. Alias turut membongkar kemungkinan manipulasi dalam sistem Pre-Q, apabila enam syarikat diluluskan di peringkat awal tanpa dokumen lengkap dan tiga daripadanya menerima Surat Setuju Terima (SST). “Lebih membimbangkan, ada syarikat yang tiada kemampuan kewangan dan teknikal, malah pernah gagal dalam projek sebelum ini, tetapi tetap diberi projek baharu kerajaan,” ujarnya. Selain itu jelas Dr. Alias, laporan audit turut mendedahkan kegagalan kerajaan membangunkan pangkalan data syarikat yang berkesan, apabila pelawaan tender berulang kali dihantar kepada 65 syarikat sama di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) antara tiga hingga tujuh kali. “Pengurusan projek bernilai jutaan ringgit dilakukan secara sambil lewa. SOP tender kerajaan perlu seragam dan jelas supaya tiada ruang untuk manipulasi,” tegasnya. Dr. Alias turut mengecam kerajaan kerana tidak melaksanakan saranan audit agar kaedah Pre-Q Terpilih dihentikan dan diganti dengan tender terbuka yang lebih telus dan berintegriti. “Pendekatan sambil lewa ini hanya membuka ruang ketirisan, pembaziran wang rakyat dan penyalahgunaan kuasa. Akhirnya, rakyat yang derita, dan kepercayaan kepada kerajaan terus merudum,” katanya.
23 Jul 25
97
Usaha Terengganu Perkasa Islam Dapat Perhatian Tokoh Akademik Amerika
Usaha Terengganu Perkasa Islam Dapat Perhatian Tokoh Akademik Amerika
KUALA TERENGGANU, 23 Julai – Komitmen Kerajaan Terengganu dalam memperkukuh dasar serta pelaksanaan Islam di negeri ini menarik perhatian seorang tokoh akademik dari Amerika Syarikat. Pengerusi Pembangunan Insan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata beliau menerima kunjungan hormat Profesor Timothy P. Daniels dari Universiti Hofstra, Amerika Syarikat, pagi tadi sebaik selesai Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN). “Alhamdulillah, saya gembira dapat bertukar pandangan dengan beliau. Tidak disangka, beliau juga fasih berbahasa Melayu. “Beliau banyak bertanyakan mengenai usaha kerajaan negeri dalam pelaksanaan Islam di Terengganu, khususnya dari aspek ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini. Mengulas lanjut, Dr. Muhammad Khalil berkata pertemuan itu dimanfaatkan untuk menerangkan pendekatan kerajaan negeri dalam melaksanakan dasar Islam, terutamanya dari sudut ekonomi, demi memastikan kesejahteraan rakyat. “Saya kongsikan bagaimana kerajaan negeri menekankan pembangunan insan melalui penghayatan nilai Islam, selain memperkukuh ekonomi melalui perniagaan patuh syariah dan pembangunan modal insan dalam industri,” ujarnya.
23 Jul 25
79
RUU 133: Shaharizukirnain Gesa Lindungi Kanak-Kanak, Libat JPKK
RUU 133: Shaharizukirnain Gesa Lindungi Kanak-Kanak, Libat JPKK
KUALA LUMPUR, 22 Julai – Ahli Parlimen Setiu menggesa kerajaan memastikan pelaksanaan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta 133 Jalan, Parit dan Bangunan 1974 benar-benar berkesan di seluruh negara, khususnya di kawasan luar bandar, dengan menekankan keperluan melibatkan pemimpin akar umbi dan melindungi kanak-kanak daripada hukuman keterlaluan. Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, pindaan RUU itu yang menaikkan kadar denda kesalahan kebersihan daripada RM500 kepada RM2,000, selain membolehkan Mahkamah mengenakan hukuman khidmat masyarakat sehingga 12 jam dalam tempoh 6 bulan, merupakan langkah yang baik sekiranya dikuatkuasakan secara adil dan menyeluruh. Namun, beliau menegaskan penguatkuasaan di kawasan luar bandar seperti Setiu berdepan cabaran besar kerana kekurangan pegawai penguat kuasa, keluasan kawasan dan kemampuan logistik yang terhad berbanding bandar-bandar besar. “Saya bimbang undang-undang ini hanya akan berkesan di bandar seperti Subang Jaya atau Georgetown tetapi gagal di daerah luar bandar. Saya cadangkan Ketua Kampung, Pengerusi JPKK dan Imam Kariah dilantik