lightning-solid
Berita :
MP Dungun Desak Kerajaan Perkukuh Perlindungan Pemberi Maklumat
MP Dungun Desak Kerajaan Perkukuh Perlindungan Pemberi Maklumat
Muhammad Afiq Fahmi Ahmad Faris
23 Jul 25
96

KUALA LUMPUR, 23 Julai – Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli, menegur kerajaan Persekutuan agar tidak sekadar menggubal undang-undang baharu tanpa memastikan keberkesanan pelaksanaannya, ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perlindungan Pemberi Maklumat (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat semalam.

Menurut beliau, meskipun RUU itu digambarkan sebagai langkah ke hadapan, realitinya ramai pemberi maklumat terus berdepan tekanan politik, ugutan dan tindakan balas, khususnya apabila pendedahan mereka melibatkan individu berkuasa atau berkepentingan dalam pentadbiran.

“Pentingnya diwujudkan satu sistem perlindungan yang benar-benar berkesan dan menyeluruh bagi memastikan keberanian golongan ini tidak dipatahkan oleh rasa takut atau ancaman balas yang boleh menggugat keselamatan dan kehidupan mereka,” soal beliau, sambil menggesa kerajaan memastikan mekanisme penguatkuasaan bebas dan tidak tunduk kepada pengaruh politik.

Wan Hassan turut menekankan keperluan memastikan ketelusan dalam menilai kesahihan maklumat daripada 'whistleblower' agar tidak disalah guna untuk menutup pendedahan sebenar, satu kelemahan yang menurutnya masih wujud dalam sistem sedia ada.

Beliau menutup perbahasan dengan mengingatkan Ahli Dewan akan firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 48, mengenai hari pembalasan, di mana tiada sesiapa dapat melindungi orang lain, dan tiada syafaat atau tebusan yang mampu menyelamatkan mereka yang mengkhianati amanah.

“Jika dunia gagal melindungi yang benar kerana kepentingan kuasa, ingatlah bahawa keadilan Allah SWT tidak boleh diputar belit,” tegasnya.


Tag :

Artikel Berkaitan