secara rasmi oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai penyelia khidmat masyarakat. Dengan penglibatan pemimpin tempatan, penguatkuasaan dapat diperkukuh dan tanggungjawab bersama dalam komuniti dapat dibina,” katanya. Beliau menegaskan, pelantikan ini perlu disertakan dengan garis panduan jelas, taklimat kepada penyelia komuniti dan pemantauan berkala agar pelaksanaan hukuman kekal profesional, adil serta bebas daripada pengaruh politik atau penyalahgunaan kuasa. Ahli Parlimen Setiu itu turut menzahirkan kebimbangan mengenai penglibatan kanak-kanak sebagai subjek hukuman khidmat masyarakat seperti yang diperkenalkan dalam pindaan berkenaan, yang membolehkan hukuman dikenakan ke atas mereka selaras dengan peruntukan Akta Kanak-Kanak 2001. “Walaupun bertujuan mendidik, tanpa garis panduan jelas atau had umur minimum, hukuman sehingga 12 jam dalam tempoh 6 bulan ini boleh menjadi keterlaluan terhadap remaja atau pelajar sekolah yang melakukan kesalahan kecil seperti membuang sampah. “Kerajaan perlu perinci pelaksanaan ini supaya bersifat pemulihan dan tidak menghukum secara berlebihan,” ujarnya. Dalam masa sama, beliau turut mencadangkan agar skop hukuman khidmat masyarakat diperkasa sebagai alat pendidikan sivik jangka panjang, bukan hanya kerja rutin seperti menyapu sampah atau membersihkan longkang. “Pesalah yang mencemarkan alam sekitar boleh diarahkan menanam pokok atau menyertai projek hijau sebagai simbol tanggungjawab kepada komuniti dan alam sekitar. Pendekatan ini lebih mendidik serta memberi impak positif kepada masyarakat,” tegasnya.
22 Jul 25
97
Taman Tema Air Sekayu Kembali Beroperasi 24 Julai
Taman Tema Air Sekayu Kembali Beroperasi 24 Julai
KUALA TERENGGANU, 22 Julai - Selepas melalui tempoh pemulihan yang panjang, Taman Tema Air di Taman Pertanian Negeri Sekayu bakal dibuka semula kepada orang ramai pada 24 Julai 2025. Perkara ini disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim dalam satu kenyataan yang telah dikeluarkan melalui laman sosial media rasminya, semalam. Beliau mengajak orang ramai untuk kembali mengunjungi taman tersebut, khususnya taman tema air yang menggunakan air bukit semula jadi yang jernih dan sejuk, menjadikannya lokasi santai bersama keluarga. "24 Julai 2025, Taman Tema Air di Taman Pertanian Sekayu akan mula dibuka kepada pengunjung. Pakat bawa anak-anak mari main air sambil bersantai. "Banyak aktiviti menarik ditawarkan di sini antaranya taman tema air, ladang buah-buahan, tapak perkhemahan, asrama penginapan untuk program kem atau kursus, ladang lebah kelulut, kandang ternakan, aktiviti air dan banyak lagi.  "Menariknya kerana taman tema air di sini bersumber terus dari air bukit yang mengalir jernih dan sejuk," katanya. Menurutnya, taman tersebut yang sebelum ini menjadi antara destinasi agropelancongan popular di negeri ini terjejas teruk akibat banjir besar 2022, serangan gajah liar serta fenomena kepala air. Terdahulu, Dr. Azman pernah menjelaskan bahawa kerja pemulihan pusat rekreasi tersebut tidak dijalankan secara menyeluruh, sebaliknya dilakukan secara bertahap melalui penglibatan pelbagai jabatan dan komuniti tempatan.  "Sejak setahun lepas, Kerajaan Negeri telah memperuntukan kira-kira RM2 juta bagi kerja-kerja pemulihan secara berperingkat. "Jabatan-Jabatan Kerajaan di Hulu Terengganu seperti Pejabat Daerah, JKR, Majlis Daerah, Jabatan Perhutanan dan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong membantu Jabatan Pertanian. "Untuk menjadi jabatan angkat bagi sama-sama menyumbang untuk mengembalikan kecerian Taman Pertanian Sekayu seterusnya menggamit semula kehadiran pengunjung," tambahnya. Mengulas mengenai kadar bayaran, beliau yang juga merupakan ADUN Jabi menjelaskan ia masih dalam peringkat pertimbangan namun dijamin tidak akan membebankan pengunjung.
22 Jul 25
3601
Pihak Berkuasa Agama Diseru Bertindak Tegas Tangani LGBT
Pihak Berkuasa Agama Diseru Bertindak Tegas Tangani LGBT
KUALA TERENGGANU, 22 Julai – Pihak berkuasa agama diseru agar mengambil tindakan tegas dan berterusan dalam menangani fahaman-fahaman yang bertentangan dengan ajaran Islam, termasuk pluralisme agama dan gerakan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) yang dilihat menular dalam masyarakat. Seruan itu disuarakan oleh Dato’ Dr. Mohamad Sabri Haron yang menekankan bahawa Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri yang berpaksikan nilai dan prinsip Islam wajar dijadikan asas dalam menyekat penyebaran ideologi yang menyesatkan. “Undang-undang tubuh kerajaan negeri lazimnya dibina atas asas prinsip dan nilai Islam. Namun, perubahan zaman dan kemunculan isu-isu baharu seperti fahaman ini menuntut penelitian lebih mendalam serta keputusan melalui saluran fatwa,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas merasmikan Program Diskusi Fiqh dan Fatwa Negeri Terengganu yang berlangsung di Hotel Permai di sini semalam. Menurutnya, perkara seperti ini tidak boleh dipandang ringan kerana boleh menghakis akidah dan merosakkan tatanan sosial masyarakat jika tidak ditangani dengan tegas. “Secara jelas, kedua-dua fahaman ini tidak wajar diamalkan atau diberi tempat di mana-mana negeri di Malaysia,” tegasnya lagi. Justeru, beliau menyeru agar semua pihak, terutamanya institusi agama dan masyarakat, sentiasa berwaspada dan menolak sebarang unsur yang boleh membawa kepada penyebaran fahaman sesat yang bertentangan dengan ajaran Islam. “Setiap individu juga perlu mengambil tanggungjawab untuk melindungi diri dan komuniti daripada terjebak dengan ideologi songsang yang boleh merosakkan akidah serta keharmonian negara,” ujarnya.
22 Jul 25
95
Jadikan Keharmonian Sebagai Mekanisme Strategi Perniagaan - Ariffin
Jadikan Keharmonian Sebagai Mekanisme Strategi Perniagaan - Ariffin
KUALA TERENGGANU, 22 Julai - Setiap syarikat digalak mengambil tindakan dengan menjadikan keharmonian sebagai mekanisme utama strategi perniagaan. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, apabila memfokus perkara tersebut, impak positif bukan sahaja dari segi kewangan malah dapat meningkatkan nilai kemanusiaan dalam pekerjaan. Katanya, Kerajaan Negeri akan sentiasa menyokong inisiatif syarikat yang mengutamakan keharmonian dan kesejahteraan pekerja. “Keharmonian perusahaan bukan sahaja menyumbang kepada kestabilan sosial dan ekonomi, malah menjadi asas kepada pelaksanaan undang-undang perburuhan yang efektif dan lestari.  “Oleh itu, kita harus terus memperkukuh dialog sosial, memperbaharui undang-undang yang lapuk, serta membina kepercayaan antara majikan dan pekerja demi menjamin masa depan perburuhan yang adil, progresif dan seimbang,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kolokium Keharmonian Perusahaan Negeri Terengganu  Tahun 2025 : Pemantapan Hubungan Antara Pekerja, Majikan Dan Kesatuan Di Tempat Pekerjaan di Hotel Raia, hari ini. Mengulas lanjut katanya, penganjuran kolokium berkenaan turut bertujuan mengekalkan keharmonian perusahaan di negara ini melalui pemantapan pengetahuan tentang undang-undang perburuhan negara. “Ia memberi pendedahan dan pengetahuan berkenaan kepentingan Industrial Harmony Index (IHI) dan juga pindaan Akta Perhubungan Perusahan 1967 kepada majikan, pekerja dan kesatuan sekerja dalam sektor swasta,” ujarnya. Ariffin berkata, kolokium tersebut merupakan salah satu usaha Jabatan Perhubungan Perusahaan untuk mempertingkatkan keharmonian dalam pekerjaan bagi konteks pematuhan undang-undang dan peraturan perburuhan demi memastikan persekitaran kerja yang lebih kondusif, harmoni dan produktif. “Program seperti ini amat bertepatan dan harus diperkasa dari semasa ke semasa.  “Saya percaya Jabatan Perhubungan Perusahaan sebagai agensi utama yang mengurus tadbir hubungan majikan dan pekerja, memainkan peranan penting dalam mendidik dan menyelesaikan sebarang perselisihan agar tidak menjejaskan kelangsungan sektor ekonomi dan perindustrian di negeri ini,” ujarnya. Tegas beliau, kerajaan negeri komited dalam menyokong segala usaha yang memelihara kebajikan pekerja, sambil memastikan hak dan kepentingan majikan turut dijaga.  “Pendekatan yang seimbang ini akan terus menjadi teras dasar kerajaan negeri dalam merangka polisi berkaitan pembangunan modal insan dan tenaga kerja mahir. “Saya menyeru agar semua pihak iaitu pekerja, majikan, kesatuan sekerja dan agensi kerajaan dapat terus berganding bahu bagi membentuk suasana kerja yang positif, bebas dari diskriminasi serta selamat dari sebarang bentuk eksploitasi atau penindasan,” ujarnya.  
22 Jul 25
61
Pluralisme dan LGBT Ancam Akidah Umat Islam – Mufti Terengganu
Pluralisme dan LGBT Ancam Akidah Umat Islam – Mufti Terengganu
KUALA TERENGGANU, 22 Julai – Mufti Terengganu menegaskan bahawa fahaman pluralisme agama dan budaya Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) merupakan ancaman besar terhadap akidah serta kehidupan umat Islam. Dato’ Dr. Mohamad Sabri Haron berkata, kedua-duanya jelas bertentangan dengan wahyu dan ajaran Islam yang sebenar. Menurutnya, pluralisme agama bukan sekadar mengiktiraf kewujudan pelbagai agama, tetapi turut membawa fahaman sesat yang menganggap semua agama adalah benar dan berada pada kedudukan yang sama. “Pluralisme bukan sekadar mengiktiraf kepelbagaian (pluraliti), tetapi meletakkan semua agama pada kedudukan yang sama. Ini jelas bercanggah dengan prinsip tauhid dalam Islam,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas merasmikan program Diskusi Fiqh dan Fatwa Negeri Terengganu yang diadakan di Hotel Permai, di sini. Jelasnya, fahaman-fahaman seperti itu tergolong dalam aliran pemikiran bebas yang menolak autoriti wahyu, sekali gus mencipta bentuk akidah baharu yang menyesatkan. Tambah beliau, budaya LGBT bukan sekadar berkait dengan pemikiran, malah melibatkan perlakuan dan kecenderungan seksual songsang seperti transgender dan homoseksual, yang bertentangan dengan fitrah manusia serta ajaran wahyu Ilahi. “Jadi kedua-duanya (pluralisme dan LGBT) perlu dijauhi oleh semua pihak kerana ia bertentangan dengan ajaran islam itu sendiri," tegasnya.
22 Jul 25
125
Vaksin Covid-19 Beri Kesan Terhadap Mata Tidak Tepat - Pakar Perubatan
Vaksin Covid-19 Beri Kesan Terhadap Mata Tidak Tepat - Pakar Perubatan
KUALA TERENGGANU, 22 Julai – Dakwaan bahawa program vaksinasi COVID-19 telah dihentikan susulan laporan kesan terhadap mata adalah tidak benar, menurut Pakar Perubatan Keluarga, Dr. Suhazeli Abdullah. Beliau berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kekal meneruskan program imunisasi COVID-19 kerana manfaat vaksin jauh melebihi risiko kecil yang dikenal pasti dalam kajian. “WHO tidak pun menghentikan program vaksinasi COVID-19 kerana manfaatnya melebihi daripada sedikit risiko. KKM juga tidak memberhentikan program imunisasi atas jawapan yang sama,” katanya dalam satu kenyataan ringkas. Mengulas lanjut, Dr. Suhazeli menekankan bahawa kesan sampingan seperti yang dilaporkan dalam kajian terhadap kornea mata adalah sangat rendah dan jarang berlaku, serta pemantauan berterusan sedang dilakukan. “Kesan sampingan yang rendah dan jarang sebegini akan sentiasa dipantau dari masa ke semasa,” katanya. Kenyataan itu dibuat susulan penularan satu artikel berkaitan kajian di Istanbul, Turki yang mendapati perubahan kecil pada struktur kornea selepas menerima vaksin mRNA jenis Pfizer-BioNTech. Kajian itu bagaimanapun tidak menyatakan sebarang kecacatan penglihatan berlaku dan kesan perubahan juga bersifat sementara.
22 Jul 25
111